Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 July 2012

261 : Guru Penyayang Budaya Kami

Entri lama yang terpendam tidak ber'publish'.
Banner Guru Penyayang Budaya Kami


Lama aku tidak menulis tentang kerjaya yang telah aku mulakan pada penghujung tahun 1999. Lama tidak menulis mengenai kerjaya sebagai seorang guru tidak bermakna aku tidak menjiwainya cuma kekangan masa dan kesibukan merutini amanah yang dipikul dijadikan alasan helah bela diri yang paling ampuh. 


Ketika menulis entri ini menggunakan handset Nokia E5 dan diterbitkan di blog ini melalui email, aku sedang mengawalselia murid-murid Tahun 6 yang sedang khusyuk menjawab soalan peperiksaan Matematik kertas 1. Melihat akan reaksi mereka menjawab soalan, terimbau kenangan waktu dulu-dulu ketika masih di bangku sekolah. Kenangan yang bisa membutirkan linangan airmata dek kerana rasa sebak, pilu dan terharu. Betapa kenangan itu amat indah dan amat mustahil untuk diulangi.

Aku dulu bersekolah dari darjah 1 hingga darjah 6 di SK Kerayong. Sekolah yang banyak berjasa dalam mendidik dan mengasuh aku. Kini aku kembali ke sekolah ini untuk menabur bakti setelah meninggalkannya pada 1989. Awal 2010, aku diarahkan bertukar dari SK Bukit Gemuruh ke sekolah ini. Arahan yang pada awalnya sukar untuk aku patuhi namun akhirnya aku rasa bersyukur dan bertuah kerana daripada beribu bekas pelajar sekolah ini, aku salah seorang yang berpeluang untuk menabur khidmat bakti.

Semoga aku dapat berkhidmat dengan jujur, amanah, berdedikasi dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa.

23 July 2012

260 : Melentur Buluh

mengantuk sehingga tertidur
Saat entri ini ditulis, Ramadhan telah pun menginjak ke hari yang ketiga. Ini bermakna telah berlalu 2 hari di bulan yang penuh berkat. Semoga 2 hari yang telah berlalu, kita hiasi dengan amalan-amalan yang bermanafaat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat Islam.

Muhammad Haris Farhan@Angah telah pun berusia 9 tahun. Mula dilatih berpuasa penuh sejak berusia 6 tahun. Alhamdulillah... setelah dilatih untuk berpuasa, Angah berjaya melengkapkan puasanya. Semoga Angah terus tabah berpuasa tanpa culas.

Muhammad Hakeem Danish@De kini berusia 6 tahun. Jika Ramadhan yang lalu, dia masih diberi kelonggaran untuk berpuasa separuh hari, namun pada Ramadhan kali ini, dia mesti melengkapkan puasanya sehari penuh. Namun, permulaan yang agak mendukacitakan apabila dia tidak bangun sahur walau tidak berulangkali dikejutkan. Gara-gara tidak bersahur, dia gagal melengkapkan puasanya sehari. Menjelang tengahari, secara senyap-senyap, dia pun berbuka. Dengan bahang terik matahari ditambah pula dengan godaan dari adik-adiknya yang berenak-enakkan makan dan minum di hadapannya, dia tewas jua. Alhamdulillah, hari kedua, De berjaya melengkapkan puasanya penuh sehari. Semoga De terus tabah menahan lapar dan dahaga.

Sememangnya buluh mudah dibentuk semasa ianya masih rebung. Begitu juga dengan anak-anak. Mudah dididik dan diajar semasa kecil. Apabila sudah meningkat dewasa, semakin sukar untuk kita membentuk mereka menjadi mukmin yang sejati.

Seandainya Abah dan Mama telah tiada untuk menasihati dan mengajar Angah, De, Ateh, Andak dan adik yang bakal dilahirkan menjelang Syawal 1433H nanti, ingatlah sentiasa berpegang pada 2 perkara iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Insyallah, anak-anak Abah dan Mama tidak akan sesat di dunia dan di akhirat nanti.

20 July 2012

259 : Harapan Ramadhan




Ya Allah, Yang Maha Esa, Maha Pengasih dan Maha Pemurah, andainya Ramadhan ini memberi pengertian untuk aku mencari hidayahMU, maka aku tadahkan setulus pengampunan dan pengharapan untuk aku tebus dosa-dosa semalam.

Andai Ramadhan ini satu peringatan, bersyukur aku pada Illahi. Andai Ramadhan ini satu kesudahan, aku pinta satu pengaduan untuk aku menyudahkan kalimah terakhir.

Aku mengharapkan Ramadhan kali ini lebih bermakna agar dapat aku lalui dengan sempurna.

MARHABAN YA RAMADHAN

03 July 2012

258 : Conteng


Sejak Hakeem@De belajar di Pra Bijak SK Kerayong, habis semua dinding rumah menjadi tempat contengannya. Bukan setakat dia seorang tetapi diajak dan diajar juga adiknya, Aqeef@Awit.


Maka berganding bahulah mereka berdua memeriahkan dinding-dinding yang terdapat di rumah mereka. Nasib baik ini rumah kerajaan. Jadi, kerajaanlah nanti yang akan mengeluarkan bajet untuk mengecat semula rumah ini. Abah mereka bukannya tidak mampu cuma mengenangkan adalah sangat tidak berbaloi mengeluarkan wang untuk sesuatu yang bukan milik sendiri.



Abah mereka tidak melarang, menegah apatah lagi memarahi tindakan mereka berdua. Malah menggalakkan pun tidak. Abah mereka sekadar memerhati. Ini kerana bagi abah mereka, proses perkembangan minda yang sedang berlaku kepada anak-anaknya biarlah berlaku secara semulajadi. Tidak perlu dipaksa, ditegah atau disuruh. Biarkan perkembangan itu berlaku secara sedikit demi sedikit. Bagi abah mereka, pengalaman merupakan guru yang terbaik untuk mengajar anak-anak mereka tentang erti kehidupan.


Tambahan pula, mereka berdua adalah aset negara yang terpenting di masa hadapan. Oleh yang demikian, adalah sangat tidak berbaloi menghukum aset yang menjadi harapan dan sandaran bukan sahaja kepada negara tetapi yang lebih penting kepada keluarga dan Islam.


Saksikan karya-karya yang terhasil dari cetusan ilham rasa kanak-kanak mulus. Karya mereka jujur. Lahir dari hati kecil mereka yang luhur. Tidak ada unsur-unsur khianat, dengki, sakit hati atau benci.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...