Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

11 August 2011

231 : 20 Ramadhan Terakhir 1432H




Aku bukan orang alim malah amat jahil bab-bab agama tapi aku berusaha mencari kesempurnaan iman. Bukan niat mendabik dada. Kononnya warak dan kuat beribadat cuma di ruang dan peluang yang ada ini, aku nak kongsi sedikit pengamatan dan pengalaman yang aku tempuhi semasa solat berjamaah. Semoga jika ada kebaikan, ianya dari Allah dan jika ada kelemahan ianya dari kedaifan diri aku sendiri.

Ramadhan memasuki fasa kedua iaitu 10 hari di pertengahan di mana Allah menjanjikan keampunan kepada hambaNYA yang beramal soleh. 10 hari pertama Ramadhan, masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi dengan makmum yang mendirikan Solat Sunat Tarawikh. Di sini aku paparkan beberapa situasi yang pernah aku alami semasa bersolat sunat Tarawikh.



Situasi 1:

Malam pertama memang ramai yang datang bersolat...masing-masing dengan semangat dan keazaman yang utuh. Dengan harapan Ramadhan kali ini, mereka akan mendapat keampunan dan keberkatan dari Allah S.W.T. Apabila masuk malam yang ke 15...dari penuh 7-8 saf, tinggal 3 saf sahaja. Ramai yang mulai sibuk dengan persiapan raya seperti membeli-belah dan membuat kuih-muih.

Situasi 2:

Ada sesetengah daripada kita apabila solat Tarawikh, nampak batang hidung kat masjid. Bulan-bulan lain cuma seminggu sekali datang berjemaah di masjid. Itu pun terpaksa sebab semua orang pergi. Bukan nak kata orang lain, aku pun sama juga.

Situasi 3:

Masa nak mendirikan solat ada di antara kita  suka sangat kangkang kaki luas-luas. Sampaikan orang di sebelah jadi terhimpit. Sepatutnya boleh muat seorang lagi tetapi jadi tidak muat sebab kita kangkang luas sangat. Ada juga yang tidak suka merapatkan saf. Tidak mahu bersentuh bahu dengan orang di sebelah. Entah apa yang dibimbangkan pun hanya dia dan Allah yang mengetahui. Sedangkan merapat dan meluruskan saf adalah sebahagian rukun solat.

Situasi 4:

Sedang kita bersolat, tiba-tiba ada semacam bau yang kurang enak dihidu. Sehingga menganggu kekhusyukkan solat kita. Kadang-kadang jadi pening akibat terhidu bau tersebut. Bau itu pula macam-macam perisa ada. Ada bau petai, jering, budu, belacan, kari. Namun yang paling aku tidak dapat tahan ialah bau mulut orang yang merokok dan bau ketiak hangit...pergh! baunya cukup menusuk kalbu lubang hidung aku. Apa salahnya kalau kita gosok dulu gigi kita lepas berbuka supaya kita tidak mendapat dosa akibat menganggu makmum lain.

Situasi 5:

Bilangan rakaat solat Sunat Tarawikh, ada yang lakukan 8 rakaat dan ada yang lakukan 20 rakaat. Ada macam-macam pendapat. Ada yang kata Rasulullah solat 8 rakaat sahaja. Jadi kalau solat 20 rakaat,itu bidaah namanya. Janganlah salah sangka, Rasulullah solat 8 rakaat tapi 8 rakaat Rasulullah lebih lama dan panjang dari 20 rakaat yang kita buat. Terpulang atas kita samada hendak buat 8 atau 20. Tak salah buat 8 rakaat. Yang salahnya ialah bila selesai sahaja 8 rakaat, kita duduk bersembang di tepi tangga sambil hisap rokok dan gelak ketawa sehingga menganggu orang lain yang sedang khusyuk bersolat. Dan tidak salah buat 20 rakaat cuma yang salah ialah apabila timbul riak dalam hati yang menyatakan akan dapat pahala lebih berbanding dengan orang yang solat 8 rakaat sahaja. Dan yang paling salah ialah apabila langsung tidak ke masjid untuk bertarawikh tetapi melepak di hadapan TV menonton rancangan hiburan yang melalaikan.

Situasi 6:

Dah jadi kebiasaan di masjid-masjid dan di surau-surau akan mengadakan majlis berbuka puasa. Bagus sebab selain dapat mengeratkan silaturrahim sesama muslim, kita juga dapat bersolat Maghrib berjemaah. Cuma yang tidak bagusnya ialah semasa berbuka penuh meja tapi bila solat, banyak saf-saf yang ronggak. Sama juga bila solat Tarawikh cuma ada 10 orang sahaja tapi bila "moreh", jadi ramai pula sehingga tidak cukup kuih muih yang disediakan.


Situasi 7 :


Ramai di antara kita membawa anak-anak ke masjid untuk bertarawikh. Bagus, satu latihan di peringkat awal supaya nanti mereka akan selalu berjemaah di masjid. Cuma yang tidak eloknya bila kita tidak mengawal anak-anak kita. Kita solat di saf hadapan tapi anak-anak kita membuat bising di belakang sehingga menganggu makmum yang lain. Dalam mencari pahala di bulan yang mulia ini tanpa kita sedar kita telah melakukan dosa. Seeloknya jika membawa anak ke masjid, awasi mereka. Bersolat di saf belakang dan pastikan anak kita berada di belakang untuk mudah mengawasi mereka.


Banyak lagi kejadian-kejadian aneh tapi benar berlaku sepanjang bulan Ramadhan. Bukan niat aku nak menunjuk-nunjuk cuma sekadar renungan kita bersama. Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat dan keampunan buat kita semua. Insyallah.

2 comments:

Don Balon said...

Pemikiran eton sama dengan pemikiran abang sudin..

Yang pentingnya kita mesti mencuba mencapai taqwa, dengan melalui Ramadhan dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh.

Fadh said...

Koi setuju dgn aok, rodong. Yg penting jaga diri kita dan berusaha mencari keredhaan Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...