Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 June 2011

220 : Sebuah Kisah Klasik Untuk Masa Depan



Sempena perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia menentang Taiwan pada malam ini, aku ingin berkongsi sebuah kisah klasik untuk masa depan.

Allah telah mengurniakan 4 orang anak lelaki yang sihat, kacak, tampan, segak, bergaya dan bijak seperti abah mereka kepada aku. (Syukur kepadaMU Ya Allah di atas kurniaan ini.) Keempat-empat mereka ini sukakan bola sepak macam abahnya juga. Mungkin ini yang dikatakan menurun. Bukan menurun nombor ekor tapi menurun kegemaran.

Sejak mereka mula berkecimpung dalam dunia bola sepak, banyak dah cermin tingkap yang pecah. Banyak RM juga dah yang terbang untuk menggantikan tingkap yang pecah. Ruang tamu merupakan stadium bola bagi mereka. Oleh sebab itu, tiada perhiasaan seperti lampu kristal atau pasu antik di rumah aku. Ini merupakan langkah keselamatan sekiranya berlaku pergaduhan di antara mereka nanti.


Bola seorang 3 biji termasuk 'bola semulajadi' yang mereka miliki sejak dalam kandungan lagi. Bukan apa, kalau sebiji kongsi 4, yang kecil sekali akan menangis kerana tak dapat bola. Mujurlah abah mereka terlibat secara langsung dalam dunia kepengadilan. Maka mudahlah bagi abah mereka untuk mencilok barang sebiji dua bola semasa mengadili perlawanan bola sepak terutama pertandingan futsal. Kalau tidak, banyak RM juga yang abah mereka kena korbankan.

Selepas Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki tahun lepas, demam jersi Malaysia melanda. Ramai yang membeli dan memakai jersi Malaysia. Para peniaga terutama di pekan sehari dan pasar malam mengaut keuntungan berlipat ganda termasuk dari abah mereka. Manakan tidak sepasang jersi Malaysia paling murah RM10. Seorang dua pasang iaitu jersi kuning dan biru. 4 orang dikali 2 pasang dan dikalikan pula dengan RM10, maka RM80 terbang lagi dari poket abah mereka. Itu belum dicampur dengan jersi Liverpool dan kasut bola yang setiap seorang sepasang.

Tapi abah mereka tidak kisah sebab abah mereka dulu main bola berkaki ayam. Kesian ayam sebab dapat nama gara-gara kegilaan abah mereka bermain bola. Abah mereka dulu masa wakil sekolah terpaksa meminjam kasut dari kawan-kawan yang tak terpilih. Nama pun kasut pinjam dah tentu besar maka terpaksalah abah mereka menyumbat surat khabar dalam kasut.

Kasut bola pertama yang abah mereka miliki berharga RM(tak ingat sebab dah lama sangat dah.) Dibeli oleh atok mereka di kedai Big Boon Temerloh. Terketar-ketar tangan atok mereka semasa menghulur duit. Tetapi pemberian kasut bola itu bukanlah percuma sebab sebelum dapat memiliki sepasang kasut bola, abah mereka terpaksa bertungkus lumus membantu atok mereka mengutip sekerap.

Kasut kedua yang dimiliki oleh abah mereka berharga RM150 berjenama Adidas Copa Mundial. Dibeli dari hasil peluh menitik abah mereka memunggah tanah menggunakan kereta sorong semasa atok dan wan mereka mem'besar'kan rumah pada tahun 1996. Pada masa itu, abah mereka sedang bercuti semester. Selepas pembelian kasut tersebut, karier sampingan abah mereka sebagai pemain bola sepak taraf kampung, daerah dan maktab serta PSKPP semakin berkembang. Banyak kejohanan yang disertai dan banyak juga kejuaraan yang dimenangi.

Sekarang di usia 34 tahun, abah mereka berada di persimpangan dilema. Untuk bermain di peringkat liga daerah bersama pemain-pemain berusia belasan dan 20-an dianggap terlalu tua dan tidak bertenaga lagi. Jika berada di dalam pasukan pun sekadar memanaskan bangku simpanan dan memanaskan hati sendiri. Untuk bermain di peringkat veteran, umur belum cukup 'haul' lagi kerana belum mencecah 40-an.

Maka disebabkan itulah abah mereka meletakkan harapan yang tinggi pada anak-anaknya untuk meneruskan kesinambungan dalam bidang sukan terutama bola sepak. Manalah tahu jika ada rezeki anak-anaknya nanti dalam tempoh 20 tahun akan datang dapat mewakili Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2032 setahun sebelum abah mereka bersara wajib. Insyallah.

27 June 2011

219 : Rokes

Dirakam pada pukul 7.55 pg Isnin 27.06.2011 di tapak perhimpunan SK Kerayong, Bera Pahang.

Rokes, sebuah majalah untuk orang kebanyakan seperti aku, kau, dia dan mereka. Berharga RM6. Lebih mahal dari sekilo gula dan lebih murah dari sekotak Dunhill 20. Membeli Rokes adalah lebih mulia dari membeli URTV ataupun MANGGA.

Aku membeli Rokes  kerana aku kagum dengan semangat yang ada pada segelintir anak muda Melayu yang berani menongkah arus dalam menzahirkan apa yang mereka inginkan. Lari dari kebiasaan bukanlah kerana memberontak tetapi membuka lembaran baru untuk generasi akan datang.

Untuk mengetahui apa yang dimuatkan di dalam Rokes, adalah lebih afdhal sekiranya membeli dan membacanya sendiri. Rokes keluaran pertama boleh dibeli dengan menekan klik Rokes

19 June 2011

217 : Terima Kasih Ayahanda



Selamat Hari Bapa diucapkan untuk ayahanda tersayang, Haji Jamaluddin Bin Chik. Terima kasih kerana menjadi ayah yang terbaik kepada anak - anakmu. Terlalu banyak pengorbanan yang ayahanda lakukan dalam membesar dan mendidik kami. Terlalu besar budi dan jasa yang ayahanda berikan kepada kami sehingga kami dapat menggapai impian hidup. Terima kasih kerana mendidik dan mengasuh kami dengan Islam. Hanya doa yang dapat dipohonkan kepada Illahi semoga ayahanda sentiasa sihat sejahtera dan mendapat keredhaan dariNYA. 


16 June 2011

216 : Berlalunya 5 Tahun






Muhammad Hakeem Danish. Lahir pada 14hb Jun 2006 jam 5.20 petang. Kini berusia 5 tahun. Bersekolah di PASTI AL HUDA: Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 5. Semoga menjadi anak yang soleh.

15 June 2011

215 : 8 Tahun Yang Berlalu


Muhammad Haris Farhan. Lahir pada 24hb Mei 2003 jam 7.02 pagi. Kini berusia 8 tahun. Belajar di Tahun 2 ARIF SK Kerayong, Bera Pahang. Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 8. Semoga menjadi anak yang soleh.

12 June 2011

214 : Jalan - Jalan Cari Makan





Tujuan : Mengambil Borang Perjanjian PPG
Tarikh : 9hb Jun 2011
Hari : Khamis
Masa : 2.00 petang
Lokasi : Warung Fais (sebelah UIAM, ikut pintu pagar belakang)
Menu : Nasi Ayam Rempah Karoni, Air Barli
Harga : RM 16

07 June 2011

213 : Wiit Wiit


Muhammad Aqeef Faiq adalah anak ketiga aku. Berusia 3 tahun pada bulan Disember nanti. Percakapannya yang pelat sering menimbulkan kekeliruan dan akhirnya mencetuskan kelucuan.


Salah satu kegemaran si Aqeef nie ialah Wiit Wiit. Kalau nak tahu, Wiit Wiit ialah jentolak. Tiap kali nampak jentolak, dia akan menyebut Wiit Wiit. Mulanya aku tak faham apa yang disebut tapi bila dia menunjuk ke arah jentolak, barulah aku faham.

Disebabkan kesukaannya terhadap Wiit Wiit, maka aku belikanlah permainan model jentolak untuknya. Punyalah suka sampai tak henti-henti mulutnya menyebut Wiit Wiit. Apabila melihat keletah si Aqeef bermain dengan Wiit Wiit, aku dapat merasakan kegembiraan dan kepuasaan yang sukar aku istilahkan dengan perkataan walau aku tahu paling lama pun Wiit Wiit itu boleh bertahan adalah 1 hari.

01 June 2011

212 : Tubuh Kerdil



Di lantai kaki lima yang berlumut
sekujur tubuh terbaring lesu
mengigil sejuk mengeletar lapar
sesekali batuk kecil kedengaran
memecah sunyi membelah kelam
lantas disahut lolongan anjing
lalu hilang disambar angin
dan sepi kembali bertamu.

Tubuh itu tubuh bernyawa
namun bernyawa tanpa nyawa
nafas yang melingkari tubuh
beranjak perlahan bagai tersekat
sesekali hembusan nafas terlepas jua
dari rongga pernafasannya
demi melunas satu kewajipan
yang entah bilakan berakhir.

Fadhlur Rahman Jamaluddin
Maktab Perguruan Kota Bharu
21.01.1998
8.15 pm 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...