Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

22 July 2013

292 : Misteri Myvi Hijau

Sejak emak lumpuh setahun yang lalu, 2 bulan sekali aku akan  ke Klinik Kesihatan Padang Luas untuk mengambil bekalan ubat darah tinggi dan kencing manis. 

Bulan lepas aku ke klinik lagi. Sesampai di klinik, aku pun meletakkan kereta di tempat yang dikhaskan. Aku meletakkan kereta di sebelah kereta Perodua Myvi berwarna hijau. Aku mengecam kereta itu milik seorang jururawat di klinik tersebut. Semasa menutup pintu kereta, aku sempat menjeling ke dalam kereta Myvi sekali imbas. Tiba-tiba darah aku berderau. Aku lihat di dalam kereta Myvi hijau itu, seorang bayi sedang tidur di kerusi belakang. Aku panik apabila melihat di tempat duduk hadapan tiada sesiapa pun yang menemani bayi itu. 

Aku semakin panik apabila aku mendapati semua tingkap tertutup dan enjin dimatikan. Aku cuba membuka pintu namun ianya berkunci. Aku memandang sekeliling untuk meminta bantuan tapi tiada siapa yang kelihatan. Aku melihat semula ke dalam kereta untuk memastikan keadaan bayi itu. Apabila aku melihat dengan lebih teliti, rupa-rupanya bayi yang aku sangkakan sedang tidur rupanya anak patung mainan. Aku menarik nafas lega dan tersenyum kelucuan sendirian di atas ke'panik'an itu. Nasib baik aku tidak menjerit meminta tolong atau bertindak memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan 'bayi' tersebut. Kalau tidak, jenuh aku nak membayar ganti rugi.

'Bayi' yang ditinggalkan sendirian di dalam kereta.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3  tahun yang ditinggalkan ibunya di dalam kereta. Lantaran itu ramai yang menuding jari menyalahkan ibu malang tersebut yang juga seorang guru di atas kecuaian meninggalkan anaknya di dalam kereta yang berkunci dengan tingkap ditutup dan enjin dimatikan.  Malah ada pihak yang mencadangkan supaya hukuman yang berat dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak.

Bagi aku, setiap sesuatu kejadian yang menimpa ada hikmahnya. Allah menimpakan sesuatu musibah adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada setiap hambaNYA. Kita sepatutnya mengambil iktibar dari kejadian ini dan bukannya menghukum. Siapalah kita untuk menghukum sedangkan kejadian yang berlaku ini adalah ketentuan dari Allah. Kita hanya mampu berusaha sedangkan Allah yang menentukan segalanya. Sebaik mana pun kita berusaha jika Allah telah menetapkan, ianya tetap akan berlaku tanpa kita berupaya mengelaknya.

Jika benarlah ibu malang ini hendak dikenakan hukuman, hukumlah juga ibu bapa yang gagal menjaga, mendidik dan membimbing anak mereka sehinga terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah seperti meragut, merompak, membunuh, merempit, menagih dadah, berzina, murtad dan banyak lagi. Ini kerana kegagalan dan kecuaian ibu bapa yang anak mereka terlibat dengan jenayah telah mengakibatkan pelbagai kerosakkan dan kekacauan dalam masyarakat. Sedangkan kecuaian ibu malang terbabit bukanlah disengajakan malah kejadian malang yang menimpa beliau telah membuka mata, hati dan minda masyarakat agar lebih berhati-hati dalam penjagaan anak-anak.

Bersamalah kita berdoa agar ibu malang ini tabah menghadapi dugaan dan redha menerima segala ketentuan Allah. Dan bersamalah kita mengambil iktibar dan berusaha sehabis menjaga, mendidik dan membimbing anak-anak kita dengan ajaran Islam supaya mereka menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berguna kepada agama, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

1 comment:

Don Balon said...

mujjoooo...kuikui

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...