Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

31 August 2011

235 : Merdeka Kali Ini



Ogos menjengah lagi. Mengimbau semangat merdeka. Namun entah  mengapa tahun ini dirasakan sambutan kemerdekaan seakan lesu dan hambar. Kempen kibar Jalur Gemilang  begitu gah dilaungkan pak menteri namun rakyat memandang sepi. Mungkin rakyat sudah muak mendengarnya atau mungkin juga semangat raya lebih jitu dalam jati diri rakyat Malaysia.




Menjelang 31 Ogos, semangat kemerdekaan kembali membara dalam diri dan jiwa anak Malaysia. Mengenang dan mengimbas semangat para pejuang kemerdekaan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu. Namun semangat itu semakin disalahertikan. Semakin menyongsang dari akarnya. Semakin terhapus, terhakis dan terpupus sedikit demi sedikit. Walau kita sedari namun kita seakan sengaja membiarkan semangat merdeka dalam diri, layu dan akhirnya mati.



Setelah 54 tahun merdeka, adakah kita benar-benar merdeka? Atau hanya sekadar ungkapan biasa mainan bibir. Ianya seakan tidak meresap dalam jasad dan roh diri kita. Seolah-olah hanya terngiang-ngiang di ruang pendengaran. Sedikit pun tidak menyelinap ke akar diri. 


Merdekakah kita jika masih melata mengemis di bumi sendiri. Merdekakah kita jika masih hanyut dan khayal dalam arus pemikiran bangsa lain. Merdekakah kita jika masih mengenang kemasyhuran masa silam tanpa berusaha mengukir dan memahat sejarah baru.



Adakah merdeka itu diukur pada banyaknya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sehingga membahayakan nyawa sendiri? Jika benar maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan mengibar bendera menaikkan bendera semasa perhimpunan sekolah dulu-dulu pun aku tidak pernah. Atau adakah merdeka itu diukur pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun. Di mana kita semua berkumpul di kawasan lapang sambil melaungkan sumpah keramat "MERDEKA". Kemudian bersorak sakan sampai lupa asal  usul. Merempit sampai hilang nyawa. Menonggeng sampai hilang dara. Jika inilah ukuran semangat merdeka. Maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan berembun pada detik 12.00 tengah malam, berpanas terik berbaris berarak beramai-ramai pun aku tidak pernah.

Maka akukah insan yang masih terbelenggu akal dan fikiran. Masih buntu dan dungu menelah dan mentaksir pengertian hidup yang amat sukar untuk dimergertikan. Atau akukah insan sisihan dari arus putaran zaman yang membelit dan menyelit di antara realiti nyata dan maya. Atau akukah insan yang bisa menjulang keris pusaka, merobek dan mencincang jasad-jasad laknat yang cuba menjajahi kembali bumi bertuah ini.

Moga merdeka kali ini, bisa memerdekakan jiwa-jiwa songsang yang menyongsang dari agama, adat dan budaya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...