Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

26 June 2015

309 : Seminggu Ramadhan

Alhamdulillah. Saat entri ini ditaip, Ramadhan telah pun memasuki hari yang ke 9. Bermakna telah berlalu 8 hari Ramadhan yang penuh keberkatan. Tinggal lagi 21 hari untuk kita beramal sebanyak yang termampu di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.


Aku sekadar ingin berkongsi kisah dan pengalaman. Tidak berniat untuk mendabik dada berbangga. Sebenarnya telah lebih seminggu, aku meng'deactivated'kan akaun Facebook dan men'delete' akaun Whatsapp (wassap). 


Apabila masuk sahaja Maghrib pada 1 Ramadhan yang lalu, aku telah menghilangkan diri dari dua media sosial tersebut. Blog ini pun laman sosial juga tapi yang ini aku kecualikan kerana bagi aku, blog ini perlu dikekalkan kerana di antara isi kandungan blog ini terdapat beberapa entri yang aku terbitkan khusus mengenai Ramadhan. Dengan harapan sekiranya ada yang tersesat di blog ini dan terbaca entri yang aku tulis berkenaan Ramadhan lalu mengambil iktibar dari apa yang dibacanya, mudah-mudahan sedikit sebanyak dapatlah juga memberi manafaat kepada semua.


Sejak tidak ber'fb' dan ber'wassap', aku dapat merasakan kelainan dalam hidup aku. Aku seolah mendapat 'diri' aku yang dahulu iaitu sebelum berfb dan berwassap. Aku tidak lagi menghadap fb dan wassap sepanjang hari. Masa yang terluang tanpa fb dan wassap dapat aku gunakan dengan melakukan perkara yang lebih berfaedah. Dan dapatlah aku kembali aktif menulis di blog ini.

Namun demikian, tidak dinafikan aku telah banyak ketinggalan dari segi maklumat apabila aku tidak berfb dan berwassap. Aku tidak menganggap fb dan wassap tidak bagus dan hanya mendatangkan keburukan. Bagi aku, fb dan wassap mempunyai baik dan buruknya. Tidak semua info fb dan wassap tidak bermanafaat malah jika digunakan dengan sebaiknya, kedua medium perantaraan alam maya ini membolehkan kita mendapat manafaat. Cuma aku khuatir andainya di bulan yang penuh kemuliaan ini, aku masih leka dengan kehidupan atas talian hingga gagal memanafaatkan Ramadhan sebaik mungkin.

Walaupun tindakan aku ini seolah-olah mengundur ke belakang namun aku telah bertekad untuk tidak berfb dan berwassap sepanjang Ramadhan ini. Insyallah, aku akan aktifkan kembali kedua media sosial tersebut apabila Syawal menjelma nanti. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup aku dan anda semua yang membaca entri ini.

25 June 2015

308 : 7 Sunnah Rasulullah

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi s.a.w setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi s.a.w. itu adalah:

Pertama : Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.



Kedua : Membaca al-Qur'an sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.


Ketiga : Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muazzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.


Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.



Kelima : Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.


Keenam : Jaga wuduk terus-menerus kerana Allah menyayangi hamba-Nya yang berwuduk. Kata Khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwuduk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua do'a, diampuni dosa dan sayangi dia ya Allah."


Ketujuh : Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.


Marilah bersama kita mengamalkan sunnah Rasulullah ini. Semoga di akhirat kelak kita akan mendapat syaafat dari Rasulullah S.A.W. Insyallah.

24 June 2015

307 : Wasiat Cinta

Sinopsis :


Karim dan Salmah bercinta sejak di alam persekolahan. Namun di atas perbezaan taraf hidup, mereka terpaksa berpisah. Salmah berhijrah ke kota mengikut keluarga. Tinggal Karim di kampung meneruskan kelangsungan hidup yang serba kekurangan. Lantaran kemiskinan yang menghimpit, Karim terpaksa melupakan hasrat untuk menggapai impian hidup. Tinggallah Karim bersama ibu tua dan seorang adik perempuan. Demi kasih sayang terhadap adik, Karim membanting tulang 4 keratnya untuk membolehkan adiknya berjaya dalam hidup.

Hari silih berganti. Kitaran masa mengubah segalanya.  Namun kasih sayang dan cinta antara Karim dan Salmah tidak pernah berubah. Malah kasih sayang yang bersemi sejak kecil tetap subur mewangi menerusi kiriman surat yang saban waktu menjadi pengganti diri. Kasih sayang antara mereka  bersemi di antara bait-bait ayat. Hinggalah pada satu hari, Karim menerima warkah terakhir dari Salmah yang meminta agar Karim melupakan dirinya. Ini kerana dirinya telah pun ditunangkan  dengan jejaka pilihan bapanya. Luluh hati dan perasaan Karim apabila mendapat perkhabaran itu. Namun apakan daya Karim untuk menghalang. Dia sedar akan kekurangan dirinya. Hanya doa setulus hati yang dapat dipanjat kepada Yang Maha Esa agar kebahagiaan senantiasa mendampingi hidup Salmah.

Putaran masa terlalu kejam. Tetap berdetik walau pahit untuk ditelan. Karim walau telah mengetahui Salmah kini milik orang lain namun dia tetap setia menggengam dan menjulang luhurnya cinta terhadap Salmah. Puas sudah adiknya, Rohaya memujuk agar Karim membuka pintu hati untuk menerima kehadiran wanita lain. Telah berkali pintu hati Karim diketuk namun kuncinya telah diserahkan kepada Salmah. Membujanglah Karim hingga ke tua.

Karim kini dimamah usia. Rambutnya telah memutih. Kulitnya kedut seribu. Tenaganya kini kian terbatas. Walau segalanya kini telah berubah namun kasih sayangnya terhadap Salmah tetap utuh. Biar pun tiada sebarang perkhabaran yang diterima, Karim tetap setia berpesan pada bayu yang berpuput agar sampaikan salam  rindu kepada Salmah. Saban hari Karim ke pantai. Merenung jauh ke kaki langit. Mendengar bisikan bayu yang membuai perasaannya. Mengimbau kembali kenangan manis waktu dulu-dulu bersama Salmah. Karim sedar semua itu kini hanyalah kenangan yang tak bisa diulanginya.

Namun kolam kenangan yang selama ini tenang kini berkocak. Segalanya bermula apabila pada satu senja, ketika Karim melangkah pulang dari pantai tiba-tiba matanya tertancap pada seraut wajah yang amat dikenalinya. "Salmah"... Terpancul nama itu dari bibirnya. "Tak mungkin”... akalnya membantah. Persoalan kini merajai diri Karim. Sejak kejadian senja itu, dirinya dibelenggu resah. Hatinya meronta inginkan kepastian  siapakah gadis yang dilihatnya di dalam kereta yang melewatinya senja itu.   

Satu petang beberapa hari selepas kejadian itu, Karim dikunjungi oleh tetamu misteri. Tetamu yang tidak diundang dan tidak pernah terduga oleh Karim. Ketika itu Karim baru selesai solat Asar apabila dia terdengar satu suara memberi salam. Alangkah terkejutnya Karim apabila dia menjenguk keluar dan mendapati seorang gadis ayu sedang berdiri di kaki tangga sambil tersenyum padanya. Kelu lidah Karim tanpa sepatah kata. Matanya tajam menatap wajah ayu itu tanpa kerdip. ‘Salmah’... Tercetus nama itu di bibir Karim. Kedatangan gadis ayu mirip Salmah mengundang kembali duka lama. Luka hatinya kembali berdarah. Segala kenangan lampau yang telah erat di sisip di petak hatinya kini terimbau kembali.

Rupanya gadis ayu mirip Salmah adalah anak tunggal bekas kekasihnya. Afrina, gadis ayu mirip Salmah begitu hiba melihat akan kedaifan hidup bekas kekasih ibunya yang sebelum ini hanya dikenali menerusi titipan tinta diari ibunya. Hatinya amat sayu. Dirinya seakan terpanggil untuk menjejak Karim setelah membaca diari ibunya.

Lantaran didesak oleh rasa ingin tahu, Afrina yang menjawat jawatan sebagai guru lepasan siswazah telah memohon untuk ditukarkan ke kampung asal ibunya bagi mencari Karim. Permohonannya diluluskan dan Afrina nekad dengan keputusannya walau ditentang hebat oleh tunangnya, Farid. Berlaku perselisihan faham di antara Afrina dan Farid. Namun Afrina tetap dengan keputusannya.

Setelah beberapa hari gagal mencari Karim, Afrina seakan berputus asa. Hasratnya untuk menemui Karim seakan berkubur. Mujurlah pada satu tengahari ketika sedang memandu pulang dari sekolah, Afrina hampir melanggar seorang pemuda yang sedang menunggang motorsikal pulang dari kebun. Berlakulah pertemuan di antara Afrina dan Hakeem iaitu anak tunggal kepada Rohaya. Dari pertemuan yang tidak disengajakan itu, akhirnya dapatlah Afrina menemui Karim.

Sejak berjaya menemui Karim, saban hari Afrina akan mengunjungi Karim untuk berbual-bual, mengemas dan memasak makanan untuk Karim. Karim merasa senang dengan kehadiran Afrina. Rindu yang bertahun dipendam akhirnya terurai jua. Walau sedih menerima berita kematian Salmah namun jauh di sudut hatinya, Karim gembira kerana Salmah berbahagia walau tidak di sisinya.

Kesibukkan Afrina melaksanakan tugasnya sebagai pendidik dan menjaga kebajikan Karim menimbulkan perasaan cemburu di hati Farid. Acapkali apabila dihubungi, Afrina bersikap dingin. Farid merasakan segala perhatian Afrina kini tertumpu kepada Karim. Afrina pula merasakan cintanya terhadap Farid kian pudar lantaran sikap Farid yang terlalu mengongkongnya.

Di samping itu juga, hubungan Afrina dengan Hakeem semakin rapat. Setiap hari mereka akan bertemu di rumah Karim sewaktu Afrina mengunjungi Karim. Kemesraan terjalin di antara Afrina, Karim dan Hakeem. Hakeem berjaya mengubati kedukaan Afrina lantaran sikap tunangnya, Farid. Afrina merasakan Hakeem seorang pemuda yang baik, sopan, rajin dan menghormati orang tua. Dalam diam Afrina meminati Hakeem. Bagi Hakeem pula, kehadiran Afrina seakan memberi nafas baru dalam dirinya selepas putus cinta dengan Mariam. Bagi Karim pula, dia menganggap Afrina sebagai pengganti Salmah.

Kekecohan timbul apabila Farid datang ke kampung untuk menemui Afrina. Apabila mendapati Afrina kini seakan melupakan dirinya, Farid bertindak mengupah Jali untuk menabur fitnah. Jali pun memainkan peranannya dengan mengatakan bahawa Karim dan Afrina bersedudukan. Orang kampung mulai mempercayai fitnah yang dibawa oleh Jali dan bertindak memulaukan Karim sekeluarga.

Lantaran tekanan perasaan akibat difitnah dan dipulaukan oleh orang kampung, Karim jatuh sakit. Semasa nazak, Karim berbisik kepada Hakeem agar memperisterikan Afrina. Hakeem terpana. Karim mencapai tangan Hakeem dan menyatukannya dengan tangan Afrina. Karim meninggal dunia.



TAMAT
*

23 June 2015

306 : Sebuah Kisah Klasik Yang Tak Berapa Klasik


Nak kata klasik, tak berapa nak klasik. Nak kata unik, tak unik pun. Nak kata 'rare', tak de laa 'rare' sangat. Tapi bagi aku, ia mempunyai nilai nostalgia yang sangat tinggi. Ia banyak berjasa kepada aku sepanjang tempoh pengajian aku di Maktab Perguruan Kota Bharu dari 1996 sehingga 1999. 


Kelangsungan hidup aku sekarang ini sememangnya berkait secara rapat dengan ia. Manakan tidak, tanpa ia waktu itu, bagaimana mungkin aku dapat menyiapkan tugasan Kerja Kursus Berportfolio (KKB) yang diberikan pensyarah. Bukannya satu tapi lima KKB yang perlu disiapkan dalam setiap semester. Bayangkan, setiap semester ada 5 KKB. Tempoh pengajian aku selama 3 tahun. Setahun ada 2 semester. Bermakna keseluruhannya ada 6 semester. 5 KKB didarabkan dengan 6 semester bersamaan dengan 30 KKB yang perlu disiapkan. 


Pada waktu itu, komputer telah pun wujud tapi kewujudannya pada ketika itu ibarat merak di kayangan. Boleh dimiliki namun bagi aku yang tidak berada ini, sememangnya tidak berkeupayaan untuk membelinya. Bayangkan pada waktu itu, harga sebuah komputer dan printer mencecah harga RM5000 ke RM6000. Sedangkan perbelanjaan harian aku sepanjang pengajian bergantung kepada elaun guru pelatih sebanyak RM345 sebulan dan juga pemberian mak dan ayah jika aku balik kampung serta dari Anjang.


Sebagai alternatif kepada komputer, maka aku membeli sebuah mesin taip elektrik. Berjenama Canon, berwarna putih,berharga di antara RM300 ke RM400 dan dibeli di sebuah kedai gambar yang terletak berhadapan dengan Pasaraya Pantai Timur, Kota Bharu.


Untuk membelinya bukanlah semudah mengorek tahi di lubang hidung. Mengorek lubang hidung pun adakalanya sukar dan mencabar jika tahinya keras. Jenuh jugalah aku mengumpul wang dan mengecek mak, ayah dan Anjang untuk menambah buat mencukupkan jumlah yang menjadi mahar.

Selama tempoh perkhidmatan, ia berkhidmat dengan cemerlang. Layak dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Namun kos untuk menggantikan 'carbon' yang digunakan untuk menaip agak mahal. Aku tak ingat berapa kos sebenar tapi anggaran dalam RM30 ke RM40 seunit. Bayangkan untuk menyiapkan 1 KKB yang mengandungi 50 ke 100 muka surat, 1 'carbon' diperlukan. Jika 5 KKB, darablah sendiri.

Namun kini, ia telah pun ditamatkan perkhidmatannya. Ironinya, ia menamatkan perkhidmatan ketika aku memulakan khidmat sebagai guru. Peredaran masa menuntut perubahan. Maka sejajar dengan peredaran masa, maka aku pun perlu jua berubah. Komputer yang sewaktu masa dulu sukar untuk dimiliki, kini telah pun mampu dibeli.

Sesungguhnya pengalaman bersama mesin taip elektrik banyak mengajar aku erti hidup. Antaranya menepati masa. Masa umpama pedang yang bisa menusuk andai kita lalai. Biasanya apabila semakin hampir tarikh untuk menghantar KKB, di waktu itulah khidmat ia amat diperlukan. Jika tarikh penghantaran masih lambat, maka ianya akan terbiar sepi tanpa dipedulikan. Inilah lumrah hidup. Dihargai apabila diperlukan.

18 June 2015

305 : Ramadhan Kembali Lagi



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan izinNya dapat lagi aku bertemu dengan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Sesungguhnya hanya dengan izin dan kurniaNya sahaja aku dapat merasai indahnya Ramadhan.

Kembalinya Ramadhan kali ini bermakna telah setahun berlalu sejak Ramadhan yang lalu. Setahun Ramadhan menghilang bermakna setahun jualah segala keberkatan dan kemuliaan yang ada di dalamnya tidak dapat dirasai. Setahun  merindui dan kini ia kembali dengan seribu rahmat.

Namun Ramadhan kali ini tidak sama seperti Ramadhan yang lalu. Ramadhan yang lalu aku masih memiliki  namun Ramadhan kali ini aku kehilangan. Ramadhan yang lalu aku masih dapat menatapi tapi Ramadhan kali ini aku hanya mampu merindui. Terlalu sukar untuk aku ungkapkan dengan perkataan apa yang aku alami kini. Namun aku sedar setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Sesungguhnya setiap aturan Allah adalah yang terbaik. Dan aku redha menerima setiap apa jua yang telah ditakdirkan untuk aku.

Semoga Ramadhan kali ini akan lebih memberi makna dalam hidup aku sekeluarga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...