Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

01 May 2014

298 : Cuti-Cuti Malaysia: Mee Udang Kuala Selangor

Laluan yang dilalui

1 Mei menjengah lagi untuk yang ke 15 kali sepanjang perkhidmatan aku sebagai seorang guru. Hajat di hati ingin bermalas-malasan sahaja di rumah sambil melayan kerenah anak-anak. Entah macamana sedang aku ber'facebook' terjumpa satu posting tentang Mee Udang Pasir Penambang, Kuala Selangor. Melihat gambar-gambar makanan yang berpaksikan udang, aku terus terliur. Dengan pantas, aku mengarahkan isteri dan anak-anak bersiap.
Tepat jam 8.30 pagi, aku memulakan pemanduan ke destinasi yang dihajati. Laluan dari Bera ke Tol Gombak bukanlah satu masalah bagi aku kerana sepanjang 4 tahun kebelakangan ini, inilah laluan yang aku redahi saban bulan demi segulung kertas yang dipanggil ijazah. Sampai di Tol Gombak, aku terpaksa mengaktifkan khidmat 'Waze' untuk membolehkan aku sampai ke destinasi dengan kadar segera. Namun hari itu 'Waze' juga bercuti. Entah apa yang silap aku pun tak tau. 'Waze' gagal berfungsi sepenuhnya. Terpaksa aku menggunakan 'Google Maps'. 


'Google Maps' mengarahkan aku menggunakan Lebuhraya KL - Kuala Selangor. Aku hanya menurut perintah kerana setahu aku ada laluan lain untuk ke Kuala Selangor yang pernah aku lalui dan sememangnya laluan itu sentiasa mengalami kesesakan lalulintas. Sememangnya Lebuhraya KL - Kuala Selangor masih baru dan belum dibuka sepenuhnya. Jadi, pemanduan aku menuju destinasi yang dihajati pada hari itu sangat lancar dan selesa.


Alhamdulillah, kami sekeluarga sampai di Kuala Selangor dalam pukul 11.30 pagi. Untuk sampai ke Pasir Penambang bukanlah satu masalah bagi aku. Cuma untuk mencari Kedai Mee Udang yang dimaksudkan oleh Azzam Supardi di dalam posting 'Facebook' sememangnya sukar. Jenuh aku mencari namun gagal. Untuk mengubat kekecewaan, dalam perjalanan pulang, aku pun singgah di sebuah kedai makan yang juga menyediakan hidangan berpaksikan udang.


Mengikut maklumat yang aku perolehi dari sebuah blog, kedai ini tidak kurang hebatnya kerana pernah disiarkan di TV3. Untuk sampai ke kedai tersebut tidaklah sukar kerana ianya terletak di laluan utama dan berhampiran dengan Masjid Kuala Selangor. Maka mencubalah kami sekeluarga hidangan mee udang yang diwar-warkan sedap itu.

Aku memilih Mee Udang Spesial. Isteri aku memilih Nasi Goreng Udang. Manakala anak-anak aku memilih Mee Udang Biasa kecuali si Qayyim yang inginkan Mee Goreng Sotong. Untuk minuman pula, aku dan isteri memesan Fresh Orange manakala anak-anak pula memilih Milo Ais.

Walaupun pelanggan agak ramai namun makanan yang dipesan dapat dihidangkan dengan cepat. Jadi tidaklah kami sekeluarga menunggu lama memandangkan perut kami sememangnya telah berkeroncong. 

Apabila aku menghirup kuah Mee Udang Spesial, aku tidak dapat merasakan ke'spesial'an yang dimaksudkan. Bagi aku, kuahnya hanyalah sos cili yang dicampur air dan dipanaskan sebelum dituang ke dalam mangkuk yang berisi mee. Apa yang 'spesial'nya mee udang itu bagi aku hanyalah udang-udangnya yang berjumlah 6 ekor dan bersaiz agak besar. Bagi aku yang sememangnya gemar memancing udang, saiz udang yang dihidangkan hanyalah bersaiz gred C sahaja. Manakala Nasi Goreng Udangnya pula menggunakan perencah nasi goreng Adabi. Kata isteri aku, dia pun boleh masak kalau setakat guna perencah Adabi.



Usai mengenyangkan perut, kami pun berhajat untuk pulang. Dalam perjalanan, kami singgah di Warung Cendol Bakar. Malas nak singgah menikmati cendol di situ kerana masih kekenyangan, aku pun menggunakan khidmat 'Drive-Thru' yang disediakan. Agak malang kerana yang ada hanyalah Cendol VIP sahaja, segelas RM2.00. 7 gelas didarab RM2, jumlahnya RM14.00.



Berhampiran dengan Warung Cendol Bakar, terdapat sebuah gerai yang menjual Karipap Gergasi. Pilihan inti yang ada ayam dan daging. Kedua jenis inti ini berharga RM3.50 sebiji. Alang-alang dah sampai, maka apa salahnya jika mencuba. Maka aku pun membeli 3 biji Karipap Gergasi. 2 berintikan ayam dan 1 berintikan daging. 3 biji didarab RM3.50, aku membayar RM10.50. Namun 3ketul karipap gergasi tidak dapat mengenyangkan 7 perut yang kelaparan setelah melalui 2 jam perjalanan. Terasa kesal di hati kerana hanya membeli 3 ketul sahaja kerana intinya sangat sedap dan bersesuaian dengan selera.



Maka usailah Cuti-Cuti Malaysia yang ringkas dan tidak dirancang. Sememangnya perjalanan yang dilalui agak memenatkan ditambah pula kedai yang ingin dicari tidak ditemui. Namun jika diizinkan Allah, aku ingin mencari kedai yang dihajati itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...