Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

14 May 2011

203 : Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


sewaktu mengajar di SK Bukit Gemuruh Jan 2006 - Mac 2010

16hb Mei telah diwartakan sebagai Hari Guru bagi memperingati dan menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan oleh golongan pendidik kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bertamadun. Saban tahun 16hb Mei diraikan baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahu pun sekolah. Pada tahun ini tema yang telah dipilih ialah "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" yang membawa sebuah pengertian yang cukup besar dan bermakna bagi setiap insan yang bergelar pendidik.

bersama murid-murid SK Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan

Pasti setiap dari kita sejak kecil di sekolah rendah hinggalah kita menjejakkan kaki ke menara gading, melalui detik meraikan hari guru. Kalau dulu, mungkin sehari dua sebelum menjelangnya 16hb Mei kita sibuk merenggek mengecek sedikit wang dari ibu bapa untuk membeli hadiah bagi dihadiahkan kepada guru yang kita sayangi dan segani. Andai ibu bapa kita tidak berkemampuan, seboleh mungkin kita akan berusaha mencari sesuatu untuk dijadikan hadiah sebagai tanda penghargaan kita terhadap insan yang kita panggil cikgu. Mungkin dulu ada di antara kita yang menghadiahkan buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis. Mungkin juga ada yang memberikan kad yang dibuat sendiri semata-mata untuk menghargai jasa bakti dan pengorbanan guru terhadap kita.

Kelas 3 PI/KT Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1996-1999)

Kini setelah dewasa dan berkerjaya serta berkeluarga, segala detik-detik indah yang kita lewati zaman persekolahan dulu diimbaukan kembali oleh anak-anak kita yang seakan menuruti keterujaan kita untuk menghadiahkan sesuatu kepada guru yang mereka sayangi. Maka adalah sewajarnya kita sebagai ibu bapa menerapkan nilai murni yang suatu waktu dulu telah kita rutini iaitu menghadiahkan sesuatu kepada insan yang telah mendidik dan mengajar anak-anak kita. Setiap sesuatu pemberian bukanlah diukur nilai pada mahal atau cantiknya sesuatu barangan yang dihadiahkan tapi terletak pada keikhlasan kita yang memberi sebagai tanda penghargaan untuk guru yang mendidik dan mengajar anak-anak kita.


bersama rakan guru di SK Kemayan tahun 2000
dari kiri; cikgu Zamri, cikgu Najmi(telah kembali ke rahmatullah), aku, cikgu Nordin, cikgu Alip dan cikgu Naharuddin

Aku telah melalui saat suka duka meraikan hari guru baik sebagai murid, guru dan bapa. Pelbagai kenangan kembali mengusik jiwa tiap kali tibanya 16hb Mei. Pernah dulu aku berlapar bagi menyimpan wang saku yang diberikan ayah semata-mata untuk membelikan hadiah kepada cikgu yang telah mengenalkan aku pada "A,B,C" dan "1,2,3". Walau aku hanya menghadiahkan sebatang pen merah berjenama "Reynolds" tapi aku puas kerana cikgu yang aku hadiahkan itu menerima dengan senyuman, mendakap aku dan mengusap rambut aku sambil berbisik "Belajar rajin-rajin supaya jadi orang yang berguna". Mungkin kerana pesanan itulah meletakkan aku di tahap aku berada kini.

bersama anak murid pertama di SK Kemayan tahun 2000

Sebagai guru, sewaktu berpraktikum di sebuah sekolah yang terletak di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga pernah aku menerima sabun mandi, sabun basuh buku, susu dan budu dari murid-murid yang berlatarbelakangkan laut sebagai sumber penyambung hidup mereka. Aku menitiskan air mata keharuan apabila mereka menyatakan hanya itu yang mampu mereka berikan sebagai hadiah bagi mengenang jasa yang aku kira tidaklah sebesar mana. Itu pun menurut kata mereka diambil tanpa pengetahuan ibu bapa yang membeli barangan tersebut untuk kegunaan harian mereka. Tiap kali tibanya hari guru, imbauan kenangan itu bisa menitiskan air mata ego kelakian aku.

Pada tahun ini, anak sulung aku Arean bersekolah di Tahun 2 Arif di SK Kerayong. Sekolah yang telah memberikan aku sejuta pengalaman yang mendewasakan. Dan anak yang kedua, Arekeem bersekolah di Pasti Al-Huda. Pastinya aku ingin anak-anak aku menghadiahkan sesuatu kepada guru mereka sebagai lambang terima kasih yang tak terhingga di atas setiap tunjuk ajar yang telah diberikan. Apa hadiahnya? Aku pun belum berbincang dengan isteri hadiah bentuk apakah yang sesuai untuk dibeli. 

inilah insan teristimewa dalam hidup aku.
Selamat Hari Guru aku ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar aku di Tadika Kemas Kerayong iaitu Cikgu Ana dan Cikgu Minah. Moga cikgu berdua berbahagia selalu.

Di SK Kerayong dari tahun 1984-1989 iaitu Cikgu Ngatinam Joyo(suka cubit perut aku sampai terburai baju dari seluar), Cikgu Ahmad Kassim(masih aku ingat vespa birunya), Cikgu Daud(iras Eman Manan,suara macam Jamal Abdillah), Cikgu Gan Chen Teng(ajar aku main bola), Cikgu Sidek Ahmad(selalu panggil aku,Man), Ustazah Raubah(selalu panggil aku Fadhlurrah), Cikgu Jamaliah(pernah ketuk kepala aku dengan rekoder sebab aku tak ada rekoder) dan Cikgu Karala Singgam(pernah tanya aku, "kamu tak masuk perangkap(pengakap) ke?). Moga kalian semua beroleh kesejahteraan sentiasa.

Cikgu yang mengajar aku di SMK Mengkarak 1990-1994 iaitu Cikgu Razak Abdullah(pernah halau aku dari kelas Matematik sebab aku pandang orang main bola di padang), Cikgu Sitiwan Yaakob(garang tapi penyayang), Cikgu Noraini Ariffin(sampai sekarang masih anak dara), Cikgu Joycelin Seah(pembangkit "semangat" aku untuk belajar Matematik), Cikgu Zailani Mustajam(tegas tapi suka berseloroh), Cikgu Wan Zaidi(pernah rotan aku sebab bergaduh), Cikgu Hidzir Mohd Isa(lembut tapi penyayang), Cikgu Noriah Dzen(pernah rotan aku sebab tukar rumah sukan), Cikgu Zulkefli Yahya(pernah kata otak aku senget sebab aku terlanggar dia), Cikgu Rodzi Mohd Yusof(mengharamkan aku menyertai pasukan bola sepak sekolah gara-gara bergaduh sewaktu perlawanan peringkat sekolah hingga menerima kad merah jambu),Ustaz Hadi(sentiasa senyum sokmo,kini pengetua di SM Bera), Cikgu Faridah Siwang(selalu aku gelar dia Faridah Isi Duit), Cikgu Norkasmawati Mohd Yusof(pendorong aku untuk mengulang semula SPM 95), Cikgu Sakinah Isa(penat dia ajar aku Kimia tapi aku tetap bonggok), Ustazah Hasnah(aku suka dia sebab dia ada iras-iras mak aku), Ustazah Rokiah(denda aku jalan itik tawaf keliling blok bangunan sebab aku ponteng kelas dia),Cikgu Abdullah Ismail(kini bergelar datuk dan berhenti jadi cikgu), Cikgu Rozita Ismail(isteri Cikgu Abdullah Ismail,juga berhenti jadi cikgu dan tumpu pada bisnes), Cikgu Abdul Rashid(orang Pulau Pinang, ala-ala mamak), Cikgu Sulhana(tabah mengajar aku yang bengap Matematik) dan Cikgu Sharuddin Sulaiman(sekarang penulis skrip drama. Antara drama hasil tulisan skripnya ialah Pae, Tiga Duri Di Hati Bonda, Cinta Tsunami dan Kewek). Semoga cikgu semua beroleh kesejahteraan hidup sentiasa.

Di SM Sultan Abu Bakar, Kuantan (1995) iaitu Cikgu Hamidah Wok Awang(seorang pengetua cemerlang yang kini terlantar lumpuh di Kuantan), Cikgu Hamidah Hussein(kecil molek tapi garang), Cikgu Wahidah Anny(suka buat lawak dan gelak sorang-sorang) dan beberapa lagi cikgu yang aku tak ingat nama-nama mereka. Moga semuanya sihat-sihat senantiasa.

Di Maktab Perguruan Kota Bharu 1996-1999 iaitu Cik Nik Aida dan Cik Hendon(moga dah bertemu jodoh), Madam Anisah(yang penyayang dan sabar melayan kerenah kami, En. Low Peng Chua(pernah mengurut kaki aku yang bengkak gara-gara jatuh motor), Tn Haji Salleh(pengetua yang cukup berwibawa, suka gosok belakang guru pelatih lelaki), Ustaz Ghazali(aku cukup mengaguminya) dan semua pensyarah yang pernah bersyarah untuk aku. Semoga anda semua sejahtera sentiasa.

Kepada semua guru-guru yang pernah mendidik aku, aku bukanlah anak didik kalian yang terbaik tapi aku cukup berterima kasih di atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Sesungguhnya tanpa kalian yang mengajar dan mendidik tidak mungkin aku menjadi seperti aku sekarang ini. Jasa dan bakti kalian tidak dapat aku balas. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Doa aku semoga kalian senantiasa sejahtera dan beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. AMIN.
SELAMAT HARI GURU

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
(LAGU TEMA HARI GURU 2011)

BERSATU KITA MENUJU
PARADIGMA YANG BAHARU
SATU TEKAD DAN HARAPAN
MENYAHUT CABARAN DUNIA

PENDIDIK BERKUALITI
DEMI MENCAPAI VISI
DENGAN AZAM YANG MURNI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI

GURU…..
MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU…..
PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI
SATU MALAYSIA

PENDIDIK BERINOVASI
MENGHASILKAN KREATIVITI
BERSEDIA HADAPI CABARAN
ARUS TANPA SEMPADAN

PENDIDIK YANG BERKUALITI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI
MENGIMBANGKAN ROHANI
JATI DIRI DAN JASMANI

GURU…..
MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN

GURU…..
PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI
SATU MALAYSIA (3 X)

LAGU & LIRIK : ROSMAN ADAM

4 comments:

Don Balon said...

Cikgu Hamidah wok awang te penhetua komeh di bandor pusat dulu, koi dua kali kena rotan melilit ke dia.. melepuh kulit rahim koi kuikui

Fadh said...

don balon :

sbab rotan dek dia te laa...aok jd orh kuikuikui

kasihlatifah78 said...

walaupun kita x perenoh satu sekoloh.. tp ada beberapa org cikgu aok, cikgo kome jugak.. kalo x silap kome la,kome pn pernah bljr ngan cikgu Gan tu..masa te kome sek. kt sek keb durian tawar.. cikgu daud te pulok,bkn cikgu kome tp bekas pok sedare kome...

tp btul la kata oak te..masa kome sekoloh kt SMKT dulu pengetuanya Hamedah Wok Awang..dia kt tingkat bawoh lg,tp bila dgr je bunyit kasut tumit tinggi dia...seme dh standby bukak buku.. kalo kantoi dia masuk tiba2..mmg x selamat laa.. kome 2x kene ngan.. yg mula tu sbb x lulus ujian bulanan.. padahal kome br tukar kt sekoloh te 2 minggu..kawa2 kene sembur ngan dia.. se lagi sbb kome ponteng sekolah mase lower 6.. hehehe... ketor kene ngadap dia.. dia sokmo ngungut..kalo x dpt apa2 siap dia ambik tindakan.. tp sbb ugutan dia tu lah dpt pangkat 1 dlm SPM.. masa lower 6 tu pn kome buktikan boleh dpt 5p masa exam akhir thn..tp pastu smbg bljr kt poli... pnjg pulak koipme membebel.. apapn kome berterima kasih ngan dia.. mmg patut dia digelar pengetua superb... slmt hari guru koi ucapkan utk oak dan seme cikgu2..

Fadh said...

kasihlatifah:

jasa guru kepada kita semua tak terhitung dan tak terbalas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...