Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

23 June 2015

306 : Sebuah Kisah Klasik Yang Tak Berapa Klasik


Nak kata klasik, tak berapa nak klasik. Nak kata unik, tak unik pun. Nak kata 'rare', tak de laa 'rare' sangat. Tapi bagi aku, ia mempunyai nilai nostalgia yang sangat tinggi. Ia banyak berjasa kepada aku sepanjang tempoh pengajian aku di Maktab Perguruan Kota Bharu dari 1996 sehingga 1999. 


Kelangsungan hidup aku sekarang ini sememangnya berkait secara rapat dengan ia. Manakan tidak, tanpa ia waktu itu, bagaimana mungkin aku dapat menyiapkan tugasan Kerja Kursus Berportfolio (KKB) yang diberikan pensyarah. Bukannya satu tapi lima KKB yang perlu disiapkan dalam setiap semester. Bayangkan, setiap semester ada 5 KKB. Tempoh pengajian aku selama 3 tahun. Setahun ada 2 semester. Bermakna keseluruhannya ada 6 semester. 5 KKB didarabkan dengan 6 semester bersamaan dengan 30 KKB yang perlu disiapkan. 


Pada waktu itu, komputer telah pun wujud tapi kewujudannya pada ketika itu ibarat merak di kayangan. Boleh dimiliki namun bagi aku yang tidak berada ini, sememangnya tidak berkeupayaan untuk membelinya. Bayangkan pada waktu itu, harga sebuah komputer dan printer mencecah harga RM5000 ke RM6000. Sedangkan perbelanjaan harian aku sepanjang pengajian bergantung kepada elaun guru pelatih sebanyak RM345 sebulan dan juga pemberian mak dan ayah jika aku balik kampung serta dari Anjang.


Sebagai alternatif kepada komputer, maka aku membeli sebuah mesin taip elektrik. Berjenama Canon, berwarna putih,berharga di antara RM300 ke RM400 dan dibeli di sebuah kedai gambar yang terletak berhadapan dengan Pasaraya Pantai Timur, Kota Bharu.


Untuk membelinya bukanlah semudah mengorek tahi di lubang hidung. Mengorek lubang hidung pun adakalanya sukar dan mencabar jika tahinya keras. Jenuh jugalah aku mengumpul wang dan mengecek mak, ayah dan Anjang untuk menambah buat mencukupkan jumlah yang menjadi mahar.

Selama tempoh perkhidmatan, ia berkhidmat dengan cemerlang. Layak dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Namun kos untuk menggantikan 'carbon' yang digunakan untuk menaip agak mahal. Aku tak ingat berapa kos sebenar tapi anggaran dalam RM30 ke RM40 seunit. Bayangkan untuk menyiapkan 1 KKB yang mengandungi 50 ke 100 muka surat, 1 'carbon' diperlukan. Jika 5 KKB, darablah sendiri.

Namun kini, ia telah pun ditamatkan perkhidmatannya. Ironinya, ia menamatkan perkhidmatan ketika aku memulakan khidmat sebagai guru. Peredaran masa menuntut perubahan. Maka sejajar dengan peredaran masa, maka aku pun perlu jua berubah. Komputer yang sewaktu masa dulu sukar untuk dimiliki, kini telah pun mampu dibeli.

Sesungguhnya pengalaman bersama mesin taip elektrik banyak mengajar aku erti hidup. Antaranya menepati masa. Masa umpama pedang yang bisa menusuk andai kita lalai. Biasanya apabila semakin hampir tarikh untuk menghantar KKB, di waktu itulah khidmat ia amat diperlukan. Jika tarikh penghantaran masih lambat, maka ianya akan terbiar sepi tanpa dipedulikan. Inilah lumrah hidup. Dihargai apabila diperlukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...