Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 August 2013

295 : Merdeka Yang Terjajah


Sepanjang aku berblog dari tahun 2006, ada beberapa entri berkaitan dengan kemerdekaan yang telah aku kongsikan di blog ini. Jika berkeinginan untuk membacanya, boleh klik di sinidi sinidi sinidi sini dan di sini


Pada kemerdekaan negara kita yang ke 56 ini, buat sekian kalinya aku kongsikan cetusan perasaan dan pendapat aku tentang merdeka. Sebelum itu, aku mohon maaf jika sekiranya apa yang aku nukilkan di sini akan membangkitkan rasa marah atau tersinggung sesetengah pihak.



Bagi aku walau telah 56 kali rakyat Malaysia meraikan tanggal 31 Ogos, hakikat sebenarnya rakyat Malaysia masih lagi dijajah terutama bangsa Melayu. Secara zahirnya kita merdeka tapi dari segi pemikiran, kita sebenarnya masih dijajah. 


Sebagai contoh, 21 Ogos 2013 telah diadakan satu konsert Metalicca di Stadium Merdeka. Stadium yang dinamakan sempena kemerdekaan tanah air kita telah dijadikan lokasi bagi bangsa asing menjajah pemikiran anak bangsa Melayu. Aku tidak nampak di mana relevannya konsert itu diadakan selepas umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan dan sedang merayakan kemenangan melawan hawa nafsu namun tiba-tiba anak muda disajikan dengan konsert oleh sebuah kumpulan yang telah jelas kafirnya.


Untuk kemerdekaan yang akan aku sambut bagi kali yang ke 36 ini, aku amat berharap agar minda anak Melayu merdeka dari terus dibelenggu oleh dakyah dan ideologi bangsa asing. Semoga pengorbanan pejuang kemerdekaan untuk membebaskan negara yang dicintai ini tidak sia-sia akibat kealpaan kita generasi sekarang dalam mencorak halatuju dan gagasan yang akan kita wariskan kepada generasi akan datang. 

MERDEKA!

20 August 2013

294 : Cuti-Cuti Malaysia : Air Terjun Sungai Bantang

Sebenarnya ini bukanlah satu percutian yang dirancang. Ianya berlaku secara tidak sengaja. Pada mulanya, aku berhajat untuk ke rumah kakak kedua di Segamat. Aku telah pun meng'sms' memberitahu niat aku untuk ke rumahnya. Di pertengahan jalan, kakak aku membalas sms memberitahu yang dia hendak ke Kuala Lumpur. Oleh kerana sudah separuh perjalanan, aku teruskan jua pemanduan sambil meng'sms' kawan semaktab dulu. Namun tiada jawapan dari Ita Zam.

Sedar tak sedar, kami sekeluarga telah pun sampai ke Segamat. Alang-alang dah sampai ke Segamat, aku teruskan pemanduan ke menghala ke Yong Peng. Hajatnya nak menuju ke Ayer Hitam kerana dari cerita yang aku dengar dan baca, di situ terdapat banyak gerai yang menjual pasu-pasu hiasan dan pelbagai
kraftangan yang menarik. Bukan tujuan nak membeli pun tapi sekadar cuci-cuci mata.
Jarak dan waktu perjalanan dari tempat aku
Sedang aku memandu, tiba-tiba pandangan mata aku tertacap pada papan tanda di bawah. Aku pun memberhentikan kereta dan terus membuat keputusan untuk menuju ke Air Terjun Sungai Bantang, Bekok. Sambil otak berputar untuk memaparkan percutian ini di dalam blog. Maklumlah blog pun dah lama bersawang.

Papan tanda ini mengubah perancangan awal
Air Terjun Sungai Bantang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Labis dan berada di Kompartmen 17 iaitu seluas 210.93ha dan Kompartmen 18 seluas 156.28ha. Mula diteroka pada tahun 1989 dan dimajukan sebagai tempat percutian pada tahun 1990. 

Papan tanda Bekok
Terletak lebih kurang 64km dari bandar Segamat dan 8km dari pekan Bekok. Jabatan Hutan Daerah Segamat telah menggunakan tema "Destinasi Rekreasi Luar Anda" sebagai langkah untuk memperkenalkan tempat ini bagi tujuan perkhemahan dan perkelahan.

Papan tanda 'Endau Rompin National Park'


Antara mercu tanda pekan Bekok
Simpang masuk
Pintu gerbang menyambut ketibaan pengunjung
Antara larangan yang diingatkan
Papan tanda pemberitahuan
Terdapat pelbagai kemudahan asas yang telah disediakan seperti jambatan, tangga, tempat meletak kenderaan, tempat riadah, tandas awam, tempat persalinan pakaian dan sebagainya. Bagi mereka yang gemar berkhemah, kawasan tapak perkhemahan ada disediakan di sekitar hutan lipur ini.

Bersiap sedia untuk mandi
Sulung yang kedua
Jelas terpancar kegirangan di wajah
Gigil kesejukkan
Baring atas batu
Tenang dan damai

Air terjun ini sangat unik kerana mempunyai keunikan alam semulajadinya yang tersendiri. Gemersik alunan percikan air yang jernih mendamaikan hati yang gundah. Kemerduan kicauan Sang Ungas menerbitkan rasa tenang. Keindahan yang membawa ketenangan dan kedamaian yang terdapat di sini pastinya memberi kesan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini. Pulangnya dari Air Terjun Sungai Bantang pastinya membawa bersama memori yang indah.


Si Bongsu
Pelbagai aktiviti dapat dijalankan antaranya merentas hutan' jungle traking', perkhemahan dan perkhelahan. Sekiranya anda berminat, boleh menghubungi:


Pejabat Hutan Daerah Segamat
No. Tel: 07-9312141

Pintu gerbang untuk pulang
Jarak bandar Segamat dari simpang masuk
Menjamu nasi ayam
Solat Jamak Takdim
Simpang keluar
Menghala ke Segamat



29 July 2013

293 : Klik "Like" Dan Klik "Share"



Peraduan "THE MOST SHARE PICTURE OF THE MONTH"



Nama: Fadhlur Rahman Jamaluddin
Code: 053
Tarikh : 24 Julai 2013.
Lokasi : Sungai Triang.
Umpan : Cengkerik
Tangkapan : Udang Galah

Mohon jasa baik pembaca dan pengunjung yang budiman(kalau ada) untuk klik “LIKE” Fanpage Kedai Eng Kwang dan SHARE foto ini. Kemudian ajak kawan-kawan datang dan klik "share". Terima kasih.


KEDAI ENG KWANG
JUALAN PENGHABISAN STOK SEMPENA HARI RAYA
Date: 16/8 - 18/8/2013 (9.30am-6.30pm)
Venue: Kedai Eng Kwang


22 July 2013

292 : Misteri Myvi Hijau

Sejak emak lumpuh setahun yang lalu, 2 bulan sekali aku akan  ke Klinik Kesihatan Padang Luas untuk mengambil bekalan ubat darah tinggi dan kencing manis. 

Bulan lepas aku ke klinik lagi. Sesampai di klinik, aku pun meletakkan kereta di tempat yang dikhaskan. Aku meletakkan kereta di sebelah kereta Perodua Myvi berwarna hijau. Aku mengecam kereta itu milik seorang jururawat di klinik tersebut. Semasa menutup pintu kereta, aku sempat menjeling ke dalam kereta Myvi sekali imbas. Tiba-tiba darah aku berderau. Aku lihat di dalam kereta Myvi hijau itu, seorang bayi sedang tidur di kerusi belakang. Aku panik apabila melihat di tempat duduk hadapan tiada sesiapa pun yang menemani bayi itu. 

Aku semakin panik apabila aku mendapati semua tingkap tertutup dan enjin dimatikan. Aku cuba membuka pintu namun ianya berkunci. Aku memandang sekeliling untuk meminta bantuan tapi tiada siapa yang kelihatan. Aku melihat semula ke dalam kereta untuk memastikan keadaan bayi itu. Apabila aku melihat dengan lebih teliti, rupa-rupanya bayi yang aku sangkakan sedang tidur rupanya anak patung mainan. Aku menarik nafas lega dan tersenyum kelucuan sendirian di atas ke'panik'an itu. Nasib baik aku tidak menjerit meminta tolong atau bertindak memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan 'bayi' tersebut. Kalau tidak, jenuh aku nak membayar ganti rugi.

'Bayi' yang ditinggalkan sendirian di dalam kereta.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia 3  tahun yang ditinggalkan ibunya di dalam kereta. Lantaran itu ramai yang menuding jari menyalahkan ibu malang tersebut yang juga seorang guru di atas kecuaian meninggalkan anaknya di dalam kereta yang berkunci dengan tingkap ditutup dan enjin dimatikan.  Malah ada pihak yang mencadangkan supaya hukuman yang berat dikenakan terhadap ibu bapa yang cuai menjaga anak.

Bagi aku, setiap sesuatu kejadian yang menimpa ada hikmahnya. Allah menimpakan sesuatu musibah adalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada setiap hambaNYA. Kita sepatutnya mengambil iktibar dari kejadian ini dan bukannya menghukum. Siapalah kita untuk menghukum sedangkan kejadian yang berlaku ini adalah ketentuan dari Allah. Kita hanya mampu berusaha sedangkan Allah yang menentukan segalanya. Sebaik mana pun kita berusaha jika Allah telah menetapkan, ianya tetap akan berlaku tanpa kita berupaya mengelaknya.

Jika benarlah ibu malang ini hendak dikenakan hukuman, hukumlah juga ibu bapa yang gagal menjaga, mendidik dan membimbing anak mereka sehinga terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah seperti meragut, merompak, membunuh, merempit, menagih dadah, berzina, murtad dan banyak lagi. Ini kerana kegagalan dan kecuaian ibu bapa yang anak mereka terlibat dengan jenayah telah mengakibatkan pelbagai kerosakkan dan kekacauan dalam masyarakat. Sedangkan kecuaian ibu malang terbabit bukanlah disengajakan malah kejadian malang yang menimpa beliau telah membuka mata, hati dan minda masyarakat agar lebih berhati-hati dalam penjagaan anak-anak.

Bersamalah kita berdoa agar ibu malang ini tabah menghadapi dugaan dan redha menerima segala ketentuan Allah. Dan bersamalah kita mengambil iktibar dan berusaha sehabis menjaga, mendidik dan membimbing anak-anak kita dengan ajaran Islam supaya mereka menjadi hamba Allah dan umat Nabi Muhammad yang berguna kepada agama, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

11 July 2013

291 : Tawarikh Nujum Pak Belalai


Tersebutnya kisah satu ceritera. Kisahnya bermula di sebuah negeri bernama Beringin Masak Rendang. Negerinya diperintah Sultan Shahrukh Nizam. Hidup rakyatnya rukun damai. Berat sama dijinjing. Ringan sama dipikul.*

Diriwayatkan oleh empunya ceritera, adapun kisah ini benar terjadi. Terjadinya kisah ini berpunca dari hasad dengki seorang raja di sebuah negeri berjiran. Sultan Misai Melenting nama bergelar. Orangnya garang lagi angkuh. Hasad dengkinya terhadap kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat Beringin Masak Rendang.  Maka dikerahnya segala tentera yang dimiliki untuk menyerang.

Adapun disebut ramai akan kehebatan seorang nujum diraja. Pak Belalai gelaran diberi. Punyai tipu muslihat membela diri. Untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah maka Nujum Pak Belalai mencabar Sultan Misai Melenting beradu teka-teki. 

Maka Sultan Misai Melenting pun menerima cabaran Nujum Pak Belalai. Adapun teka-tekinya berbunyi begini.

"Apakah benda yang satu...ramai. Dua, sedikit-sedikit. Tiga, kadang-kadang. Dan empat, jarang-jarang."

Lantas Nujum Pak Belalai pun menjawab tanpa berfikir panjang. Adapun jawapan Nujum Pak Belalai berbunyi begini.

"Jawapnya Tarawikh."

"Jelaskan..." Tingkah Sultan Misai Melenting.

Lalu dijelaskan oleh Pak Belalai.

"Satu, banyak-banyak. Maksudnya minggu pertama, banyak orang ke masjid untuk bertarawikh. Dua, sedikit-sedikit. Maksudnya minggu kedua, sedikit-sedikit orang ke masjid untuk bertarawikh. Tiga, kadang-kadang. Maksudnya, apabila tiba minggu ketiga, kadang-kadang saja orang datang bertarawikh di masjid. Dan yang keempat, jarang-jarang. Maksudnya, apabila masuk minggu keempat, jarang-jarang orang datang bertarawikh di masjid."


TAMAT

* Yang berat jika dijinjing beramai maka ringanlah ia. Yang ringan jika dipikul beramai maka beratlah ia.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Selamat beramal. 

290 : Kasih Abang

Muhammad Hakeem Danish
Dia anak kedua yang hidup. Anak ketiga secara keseluruhan. Mempunyai 3 orang adik dan di awal usia 7 tahun, dia telah menunjukkan sifat penyayang terhadap adik-adiknya. Dia suka berdikari. Untuk memiliki sesuatu yang dihajati, dia akan berusaha untuk mendapatkannya.

Muhammad Aqeef Faiq

Untuk itu, dia sanggup tidak berbelanja di sekolah. Sehari dia mendapat RM3. Dia hanya membelanjakan RM2 sahaja. Dan RM1 lagi disimpan. Hajatnya untuk membeli buku cerita.

Muhammad Hadif Qayyim

Namun apabila wang yang dikumpulkan mencukupi, dia tidak membeli buku yang dihajati. Sebaliknya dibelikan buku untuk adik-adiknya. Ditanya kenapa tidak beli buku yang dihajati, dia menjawab bahawa dia teringat akan adik-adiknya. Ditanya lagi bila nak bila buku yang dihajatinya, dia menjawab 'tak pe...nanti abah belikan laa'.



01 May 2013

284 : Bunga Raya



Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu (Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.




Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. 


Pada akhir pada tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.



Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.



Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.




Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda.



Bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya memberi maksud lima prinsip Rukun Negara. Bunga yang juga dikenali sebagai "Queen Tropical Flowers" ini adalah bunga yang tergolong daripada keluarga Malvaceae yang mempunyai 300 spesis tumbuhan. 


Kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan yang hidup harmoni di negara tercinta ini. Warna merah pula bermaksud kepelbagaian bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran menjadi lambang pelbagai bangsa.



Saksikan keunikkan Bunga Raya yang diangkat sebagai bunga kebangsaan negara kita yang aku rakamkan sendiri sebagai satu kepuasaan peribadi melihat dan memuji kebesaran Allah S.W.T.

















Sumber Foto : Koleksi Peribadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...