Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

03 December 2012

271 : Cuti-Cuti Malaysia: Tasik Bera


Pintu Gerbang Tasik Bera.
Tasik Bera merupakan sistem tasik air tawar semula jadi yang terletak di barat daya Pahang, Malaysia. Menganjur ke banjaran gunung utama dan timur Semenanjung Malaysia, melanjut ke 35 km panjang dan 20 km lebar dan mengalir ke Sungai Pahang melalui Sungai Bera.

Papan tanda ke Tasik Bera.
Sebagai paya air tawar yang terbesar di Semenanjung Malaysia, Tasik Bera mengekalkan ciri-ciri hutan belantara tanah lembap yang unik dan jauh dari pencemaran. Dikelilingi oleh campur aduk kering dan basah hutan pamah dipterokarpa, persekitaran tasik termasuk pulau-pulau hutan paya gambut kaya dengan hidupan liar dan tumbuh-tumbuhan, ekosistem yang menyokong kepelbagaian haiwan dan tumbuhan serta mengekalkan kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai yang menghuni sejak sekian lama

Pihak yang menguruskan Tapak Ramsar Tasik Bera
Ia telah dilindungi di bawah Konvensyen Ramsar sejak November 1994, yang membolehkan penggunaan tradisional kawasan itu untuk dikekalkan. Zon teras terdiri daripada 260 km ² dan zon penampan 275 km ². Tasik ini menjadi fokus kajian saintifik dan dilindungi di bawah undang-undang kerajaan Malaysia dan antarabangsa. Kerajaan negeri telah menguatkuasakan satu program  selama 3 tahun dengan bantuan kewangan kerajaan Denmark dan bantuan teknikal dari Wetlands International Asia Pacific.

Perlu melaporkan nama, kad pengenalan, no plat kenderaan dan bilangan pengunjung.

Tasik Bera, yang terdiri daripada daripada tujuh lembah yang dibanjiri air sungai dan membentuk ekosistem tasik sungai berukuran 35 kilometer panjang dan 20 kilometer lebar. Ia menjadikan tasik ini adalah takungan air tawar yang terbesar di Malaysia. Lebih menarik, tasik yang kaya dengan khazanah alam dan berbiodiversiti ini telah diisytihar di peringkat antarabangsa sebagai tapak Ramsar atau rantau tanah lembap yang pertama di negara ini pada 1994. 

Pusat Khidmat Pelawat
Di sini terdapat lebih 100 spesies ikan air tawar, 200 spesies burung dan 68 spesies mamalia yang hidup di persekitarannya termasuk beberapa spesies yang diancam kepupusan seperti gajah asia, harimau belang, arowana asia, harimau dahan, tapir dan buaya julung-julung. Kawasan Tasik yang berkeluasan 32 hektar telah dimajukan sebagai rantau pelancongan berasaskan alam semula jadi yang turut membabitkan penglibatan kaum Semelai.

Pelan Lakar Tasik Bera
Pelbagai undang-undang telah diperkenalkan bagi melindungi ekosistem Tasik Bera agar ia terus dikekalkan sebagai Rizab Hidupan Liar. Oleh itu, pelancongan yang berasaskan ekosistem amat sesuai dilakukan di tasik ini bagi memberi peluang kepada pelancong mengenali alam flora dan fauna dengan lebih dekat di samping melihat sendiri bagaimana sumber alam semula jadi hutan digunakan. 

Jeti untuk menaiki bot.
Pelancong yang datang ke sini berpeluang untuk melihat demonstrasi mengeluarkan damar daripada pokok keruing dengan memotong kulit pokok dan menyalakan api melalui lubang tempat damar mengalir keluar. Di samping itu, pelancong juga berpeluang menaiki kenu tradisional dan melihat haiwan yang bersembunyi di celah-celah daun. Malah, mereka juga ditunjukkan dengan lebih 50 cara masyarakat Orang Asli Semelai menangkap ikan. 

Kemudahan Penginapan Di Tasik Bera.
Dari segi kemudahan penginapan, pelancong boleh memilih untuk bermalam di rumah tradisional Semelai atau di Inap desa yang memberi pengalaman merasai kehidupan harian keluarga Semelai. Pelancong juga mempunyai pilihan sama ada untuk menginap di Persona Lake Resort yang menawarkan penginapan berbentuk chalet, bilik mewah dan asrama. Malah, pelancong juga dibenarkan untuk membina khemah berhampiran rumah tradisional atau di mana-mana kawasan hutan sekiranya ingin merasai pengalaman lebih dekat dengan alam semula jadi.

Laluan Jeti.
Kehijauan Tasik Bera.
Saujana Mata Memandang.
Pulau Reba.
Persona Lake Resort.
Antara Tumbuhan Yang Terdapat Di Tasik Bera.
Kelisa Di Darat.
Ruang Makan.
Bilik Mesyuarat.
Sudut Informasi.
Ikan Kaloi.
Ikan Toman.
Kemudahan Asrama.
Jeti Tasik Bera
Laluan Pejalan Kaki.
Chalet.

 Isteri Dan Anak-Anak Menikmati Hidangan Di Persona Lake Resort.





02 December 2012

270 : Review : Harimau Malaya VS Garuda

Kesebelasan Utama

Malaysia menempuh laluan yang penuh ranjau untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki yang dimenangai 2 tahun lalu. Tewas pada aksi pertama 0-3 di tangan Singapura memaksa seluruh rakyat Malaysia bangkit melaungkan amarah mereka. 

Pemain yang diludah Rajagopal namun dijilatnya kembali.

Bagai tersedar dari lamunan silam, Harimau Malaya bangkit membaham Laos 4-1. Kemenangan yang amat diperlukan bagi menghidupkan semula harapan mempertahankan kejuaraan.

Gerakan cantik pemain Harimau Muda.

Dan malam tadi, pertembungan antara hidup dan mati bagi Harimau Malaya. Kalah beerti berkecai harapan seluruh rakyat Malaysia. Menang beerti tempat  di separuh akhir terjamin. Alhamdulillah, Harimau Malaya menang dengan jaringan 2-0. 

Rajagopal, jangan mendabik dada di atas kemenangan 2-0 ke atas Indonesia kerana bukan anda yang melatih Wan Zack dan Mahali tetapi Ong Kim Swee. Kedua-dua gol Malaysia berpunca daripada gerakan pemain Harimau Muda.

Juruletih Eksperimen

Apabila pemain berada dalam 1 pasukan yang sama, berlatih bersama dan bermain bersama, maka keserasian dan persefahaman akan wujud di kalangan mereka. Perhatikan gol pertama, gerakan bermula dari Mahali menghantar bola ke Wan Zack, kemudian Wan zack menghantar ke belakang semula untuk Mahali membuat hantaran ke dalam kotak penaliti sebelum disudahkan oleh Alex. 

Pemain yang diasuh oleh Ong Kim Swee.


Perhatikan gol kedua, bagaimana Wan Zack dengan tenang mengawal bola dan menanti 'overlapping' oleh Mahali sebelum membuat hantaran untuk disudahkan dengan cantik oleh Mahali. Semua ini adalah kerana mereka bermain dalam satu pasukan iaitu Harimau Muda di Liga S. Rajagopal hanya menumpang tuah Ong Kim Swee.

 Pemain bergaji RM80,000.00????????????


Mengapa gandingan Mat Yo dan Safee tidak menjadi dalam 3 game peringkat kumpulan? Di antara mereka tidak ada persefahaman dan keserasian. Mereka bermain seolah-olah ingin membuktikan kehebatan masing-masing dengan bermain secara solo dan bukannya secara berpasukan. Tambahan pula kedua-dua pemain ini telah dikawal dengan ketat oleh pemain pertahanan pihak lawan.

Pemain yang mabuk publisiti?????????????

Semoga impian jutaan rakyat Malaysia untuk melihat Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2012 buat kali kedua berturut-turut tercapai. Kepada semua pemain, buktikan kehebatan anda dan bermainlah demi negara tercinta. Kepada Ragagopal, andai Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2012, anda bukanlah jurulatih terbaik Malaysia. Ingatlah jika pasukan menang, 90% adalah usaha pemain itu sendiri dan 10% adalah usaha anda. Jika pasukan kalah, 100% adalah kerana anda.


30 November 2012

269 : Sepagi Bersama


 Lokasi : Kedai makan, Felda Bukit Puchong

Tarikh : 24 November 2012

Kamera : Nokia E5 5 megapixel













Sesekali mengeteh bersama anak-anak di kedai makan. Menunya 5 keping roti canai dan 5 gelas milo suam. Berselera sungguh anak-anak makan. Satu kepuasan yang sukar dijelaskan dengan perkataan. Hanya gambar yang dapat menceritakan segalanya.




29 November 2012

268 : Setandan Kelapa Muda


 Lokasi : Belakang rumah mak.

Tarikh : 22 November 2012

Kamera : Nokia E5 5.0 megapixel

Kejadian : Salah sebiji buah kelapa mempunyai bentuk yang agak pelik.
















28 November 2012

267 : Catatan Di Penghujung Ramadhan 1433H




29 Ramadhan 1433H

5.00 pagi

Bersahur bersama isteri untuk kali terakhir bagi Ramadhan ini. Semoga dapat bersahur lagi di Ramadhan akan datang.




8.00 pagi

Ke rumah mak untuk mengupas kelapa, memarut kelapa, menyiang daging dan lain-lain kerja yang berkaitan dengan persiapan menyambut 1 Syawal.

Tahun ini aku tak membakar lemang kerana ketiadaan buluh. Buluh yang saban tahun aku gunakan untuk membuat lemang telah tiada angkara kerakusan dan kebodohan manusia. Bukan orang lain, anak saudara pupu ayah aku juga yang punya angkara. Memanglah marah tapi kalau dipanjang-panjangkan, nanti lain pula jadinya. Akhirnya, diamkan sahaja perasaan amarah kerana manusia yang hebat adalah manusia yang apabila marah, dia dapat mengawal kemarahannya daripada menguasai diri.




11.00 pagi

Abang aku, Anjang tiba dari Johor. Suasana semakin riuh dengan masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Adakalanya aku merasakan yang aku berada di Indonesia kerana keluarga kami ada mengambil dua orang pembantu rumah dan apabila mereka bertemu, gegak gempita jadinya. Seorang menjaga mak yang uzur dan seorang lagi bekerja dengan abang aku.

Dalam keriuhan itu, sesekali aku perhatikan isteri aku seakan menahan rasa sakit sambil mengusap perutnya yang memboyot. Kandungannya dijangkakan seminggu lagi akan bersalin. Tapi hati aku kuat mengatakan isteri aku akan bersalin kalau tak malam ini, pagi esok.




1.00 petang

Aku dan isteri serta anak yang keempat balik ke rumah. 3 orang anak yang lain, aku dah hantar balik ke kampung isteri. Ini sebagai langkah awal supaya apabila mama mereka nak bersalin nanti, senang aku nak tumpukan perhatian. Selesai solat Zohor, aku merehatkan diri sementara menanti waktu Asar kerana selepas Asar nanti, aku nak mengambil lemang yang dah ditempah sebelumnya.

Usai solat Asar, aku bergegas mengambil lemang dan menghantar ke rumah mak. Kakak kedua aku dah sampai. Dia minta tambah lagi lemang 5 batang. Sekali lagi aku ke rumah penjual lemang. Banyak pula orang berjual lemang tahun nie. Dari Padang Luas hingga ke Kerayong, tak kurang dari 5 orang menjual lemang mengambil kesempatan mencari rezeki sempena musim perayaan.

Dalam perjalanan ke rumah mak, aku mendapat panggilan telefon dari isteri. Dengan nada suara menahan kesakitan, dia memaklumkan yang rasa sakit yang dirasai makin kerap. 'Itu tanda nak bersalin dah tue', getus aku dalam hati. Segera aku pulang dan setibanya aku di rumah kelihatan adik ipar aku dah ada menanti di luar untuk membawa anak aku yang keempat balik ke kampung.




5.15 petang

Di hadapan wad kecemasan Klinik Kesihatan Padang Luas, aku berulang kali mendail nombor jururawat 'on call' yang bertugas tapi tiada jawapan. Puas mendail dan akhirnya ada jawapan tapi jururawat tersebut berada di luar kawasan. Jenuh aku mendail nombor jururawat yang seorang lagi. Namun tiada jawapan. Aku mendail nombor Pembantu Perubatan yang bertugas. Tak sampai 5 minit, beliau sampai bersama Pemandu Ambulan. Beliau menelefon jururawat yang bertugas namun hampa tiada jawapan.




6.00 petang

Suasana alam menjadi mendung. Cuaca yang tadinya cerah bertukar kelam. Titis hujan rintik-rintik mulai gugur satu persatu. Pembantu Perubatan berjaya menghubungi jururawat terbabit. Jururawat yang bertugas memberi alasan sedang memasak di dapur dan tidak mendengar bunyi telefon.




6.05 petang

Isteri memberitahu yang air ketuban dah pecah sedikit tapi bayang jururawat masih tidak kelihatan. Berkali-kali aku menelefon bagi memaklumkan yang air ketuban dah pecah tapi tiada jawapan.




6.15 petang

Jururawat terbabit tiba dengan kereta Honda warna biru. Dengan berpakaian biasa, beliau selamba bertanya 'dah lama ke sampai?'. Soalan yang bagi aku layak dijawab dengan penerajang itu aku jawab dengan senyum sinis. Segera beliau membawa isteri ke wad kecemasan. Aku menanti penuh sabar di luar bersama Pemandu yang bertugas.




6.20 petang

Cuaca menjadi semakin kelam. Tiupan angin semakin kuat. Kilauan kilat sesekali memancarkan cahayanya. Seorang lagi jururawat tiba dengan menaiki Toyota Hilux. Mewah-mewah kereta jururawat sekarang nie. Dengan telefon bimbit diletakkan di telinga bercakap dengan entah siapa, beliau terkocoh-kocoh keluar dari kereta dan melangkah laju ke wad kecemasan.

Dari luar aku perhatikan keadaaan agak kelam-kabut. Kedua-dua jururawat terbabit(terbabil...mungkin gelaran sesuai untuk salah seorang daripada mereka kerana berkali aku menelefon, sekali pun beliau tidak menjawab) bertungkus lumus menjalankan tugasan mereka.




6.30 petang

Kedengaran suara tangisan bayi menangis dengan lantangnya. Aku masih berdiri di hadapan pintu wad kecemasan sambil menjenguk melalui cermin kaca. Kedua-dua jururawat itu bertungkus lumus membuat kerja masing-masaing.




6.45 petang

Salah seorang jururawat meminta kain lampin, kain batik, pakaian bayi dan pamper. Segera aku menyerahkan beg yang sejak tadi sememangnya berada di tangan. Pengalaman menjadikan aku lebih matang dan lebih bersedia. Sempat aku bertanya akan jantina anak aku yang baru lahir. "Lelaki", balasnya sambil tersenyum. "Alhamdulillah", bisik hati kecil aku.





7.00 malam

Aku masih menunggu di luar Wad Kecemasan dengan sabar. Sesekali aku menjenguk ke dalam melalui pintu yang separuh terbuka. Aku minta kebenaran untuk berjumpa dengan isteri. Aku lihat wajahnya pucat. Bayangkan berpuasa sepanjang hari dan melahirkan zuriat dalam keadaan lapar dan dahaga bukanlah satu perkara yang mudah. Namun dia tabah menghadapi. Betapa hebatnya wanita yang bergelar isteri ini.

Jururawat memaklumkan yang isteri dan bayi aku perlu berada dalam pemerhatian selama 1 jam lagi. Selepas itu, keduanya akan dibawa ke Hospital Temerloh. Aku memutuskan untuk berbuka di rumah mak dan selepas solat Maghrib, akan membayar zakat fitrah.




8.15 malam

Usai solat dan usai membayar zakat fitrah, aku segera ke Klinik Kesihatan Padang Luas bersama sebotol air masak dan sebungkus roti. Ternyata sejak tadi, tiada seteguk air pun yang membasahi tekak isteri aku. Betapa tabah dan cekal dia mengahadapi semua ujian yang Allah berikan di penghujung Ramadhan kali ini.

Jururawat memaklumkan yang isteri dan bayi perlu di bawa ke hospital atas arahan doktor pakar. Sempat aku meminta izin untuk mengazan dan mengiqamat di telinga bayi. 




9.00 malam

Menguruskan kemasukkan isteri dan anak ke wad sambil menanti kedatangan mak mertua bersama ayah mertua dan adik ipar. Selesai urusan di dalam wad, aku menanti di lobi hospital keseorangan sambil di dalam hati, ucapan syukur ke hadrat Illahi tidak pernah putus aku lontarkan. Sesungguhnya ini merupakan pengalaman yang cukup berharga bagi aku.




19 Ogos 2012

7.00 pagi

Bersiap-siap untuk ke masjid. Ke masjid berseorangan kerana anak-anak yang lain semuanya di Kemayan. Usai solat, ke rumah mak. Bersalaman dan memohon ampun dan maaf dari ayahbonda serta adik beradik.




9.30 pagi

Pulang ke Kemayan untuk bertemu dengan anak-anak. Singgah sebentar di Tanah Perkuburan Kg Dato Sri Hamzah, menziarahi pusara anak yang sulung.

Tidur sehingga jam 1.00 petang. Anak-anak sudah bersiap untuk mengambil mama mereka dari hospital.




2.30 petang

Tiba di hospital. Menguruskan segala yang berkaitan dengan urusan keluar isteri dan anak. Segalanya lancar cuma sewaktu mengambil ubat, lama aku menunggu kerana kaunter yang dibuka hanya satu dan hanya 2 orang sahaja yang bertugas. Seorang berbangsa Cina dan seorang berbangsa India.




4.00 petang

Tiba di Kemayan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Walau ada 1-2 perkara yang hampir meragut kesabaran aku, namun aku bersyukur kerana isteri dan anak selamat dan sihat. Sesungguhnya Ramadhan dan Syawal 1433H membawa seribu rahmat kepada diri dan keluarga aku.



Semasa entri ini diterbitkan, usia Muhammad Afeef Fayyadh 3 bulan. Semakin membesar dan semakin aktif bermain. Maklumlah dikelilingi 4 orang abang, sememangnya dia menjadi tumpuan. Sering digomol, dipeluk dan dicium. Sesekali apabila abangnya yang keempat merasa cemburu, maka menangislah dia. Apabila lapar dan kehausan, tangisan adalah cara dia meminta. Alhamdulillah, syukur kepadaMU Ya Allah kerana mengurniakan kepada kami cahaya mata yang sihat dan comel. Dengan izinMU jua Ya Allah, akan kami jaga dan didik amanahMU ini dengan ISLAM.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...