Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

26 April 2012

255 : Dua Puluh Sen


Apa sebab dan musababnya aku pun tak tau tiba-tiba mood untuk mengemaskini blog semakin menaik. Dalam 4/5 hari nie ada jer bahan yang boleh dijadikan cerita. Ada orang baca atau tidak, itu soal kedua. Yang utama, blog dikemaskini sementara nafsu berblog tengah membara.

Baru pun tak berapa baru jugak, ada laa dalam 2/3 minggu yang lalu aku terjumpa sekeping syiling 20 sen. Apa yang menarik perhatian aku ialah tahun syiling ini dikeluarkan iaitu 1967. Ini bermakna telah 45 tahun usia syiling nie. Dah hampir separuh abad tapi ia masih bernilai. Jika dibandingkan dengan manusia, usia 45 tahun merupakan usia yang dikategorikan sebagai veteran. Ada yang dah matang dari segi pemikiran dan perbuatan namun masih ramai lagi yang belum matang dan berperangai seperti binatang. Oleh itu sama-sama kita muhasabah diri, adakah selama ini kita bertindak mengikut hawa nafsu semata ataupun kita bertindak menggunakan akal yang Allah kurniakan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kalau masa kecil dulu, jumpa duit memang saat yang menyeronokkan. Kadang-kadang tue sengaja berjalan sambil kepala tunduk ke tanah, mata melilau dan hati mengharap moga-moga terjumpa duit.

Seingat aku yang tak berapa nak ingat nie, RM10 merupakan nilai terbesar yang pernah aku jumpa masa kecil dulu. Punyalah suka tapi dalam hati berdebar. Berdebar kerana teringat pesan mak supaya jangan diambil duit yang terjumpa kerana ianya hak orang lain. Dalam berdebar tue, Syaitan dok hasut suruh belanjakan. Sedar tak sedar aku dah sampai kat depan kedai. Apalagi, kenduri sakan laa aku. Bila dikenangkan kembali, rasa menyesal sangat tapi perkara dah berlaku, tidak mungkin dapat diundur semula. Hanya memohon keampunan dari Allah semoga dosa lalu diampunkanNYA.

24 April 2012

254 : Sepetang Bersama


Lokasi : Padang SK Kerayong

Masa : 5.45 petang

Tarikh : 23 April 2012

Kamera : Nokia E5



Sesekali meluangkan masa bersama anak-anak cukup menghiburkan. Mempunyai 4 orang hero yang sedang membesar sememangnya satu tanggungjawab yang cukup mencabar kesabaran. Pelbagai kerenah dan ragam. Adakalanya dirasakan tahap kesabaran semakin tipis dan adakalanya hilang. 




Anak-anak anugerah dan amanah dari Allah. Didiklah mereka dengan didikan agama. Insyallah dengan didikan agama yang sempurna, mereka akan menjadi insan yang berbakti kepada ibu bapa, agama bangsa dan negara.

bersantai...
yang kecil sekali...


pewaris tendangan kaki kiri
Melihat anak-anak membesar di depan mata adalah satu anugerah yang Allah berikan. Gunakan peluang dan ruang yang Allah berikan untuk bersama mereka. Kerana apabila mereka dewasa kelak, mereka akan mempunyai kehidupan mereka sendiri. Tingallah nanti kita bersama isteri menghitung hari-hari tua sambil mengharapkan kepulangan anak cucu sebelum tiba masa kita pergi tidak kembali lagi.
tendangan padu

23 April 2012

253 : Celik Yang Buta






Lokasi : Hadapan Klinik Kesihatan Padang Luas, Bera Pahang.
Tarikh : 23hb April 2012(Isnin)
Masa : 9:40 pagi
Kamera : Nokia E5

Kejadian : Sebuah lori diletakkan di bahu jalan telah menghalang penglihatan pemandu yang ingin keluar dari Klinik Kesihatan Padang Luas, Bera Pahang. Lori tersebut diletakkan di situ kerana pemandu bersama kelindannya bersarapan di kedai makan yang bertentangan dengan klinik tersebut. Papan tanda peringatan telah pun diletakkan. Adakah pemandu lori tersebut buta penglihatan, buta huruf atau buta mata hati?

21 April 2012

252 : Milo Oh Milo

Tarikh : 17hb April 2012(Selasa)
Masa : 10.10 pagi
Lokasi : SK Kerayong, Bera Pahang
Kamera : Nokia E5



Teringat zaman sekolah dulu. Apabila lori Milo memasuki perkarangan sekolah, maka hati melonjak girang. Maka berduyun-duyunlah kami beratur panjang menunggu giliran. Apabila tiba giliran aku, cawan kertas Milo yang kecil molek disambut dengan berhati-hati dan dipegang dengan kemas, bimbang terlepas dari tangan dan tertumpah lalu berputih mata.


Apabila Milo sudah selamat di tangan, maka dihirup air Milo itu dengan perlahan-lahan. Sejuk Milo itu meresap di kerongkong dan memberikan rasa nikmat yang tidak terperi dengan perkataan. Entah apa rahsianya, Milo itu tidak sama dengan Milo yang emak bancuh di rumah. 


Habis sudah Milo secawan kecil dihirup penuh nikmat sehingga titisan yang terakhir. Hati bergelodak inginkan bukan secawan tapi bercawan-cawan lagi. Namun apakan daya, hanya secawan sahaja yang diperuntukkan untuk seorang murid. Dan hati mengharap, moga nanti lori Milo sudi singgah lagi.






20 April 2012

251 : Idaman Hati

Kawasaki ER6N Edisi 2012

Ini idaman hati. Namun untuk memilikinya adalah satu perkara yang hampir pasti sukar untuk dipenuhi. Andai mempunyai wang yang mencukupi sekali pun, masih banyak perkara yang perlu ditimbangtara. 

Adakah ianya satu keperluan atau satu kehendak? Persoalan ini jarang dipertimbangkan dengan sewajarnya dan kebiasaanya kita akan menurut hawa nafsu. Jika sesuatu perkara itu menjadi idaman hati dan apabila ia berjaya dimiliki, hati kita akan merasakan ianya biasa sahaja kerana ianya merupakan kehendak hati yang tidak akan pernah merasa puas. Namun jika sesuatu perkara itu sememangnya kita perlu dan apabila kita berjaya memilikinya, ianya akan memberi manafaat kepada kita.

Oleh itu mari bersama kita renung dan muhasabah diri untuk kebaikan hidup di masa depan terutama kebajikan anak dan isteri.

Semoga apa yang diperkatakan di atas memberi manafaat kepada semua. Insyallah jika diberi keizinan oleh Allah, idaman hati itu dapat aku miliki.

19 April 2012

250 : Rahmat Allah


Lokasi : SK Kerayong, Bera Pahang.
Masa : 6.30 petang
Tarikh : 18/04/2012(Rabu)
Kamera : Nokia E5













16 April 2012

249 : Senja


Aku punya sepasang mata yang tidak pernah melihat-MU. Aku punya sepasang tangan yang tidak bisa menyentuh-MU. Aku punya sepasang kaki yang tidak akan mungkin berjalan di sisi-MU. Namun aku punya sekeping hati yang akan sentiasa mengingati-MU.

15 April 2012

248 : Menyongsong Hari



Aku berlari menyongsong keberangkatan-MU tika merah mentari berbalam di dada langit. Terkesima aku menatap indah memuji kebesaran-MU.

11 April 2012

247 : Mentari Merah Di Ufuk Hati


Lokasi : Hadapan padang SJK(c) Kerayong, Bera Pahang.
Masa : 7.00 petang
Kamera : Nokia E5

Diamkan perasaanmu kerana saat aku jauh, rindu adalah teman mengiringi tiap atur hidupmu. Senyumlah semanisnya kerana saat aku kembali, balang rindu itu akan berderai menjadi debu.

Fadhlur Rahman Jamaluddin,
Kampung Kerayong.

03 April 2012

246 : Mengulit Kenangan



Entah mengapa hati bergetaran tiap kali memandang kehijauan padang SK Kerayong. Hati terasa tenang melihat keriangan yang terpancar di wajah anak-anak kecil yang girang bermain. Gelak tawa mereka mengamit perasaan syahdu di hati ini. Mungkin kerana 20 tahun yang lalu, padang inilah yang menjadi saksi, suka, duka, pahit dan getir aku dalam mendewasakan diri.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...