Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 March 2013

282 : Tumbangnya Manggis Tua

Inilah manggis tua yang banyak jasanya.
Jasanya banyak. Tidak hanya memberikan buah tetapi juga memberikan teduhan dari rimbunan daunnya. Namun ia akhirnya terpaksa ditumbangkan. Walau berat hati aku namun atas arahan emak dan ayah, terpaksa jua aku menebangnya.

Hakeem di sisi manggis tua.
Seingat aku, sejak kecil manggis ini memang telah wujud. Tidak aku ketahui tarikh tepat ia ditanam. Semasa aku kecil dulu, ia ada adik. Namun adiknya terlebih dahulu pergi kerana desakan untuk membesarkan rumah. Aku mengelarnya adik kepada manggis tua ini kerana saiz batangnya yang kecil dan buahnya pun kecil sahaja.


Dahannya telah dipotong terlebih dahulu.
Dahulu semasa kecil,di dahannya tempat aku bergayut berimaginasi tentang hidup. Di batangnya tempat aku bersandar berkongsi kisah suka lara. Namun sejak menjejak alam dewasa, dahannya jarang aku gayuti. Batangnya jarang aku bersandar. Cuma sekali-sekala apabila ia berbuah, aku kembali bergayut di dahannya dan bersandar di batangnya.

Akhirnya manggis tua menyembah bumi.
Ia rajin berbuah. Tiap tahun buahnya menjadi. Namun adakalanya isinya 'kerang'. Isinya keras dan tidak boleh dimakan. Maka buahnya bergelimpang tanpa ada yang menghiraukan. Mungkin ia merajuk kerana aku melupakannya lantaran desakan hidup yang sering menghimpit. 

Emak sekadar memerhatikan.
Batang manggis tua.

Aku terkilan sebenarnya. Terkilan kerana terpaksa mengorbankannya. Terkilan kerana tidak dapat lagi bergayut dan bersandar pada dahan dan batangnya. Terkilan kerana tidak dapat lagi merasa manis isinya yang putih. Terkilan kerana tidak dapat lagi berteduh di redup rimbunan daunnya. Terkilan kerana tidak dapat mewariskan ia kepada anak-anak.
Tunggul manggis tua.
Kini tinggal kenangan.
Aku akui setiap sesuatu yang dimiliki sifatnya tidak kekal lama di sisi. Tiba saatnya, ia akan pergi jua. Begitulah rutin kehidupan ini. Tiada yang bersifat kekal melainkan Allah. Kita sebagai hamba hendaklah redha dengan setiap ketentuan yang telah diaturkan olehNYA.




Segalanya kini tinggal kenangan. Tiada lagi teduhan dari rimbunan daunnya. Tiada lagi buahnya yang saban tahun menghentam atap rumah apabila masak. Tiada lagi daunnya yang berguguran ditiup angin.
Hakeem memunggah dahan manggis tua.
Tinggal kenangan.
Namun setiap kenangan bersamanya akan tetap terpahat di ingatan selagi nyawa dikandung badan.

28 March 2013

281 : Ikhtiar Hidup


Lokasi yang dituju, kolam di dalam kebun sawit ayah aku.
Sempena cuti sekolah selama seminggu, aku mengambil kesempatan membawa 2 orang anak untuk merasai hidup berasaskan alam semulajadi. Sebenarnya aku tidak merancang pun. Semuanya secara spontan. Pada mulanya sekadar ingin melawat kebun sawit milik ayah aku namun kemudian ianya menjadi aktiviti cuti sekolah.

Asalnya kawasan ini tanah darat namun ianya telah digali oleh Cina yang mendapat tender mengorek pasir sungai pada tahun 90-an.

Kebetulan di dalam kereta sentiasa ada joran cuma perlu mencari umpan. Macam biasa, umpan yang aku suka dan senang didapati ialah cengkerik. Ianya boleh dibeli di kedai menjual peralatan memancing dan ianya sangat praktikal kerana majoriti ikan sukakannya.

Ikan haruan dan ikan putih panggang.
 Pancing punya pancing, dapatlah haruan seekor dan anak ikan putih seekor. Aku pun siang dan bersihkan. Hidupkan api dan panggang ikan.

Hakeem dan Aqqef berganding bahu menghidupkan api.
Bab menjaga api tak jadi masalah kerana 2 orang hero yang aku bawa bersama memang mempunyai minat dan kecenderungan bermain api. Sedangkan tak disuruh pun mereka curi-curi bermain dengan mancis, inikan pula disuruh. Memang pucuk dicita ulam mendatang bagi mereka berdua.

Bekerjasama mencari pelepah sawit kering untuk dijadikan bahan pembakar.
Dalam proses
Hakeem setia menjaga unggun api.
Merasa ikan sungai yang dipanggang.
Memang terasa manisnya ikan segar.
Inilah yang dinamakan TERBAIK DARI LADANG.
Aqeef sedang menjamah daging ikan haruan yang putih gebu.
Keletihan tapi seronok.
Dalam perjalanan pulang.
Jelas terpancar keriangan di wajah Hakeem.
Walaupun ianya tidak dirancang namun ianya sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapang di musim cuti sekolah. Setidak-tidaknya mereka dapat mempelajari kaedah ikhtiar hidup seperti menangkap ikan, menyiang ikan, menyalakan api dan memanggang ikan. Semua ini tidak dapat dipelajari di dalam bilik darjah melainkan mereka dibawa untuk merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti yang aku namakan "IKHTIAR HIDUP".

27 March 2013

280: Baucer Buku 1 Malaysia


Gambar Baucer Buku 1 Malaysia yang aku 'upload' di FB.
Alhamdulillah. Sejak bergelar "Mahasistua" di sebuah IPT yang terletak di Gombak, sudah 2 kali aku menerima Baucer Buku 1 Malaysia. Tahun lepas, dapat baucer bernilai RM200. Tahun ini dinaikkan RM50 menjadi RM250.

Kedai Buku Men Men Cawangan Bera.
Tahun ini aku membelanjakan baucer yang diberi kerajaan di Kedai Buku Men Men cawangan Bera. Satu perkara yang aku tidak berkenaan apabila berurusan di kedai ini ialah para pekerjanya yang tidak mesra pelanggan. Ini termasuklah taukeh kedai sendiri. Apa tidaknya apabila aku mula "memunggah" barangan ke kaunter dengan bantuan 2 orang anak, pandangan mata mereka seolah-olah aku ini tidak berduit. Dan apabila aku hendak membayar jumlah barangan yang aku longgokan di kaunter, seorang wanita Cina tampil menyoal aku bagaikan pesalah dan memerhatikan aku atas bawah sambil membandingkan gambar kad pengenalan dengan wajah terkini aku. Memang aku rasa meluat diperlakukan sedemikian namun aku cuba bersabar.

Semuanya berjumlah RM235.45.
Keseluruhan barangan yang aku borong ialah RM235.45. Ini bermakna aku perlu menambah RM35.45. Perlu menambah wang tidak menjadi soal. Apa yang menyebabkan aku rasa nak marah ialah pekerja di situ memandai-mandai menyuruh aku menghabiskan keseluruhan baucer dengan menambah lagi barangan. Ini baucer aku yang diberi oleh kerajaan Malaysia, jadi ikut suka akulah nak guna sepenuh atau tidak.

Anak-anak sedang bersiap untuk bergambar.

Menanti Angah yang membuang sampah.

Anak-anak bersama buku, alatulis dan baucer buku 1 Malaysia.
Masing-masing bersemangat dengan buku dan warna yang baru.
Tekun mewarna.

Pensil warna Faber-Castell ini berharga RM15.00 didarab dengan 4, berjumlah RM60.00. Entah lama manalah tahannya aku pun tahu.

Kanak-kanak sememangnya suka mewarna. Aku cuba mengingat kembali zaman aku kanak-kanak dulu. Paling mewah pun seingat aku, mak dan ayah belikan pensil warna Luna yang ada 6 batang. Punyalah sayang sampaikan kalau nak mewarna, aku cuma tekan perlahan-lahan sebab bimbang patah.


Si kenit nie tak dapat apa-apa pun. Kesian dia. Abang-abangnya semua dapat yang baru tapi dia tak dapat apa-apa pun. Insyallah, tahun depan kalau kerajaan Malaysia bagi lagi baucer buku, Abah akan belikan untuk adik yer.

Bila si kenit nie tak dapat apa-apa, mulalah dia mengacau abang-abangnya. Apa yang abang-abangnya lakukan, semua nak dicuba. Nasib baiklah abang-abangnya jenis yang tak kisah dikacau oleh si adik.

Bagi aku, pemberian Baucer Buku 1 Malaysia adalah satu pendekatan yang banyak manafaatnya. Ini kerana selain daripada dapat membantu mengurangkan beban tanggungan, ianya juga dapat mengalakkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Sewajarnya bagi yang menerima baucer buku seperti aku mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan bersyukur kepada Allah di atas rezeki yang diberi.

Seeloknya pemberian baucer ini diperluaskan lagi ke sekolah menengah seluruh Malaysia terutama bagi yang akan menghadapi peperiksaan. Ini kerana semasa aku berurusan di kaunter, terdapat seorang wanita yang sedang memilih buku rujukan untuk anak perempuannya. Anaknya begitu 'demand'. Hendak macam-macam sampai pening si ibu. Itu baru seorang, bayangkan jika anaknya ramai macam aku. Tak ke pening dibuatnya.


24 March 2013

279 : Budi Pada Tanah

Mula ditanam awal 2005. Kini telah pun mengeluarkan hasil. Walau tidaklah seluas mana namun ianya lebih daripada mencukupi untuk aku sekeluarga.





Dulu, aku yang melakukan sendiri kerja-kerja mengecop, membuang pelepah, membaja dan meracun. Namun kini semuanya berupah lantaran desakan masa dan tenaga yang terhad.









Tiap kali tiba giliran memungut hasil, aku akan bawa bersama anak-anak. Mereka amat teruja tiap kali aku membawa mereka. Di tanah inilah, suatu ketika dahulu keluarga aku pernah tinggal. Ketika itu aku belum dilahirkan lagi. Sememangnya tiap kali datang ke sini, aku sering diulit kenangan lalu. Seolah-olah aku dapat membayangkan keadaan dan suasana pada ketika keluarga aku menetap di sini dahulu.






























Berbudi pada tanah, lambat laun akan kita perolehi hasilnya. Susah payah yang diharungi, akan dibalas dengan hasil yang lumayan. Apa yang penting, usaha dan terus berusaha. Insyallah, rezeki Allah ada di mana-mana.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...