Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

28 November 2012

267 : Catatan Di Penghujung Ramadhan 1433H




29 Ramadhan 1433H

5.00 pagi

Bersahur bersama isteri untuk kali terakhir bagi Ramadhan ini. Semoga dapat bersahur lagi di Ramadhan akan datang.




8.00 pagi

Ke rumah mak untuk mengupas kelapa, memarut kelapa, menyiang daging dan lain-lain kerja yang berkaitan dengan persiapan menyambut 1 Syawal.

Tahun ini aku tak membakar lemang kerana ketiadaan buluh. Buluh yang saban tahun aku gunakan untuk membuat lemang telah tiada angkara kerakusan dan kebodohan manusia. Bukan orang lain, anak saudara pupu ayah aku juga yang punya angkara. Memanglah marah tapi kalau dipanjang-panjangkan, nanti lain pula jadinya. Akhirnya, diamkan sahaja perasaan amarah kerana manusia yang hebat adalah manusia yang apabila marah, dia dapat mengawal kemarahannya daripada menguasai diri.




11.00 pagi

Abang aku, Anjang tiba dari Johor. Suasana semakin riuh dengan masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Adakalanya aku merasakan yang aku berada di Indonesia kerana keluarga kami ada mengambil dua orang pembantu rumah dan apabila mereka bertemu, gegak gempita jadinya. Seorang menjaga mak yang uzur dan seorang lagi bekerja dengan abang aku.

Dalam keriuhan itu, sesekali aku perhatikan isteri aku seakan menahan rasa sakit sambil mengusap perutnya yang memboyot. Kandungannya dijangkakan seminggu lagi akan bersalin. Tapi hati aku kuat mengatakan isteri aku akan bersalin kalau tak malam ini, pagi esok.




1.00 petang

Aku dan isteri serta anak yang keempat balik ke rumah. 3 orang anak yang lain, aku dah hantar balik ke kampung isteri. Ini sebagai langkah awal supaya apabila mama mereka nak bersalin nanti, senang aku nak tumpukan perhatian. Selesai solat Zohor, aku merehatkan diri sementara menanti waktu Asar kerana selepas Asar nanti, aku nak mengambil lemang yang dah ditempah sebelumnya.

Usai solat Asar, aku bergegas mengambil lemang dan menghantar ke rumah mak. Kakak kedua aku dah sampai. Dia minta tambah lagi lemang 5 batang. Sekali lagi aku ke rumah penjual lemang. Banyak pula orang berjual lemang tahun nie. Dari Padang Luas hingga ke Kerayong, tak kurang dari 5 orang menjual lemang mengambil kesempatan mencari rezeki sempena musim perayaan.

Dalam perjalanan ke rumah mak, aku mendapat panggilan telefon dari isteri. Dengan nada suara menahan kesakitan, dia memaklumkan yang rasa sakit yang dirasai makin kerap. 'Itu tanda nak bersalin dah tue', getus aku dalam hati. Segera aku pulang dan setibanya aku di rumah kelihatan adik ipar aku dah ada menanti di luar untuk membawa anak aku yang keempat balik ke kampung.




5.15 petang

Di hadapan wad kecemasan Klinik Kesihatan Padang Luas, aku berulang kali mendail nombor jururawat 'on call' yang bertugas tapi tiada jawapan. Puas mendail dan akhirnya ada jawapan tapi jururawat tersebut berada di luar kawasan. Jenuh aku mendail nombor jururawat yang seorang lagi. Namun tiada jawapan. Aku mendail nombor Pembantu Perubatan yang bertugas. Tak sampai 5 minit, beliau sampai bersama Pemandu Ambulan. Beliau menelefon jururawat yang bertugas namun hampa tiada jawapan.




6.00 petang

Suasana alam menjadi mendung. Cuaca yang tadinya cerah bertukar kelam. Titis hujan rintik-rintik mulai gugur satu persatu. Pembantu Perubatan berjaya menghubungi jururawat terbabit. Jururawat yang bertugas memberi alasan sedang memasak di dapur dan tidak mendengar bunyi telefon.




6.05 petang

Isteri memberitahu yang air ketuban dah pecah sedikit tapi bayang jururawat masih tidak kelihatan. Berkali-kali aku menelefon bagi memaklumkan yang air ketuban dah pecah tapi tiada jawapan.




6.15 petang

Jururawat terbabit tiba dengan kereta Honda warna biru. Dengan berpakaian biasa, beliau selamba bertanya 'dah lama ke sampai?'. Soalan yang bagi aku layak dijawab dengan penerajang itu aku jawab dengan senyum sinis. Segera beliau membawa isteri ke wad kecemasan. Aku menanti penuh sabar di luar bersama Pemandu yang bertugas.




6.20 petang

Cuaca menjadi semakin kelam. Tiupan angin semakin kuat. Kilauan kilat sesekali memancarkan cahayanya. Seorang lagi jururawat tiba dengan menaiki Toyota Hilux. Mewah-mewah kereta jururawat sekarang nie. Dengan telefon bimbit diletakkan di telinga bercakap dengan entah siapa, beliau terkocoh-kocoh keluar dari kereta dan melangkah laju ke wad kecemasan.

Dari luar aku perhatikan keadaaan agak kelam-kabut. Kedua-dua jururawat terbabit(terbabil...mungkin gelaran sesuai untuk salah seorang daripada mereka kerana berkali aku menelefon, sekali pun beliau tidak menjawab) bertungkus lumus menjalankan tugasan mereka.




6.30 petang

Kedengaran suara tangisan bayi menangis dengan lantangnya. Aku masih berdiri di hadapan pintu wad kecemasan sambil menjenguk melalui cermin kaca. Kedua-dua jururawat itu bertungkus lumus membuat kerja masing-masaing.




6.45 petang

Salah seorang jururawat meminta kain lampin, kain batik, pakaian bayi dan pamper. Segera aku menyerahkan beg yang sejak tadi sememangnya berada di tangan. Pengalaman menjadikan aku lebih matang dan lebih bersedia. Sempat aku bertanya akan jantina anak aku yang baru lahir. "Lelaki", balasnya sambil tersenyum. "Alhamdulillah", bisik hati kecil aku.





7.00 malam

Aku masih menunggu di luar Wad Kecemasan dengan sabar. Sesekali aku menjenguk ke dalam melalui pintu yang separuh terbuka. Aku minta kebenaran untuk berjumpa dengan isteri. Aku lihat wajahnya pucat. Bayangkan berpuasa sepanjang hari dan melahirkan zuriat dalam keadaan lapar dan dahaga bukanlah satu perkara yang mudah. Namun dia tabah menghadapi. Betapa hebatnya wanita yang bergelar isteri ini.

Jururawat memaklumkan yang isteri dan bayi aku perlu berada dalam pemerhatian selama 1 jam lagi. Selepas itu, keduanya akan dibawa ke Hospital Temerloh. Aku memutuskan untuk berbuka di rumah mak dan selepas solat Maghrib, akan membayar zakat fitrah.




8.15 malam

Usai solat dan usai membayar zakat fitrah, aku segera ke Klinik Kesihatan Padang Luas bersama sebotol air masak dan sebungkus roti. Ternyata sejak tadi, tiada seteguk air pun yang membasahi tekak isteri aku. Betapa tabah dan cekal dia mengahadapi semua ujian yang Allah berikan di penghujung Ramadhan kali ini.

Jururawat memaklumkan yang isteri dan bayi perlu di bawa ke hospital atas arahan doktor pakar. Sempat aku meminta izin untuk mengazan dan mengiqamat di telinga bayi. 




9.00 malam

Menguruskan kemasukkan isteri dan anak ke wad sambil menanti kedatangan mak mertua bersama ayah mertua dan adik ipar. Selesai urusan di dalam wad, aku menanti di lobi hospital keseorangan sambil di dalam hati, ucapan syukur ke hadrat Illahi tidak pernah putus aku lontarkan. Sesungguhnya ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi aku.




19 Ogos 2012

7.00 pagi

Bersiap-siap untuk ke masjid. Ke masjid berseorangan kerana anak-anak yang lain semuanya di Kemayan. Usai solat, ke rumah mak. Bersalaman dan memohon ampun dan maaf dari ayahbonda serta adik beradik.




9.30 pagi

Pulang ke Kemayan untuk bertemu dengan anak-anak. Singgah sebentar di Tanah Perkuburan Kg Dato Sri Hamzah, menziarahi pusara anak yang sulung.

Tidur sehingga jam 1.00 petang. Anak-anak sudah bersiap untuk mengambil mama mereka dari hospital.




2.30 petang

Tiba di hospital. Menguruskan segala yang berkaitan dengan urusan keluar isteri dan anak. Segalanya lancar cuma sewaktu mengambil ubat, lama aku menunggu kerana kaunter yang dibuka hanya satu dan hanya 2 orang sahaja yang bertugas. Seorang berbangsa Cina dan seorang berbangsa India.




4.00 petang

Tiba di Kemayan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Walau ada 1-2 perkara yang hampir meragut kesabaran aku, namun aku bersyukur kerana isteri dan anak selamat dan sihat. Sesungguhnya Ramadhan dan Syawal 1433H membawa seribu rahmat kepada diri dan keluarga aku.



Semasa entri ini diterbitkan, usia Muhammad Afeef Fayyadh 3 bulan. Semakin membesar dan semakin aktif bermain. Maklumlah dikelilingi 4 orang abang, sememangnya dia menjadi tumpuan. Sering digomol, dipeluk dan dicium. Sesekali apabila abangnya yang keempat merasa cemburu, maka menangislah dia. Apabila lapar dan kehausan, tangisan adalah cara dia meminta. Alhamdulillah, syukur kepadaMU Ya Allah kerana mengurniakan kepada kami cahaya mata yang sihat dan comel. Dengan izinMU jua Ya Allah, akan kami jaga dan didik amanahMU ini dengan ISLAM.









4 comments:

Anonymous said...

Nice story..pandai aok mengarang ye..seronok anak ramai ni kan..smoga dikurniakan baby girl pulak lps ni..insya Allah..:-D

Fadh said...

Terima kasih...sekadar berkongsi cerita...seronok mmg seronok tapi kena byk bersabar sbb semua nyer nakal dan lasak...maklum laa semuanya lelaki. Insyallah,doa2kan laa.

Anonymous said...

Seronok membaca entri2 disini....biasalah mungkin belum masanya lagi utk awak @ wife dikurniakan baby girl....anak2 awak pun comel semuanya mcm mak & ayahnya.Tengok pengorbanan seorang isteri walaupun dlm keadaan berpuasa tp ttp tabah harunginya demi melahirkan zuriat awak berdua walaupun umpama 'Nyawa dihujung tanduk'.Besar pengorbanan seorang isteri ni tetapi adakalanya para suami ni kurang menghargainya.Sayangilah isteri yg telah berkorban nyawa utk melahirkan zuriat awak ke dunia ni.

Fadh said...

Terima kasih sbb sudi baca. Terima kasih atas ingatan dan nasihat yang diberi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...