Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 July 2011

225 : Selamat Datang Ramadhan 1432H



Beberapa hari lagi, umat Islam di negara kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, limpahan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh kecintaan dan kerinduaan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan sama ada dari segi rohani dan jasmani supaya dapat menghayati Ramadhan yang disambut nanti benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. 

Sebagai umat Islam, kita sewajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaan yang terdapat dalam bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
"Barangsiapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka".

Allah SWT menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk hamba-hambaNYA berlumba-lumba melakukan kebajikan. Setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan adalah peluang keemasan yang pasti tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja oleh mereka yang mengetahui kelebihan bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah maka diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu".

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, marilah kita bersama-sama istiqomah melakuan amalan-amalan wajib serta berlumba-lumba memperbanyak amalan-amalan sunat dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang bermaksud :

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa".

Marilah kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :

Pertama : Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang boleh melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

Kedua : Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, mengumpat, bermusuhan dan membangga diri.

Ketiga : Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram.

Keempat : Hendaklah menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.

Kelima : Jangan makan berlebihan ketika berbuka. Akibatnya badan menjadi penat dan mengantuk serta malas untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Keenam : Hendaklah hati kita merasa bimbang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau sebaliknya.

Ketujuh : Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya.

Kelapan : Mendirikan solat fardhu dan bertarawikh secara berjemaah di masjid atau di surau.

Kesembilan : Besedekah dan mengadakan jamuan berbuka puasa khususnya kepada sahabat, jiran tetangga dan fakir miskin.

Kesepuluh : Beriktikaf di dalam masjid serta berzikir dan bertadarus.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah supaya kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan pada hari esok serta mudah-mudahan kita akan dapat menyempurnakan puasa serta dijauhkan daripada api neraka.

5 comments:

Nizam said...

Selamat berpuase

endiem said...

selamat berpuasa semoga mendapat keberkatannya.

Fadh said...

nizam dan endiem :

Selamat Berpuasa...semoga puasa yang dilakukan mendapat keberkatan dari Allah.

Don Balon said...

Ramadhan Kareem..
Moga kita berupaya mencapai Taqwa..
Ameen..

Fadh said...

don,

Insyallah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...