Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

31 August 2011

235 : Merdeka Kali Ini



Ogos menjengah lagi. Mengimbau semangat merdeka. Namun entah  mengapa tahun ini dirasakan sambutan kemerdekaan seakan lesu dan hambar. Kempen kibar Jalur Gemilang  begitu gah dilaungkan pak menteri namun rakyat memandang sepi. Mungkin rakyat sudah muak mendengarnya atau mungkin juga semangat raya lebih jitu dalam jati diri rakyat Malaysia.




Menjelang 31 Ogos, semangat kemerdekaan kembali membara dalam diri dan jiwa anak Malaysia. Mengenang dan mengimbas semangat para pejuang kemerdekaan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu. Namun semangat itu semakin disalahertikan. Semakin menyongsang dari akarnya. Semakin terhapus, terhakis dan terpupus sedikit demi sedikit. Walau kita sedari namun kita seakan sengaja membiarkan semangat merdeka dalam diri, layu dan akhirnya mati.



Setelah 54 tahun merdeka, adakah kita benar-benar merdeka? Atau hanya sekadar ungkapan biasa mainan bibir. Ianya seakan tidak meresap dalam jasad dan roh diri kita. Seolah-olah hanya terngiang-ngiang di ruang pendengaran. Sedikit pun tidak menyelinap ke akar diri. 


Merdekakah kita jika masih melata mengemis di bumi sendiri. Merdekakah kita jika masih hanyut dan khayal dalam arus pemikiran bangsa lain. Merdekakah kita jika masih mengenang kemasyhuran masa silam tanpa berusaha mengukir dan memahat sejarah baru.



Adakah merdeka itu diukur pada banyaknya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sehingga membahayakan nyawa sendiri? Jika benar maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan mengibar bendera menaikkan bendera semasa perhimpunan sekolah dulu-dulu pun aku tidak pernah. Atau adakah merdeka itu diukur pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun. Di mana kita semua berkumpul di kawasan lapang sambil melaungkan sumpah keramat "MERDEKA". Kemudian bersorak sakan sampai lupa asal  usul. Merempit sampai hilang nyawa. Menonggeng sampai hilang dara. Jika inilah ukuran semangat merdeka. Maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan berembun pada detik 12.00 tengah malam, berpanas terik berbaris berarak beramai-ramai pun aku tidak pernah.

Maka akukah insan yang masih terbelenggu akal dan fikiran. Masih buntu dan dungu menelah dan mentaksir pengertian hidup yang amat sukar untuk dimergertikan. Atau akukah insan sisihan dari arus putaran zaman yang membelit dan menyelit di antara realiti nyata dan maya. Atau akukah insan yang bisa menjulang keris pusaka, merobek dan mencincang jasad-jasad laknat yang cuba menjajahi kembali bumi bertuah ini.

Moga merdeka kali ini, bisa memerdekakan jiwa-jiwa songsang yang menyongsang dari agama, adat dan budaya.

28 August 2011

234 : Akhir Ramadhan Ini

Lokasi : Masjid Darul Fikri, Bera.



Ramadhan kian melabuhkan tirainya. Syawal bakal menjelma. Di  akhir Ramadhan ini, marilah berdoa semoga Allah akan mempertemukan kita dengan Ramadhan yang akan datang. Dan berdoalah moga segala amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini diterima dan diganjari oleh Allah SWT.

Akhir Ramadhan ini jangan pula kita asyik dengan persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Usah diturutkan kata nafsu. Beringat sebelum terlewat. Jangan nanti selepas raya terpaksa meminjam kerana semua wang sudah habis dibelanjakan.

Akhir Ramadhan ini, janganlah dilupakan pada kewajipan menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungan kita. Bagi yang bekerja makan gaji, seeloknya zakat dibayar di tempat/kawasan/daerah atau negeri kita bekerja. Bagi negeri Pahang, zakat fitrah telah ditetapkan sebanyak RM7 seorang. Seeloknya kita menyegerakan untuk membayar zakat fitrah kerana dikhuatiri kita akan terlupa lantaran sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri.

Dan di akhir Ramadhan ini juga janganlah kita lupa pada mereka yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan pertolongan. Andai ada rezeki lebih, hulurkan sekadar yang mampu bagi meringgankan beban yang mereka tanggung supaya mereka dapat meraikan lebaran yang mulia ini dengan perasaan yang gembira. Semoga Allah akan memberkati hidup kita di dunia dan akhirat.

salam aidilfitri untuk semua...maaf zahir batin.

17 August 2011

233 : Catatan Ramadhan 1429H


Entri ini juga pernah diterbitkan pada 5hb September 2008. Diulang terbit untuk tatapan bersama. Moga ada sekelumit iktibar di sebalik catatan ini.

Haji Jamaluddin Chik, 75 tahun


16.08.08 yang lalu ayah buat kenduri arwah, doa selamat dan kesyukuran. 3 dalam 1. Ramai yang diundang. Siap pasang 2 buah khemah dan tempah catering lagi. Kami adik beradik ikutkan ajer dan pakat keluar duit seorang RM100 untuk belanja kenduri.

Sabtu lepas, semua kakak-kakak dan abang-abang aku balik. Kami berbuka bersama. Penuh rumah mak dengan anak menantu, cucu dan cicit dia. Ramai sungguh. Rasa macam nak raya pulak. Aku tengok ayah cukup terhibur melayan kerenah cucu-cucunya hingga lewat ke masjid untuk bertarawikh. Jauh di sudut hati, aku merasa sedikit terkilan kerana mak tak ikut sama.

Pagi semalam...aku bangun seawal 3 pagi. Mandi dan sahur beramai-ramai. 4.00 pagi, kami beramai-ramai ke Tol Chenor. Riuh rendah kawasan rehat tol dengan gelagat anak-anak aku yang bermain dengan sepupu mereka. Bukan kami sekeluarga sahaja yang menghantar tapi ada 2 buah keluarga lagi. 1 dari Felda Purun dan lagi 1 dari Maran. Hinggakan polis peronda lebuhraya berhenti untuk bertanya tujuan kami berkumpul ramai-ramai. Mungkin polis tue ingat kami nie nak tunjuk perasaan. Dalam hati aku menjawab, "memang nak tunjuk perasaan pun...perasaan kasih dan sayang kami pada ayah".

Hampir setengah jam kami menunggu bas yang disewa khas yang akan membawa ayah ke KLIA. Pada kali ini ayah mengikut rombongan umrah yang dipimpin oleh Ustaz Tn Ibrahim Tn Man. Ayah akan ke Madinah terlebih dulu sebelum ke Mekah. Dan dijangka pulang pada 21 Ramadhan nanti. Aku berdoa semoga ayah selamat pergi dan pulang.

Sebenarnya, hati perasaan aku merasa sedih dan hiba. Sebelum berangkat, ayah berulang-kali menyatakan keinginannya untuk menghembuskan nafas yang terakhir di Tanah Suci Mekah. Perasaan aku berbaur. Aku tak nak kehilangan ayah tapi kalau dah itu takdir Illahi, aku pasrah menerima apa jua ketentuan-Nya. Dan berbuka Maghrib semalam, mak hanya berbuka dengan telur goreng walau isteri aku masak gulai ayam. "Tak de selera" jawab mak bila aku tanya. Mungkin mak rindu pada ayah.

16 August 2011

232 : Catatan Ramadhan 1427H

Entri ini pernah diterbitkan pada 15.10.2006. Diulang terbit untuk bacaan semua dengan sedikit suntingan terutama dari segi gaya bahasa. Semoga ada pengajaran di sebalik catatan ini.

Muhammad Haris Farhan, ketika berusia 3 tahun.
2 hari aku tak masuk dalam blog dan menulis apa-apa. Jumaat aku cuti rehat khas yang diberi kepada para guru sebanyak 7 hari setahun. Sabtu, aku balik kampung isteri dan hari ini aku masuk blog semula.


Cerita pasal cuti hari Jumaat lepas, aku bukanlah saja-saja cuti atau sakit.Aku cuti sebab aku ke KLIA. Menunggu ketibaan ayah pulang dari melakukan umrah. Aku ke Sepang menaiki kereta milik ayah, Nissan Sunny keluaran 1985. Bersama abang sulung, mak dan anak aku yang berusia 3 tahun. Dari rumah pukul 11.30 pagi dan tiba di KLIA pukul 2.30 petang. Melalui Batu Kikir, Kuala Pilah dan masuk Highway Plus di Senawang. Abang aku yang memandu jadi kesempatan yang ada aku gunakan untuk memerhati sekeliling sebab selalunya mataku hanya tertumpu ke hadapan sebab aku yang memandu.

Sepanjang perjalanan pelbagai panorama yang dapat aku saksikan. pelbagai gelagat manusia yang dapat aku perhatikan. Semasa melalui Kawasan Rehat Seremban. Aku dapat sms dari teman sekerja mengatakan Maniq “on-air” sampai kul 4 petang. Aku tukar siaran radio. Dapatlah dengar suara pembaca blog Aku Masih Di Sini yang pertama.

Sampai KLIA, kami cari tempat parking berbumbung. Pusing punya pusing, 'parking' kat B G 8. Itu pun tinggal satu sahaja tempat kosong. Yang lainnya penuh. Risau aku masa abang aku nak 'parking'. Bukan apa, kiri kanan semuanya kereta mewah. Sebelah kiri kereta BMW 3 series dan sebelah kanan Mercedez mata belalang. Kalau terlanggar atau bergesel mahu kena saman. Tidak pun berabis duit nak bayar ganti rugi. Bila aku keluar dari kereta, aku perhatikan semuanya kereta mewah yang 'parking' di situ. Kereta ayah aku sahaja yang paling tidak mewah. Terlintas juga rasa rendah diri tapi bila difikirkan balik, aku bersyukur dengan apa yang ada sebab dulu usahkan kereta second- hand, motor cabuk pun ayah aku tidak mampu nak beli. Kira ada kemajuanlah orang tua aku. Masa dia muda dulu, jalan kaki sahaja. Lepas itu naik basikal. Kemudian naik motor Honda kapcai lampu bulat gear satu tekan ke belakang. Lepas itu, dia beli motor baru. Honda Ex5, hasil elaun lebih masa dia sebagai Jaga sekolah. Dan sejak 3 tahun yang lepas, ayah aku beli kereta dengan harga RM 8,000/-. Hasil dari tanah yang mula dia terokai pada zaman dia naik basikal lagi. Aku jadi makin sedar. Inilah yang dikatakan kehidupan. Sentiasa berubah dan rezeki ada di mana-mana selagi kita berusaha.

Kami sampai pukul 2.30 petang. Sedangkan penerbangan ayah dijangka tiba pada pukul 4.05 petang. Jadi kesempatan yang ada, aku bawa anak aku jalan-jalan sekeliling balai ketibaan, balai berlepas dan anjung tinjau. Biar dia tengok dan dapat belajar apa yang patut. Supaya dia tidak jadi macam aku. Usahkan nak rasa naik kapal terbang, jejakkan kaki ke KLIA pun baru kali yang ketiga. Kali pertama masa hantar anak sedara aku yang sulung belajar di UK dan kali kedua hantar anak sedara yang kedua belajar di German. Itu pun 3 tahun yang lepas. Aku jadi teruja tengok kapal terbang turun naik depan mata. Walau jauh tapi bagi aku ianya amat mengagumkan. Bagaimana dengan keizinan Allah, kapal terbang yang beratnya bertan-tan, dapat terbang di langit. Selama ini tengok kapal terbang lalu atas kepala sahaja. Aku ingat lagi masa aku sekolah rendah dulu. Kalau dengar bunyi kapal terbang lalu, semua pakat serbu keluar, nak tengok kapal terbang. Siap lambai lagi. Cikgu tidak marah pun sebab mereka tahu, proses pembelajaran tidak semestinya dalam bilik darjah sahaja. Di mana-mana pun proses pembelajaran boleh berlaku. Masa aku belajar di Maktab Perguruan Kota Bharu dulu, selalu juga aku tengok kapal terbang sebab Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dengan maktab tidak jauh, sebelah sahaja. Selalunya masa kuliah kalau kapal terbang nak berlepas atau mendarat, memang bising. Pensyarah terpaksa berhenti sekejap bercakap. Lepas itu baru sambung balik. Tetapi masa itu, aku tidaklah lari keluar bilik kuliah. Walau rasa teringin nak tengok tapi terpaksa 'control' sebab takut kena gelak. Anak aku pulak, langsung tak heran tengok kapal terbang. Mungkin dia tidakk reti apa-apa lagi atau mungkin dia nanti, naik kapal terbang macam naik bas masa aku pergi sekolah dulu.

Kemudian masa nak tunggu ayah aku keluar dari pintu ketibaan…anak aku mula buat perangai. Dia nak gula-gula. Dia tarik tangan aku ajak ke sebuah kedai yang jual pelbagai jenis coklat dan gula-gula. Aku pun turutkan sahaja. Dia tunjuk ke arah satu patung coklat M&M. Macam pelajar AF4 dapat masa dalam akademi. Aku pun belek tanda harga. Mak aiii, mahalnya! Terkejut beruk aku. Kalau beruk tengok, aku tak tau laa plak terkejut apa. RM 120/- untuk satu patung yang kat dalamnya ada coklat warna-warni. Aku cuba pujuk anak aku supaya beli yang lain. Aku ingatkan ada laa yang kecik dan murah tapi tak de yang murah pada pandangan aku. Aku bukannya tak de duit. RM500/- aku bawa dalam dompet tapi aku rasa tak berbaloi beli benda macam tu sampai beratus harganya. Kalau aku berbuka kat Hotel Pan Pacific sebelah KLIA nie pun , mau tergolek kekenyangan aku makan hidangan buffet. Aku pun terus beredar. Anak aku mula menangis. Siap nak guling-guling kat lantai lagi. Tapi bila aku renung dengan renungan yang tajam,  dia terus tak jadi menangis dan terus dia ikut aku walau dengan esak tangis yang perlahan. Anak aku, walau nakal tapi kalau aku kata tak boleh, dia tak berani nak melawan. Kalau menangis pun, perlahan sahaja. Antara dengar tak dengar.

Lama juga tunggu ayah aku keluar. Kapal terbang tiba pukul 4.05 minit tapi dekat pukul 5 petang baru nampak bayang ayah aku. Bila nampak ayah tengah tolak troli, aku terus meluru masuk. Salam dan cium tangan dia. Perasaan aku masa itu berbaur. Gembira ada, terharu pun ada. Air mata mula rasa nak menitis tapi aku 'control'. Bergenang air mata di kelopak. Terasa syahdunya pertemuan ini. Aku tatap wajah ayah. Terasa kasih sayang mengalir dari redup matanya. Aku suruh anak aku salam dan cium tangan Atok dia. Aku tengok ayah aku siap peluk dan cium cucu dia. Aku makin terharu. Lepas itu abang aku pula salam dan cium tangan ayah. Masa ini aku ok lagi tapi bila mak aku salam dan cium tangan ayah aku, aku dah tak boleh tahan. Cepat-cepat aku tolak troli dan pandang tempat lain. Bukan apa, kalau aku tengok mahu bercucuran air mata aku. Betapa dalam kasih sayang antara mereka. Betapa tulus dan suci cinta mereka walau dulu mereka berkahwin atas aturan keluarga, bukan pilihan hati. Namun tetap kekal bahagia hingga ke anak cucu dan moga terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Pada mulanya, mereka akan pergi berdua tapi kesihatan mak aku tak mengizinkan. Tambahan pula tangan kanan mak patah sebab jatuh tangga bulan 8 dulu. Jadi terpaksalah ayah aku pergi sendirian. Mungkin ada rezeki tahun depan. Mereka akan pergi umrah bersama. Sebenarnya ini kali ketiga ayah aku ke Tanah Suci. Kali pertama tahun 1989, sendirian. Kali kedua tahun 1993 bersama mak dan Almarhumah wan.

Kami beredar meninggalkan KLIA pukul 5.15. Selepas aku bayar parking selama 2 jam 6 minit sebanyak RM9/-. Sebelum ke kereta, aku beli coklat jenama yang sama tapi dalam bekas kecil dan biasa yang berharga RM7.90 kat kedai sebelah kaunter bayaran parking untuk anak aku. Aku tengok dia senyum dan kembali ceria. Dalam perjalanan pulang, singgah kat Masjid Nilai, solat Asar dan kemudian ke Bazar Ramadan, beli juadah untuk berbuka. Kami berbuka di Tol Senawang, di tepi jalan. Kalau tengah jalan, kena langgar dek lori pula. Makan bekalan nasi, ikan tilapia goreng dan juadah yang dibeli. Aku tengok mak cukup berselera makan. Sepanjang pemergian ayah ke Tanah Suci, mak memang tidak ada selera nak makan. Ada satu petang tue, mak berbuka dengan nasi dan telur goreng sahaja. Walau aku ada beli ayam, ikan, sotong dan udang tapi mak kata dia tak berselera. Mungkin dia teringatkan ayah. Masa berbuka, dapatlah aku merasa kurma gred A. Ayah aku cakap mahal harganya. Sebekas harganya 40 riyal. Memang sedap, manisnya lain macam. Kalah kurma Yusof Tayob yang aku beli sebungkus RM10/-…aku tengok ramai yang singgah kat situ untuk berbuka tapi aku hairan, mengapa tak solat dulu lepas berbuka. Mungkin mereka nak cepat, aku bersangka baik. Tapi tiada urusan yang lebih penting selain dari solat. Selesai solat, kami bertolak pulang ke rumah.

Kami tiba di rumah pukul 10.30 malam. Sampai sahaja aku tengok ayah cukup ceria. Semua beg dibuka dan dikeluarkan semua barangan yang dibeli. Ditunjukkan pada anak aku gambar dia naik unta dan dia berpesan kepada anak aku. Jangan nakal-nakal dan belajar rajin-rajin supaya nanti dapat naik kapal terbang dan dapat jejakkan kaki ke Tanah Suci. Dulu dia pesan kepada aku perkara yang sama. Tapi dulu aku malas dan banyak main sebab itu aku periksa SPM 2 kali. Namun aku bersyukur dengan apa yang aku ada, miliki dan nikmati kini. Walau tidak mewah tapi cukuplah untuk aku sekeluarga. 


Demikian coretan sehari aku ke KLIA. Betapa negara kita kini semakin maju dan pesat membangun tapi apa yang aku terkilan dan kesalkan, kekayaan dan kemewahan banyak dimiliki oleh bangsa lain. Bangsa aku boleh dikira dengan jari memandu kereta mewah atau turun dari pesawat termasuklah aku sendiri. Sesungguhnya bangsa Melayu memang ketinggalan dan mungkin makin jauh ketinggalan berbanding bangsa lain. Dan dalam hidup ini, kasih sayang, hormat menghormati dalam ikatan kekeluargaan amat penting kerana tanpa kasih sayang, hormat menghormati dan ikatan kekeluargaan maka jadilah kita orang-orang yang rugi. Andai kalian masih punyai ibu bapa, kasihilah mereka seadanya kerana apabila mereka tiada kelak, kita akan jadi manusia yang kehilangan sesuatu yang tak mungkin dapat dikembalikan lagi. Hargailah setiap detik bersama ibu bapa kerana detik itulah yang akan kita kenang. Jagailah mereka sebaik mungkin kerana suatu hari nanti kita juga akan mengharapkan anak-anak kita menjaga kita bila kita tua kelak.

11 August 2011

231 : 20 Ramadhan Terakhir 1432H




Aku bukan orang alim malah amat jahil bab-bab agama tapi aku berusaha mencari kesempurnaan iman. Bukan niat mendabik dada. Kononnya warak dan kuat beribadat cuma di ruang dan peluang yang ada ini, aku nak kongsi sedikit pengamatan dan pengalaman yang aku tempuhi semasa solat berjamaah. Semoga jika ada kebaikan, ianya dari Allah dan jika ada kelemahan ianya dari kedaifan diri aku sendiri.

Ramadhan memasuki fasa kedua iaitu 10 hari di pertengahan di mana Allah menjanjikan keampunan kepada hambaNYA yang beramal soleh. 10 hari pertama Ramadhan, masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi dengan makmum yang mendirikan Solat Sunat Tarawikh. Di sini aku paparkan beberapa situasi yang pernah aku alami semasa bersolat sunat Tarawikh.



Situasi 1:

Malam pertama memang ramai yang datang bersolat...masing-masing dengan semangat dan keazaman yang utuh. Dengan harapan Ramadhan kali ini, mereka akan mendapat keampunan dan keberkatan dari Allah S.W.T. Apabila masuk malam yang ke 15...dari penuh 7-8 saf, tinggal 3 saf sahaja. Ramai yang mulai sibuk dengan persiapan raya seperti membeli-belah dan membuat kuih-muih.

Situasi 2:

Ada sesetengah daripada kita apabila solat Tarawikh, nampak batang hidung kat masjid. Bulan-bulan lain cuma seminggu sekali datang berjemaah di masjid. Itu pun terpaksa sebab semua orang pergi. Bukan nak kata orang lain, aku pun sama juga.

Situasi 3:

Masa nak mendirikan solat ada di antara kita  suka sangat kangkang kaki luas-luas. Sampaikan orang di sebelah jadi terhimpit. Sepatutnya boleh muat seorang lagi tetapi jadi tidak muat sebab kita kangkang luas sangat. Ada juga yang tidak suka merapatkan saf. Tidak mahu bersentuh bahu dengan orang di sebelah. Entah apa yang dibimbangkan pun hanya dia dan Allah yang mengetahui. Sedangkan merapat dan meluruskan saf adalah sebahagian rukun solat.

Situasi 4:

Sedang kita bersolat, tiba-tiba ada semacam bau yang kurang enak dihidu. Sehingga menganggu kekhusyukkan solat kita. Kadang-kadang jadi pening akibat terhidu bau tersebut. Bau itu pula macam-macam perisa ada. Ada bau petai, jering, budu, belacan, kari. Namun yang paling aku tidak dapat tahan ialah bau mulut orang yang merokok dan bau ketiak hangit...pergh! baunya cukup menusuk kalbu lubang hidung aku. Apa salahnya kalau kita gosok dulu gigi kita lepas berbuka supaya kita tidak mendapat dosa akibat menganggu makmum lain.

Situasi 5:

Bilangan rakaat solat Sunat Tarawikh, ada yang lakukan 8 rakaat dan ada yang lakukan 20 rakaat. Ada macam-macam pendapat. Ada yang kata Rasulullah solat 8 rakaat sahaja. Jadi kalau solat 20 rakaat,itu bidaah namanya. Janganlah salah sangka, Rasulullah solat 8 rakaat tapi 8 rakaat Rasulullah lebih lama dan panjang dari 20 rakaat yang kita buat. Terpulang atas kita samada hendak buat 8 atau 20. Tak salah buat 8 rakaat. Yang salahnya ialah bila selesai sahaja 8 rakaat, kita duduk bersembang di tepi tangga sambil hisap rokok dan gelak ketawa sehingga menganggu orang lain yang sedang khusyuk bersolat. Dan tidak salah buat 20 rakaat cuma yang salah ialah apabila timbul riak dalam hati yang menyatakan akan dapat pahala lebih berbanding dengan orang yang solat 8 rakaat sahaja. Dan yang paling salah ialah apabila langsung tidak ke masjid untuk bertarawikh tetapi melepak di hadapan TV menonton rancangan hiburan yang melalaikan.

Situasi 6:

Dah jadi kebiasaan di masjid-masjid dan di surau-surau akan mengadakan majlis berbuka puasa. Bagus sebab selain dapat mengeratkan silaturrahim sesama muslim, kita juga dapat bersolat Maghrib berjemaah. Cuma yang tidak bagusnya ialah semasa berbuka penuh meja tapi bila solat, banyak saf-saf yang ronggak. Sama juga bila solat Tarawikh cuma ada 10 orang sahaja tapi bila "moreh", jadi ramai pula sehingga tidak cukup kuih muih yang disediakan.


Situasi 7 :


Ramai di antara kita membawa anak-anak ke masjid untuk bertarawikh. Bagus, satu latihan di peringkat awal supaya nanti mereka akan selalu berjemaah di masjid. Cuma yang tidak eloknya bila kita tidak mengawal anak-anak kita. Kita solat di saf hadapan tapi anak-anak kita membuat bising di belakang sehingga menganggu makmum yang lain. Dalam mencari pahala di bulan yang mulia ini tanpa kita sedar kita telah melakukan dosa. Seeloknya jika membawa anak ke masjid, awasi mereka. Bersolat di saf belakang dan pastikan anak kita berada di belakang untuk mudah mengawasi mereka.


Banyak lagi kejadian-kejadian aneh tapi benar berlaku sepanjang bulan Ramadhan. Bukan niat aku nak menunjuk-nunjuk cuma sekadar renungan kita bersama. Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu rahmat dan keampunan buat kita semua. Insyallah.

10 August 2011

230 : Antara Puasa Dan Solat





Saat aku menulis entri ini, Ramadhan telah pun memasuki hari yang ke 10. Insyallah lagi 19 hari lagi, kita akan meraikan Aidilfitri. 

Sepanjang Ramadhan tahun ini, aku bertugas menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Darul Fikri, Bera bersama beberapa orang sahabat. Aku ditugaskan khas memasak nasi di samping kerja-kerja yang berkaitan seperti menyiang daging, bawang, ayam dan lain-lain. Alhamdulillah, berkat dari tunjuk ajar dari Ustaz Fakrulrazi yang mengetuai kami, aku kini dah pandai masak nasi minyak.

Namun apa yang agak mendukacitakan, ada di antara hadirin yang hadir berbuka puasa di masjid apabila selesai makan terus meninggalkan masjid sedangkan iqamah telah pun dilaungkan. Aku cuba bersangka baik dengan menyangka mereka mungkin ada urusan lain tapi tiada urusan yang paling penting melainkan menunaikan suruhan Allah.

Dan aku masih cuba bersangka baik dengan berkata kepada diri sendiri, mungkin mereka bersolat di rumah. Tapi bukankah mereka telah berada di tempat yang paling baik untuk bersolat yakni di rumah Allah dan berjamaah pula yang ganjarannya lebih baik dari bersolat sendiri.

Sesungguhnya ramai yang mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari namun tidak ramai yang mampu menunaikan solat yang hanya mengambil masa beberapa minit. Marilah kita berusaha menjadikan puasa kita pada tahun ini lebih baik berbanding puasa kita sebelumnya. Moga Allah memberikan ehsan kepada kita untuk terus beribadat kepadaNYA.

09 August 2011

229 : Tragedi Malam Ramadhan




Malam itu malam sabtu. Suasana di asrama agak sunyi tanpa jerit pekik lolongan guru pelatih yang kebanyakkannya balik kampung. Maka tinggallah kami yang merantau di negeri orang melayan perasaan terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Kebosanan melanda diri. Sejak balik dari Tarawikh di masjid, aku hanya terperap dalam bilik. Melayan jiwa kacau sambil kedua tangan menyilang di atas dahi. Mengelamun jauh ke langit ketujuh. "Ahh bosannya malam ini" hati kecil berbisik dan akal ligat berputar. Jam ayam jantan kat atas meja study tepat pukul 11.30 malam. Entah syaitan mana terlepas dan membisik menghasut aku. Rancangan jahat terbayang di kotak fikiran.

"Mat, moh ikut koi jap" pelawa aku tanpa beri salam mahu pun ketuk pintu. "Mana?" jawab Mat acuh tak acuh yang sedang khusyuk sangat menelaah komik 'Alam Perwira' yang dibeli siang tadi. Mungkin dia tengah mendalami hikmat Si 'Ji Fat'. "Ikut jer laa, baiknye projek nie". Dengan gaya kura-kura, dia pun bangun dari 'peta dunia' yang dilukis setiap malam.

"Kita berdua jer ke? tanya Mat. "Dah takkan nak ajok satu asrama nie" jawab aku yang sedang membilang anak tangga. "Ajok laa Jusni sekali" saran Mat. "Ikut awok laa". Mat pun segera menuju ke bilik Jusni. Tidak lama kemudian mereka berdua pun sampai.

"Apa citer?" tanya Jusni. "Ah awok nie, tak nyabor langsung" jawab aku yang tengah mencangkung kat tepi longkang. "Gini, ustaz balik kampungkan?"  "Ye" jawab Mat. "Klau gitu Ewan tinggal sorang laa?" "aah" jawab Jusni sambil betulkan ikat kain pelikat dia yang nak terlondeh. "Klau gitu...Mat, awok gie pinjam topeng dari Zaha...jumpa koi dengan Jusni kat belakang" arah aku sambil bangun dan menuju ke belakang bangunan asrama.

"Mat, cer awok intai Ewan tengah buat menda?" arah aku selaku ketua operasi. Mat pun segera 'mengintai dari tirai kamar' ikut tingkap yang separuh terbuka. "Tido" bisik Mat sambil membuat aksi orang sedang tidur. "Nie, awok gie kunci pintu bilik Ewan dari luar" arah aku lagi. "Nok kunci guna menda?" tanya Jusni kebangangan. "Pakai laa apa2 pun asalkan dia tak leh kluor" jawab aku separuh marah. Tidak lama kemudian Jusni pun datang semula sambil tunjuk isyarat ibu jari.

Aku pun mulakan operasi utama. Aku intai sikit dari celah tingkap. Nampak si Ewan tengah sedap berdengkur sambil diiringi alunan muzik dari radio. "Ooo sedapnye berdengkur...siap ko kejap lagi" bisik hati aku sambil syaitan yang terlepas tadi bersorak riang. Aku pun hulur tangan ikut jaring besi tingkap. Raba punya raba,jari aku dapat menyentuh butang "volume". Aku pun terus memusingnya dan bergemalah bunyi radio sekuat-kuatnya. Serentak dengan itu juga Ewan bangun dan menerpa ke arah radio. Cepat-cepat dia 'slow'kan volume. Sambil tue mata dia melilau ke semua arah. Kami bertiga menahan gelak sambil guling-guling atas lantai kaki lima.

Dalam 2-3 minit kemudian, kami intai semula. Ewan dah baring semula. Tapi radio dah di'off'kan. Aku pun hulur tangan dan meraba mencari butang 'on'. Sebelum itu, aku dah kuatkan volume ke tahap maksima. Apabila jumpa butang 'on/off', aku pun tekan. Bergemalah sekali lagi bunyi radio memecah kesunyiaan malam. Ewan, aku lihat melompat dari katil dan menerpa ke arah radio tapi kali ini kami dah nekad. Kami pun sergah Ewan sekuat hati dan Ewan pun menjerit meraung melolong macam orang kena sampuk sambil menuju ke arah pintu.

"Tolong...tolong...tolong aku...ada hantu kacau aku...tolong wei..." jerit Ewan sambil menendang-nendang daun pintu. Mulanya kami ketawa terbahak-bahak. Tetapi kemudiannya kami jadi cuak, bimbang dan risau pun mula bersarang di hati kami apabila melihat Ewan bagaikan dirasuk. Oleh kerana bimbang sekiranya Ewan pengsan ke atau betul-betul histeria sampai hilang ingatan dan kami akan didakwa kerana menyakat sehingga mengakibatkan kematian. Dengan pantas kami meluru untuk membuka pintu bilik Ewan yang Jusni kunci dari luar. Apabila pintu bilik kami buka, Ewan meluru berlari ke arah luar pagar menuju ke arah asrama guru pelatih wanita yang jaraknya lebih kurang 50 meter tanpa berbaju hanya berseluar pendek sambil menjerit minta tolong sebab ada hantu nak makan dia. Kami kejar Ewan dan dapat peluk dia betul-betul dekat pintu pagar asrama guru pelatih wanita...

"Wan, bawak mengucap Wan" aku bersuara sambil memeluk dia dari belakang. Jusni pegang kaki dan Mat pula pegang tangan. Ewan masih meronta-ronta untuk melepaskan diri sambil menjerit "Mak tolong hantu nak makan ewan!!" Cepat-cepat aku tekup mulut dia dengan tangan dan arahkan Mat dan Jusni angkat Ewan balik asrama. Separuh nyawa kami bertiga bergelut mengangkat Ewan yang meronta-ronta untuk melepaskan diri. Sampai saja kat asrama, kami bawa Ewan ke bilik air tingkat bawah dan jirus dia dengan air paip. Barulah dia tenang dan sedar apa yang terjadi pada diri dia.

"Celake korang...babi sial anak haram" dan segala sumpah seranah maki hamun yang keluar dari mulut Ewan bila kami jelaskan yang kami hanya suka-suka menyakat dia. Mulut Ewan tak henti-henti melepaskan perkataan carut marut yang terlintas di fikirannya walau berkali-kali kami minta maaf. Aku tanya dia kenapa dia lari bila kami buka pintu dan panggil nama dia. Dia jawab, mahu nye tak lari kalau dah hantu kejar dia. Rupa-rupanya masa kami buka pintu bilik Ewan, kami lupa nak tanggalkan topeng muka hantu yang aku suruh Mat pinjam dari Zaha. Patutlah makin dikejar makin laju larinya Si Ewan.

Esoknya gempar satu asrama tentang kisah Ewan dikacau hantu. Macam-macam cerita yang timbul. Kami bertiga terpaksa merasuah Ewan supaya menyembunyikan cerita sebenar dengan membelanja dia berbuka puasa selama seminggu.

08 August 2011

228 : Seminggu Ramadhan

Catatan ringkas seminggu Ramadhan

Malam 1 Ramadhan 1432H di Masjid Darul Fikri, Bera Pahang.


1 RAMADHAN 1432H

Apabila diumumkan bahawa esok puasa, penuh masjid-masjid dan surau-surau dengan orang ramai yang ingin mendirikan Solat Terawikh. Alhamdulillah, itu tandanya semua Syaitan dan Iblis telah pun dibelenggu oleh Allah.


Hari pertama puasa, cuaca boleh tahan panasnya. Mungkin ramai yang tersasul termakan dan terminum. Maklumlah hari pertama puasa.

Mentari pagi 2 Ramadhan 1432H
Lokasi : Taman Permai (hadapan PPD Bera)
Kamera : Nokia E5

2 RAMADHAN 1432H

Masih ada lagi yang termakan dan terminum. Kalau betul-betul 'ter', dimaafkan dan tidak batal puasa. Tapi jika sengaja buat-buat lupa maka batal puasa dan berdosa.


Cuaca panas terik. Allah menguji hambaNYA. Ramai yang mengeluh dan hampir tewas. Hingga kita lupa, panas di dunia tidak sama dengan panas di akhirat nanti.

Muhammad Haris Farhan, 8 tahun terlena dalam lapar dan dahaga.

3 RAMADHAN 1432H

Siangnya sangat panas terik. Ramai yang mengeluh kesah. Maka pada malamnya Allah turunkan hujan. Satu rahmat yang Allah turunkan untuk hambaNYA. Cuaca yang dingin mengakibatkan bilangan yang hadir berterawikh di masjid-masjid dan surau-surau berkurangan. Hujan dijadikan alasan untuk berenak-enakkan di depan TV.

Tapak baru Pasar Ramadhan Kerayong @ Bandar Bera
3 Ramadhan 1432H, 3.15 petang
Kamera Nokia E5

4 RAMADHAN 1432H

Sikap manusia memang sukar untuk berubah walau di bulan yang mulia ini. Mudah menyangka yang bukan-bukan dan suka mengadu tanpa usul periksa. Dilihatnya sekali terus membuat telahan. Lantas mengadu domba. Semoga Allah memberikan keampunan kepada golongan yang seperti ini.

Anak bulan 4 Ramadhan 1432H
Lokasi : KIP SK Kerayong, Bera Pahang
Kamera : Nokia E5

5 RAMADHAN 1432H

Cuaca redup dan mendung sepanjang hari. Rahmat Allah tidak terperi banyaknya. Namun kita selalu leka dan alpa. Apabila menikmati nikmat Allah, sukarnya mulut dan hati menuturkan ucapan ALHAMDULILLAH. Betapa kita mudah kufur dengan nikmat yang Allah berikan.

Tragedi petang 5 Ramadhan 1432H
Lokasi : Simpang masuk ke Pasar Ramadhan Kerayong @ Bandar Bera

6 RAMADHAN 1432H

Sabtu pertama Ramadhan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman. Matlamat untuk berbuka bersama keluarga. Perasaan girang tidak terperi apabila dapat berkumpul berbuka bersama keluarga tercinta.


Namun ada juga yang mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Terutama yang bekerja makan gaji. Hari cuti hujung minggu dijadikan medan untuk men'qada'kan waktu tidur yang terpaksa dikorbankan sewaktu hari bekerja. Usai bersahur, selimut ditarik semula. Melayan mimpi indah hingga tidak solat Subuh. Maka sia-sialah puasa yang dikerjakan. Tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah kecuali lapar dan dahaga.


Masjid Darul Fikri, Bera Pahang.
Petang 6 Ramadhan 1432H

7 RAMADHAN 1432H


Genap seminggu berpuasa, lagu raya mula berkumandang di corong-corong radio dan di pasaraya. Mencemarkan kemuliaan Ramadhan. Di mana letaknya sensiviti penyampai-penyampai radio yang rata-rata beragama Islam apabila menyiarkan lagu raya seawal 7 Ramadhan. Situasi sebegini amat mengecewakan.


Ditambah pula dengan keghairahan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat ganda di bulan yang suci ini. Bukan sahaja di pasaraya yang mengadakan pelbagai promosi sempena Syawal malahan peniaga-peniaga di Bazar Ramadhan juga turut serta dengan menjual makanan dan minuman dengan harga yang mahal namun kualiti rasa dan tahap kebersihan juga amat mendukacitakan.


Ramadhan berlalu seminggu. Antara sedar atau tidak, Ramadhan makin meninggalkan kita. Entah sempat lagikah kita bertemu Ramadhan yang akan datang. Kita hanya mampu merancang namun ketentuannya Allah jua yang berkuasa. Oleh itu, marilah kita merebut peluang dan ruang yang ada ini untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Dan semoga kita dapat bertemu di Ramadhan yang akan datang. Insyallah.

06 August 2011

227 : Tragedi Petang 5 Ramadhan 1432H


Lokasi : Simpang masuk ke Pasar Ramadhan Bandar Bera.
              (hadapan Perpustakaan Awam Bera)
Dirakam pada pukul 7.02 petang menggunakan kamera Nokia E5.

Sesuatu kejadian yang Allah Taala jadikan itu ada hikmahnya. Kita sebagai makhluk ciptaanNYA wajib mensyukuri setiap apa yang menimpa tidak kira perkara itu baik atau sebaliknya. 

Seperti kejadian yang berlaku di dalam gambar di atas. Apabila ditimpa sesuatu musibah, janganlah kita mudah menuding jari menyalahkan orang lain. Sebaiknya kita beristighfar kepada Allah. Bermuhasabah tentang kekhilafan yang pernah kita lakukan sebelum ini. Kerana Allah turunkan musibah supaya kita dapat mengambil iktibar dan memperbetulkan kekhilafan yang telah kita lakukan. Namun acapkali apabila ditimpa musibah, kita mudah marah. Menuding jari menyalahkan pelbagai pihak sedangkan ianya berpunca dari diri kita sendiri.

Oleh itu di bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, sama-samalah kita merebut peluang dan ruang yang Allah sediakan ini untuk kita beribadah sebanyak mungkin bukan setakat berpuasa dan solat Terawikh tetapi juga bersedekah dan saling maaf memaafkan di antara satu sama lain. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu. Amin Ya Rabbal Alamin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...