Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

08 August 2011

228 : Seminggu Ramadhan

Catatan ringkas seminggu Ramadhan

Malam 1 Ramadhan 1432H di Masjid Darul Fikri, Bera Pahang.


1 RAMADHAN 1432H

Apabila diumumkan bahawa esok puasa, penuh masjid-masjid dan surau-surau dengan orang ramai yang ingin mendirikan Solat Terawikh. Alhamdulillah, itu tandanya semua Syaitan dan Iblis telah pun dibelenggu oleh Allah.


Hari pertama puasa, cuaca boleh tahan panasnya. Mungkin ramai yang tersasul termakan dan terminum. Maklumlah hari pertama puasa.

Mentari pagi 2 Ramadhan 1432H
Lokasi : Taman Permai (hadapan PPD Bera)
Kamera : Nokia E5

2 RAMADHAN 1432H

Masih ada lagi yang termakan dan terminum. Kalau betul-betul 'ter', dimaafkan dan tidak batal puasa. Tapi jika sengaja buat-buat lupa maka batal puasa dan berdosa.


Cuaca panas terik. Allah menguji hambaNYA. Ramai yang mengeluh dan hampir tewas. Hingga kita lupa, panas di dunia tidak sama dengan panas di akhirat nanti.

Muhammad Haris Farhan, 8 tahun terlena dalam lapar dan dahaga.

3 RAMADHAN 1432H

Siangnya sangat panas terik. Ramai yang mengeluh kesah. Maka pada malamnya Allah turunkan hujan. Satu rahmat yang Allah turunkan untuk hambaNYA. Cuaca yang dingin mengakibatkan bilangan yang hadir berterawikh di masjid-masjid dan surau-surau berkurangan. Hujan dijadikan alasan untuk berenak-enakkan di depan TV.

Tapak baru Pasar Ramadhan Kerayong @ Bandar Bera
3 Ramadhan 1432H, 3.15 petang
Kamera Nokia E5

4 RAMADHAN 1432H

Sikap manusia memang sukar untuk berubah walau di bulan yang mulia ini. Mudah menyangka yang bukan-bukan dan suka mengadu tanpa usul periksa. Dilihatnya sekali terus membuat telahan. Lantas mengadu domba. Semoga Allah memberikan keampunan kepada golongan yang seperti ini.

Anak bulan 4 Ramadhan 1432H
Lokasi : KIP SK Kerayong, Bera Pahang
Kamera : Nokia E5

5 RAMADHAN 1432H

Cuaca redup dan mendung sepanjang hari. Rahmat Allah tidak terperi banyaknya. Namun kita selalu leka dan alpa. Apabila menikmati nikmat Allah, sukarnya mulut dan hati menuturkan ucapan ALHAMDULILLAH. Betapa kita mudah kufur dengan nikmat yang Allah berikan.

Tragedi petang 5 Ramadhan 1432H
Lokasi : Simpang masuk ke Pasar Ramadhan Kerayong @ Bandar Bera

6 RAMADHAN 1432H

Sabtu pertama Ramadhan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman. Matlamat untuk berbuka bersama keluarga. Perasaan girang tidak terperi apabila dapat berkumpul berbuka bersama keluarga tercinta.


Namun ada juga yang mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Terutama yang bekerja makan gaji. Hari cuti hujung minggu dijadikan medan untuk men'qada'kan waktu tidur yang terpaksa dikorbankan sewaktu hari bekerja. Usai bersahur, selimut ditarik semula. Melayan mimpi indah hingga tidak solat Subuh. Maka sia-sialah puasa yang dikerjakan. Tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah kecuali lapar dan dahaga.


Masjid Darul Fikri, Bera Pahang.
Petang 6 Ramadhan 1432H

7 RAMADHAN 1432H


Genap seminggu berpuasa, lagu raya mula berkumandang di corong-corong radio dan di pasaraya. Mencemarkan kemuliaan Ramadhan. Di mana letaknya sensiviti penyampai-penyampai radio yang rata-rata beragama Islam apabila menyiarkan lagu raya seawal 7 Ramadhan. Situasi sebegini amat mengecewakan.


Ditambah pula dengan keghairahan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat ganda di bulan yang suci ini. Bukan sahaja di pasaraya yang mengadakan pelbagai promosi sempena Syawal malahan peniaga-peniaga di Bazar Ramadhan juga turut serta dengan menjual makanan dan minuman dengan harga yang mahal namun kualiti rasa dan tahap kebersihan juga amat mendukacitakan.


Ramadhan berlalu seminggu. Antara sedar atau tidak, Ramadhan makin meninggalkan kita. Entah sempat lagikah kita bertemu Ramadhan yang akan datang. Kita hanya mampu merancang namun ketentuannya Allah jua yang berkuasa. Oleh itu, marilah kita merebut peluang dan ruang yang ada ini untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Dan semoga kita dapat bertemu di Ramadhan yang akan datang. Insyallah.

2 comments:

Don Balon said...

Adu domba tu biasala bagi orang jenis gitu rodonc..

Koi sampei nok muntoh doh, oranc lain buat saloh pranc lain yanc kena, sebab maleh nok satay-cucuk,cucuk,kipas.

Fadh said...

don, bg diorg mmg biasa tapi bagi kita yg kena adu sdgkan apa yg diadukan itu pedooh, jenuh nahan sabar. kita pun bkn nyer jenis iman kuat sgt pn...silap2 gayer, berparang weh hehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...