Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

24 June 2015

307 : Wasiat Cinta

Sinopsis :


Karim dan Salmah bercinta sejak di alam persekolahan. Namun di atas perbezaan taraf hidup, mereka terpaksa berpisah. Salmah berhijrah ke kota mengikut keluarga. Tinggal Karim di kampung meneruskan kelangsungan hidup yang serba kekurangan. Lantaran kemiskinan yang menghimpit, Karim terpaksa melupakan hasrat untuk menggapai impian hidup. Tinggallah Karim bersama ibu tua dan seorang adik perempuan. Demi kasih sayang terhadap adik, Karim membanting tulang 4 keratnya untuk membolehkan adiknya berjaya dalam hidup.

Hari silih berganti. Kitaran masa mengubah segalanya.  Namun kasih sayang dan cinta antara Karim dan Salmah tidak pernah berubah. Malah kasih sayang yang bersemi sejak kecil tetap subur mewangi menerusi kiriman surat yang saban waktu menjadi pengganti diri. Kasih sayang antara mereka  bersemi di antara bait-bait ayat. Hinggalah pada satu hari, Karim menerima warkah terakhir dari Salmah yang meminta agar Karim melupakan dirinya. Ini kerana dirinya telah pun ditunangkan  dengan jejaka pilihan bapanya. Luluh hati dan perasaan Karim apabila mendapat perkhabaran itu. Namun apakan daya Karim untuk menghalang. Dia sedar akan kekurangan dirinya. Hanya doa setulus hati yang dapat dipanjat kepada Yang Maha Esa agar kebahagiaan senantiasa mendampingi hidup Salmah.

Putaran masa terlalu kejam. Tetap berdetik walau pahit untuk ditelan. Karim walau telah mengetahui Salmah kini milik orang lain namun dia tetap setia menggengam dan menjulang luhurnya cinta terhadap Salmah. Puas sudah adiknya, Rohaya memujuk agar Karim membuka pintu hati untuk menerima kehadiran wanita lain. Telah berkali pintu hati Karim diketuk namun kuncinya telah diserahkan kepada Salmah. Membujanglah Karim hingga ke tua.

Karim kini dimamah usia. Rambutnya telah memutih. Kulitnya kedut seribu. Tenaganya kini kian terbatas. Walau segalanya kini telah berubah namun kasih sayangnya terhadap Salmah tetap utuh. Biar pun tiada sebarang perkhabaran yang diterima, Karim tetap setia berpesan pada bayu yang berpuput agar sampaikan salam  rindu kepada Salmah. Saban hari Karim ke pantai. Merenung jauh ke kaki langit. Mendengar bisikan bayu yang membuai perasaannya. Mengimbau kembali kenangan manis waktu dulu-dulu bersama Salmah. Karim sedar semua itu kini hanyalah kenangan yang tak bisa diulanginya.

Namun kolam kenangan yang selama ini tenang kini berkocak. Segalanya bermula apabila pada satu senja, ketika Karim melangkah pulang dari pantai tiba-tiba matanya tertancap pada seraut wajah yang amat dikenalinya. "Salmah"... Terpancul nama itu dari bibirnya. "Tak mungkin”... akalnya membantah. Persoalan kini merajai diri Karim. Sejak kejadian senja itu, dirinya dibelenggu resah. Hatinya meronta inginkan kepastian  siapakah gadis yang dilihatnya di dalam kereta yang melewatinya senja itu.   

Satu petang beberapa hari selepas kejadian itu, Karim dikunjungi oleh tetamu misteri. Tetamu yang tidak diundang dan tidak pernah terduga oleh Karim. Ketika itu Karim baru selesai solat Asar apabila dia terdengar satu suara memberi salam. Alangkah terkejutnya Karim apabila dia menjenguk keluar dan mendapati seorang gadis ayu sedang berdiri di kaki tangga sambil tersenyum padanya. Kelu lidah Karim tanpa sepatah kata. Matanya tajam menatap wajah ayu itu tanpa kerdip. ‘Salmah’... Tercetus nama itu di bibir Karim. Kedatangan gadis ayu mirip Salmah mengundang kembali duka lama. Luka hatinya kembali berdarah. Segala kenangan lampau yang telah erat di sisip di petak hatinya kini terimbau kembali.

Rupanya gadis ayu mirip Salmah adalah anak tunggal bekas kekasihnya. Afrina, gadis ayu mirip Salmah begitu hiba melihat akan kedaifan hidup bekas kekasih ibunya yang sebelum ini hanya dikenali menerusi titipan tinta diari ibunya. Hatinya amat sayu. Dirinya seakan terpanggil untuk menjejak Karim setelah membaca diari ibunya.

Lantaran didesak oleh rasa ingin tahu, Afrina yang menjawat jawatan sebagai guru lepasan siswazah telah memohon untuk ditukarkan ke kampung asal ibunya bagi mencari Karim. Permohonannya diluluskan dan Afrina nekad dengan keputusannya walau ditentang hebat oleh tunangnya, Farid. Berlaku perselisihan faham di antara Afrina dan Farid. Namun Afrina tetap dengan keputusannya.

Setelah beberapa hari gagal mencari Karim, Afrina seakan berputus asa. Hasratnya untuk menemui Karim seakan berkubur. Mujurlah pada satu tengahari ketika sedang memandu pulang dari sekolah, Afrina hampir melanggar seorang pemuda yang sedang menunggang motorsikal pulang dari kebun. Berlakulah pertemuan di antara Afrina dan Hakeem iaitu anak tunggal kepada Rohaya. Dari pertemuan yang tidak disengajakan itu, akhirnya dapatlah Afrina menemui Karim.

Sejak berjaya menemui Karim, saban hari Afrina akan mengunjungi Karim untuk berbual-bual, mengemas dan memasak makanan untuk Karim. Karim merasa senang dengan kehadiran Afrina. Rindu yang bertahun dipendam akhirnya terurai jua. Walau sedih menerima berita kematian Salmah namun jauh di sudut hatinya, Karim gembira kerana Salmah berbahagia walau tidak di sisinya.

Kesibukkan Afrina melaksanakan tugasnya sebagai pendidik dan menjaga kebajikan Karim menimbulkan perasaan cemburu di hati Farid. Acapkali apabila dihubungi, Afrina bersikap dingin. Farid merasakan segala perhatian Afrina kini tertumpu kepada Karim. Afrina pula merasakan cintanya terhadap Farid kian pudar lantaran sikap Farid yang terlalu mengongkongnya.

Di samping itu juga, hubungan Afrina dengan Hakeem semakin rapat. Setiap hari mereka akan bertemu di rumah Karim sewaktu Afrina mengunjungi Karim. Kemesraan terjalin di antara Afrina, Karim dan Hakeem. Hakeem berjaya mengubati kedukaan Afrina lantaran sikap tunangnya, Farid. Afrina merasakan Hakeem seorang pemuda yang baik, sopan, rajin dan menghormati orang tua. Dalam diam Afrina meminati Hakeem. Bagi Hakeem pula, kehadiran Afrina seakan memberi nafas baru dalam dirinya selepas putus cinta dengan Mariam. Bagi Karim pula, dia menganggap Afrina sebagai pengganti Salmah.

Kekecohan timbul apabila Farid datang ke kampung untuk menemui Afrina. Apabila mendapati Afrina kini seakan melupakan dirinya, Farid bertindak mengupah Jali untuk menabur fitnah. Jali pun memainkan peranannya dengan mengatakan bahawa Karim dan Afrina bersedudukan. Orang kampung mulai mempercayai fitnah yang dibawa oleh Jali dan bertindak memulaukan Karim sekeluarga.

Lantaran tekanan perasaan akibat difitnah dan dipulaukan oleh orang kampung, Karim jatuh sakit. Semasa nazak, Karim berbisik kepada Hakeem agar memperisterikan Afrina. Hakeem terpana. Karim mencapai tangan Hakeem dan menyatukannya dengan tangan Afrina. Karim meninggal dunia.



TAMAT
*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...