Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 March 2013

282 : Tumbangnya Manggis Tua

Inilah manggis tua yang banyak jasanya.
Jasanya banyak. Tidak hanya memberikan buah tetapi juga memberikan teduhan dari rimbunan daunnya. Namun ia akhirnya terpaksa ditumbangkan. Walau berat hati aku namun atas arahan emak dan ayah, terpaksa jua aku menebangnya.

Hakeem di sisi manggis tua.
Seingat aku, sejak kecil manggis ini memang telah wujud. Tidak aku ketahui tarikh tepat ia ditanam. Semasa aku kecil dulu, ia ada adik. Namun adiknya terlebih dahulu pergi kerana desakan untuk membesarkan rumah. Aku mengelarnya adik kepada manggis tua ini kerana saiz batangnya yang kecil dan buahnya pun kecil sahaja.


Dahannya telah dipotong terlebih dahulu.
Dahulu semasa kecil,di dahannya tempat aku bergayut berimaginasi tentang hidup. Di batangnya tempat aku bersandar berkongsi kisah suka lara. Namun sejak menjejak alam dewasa, dahannya jarang aku gayuti. Batangnya jarang aku bersandar. Cuma sekali-sekala apabila ia berbuah, aku kembali bergayut di dahannya dan bersandar di batangnya.

Akhirnya manggis tua menyembah bumi.
Ia rajin berbuah. Tiap tahun buahnya menjadi. Namun adakalanya isinya 'kerang'. Isinya keras dan tidak boleh dimakan. Maka buahnya bergelimpang tanpa ada yang menghiraukan. Mungkin ia merajuk kerana aku melupakannya lantaran desakan hidup yang sering menghimpit. 

Emak sekadar memerhatikan.
Batang manggis tua.

Aku terkilan sebenarnya. Terkilan kerana terpaksa mengorbankannya. Terkilan kerana tidak dapat lagi bergayut dan bersandar pada dahan dan batangnya. Terkilan kerana tidak dapat lagi merasa manis isinya yang putih. Terkilan kerana tidak dapat lagi berteduh di redup rimbunan daunnya. Terkilan kerana tidak dapat mewariskan ia kepada anak-anak.
Tunggul manggis tua.
Kini tinggal kenangan.
Aku akui setiap sesuatu yang dimiliki sifatnya tidak kekal lama di sisi. Tiba saatnya, ia akan pergi jua. Begitulah rutin kehidupan ini. Tiada yang bersifat kekal melainkan Allah. Kita sebagai hamba hendaklah redha dengan setiap ketentuan yang telah diaturkan olehNYA.




Segalanya kini tinggal kenangan. Tiada lagi teduhan dari rimbunan daunnya. Tiada lagi buahnya yang saban tahun menghentam atap rumah apabila masak. Tiada lagi daunnya yang berguguran ditiup angin.
Hakeem memunggah dahan manggis tua.
Tinggal kenangan.
Namun setiap kenangan bersamanya akan tetap terpahat di ingatan selagi nyawa dikandung badan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...