Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

16 May 2014

299 : Guru Pencetus Kreatif Penjana Inovasi


Sebelum ini, ada beberapa entri tentang Hari Guru yang telah aku terbitkan. Boleh baca di sini dan sini


16 Mei tiba lagi buat kali yang ke 30 dalam hidup aku sejak kali pertama menjejakkan kaki ke alam persekolahan pada tahun 1984. 16 Mei pada tahun ini juga merupakan kali yang ke 15 aku menyambutnya sebagai seorang guru.

Selamat Hari Guru aku ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar aku di Tadika Kemas Kerayong iaitu Cikgu Ana dan Cikgu Minah. Moga cikgu berdua berbahagia selalu.

Di SK Kerayong dari tahun 1984-1989 iaitu Cikgu Ngatinam Joyo(suka cubit perut aku sampai terburai baju dari seluar), Cikgu Ahmad Kassim(masih aku ingat vespa birunya), Cikgu Daud(iras Eman Manan,suara macam Jamal Abdillah), Cikgu Gan Chen Teng(ajar aku main bola), Cikgu Sidek Ahmad(selalu panggil aku,Man), Ustazah Raubah(selalu panggil aku Fadhlurrah), Cikgu Jamaliah(pernah ketuk kepala aku dengan rekoder sebab aku tak ada rekoder) dan Cikgu Karala Singgam(pernah tanya aku, "kamu tak masuk perangkap(pengakap) ke?). Moga kalian semua beroleh kesejahteraan sentiasa.

Cikgu yang mengajar aku di SMK Mengkarak 1990-1994 iaitu Cikgu Razak Abdullah(pernah halau aku dari kelas Matematik sebab aku pandang orang main bola di padang), Cikgu Ramlah Suanda(baik orangnya dan selalu memberi semangat dan nasihat), Cikgu Sitiwan Yaakob(garang tapi penyayang), Cikgu Noraini Ariffin(sampai sekarang masih anak dara), Cikgu Joycelin Seah(pembangkit "semangat" aku untuk belajar Matematik), Cikgu Zailani Mustajam(tegas tapi suka berseloroh), Cikgu Wan Zaidi(pernah rotan aku sebab bergaduh), Cikgu Hidzir Mohd Isa(lembut tapi penyayang), Cikgu Noriah Dzen(pernah rotan aku sebab tukar rumah sukan), Cikgu Zulkefli Yahya(pernah kata otak aku senget sebab aku terlanggar dia), Cikgu Rodzi Mohd Yusof(mengharamkan aku menyertai pasukan bola sepak sekolah gara-gara bergaduh sewaktu perlawanan peringkat sekolah hingga menerima kad merah jambu), Cikgu Mazlan Daud(pandai melukis), Ustaz Hadi(sentiasa senyum sokmo,kini pengetua di SM Bera), Cikgu Faridah Siwang(baik dan lembut orangnya), Cikgu Norkasmawati Mohd Yusof(pendorong aku untuk mengulang semula SPM 95), Cikgu Sakinah Isa(penat dia ajar aku Kimia tapi aku tetap bonggok), Ustazah Hasnah(aku suka dia sebab dia ada iras-iras mak aku), Ustazah Rokiah(denda aku jalan itik tawaf keliling blok bangunan sebab aku ponteng kelas dia),Cikgu Abdullah Ismail(kini bergelar datuk dan berhenti jadi cikgu), Cikgu Rozita Ismail(isteri Cikgu Abdullah Ismail,juga berhenti jadi cikgu dan tumpu pada bisnes), Cikgu Abdul Rashid(orang Pulau Pinang, ala-ala mamak), Cikgu Sulhana(tabah mengajar aku yang bengap Matematik) dan Cikgu Sharuddin Sulaiman(sekarang penulis skrip drama. Antara drama hasil tulisan skripnya ialah Pae, Tiga Duri Di Hati Bonda, Cinta Tsunami dan Kewek). Semoga cikgu semua beroleh kesejahteraan hidup sentiasa.

Di SM Sultan Abu Bakar, Kuantan (1995) iaitu Cikgu Hamidah Wok Awang(seorang pengetua cemerlang yang kini terlantar lumpuh di Kuantan), Cikgu Hamidah Hussein(kecil molek tapi garang), Cikgu Wahidah Anny(suka buat lawak dan gelak sorang-sorang) dan beberapa lagi cikgu yang aku tak ingat nama-nama mereka. Moga semuanya sihat-sihat senantiasa.

Di Maktab Perguruan Kota Bharu 1996-1999 iaitu Cik Nik Aida dan Cik Hendon(moga dah bertemu jodoh), Madam Anisah(yang penyayang dan sabar melayan kerenah kami, En. Low Peng Chua(pernah mengurut kaki aku yang bengkak gara-gara jatuh motor), Tn Haji Salleh(pengetua yang cukup berwibawa, suka gosok belakang guru pelatih lelaki), Ustaz Ghazali(aku cukup mengaguminya) dan semua pensyarah yang pernah bersyarah untuk aku. Semoga anda semua sejahtera sentiasa.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Dr Suhailah Hussein, Dr Supiah Saad, Dr Zainurin Abd Rahman, Dr Afareez Abd Razak, Dr Ainol Madziah, Dr Adnan Abd Rashid, Dr Ratnawati Mohd Asraf, Dr Kamal Jamil Badrasawi,, Dr Majdan Alias, Dr Abdul Shakour Duncan Preece, Dr Faizah Idrus, Madam Noli Maishara Nordin, Dr Selvarajah, Dr Mohamed Ismail Ahamad Shah, Br. Ismail Abdul Fatai, Sr. Nor Zainiyah, Dr Syamsuddin Arif, Dr Eliza dan semua pensyarah UIAM yang pernah mengajar aku sepanjang tempoh pengajian selama 4 tahun.

Teristimewa buat Ustaz Fauzi yang mengajar aku, Al-Quran.

Kepada semua guru-guru yang pernah mendidik aku, aku bukanlah anak didik kalian yang terbaik tapi aku cukup berterima kasih di atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Sesungguhnya tanpa kalian yang mengajar dan mendidik tidak mungkin aku menjadi seperti aku sekarang ini. Jasa dan bakti kalian tidak dapat aku balas. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Doa aku semoga kalian senantiasa sejahtera dan beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. AMIN.
SELAMAT HARI GURU

01 May 2014

298 : Cuti-Cuti Malaysia: Mee Udang Kuala Selangor

Laluan yang dilalui

1 Mei menjengah lagi untuk yang ke 15 kali sepanjang perkhidmatan aku sebagai seorang guru. Hajat di hati ingin bermalas-malasan sahaja di rumah sambil melayan kerenah anak-anak. Entah macamana sedang aku ber'facebook' terjumpa satu posting tentang Mee Udang Pasir Penambang, Kuala Selangor. Melihat gambar-gambar makanan yang berpaksikan udang, aku terus terliur. Dengan pantas, aku mengarahkan isteri dan anak-anak bersiap.
Tepat jam 8.30 pagi, aku memulakan pemanduan ke destinasi yang dihajati. Laluan dari Bera ke Tol Gombak bukanlah satu masalah bagi aku kerana sepanjang 4 tahun kebelakangan ini, inilah laluan yang aku redahi saban bulan demi segulung kertas yang dipanggil ijazah. Sampai di Tol Gombak, aku terpaksa mengaktifkan khidmat 'Waze' untuk membolehkan aku sampai ke destinasi dengan kadar segera. Namun hari itu 'Waze' juga bercuti. Entah apa yang silap aku pun tak tau. 'Waze' gagal berfungsi sepenuhnya. Terpaksa aku menggunakan 'Google Maps'. 


'Google Maps' mengarahkan aku menggunakan Lebuhraya KL - Kuala Selangor. Aku hanya menurut perintah kerana setahu aku ada laluan lain untuk ke Kuala Selangor yang pernah aku lalui dan sememangnya laluan itu sentiasa mengalami kesesakan lalulintas. Sememangnya Lebuhraya KL - Kuala Selangor masih baru dan belum dibuka sepenuhnya. Jadi, pemanduan aku menuju destinasi yang dihajati pada hari itu sangat lancar dan selesa.


Alhamdulillah, kami sekeluarga sampai di Kuala Selangor dalam pukul 11.30 pagi. Untuk sampai ke Pasir Penambang bukanlah satu masalah bagi aku. Cuma untuk mencari Kedai Mee Udang yang dimaksudkan oleh Azzam Supardi di dalam posting 'Facebook' sememangnya sukar. Jenuh aku mencari namun gagal. Untuk mengubat kekecewaan, dalam perjalanan pulang, aku pun singgah di sebuah kedai makan yang juga menyediakan hidangan berpaksikan udang.


Mengikut maklumat yang aku perolehi dari sebuah blog, kedai ini tidak kurang hebatnya kerana pernah disiarkan di TV3. Untuk sampai ke kedai tersebut tidaklah sukar kerana ianya terletak di laluan utama dan berhampiran dengan Masjid Kuala Selangor. Maka mencubalah kami sekeluarga hidangan mee udang yang diwar-warkan sedap itu.

Aku memilih Mee Udang Spesial. Isteri aku memilih Nasi Goreng Udang. Manakala anak-anak aku memilih Mee Udang Biasa kecuali si Qayyim yang inginkan Mee Goreng Sotong. Untuk minuman pula, aku dan isteri memesan Fresh Orange manakala anak-anak pula memilih Milo Ais.

Walaupun pelanggan agak ramai namun makanan yang dipesan dapat dihidangkan dengan cepat. Jadi tidaklah kami sekeluarga menunggu lama memandangkan perut kami sememangnya telah berkeroncong. 

Apabila aku menghirup kuah Mee Udang Spesial, aku tidak dapat merasakan ke'spesial'an yang dimaksudkan. Bagi aku, kuahnya hanyalah sos cili yang dicampur air dan dipanaskan sebelum dituang ke dalam mangkuk yang berisi mee. Apa yang 'spesial'nya mee udang itu bagi aku hanyalah udang-udangnya yang berjumlah 6 ekor dan bersaiz agak besar. Bagi aku yang sememangnya gemar memancing udang, saiz udang yang dihidangkan hanyalah bersaiz gred C sahaja. Manakala Nasi Goreng Udangnya pula menggunakan perencah nasi goreng Adabi. Kata isteri aku, dia pun boleh masak kalau setakat guna perencah Adabi.



Usai mengenyangkan perut, kami pun berhajat untuk pulang. Dalam perjalanan, kami singgah di Warung Cendol Bakar. Malas nak singgah menikmati cendol di situ kerana masih kekenyangan, aku pun menggunakan khidmat 'Drive-Thru' yang disediakan. Agak malang kerana yang ada hanyalah Cendol VIP sahaja, segelas RM2.00. 7 gelas didarab RM2, jumlahnya RM14.00.



Berhampiran dengan Warung Cendol Bakar, terdapat sebuah gerai yang menjual Karipap Gergasi. Pilihan inti yang ada ayam dan daging. Kedua jenis inti ini berharga RM3.50 sebiji. Alang-alang dah sampai, maka apa salahnya jika mencuba. Maka aku pun membeli 3 biji Karipap Gergasi. 2 berintikan ayam dan 1 berintikan daging. 3 biji didarab RM3.50, aku membayar RM10.50. Namun 3ketul karipap gergasi tidak dapat mengenyangkan 7 perut yang kelaparan setelah melalui 2 jam perjalanan. Terasa kesal di hati kerana hanya membeli 3 ketul sahaja kerana intinya sangat sedap dan bersesuaian dengan selera.



Maka usailah Cuti-Cuti Malaysia yang ringkas dan tidak dirancang. Sememangnya perjalanan yang dilalui agak memenatkan ditambah pula kedai yang ingin dicari tidak ditemui. Namun jika diizinkan Allah, aku ingin mencari kedai yang dihajati itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...