Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

31 May 2011

211 : Imam Muda


Sayup-sayup kedengaran azan Maghrib berkumandang dari surau tua yang letaknya di sebuah kampung jauh di pendalaman. Kelihatan beberapa warga emas sedang duduk di atas pangkin panjang yang diperbuat daripada kayu. Ada yang masih enak menyedut rokok daun dan ada yang masih mengelamun entah ke mana.

Pak Bakar, bilai tua yang baru usai melaungkan azan kelihatan resah seakan memikirkan sesuatu. Solat sunat yang didirikan tidak khusyuk. Hatinya merawang entah ke mana. Kata-kata Imam Salleh selepas solat Asar petang tadi masih terngiang-ngiang di corong telinganya. Perkhabaran yang membuatkannya terkedu tanpa kata.

15 minit telah berlalu. Orang semakin ramai. Entah kenapa pada senja itu bilangan yang hadir berjamaah bertambah. Pak Bakar yang duduk di saf hadapan menjadi tumpuan. Sememangnya sudah menjadi kebiasaan Imam Salleh akan tiba sebaik azan dilaungkan. Namun kelibat beliau belum kelihatan. Beberapa orang saling berpandangan. 


30 minit berlalu namun kelibat Iman Salleh masih belum kelihatan. Pak Bakar semakin kacau. Tasbih yang dipegang terasa panas. Orang kampung juga semakin gelisah. Ada yang telah 2-3 kali terbatal wudhuk. Malah ada yang tersengguk-sengguk menahan rasa mengantuk.


Akhirnya, Pak Dali memberanikan diri. Dicuitnya bahu Pak Bakar yang masih tunduk membilang tasbih. "Mane imam nie tok sampai-sampai lagi?" soal Pak Dali separa berbisik. "Dia balik ke rumah bini muda" balas Pak Bakar. "Dah...sape nak jadi imam?...Awok laa jadi imam...Awok kan Bilai...patutnya awok laa ganti imam" soal Pak Dali yang turut disertakan dengan jawapan. Tindakan Pak Dali telah membuatkan degup jantung Pak Bakar seakan terhenti.


45 minit berlalu. Akhirnya kata putus diambil. Mengikut persetujuan yang hadir, sesiapa sahaja yang datang ke surau itu selepas ini akan dilantik menjadi Imam solat Maghrib. Maka hendak dijadikan cerita, datanglah seorang budak dalam lingkungan umur belasan tahun. Belum sempat budak itu menjejakkan kaki di tangga surau, beberapa orang jemaah yang hadir telah membawanya ke dalam surau. Budak itu yang masih terpinga-pinga terus disoal oleh Pak Bakar. " Awok boleh jadi imam?" soal Pak Bakar persis Inspektor Shahab dalam filem hindustan yang sering ditonton setiap petang Sabtu. "Bo...boooleh" jawab budak itu tergagap-gagap. " Haaa...molek laa klau boleh...pak cik qomat...anok jadi imam " arah Pak Bakar. "Ta..ta..tapi" "Tak de tapi-tapi nye lagi" tingkah Pak Bakar. Dalam keterpaksaan, budak itu pun menjadi imam.


Sepanjang solat Maghrib, segalanya berjalan lancar. Bacaan budak itu amat lancar, fasih, jelas, lantang dan betul hukum tajwidnya. Maka usai sahaja solat dan berdoa, ramailah yang datang untuk bersalaman dengan budak itu dan memuji akan kebagusan bacaan dan kelancarannya. Akibat dipuji, budak itu pun merasa bangga lalu dia menyoal "Betul ke sedap bacaan saya tadi? " Betul laa...memang sedap bebenor" balas Pak Bakar. " Eh itu tak berapa sedap lagi pak cik...patutnya lagi sedap" tingkah budak itu lagi. "Ngape plok?" soal Pak Bakar kehairanan. "Tadi tue, bacaan masa tak de air sembahyang. Kalau ada air sembahyang tadi, lagi sedap" balas budak itu yang diikuti linangan air mata di pipi Pak Bakar yang mengenangkan waktu Isyak akan masuk dalam 2-3 minit lagi.




nota kaki :

ini sekadar rekaan semata-mata...tiada kena mengena dengan sesiapa pun.

30 May 2011

210 : Rindu





Rindu datang lagi
mengetuk pintu kalbu
melangkah masuk tanpa persila.

Rindu bertamu lagi
tanpa salam tanpa jabat
bersandar angkuh di sofa perasaan
tersenyum bagai mencemuh.

Rindu bertandang lagi
menghirup secawan airmata
menjamah sekeping hati
yang lara dirundung duka.

Rindu kembali lagi
mengundur diri tanpa izin
melangkah pergi tanpa lambaian
pasti datang tanpa undangan.

Fadhlur Rahman Jamaluddin
Maktab Perguruan Kota Bharu
16.02.1998

25 May 2011

209 : Sesalan





Hari-hari bagaikan berlari
Meninggalkan aku sendiri
Termanggu sepi di kamar sunyi
Kosong dan beku budi.


Masih adakah dahan waktu
Untuk  berpaut hidup
Atau segalanya telah lenyap
Dimamah rakus dalam senyap.


Telah puas mengelak bertepis
Menahan gelodak menghempas
Membadai diri tiada berpersis
Hingga tersungkur menyembam tewas.

Terpana aku meratap bencana
Tertunduk lesu tidak bermaya
Mengeluh resah tiada makna
Harapan dicita punah segala.


Kembali bangkit dari jatuh yang perit
mengutip serpihan bersisa
mencuci luka terpendam
berdiri yakin tanpa goyah
menyusun langkah semangat membara
Membenteng diri siap siaga.


Fadhlur Rahman Jamaluddin
Darul Fikri, Bera.

23 May 2011

208 : Jelmaan

Ini entri seram. Pertimbangan waras diperlukan semasa membacanya. Sebarang kejadian yang berlaku selepas membaca entri ini adalah di luar tanggungjawab penulis. Harap maklum.




Suasana aman dan damai yang selama ini dikecapi penduduk Kampung Sentosa tiba-tiba tergugat. Perkataan "sentosa" yang digunakan sebagai nama kampung mereka untuk mengambarkan keharmonian hidup penduduknya sudah tidak relevan lagi. Mereka kini hidup dalam ketakutan. Kanak-kanak tidak lagi mengaji di surau tua di hujung kampung. Masing-masing ketakutan untuk meredah gelapnya malam dan melintasi kawasan belukar berdekatan tanah perkuburan. Warung kopi Pak Din yang selama ini riuh rendah sehingga lewat tengah malam dengan penduduk yang berkumpul melepaskan lelah selepas penat seharian membanting tulang kini menjadi sepi. Anak-anak muda yang selalu melahu di kepala simpang melalak melolong bersama petikan gitar kapur turut terkena tempiasnya. Kini mereka lebih rela berkelubung dalam selimut dari keluar rumah merayau di waktu malam.


Segalanya bermula sejak kepulangan Pak Wahab yang baru menamatkan tempoh perkhidmatan dalam tentera selama lebih 10 tahun kira-kira dua minggu yang lalu. Pelbagai cerita kedengaran yang meniti dari bibir ke bibir. Paling kuat memukul canang ialah Jali, anak Pak Said orang kaya Kampung Sentosa yang perangainya sering menjadi umpat keji di kalangan penduduk kampung terutama anak-anak gadis. Jali, orang yang mula mencetuskan  kekecohan di kampung itu tidak henti-henti bercerita. Baik siang mahu pun malam, mulutnya bagaikan telah diprogram dengan komputer untuk terus menerus menjaja cerita kononnya Pak Wahab ada ‘membela’.

Mengikut cerita Jali, semasa dia menunggang motor Honda kapcai milik ayahnya yang telah pun menjadi kenderaan rasminya, dia terserempak dengan Pak Wahab yang ketika itu sedang berjalan kaki menuju surau di hujung kampung. Sewaktu berselisih itu dia sempat mengucapkan salam sebagai salah usaha memancing hati Pak Wahab kerana Pak Wahab mempunyai seorang anak gadis yang cantiknya saling tak kalah jika dibandingkan dengan Siti Nurhaliza. Sejurus itu ketika dia menghampiri kawasan belukar berhampiran tanah perkuburan, dia terserempak sekali lagi dengan Pak Wahab yang baru pulang dari kebun jika dilihat dari pakaian yang penuh dengan selut dan lumpur.  Timbul rasa curiga di hatinya. Sewaktu dia melintasi Pak Wahab, sempat dia berpaling untuk membuatkan kepastian. Sah, memang Pak Wahab yang sedang tersengih kepadanya. Sepantas kilat dia memecut motor cabuknya sepenuh hati dan perasaan hinggakan tertanggal ekzos motornya pun dia tidak sedar. Dua hari dia demam dan dua hari selepas itu tersebarlah cerita kononnya Pak Wahab membela hantu raya.

Mulanya ramai yang tidak percaya. Maklumlah siapa yang tidak kenal dengan Jali. Seorang pemuda yang sombong lagi angkuh serta sering menimbulkan keributan di kampung itu. Namun cerita Jali meresap jua di hati penduduk kampung apabila Meon, anak Lebai Kassim yang baru pulang dari mandi sungai pengsan sebaik tiba di kaki tangga rumahnya. Menurut cerita Meon yang sedar dari pengsan selepas bergelen air liur Bomoh Seman tersembur di seluruh badan menjampi dan menyerapahnya, ketika dalam perjalanan pulang dia terserempak dengan Pak Wahab yang ketika itu sedang menuju ke surau untuk bersolat Maghrib berjamaah. Sebaik tiba di kawasan belukar berhampiran tanah perkuburan, dalam samar-samar cahaya mentari senja dia ternampak sesusuk tubuh yang seakan-akan Pak Wahab yang baru berselisih dengannya beberapa meter sebelum itu sedang berjalan di hadapannya sambil memikul sesuatu di bahu. Dia meneruskan hayunan langkah dengan debar di dada. Semakin dia menghampiri susuk tubuh itu semakin kuat bau hanyir menerjah rongga hidungnya. Selangkah demi selangkah  diaturnya dan jaraknya dengan susuk tubuh itu semakin hampir. Tiba-tiba tubuh itu berpaling dan merenungnya dengan renungan yang tajam. Bagaikan dipalu halilintar, dia segera membuka langkah seribu setelah dia dapat melihat dengan jelas wajah empunya susuk tubuh itu. Tidak syak lagi, memang Pak Wahab yang sedang merenungnya.

Sejak tersebarnya cerita Meon anak Lebai Kassim disampuk belaan Pak Wahab, penduduk kami menjadi risau. Mereka risau akan keselamatan keluarga mereka. Mereka bimbang jika belaan Pak Wahab makin menganas. Bagi mereka perkara ini tidak boleh dibiarkan. Sesuatu perlu dilakukan agar keharmonian kampung mereka kembali semula.

"Ha! Kan aku dah cakap dulu lagi, Pak Wahab tue ada memakai tapi korang tak percaya" bentak Jali sambil tangan kanannya dihentakkan di meja warung Pak Din. Abu yang ketika itu hendak menghirup kopi pekat lagi likat hampir tersedak akibat terperanjat dengan bentakan Jali yang bagaikan singa lapar menerkam mangsa.    

"Kalau ikutkan hati aku, dah lama orang tua tue mampus aku kerjakan". Marah Jali belum reda malah makin menyirap bila dilihatnya Abu bersikap acuh tak acuh dengan kata-katanya sebentar tadi. "He! Abu, kau dengar tak apa yang aku cakapkan tadi?" Soal Jali sambil menepuk belakang Abu. Abu yang ketika itu sedang khusyuk mengunyah karipap tersedak akibat tercekik inti keledek.

"Kau nie Jali, agak-agak laa kalau nak marah pun. Tak nampak ke aku nie tengah makan? Kalau mati aku tadi, malu aku tau tak bila orang kampung bercerita yang aku nie mati tercekik karipap. Kau nak aku jadi hantu karipap? Lepas tue aku sumbat-sumbatkan karipap dalam mulut kau, biar kau rasa macamana seksanya aku tercekik tadi". Panjang bebelan Abu hingga Jali kehairanan kerana Abu yang dia kenali sejak kecil, yang sama-sama mandi sungai, sama-sama mencuri ayam orang kampung dan sama-sama mengintai anak dara orang kampung tiba-tiba hilang gagapnya.

"Maaflah, takkan itu pun kau nak marah kat aku". Pujuk Jali yang keberaan akibat diherdik Abu.

"Ma..ma.. maaf kau kata. Ka..ka kau tak tahu yang a..a.. aku dah du..du.. dua kali terkejut ha..ha hari nie". Jelas Abu kegagapan.

"Dua kali??? Kau terkejutkan apa lagi? Soal Jali kehairanan.

"Pa..pa pagi tadi, ma..ma masa aku nak  ke..ke ke mari, a..a aku nampak Pa..Pa Pak Wahab tengah me..me menyangkul kat ke..ke kebun dia. A..a aku pun cepat-cepat pe..pe pergi dari situ. Bi..bi bila aku sampai kat de..de depan....(TAMAT).   KAH KAH KAH...!        

21 May 2011

207 : Hakikat Ribuan Kemelut




Pada satu hakikat
tertera ribuan kemelut
yang mengiringi gerak hidup
dan memamah seluruh rasa.




Berangkatlah hari
meninggalkan segala yang terjadi
kini tinggal sisa-sisa
yang berselerakan di setiap penjuru
tanpa ada yang simpati menghulur belas.



Berakhirlah sebuah kehidupan
memutuskan segala yang bernadi
mengakhiri suatu tragedi
yang akan bersemadi
tanpa ada yang meratapi.




Lenyaplah dari bumi nyata
belenggu yang merantai dan menyelar jiwa kerdil
yang tidak berdaya melawan
menegakkan hak keadilan
hanya mampu memaku pandang
satu persatu darah terpercik
dari saraf kehidupan
sedang kita mampu mengubah
hakikat ribuan kemelut
kerana kita punyai hak.

Fadhlur Rahman Jamaluddin
Darul Fikri, Bera
22 Disember 2009


nota siku :

Catatan yang ditulis khas untuk Palestine.

19 May 2011

206 : Balada Seorang Aku



Pagi Sabtu itu seperti juga pagi sebelumnya cuaca mendung. Hujan renyai kadangkala lebat turun membasahi bumi. Dingin pagi itu memang enak untuk bermalas-malasan. Aku yang sejak usai solat subuh asyik merenung titisan hujan di cucur atap menerusi tingkap yang separuh terbuka. Sesekali hembusan bayu menerpa membawa percikan hujan yang mendinginkan. Aroma nasi lemak yang sedang ditanak bersulam bau sambal tumis ikan bilis menerajang rongga hidung. Perut boroi tahap 2 mula berkeroncong minta diisi.


Di dapur kedengaran pinggan mangkuk berlagaan sesama sendiri. Sejak tadi, isteri yang aku kahwini 9 tahun yang lalu sibuk menyiapkan sarapan. Manakala 3 putera aku masih berlingkar di atas tilam mengulit mimpi indah bersama lelehan air liur basi. Sememangnya cuaca dingin pagi itu menambahkan lagi nyenyak dengkur mereka.


Aku kembali menatap titisan hujan yang menimpa atap zink. Hujan yang tadinya lebat beransur renyai. Hati tiba-tiba menjadi pilu, sayu dan sendu. Di saat sebegini, hati mudah ditambat pilu. Segala kenangan lama mula bertamu di ruang hati.


Lamunanku terhenti apabila ditegur isteri yang baru usai memasak di dapur lalu melangkah menuju bilik mengejut Angah dan De. Aku segera ke dapur mengambil pingan dan menyeduk nasi lemak dari dalam periuk. Asap putih berkepul-kepul memenuhi pingan dan akhirnya lenyap ditipu bayu. Pagi itu nasi lemak dan sambal tumis menjadi rezeki kami sekeluarga.


nota buku lali :

Salah satu entri lama yang tidak di'publish'kan sejak tahun lepas.

17 May 2011

205 : Putus Yang Tidak Bersambung

Entri ini mengandungi unsur-unsur lucah. Pembaca dinasihati menggunakan budi bicara semasa membaca dan penulis tidak bertanggungjawab di atas sebarang kemudaratan yang  terjadi selepas membacanya.






Cuti sekolah baru seminggu bermula. Aku seperti kanak-kanak riang yang lain merasa amat gembira. Sememangnya cuti persekolahan hujung tahun merupakan cuti yang amat dinantikan oleh aku kerana aku tidak perlu merutini bangun pagi dan menggalas bag yang beratnya hampir menyamai berat aku. Ketika itu aku dalam darjah 4. Ini bermakna tahun depan aku akan belajar dalam darjah 5, darjah yang kedua senior di sekolah rendah.

Tengahari itu seperti juga hari-hari sebelumnya aku akan mengaji sebaik sahaja ayah pulang dari solat Zohor di masjid. Seperti biasa juga apabila terdengar bunyi motor honda kapcai ayah yang berplat CP8455, aku akan segera berpura-pura mengulang membaca surah-surah yang terdahulu sebelum ayah membetulkan mana-mana kesilapan di dalam bacaan aku. Namun tengahari itu ayah berkelakuan agak ganjil. Aku yang sedia menanti terpingga-pingga kehairanan.

Kehairanan aku makin menjadi apabila ayah memanggil aku ke dalam bilik. Aku walau kehairanan tetap bangun dari sila yang kejap dan melangkah menuju bilik. Di dalam bilik, aku lihat ayah telah pun duduk di birai katil. Sebaik aku berdiri di hadapannya, ayah menyuruh aku menanggalkan kain pelikat yang dipakai. Aku menjadi cemas serta-merta. Peluh dingin mula terbit. Hati tertanya-tanya apakah tujuan ayah menyuruh aku menanggalkan kain. Ayah mengulangi arahan setelah dilihatnya aku teragak-agak. Perlahan-lahan aku merungkaikan gulungan kain yang dipakai dan ternampaklah seluar pendek yang aku pakai sejak pagi tadi.

Sebaik dilihatnya seluar pendek yang aku pakai, ayah mengarahkan pula aku melondehkan seluar itu. Kali ini perasaan cemas makin membuak. Nafas yang aku hela dan hembus terasa panas. Degup jantung makin kencang. Hati kian berdebar. Sekali lagi ayah mengarahkan aku melondehkan seluar setelah aku hanya terpaku kaku di hadapannya. Tiba-tiba ayah melondehkan seluar pendek yang aku pakai…


nota : Ini entri yang dah lama terpendam sebagai 'draft". Aku nak sambung balik tapi sampai sekarang tak bersambung juga. Jadi sesuai dengan tajuknya maka entri ini tiada sambungannya. Sebenarnya aku ingin berkongsi pengalaman aku berkhatan atau bersunat. Itu sahaja.

15 May 2011

204 : Lirik Lagu Guru Malaysia Pesongkan Akidah?


Ini lirik lagu GURU MALAYSIA. Saban tahun, guru-guru yang akan menyanyikan lagu ini. Sebagai guru, aku turut menyanyikannya tetapi apabila tiba di baris "rukun negara kita, panduan hidup kami semua" aku akan berdiam diri kerana bagi aku lirik itu tidak sesuai kerana meletakkan selain Al-Quran dan As- Sunnah sebagai panduan hidup. Mari kita fikir dan renungkan bersama.

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita (kan elok klau ditukar ke "rukun islam dan rukun iman")
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

14 May 2011

203 : Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


sewaktu mengajar di SK Bukit Gemuruh Jan 2006 - Mac 2010

16hb Mei telah diwartakan sebagai Hari Guru bagi memperingati dan menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan oleh golongan pendidik kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bertamadun. Saban tahun 16hb Mei diraikan baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahu pun sekolah. Pada tahun ini tema yang telah dipilih ialah "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" yang membawa sebuah pengertian yang cukup besar dan bermakna bagi setiap insan yang bergelar pendidik.

bersama murid-murid SK Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan

Pasti setiap dari kita sejak kecil di sekolah rendah hinggalah kita menjejakkan kaki ke menara gading, melalui detik meraikan hari guru. Kalau dulu, mungkin sehari dua sebelum menjelangnya 16hb Mei kita sibuk merenggek mengecek sedikit wang dari ibu bapa untuk membeli hadiah bagi dihadiahkan kepada guru yang kita sayangi dan segani. Andai ibu bapa kita tidak berkemampuan, seboleh mungkin kita akan berusaha mencari sesuatu untuk dijadikan hadiah sebagai tanda penghargaan kita terhadap insan yang kita panggil cikgu. Mungkin dulu ada di antara kita yang menghadiahkan buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis. Mungkin juga ada yang memberikan kad yang dibuat sendiri semata-mata untuk menghargai jasa bakti dan pengorbanan guru terhadap kita.

Kelas 3 PI/KT Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1996-1999)

Kini setelah dewasa dan berkerjaya serta berkeluarga, segala detik-detik indah yang kita lewati zaman persekolahan dulu diimbaukan kembali oleh anak-anak kita yang seakan menuruti keterujaan kita untuk menghadiahkan sesuatu kepada guru yang mereka sayangi. Maka adalah sewajarnya kita sebagai ibu bapa menerapkan nilai murni yang suatu waktu dulu telah kita rutini iaitu menghadiahkan sesuatu kepada insan yang telah mendidik dan mengajar anak-anak kita. Setiap sesuatu pemberian bukanlah diukur nilai pada mahal atau cantiknya sesuatu barangan yang dihadiahkan tapi terletak pada keikhlasan kita yang memberi sebagai tanda penghargaan untuk guru yang mendidik dan mengajar anak-anak kita.


bersama rakan guru di SK Kemayan tahun 2000
dari kiri; cikgu Zamri, cikgu Najmi(telah kembali ke rahmatullah), aku, cikgu Nordin, cikgu Alip dan cikgu Naharuddin

Aku telah melalui saat suka duka meraikan hari guru baik sebagai murid, guru dan bapa. Pelbagai kenangan kembali mengusik jiwa tiap kali tibanya 16hb Mei. Pernah dulu aku berlapar bagi menyimpan wang saku yang diberikan ayah semata-mata untuk membelikan hadiah kepada cikgu yang telah mengenalkan aku pada "A,B,C" dan "1,2,3". Walau aku hanya menghadiahkan sebatang pen merah berjenama "Reynolds" tapi aku puas kerana cikgu yang aku hadiahkan itu menerima dengan senyuman, mendakap aku dan mengusap rambut aku sambil berbisik "Belajar rajin-rajin supaya jadi orang yang berguna". Mungkin kerana pesanan itulah meletakkan aku di tahap aku berada kini.

bersama anak murid pertama di SK Kemayan tahun 2000

Sebagai guru, sewaktu berpraktikum di sebuah sekolah yang terletak di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga pernah aku menerima sabun mandi, sabun basuh buku, susu dan budu dari murid-murid yang berlatarbelakangkan laut sebagai sumber penyambung hidup mereka. Aku menitiskan air mata keharuan apabila mereka menyatakan hanya itu yang mampu mereka berikan sebagai hadiah bagi mengenang jasa yang aku kira tidaklah sebesar mana. Itu pun menurut kata mereka diambil tanpa pengetahuan ibu bapa yang membeli barangan tersebut untuk kegunaan harian mereka. Tiap kali tibanya hari guru, imbauan kenangan itu bisa menitiskan air mata ego kelakian aku.

Pada tahun ini, anak sulung aku Arean bersekolah di Tahun 2 Arif di SK Kerayong. Sekolah yang telah memberikan aku sejuta pengalaman yang mendewasakan. Dan anak yang kedua, Arekeem bersekolah di Pasti Al-Huda. Pastinya aku ingin anak-anak aku menghadiahkan sesuatu kepada guru mereka sebagai lambang terima kasih yang tak terhingga di atas setiap tunjuk ajar yang telah diberikan. Apa hadiahnya? Aku pun belum berbincang dengan isteri hadiah bentuk apakah yang sesuai untuk dibeli. 

inilah insan teristimewa dalam hidup aku.
Selamat Hari Guru aku ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar aku di Tadika Kemas Kerayong iaitu Cikgu Ana dan Cikgu Minah. Moga cikgu berdua berbahagia selalu.

Di SK Kerayong dari tahun 1984-1989 iaitu Cikgu Ngatinam Joyo(suka cubit perut aku sampai terburai baju dari seluar), Cikgu Ahmad Kassim(masih aku ingat vespa birunya), Cikgu Daud(iras Eman Manan,suara macam Jamal Abdillah), Cikgu Gan Chen Teng(ajar aku main bola), Cikgu Sidek Ahmad(selalu panggil aku,Man), Ustazah Raubah(selalu panggil aku Fadhlurrah), Cikgu Jamaliah(pernah ketuk kepala aku dengan rekoder sebab aku tak ada rekoder) dan Cikgu Karala Singgam(pernah tanya aku, "kamu tak masuk perangkap(pengakap) ke?). Moga kalian semua beroleh kesejahteraan sentiasa.

Cikgu yang mengajar aku di SMK Mengkarak 1990-1994 iaitu Cikgu Razak Abdullah(pernah halau aku dari kelas Matematik sebab aku pandang orang main bola di padang), Cikgu Sitiwan Yaakob(garang tapi penyayang), Cikgu Noraini Ariffin(sampai sekarang masih anak dara), Cikgu Joycelin Seah(pembangkit "semangat" aku untuk belajar Matematik), Cikgu Zailani Mustajam(tegas tapi suka berseloroh), Cikgu Wan Zaidi(pernah rotan aku sebab bergaduh), Cikgu Hidzir Mohd Isa(lembut tapi penyayang), Cikgu Noriah Dzen(pernah rotan aku sebab tukar rumah sukan), Cikgu Zulkefli Yahya(pernah kata otak aku senget sebab aku terlanggar dia), Cikgu Rodzi Mohd Yusof(mengharamkan aku menyertai pasukan bola sepak sekolah gara-gara bergaduh sewaktu perlawanan peringkat sekolah hingga menerima kad merah jambu),Ustaz Hadi(sentiasa senyum sokmo,kini pengetua di SM Bera), Cikgu Faridah Siwang(selalu aku gelar dia Faridah Isi Duit), Cikgu Norkasmawati Mohd Yusof(pendorong aku untuk mengulang semula SPM 95), Cikgu Sakinah Isa(penat dia ajar aku Kimia tapi aku tetap bonggok), Ustazah Hasnah(aku suka dia sebab dia ada iras-iras mak aku), Ustazah Rokiah(denda aku jalan itik tawaf keliling blok bangunan sebab aku ponteng kelas dia),Cikgu Abdullah Ismail(kini bergelar datuk dan berhenti jadi cikgu), Cikgu Rozita Ismail(isteri Cikgu Abdullah Ismail,juga berhenti jadi cikgu dan tumpu pada bisnes), Cikgu Abdul Rashid(orang Pulau Pinang, ala-ala mamak), Cikgu Sulhana(tabah mengajar aku yang bengap Matematik) dan Cikgu Sharuddin Sulaiman(sekarang penulis skrip drama. Antara drama hasil tulisan skripnya ialah Pae, Tiga Duri Di Hati Bonda, Cinta Tsunami dan Kewek). Semoga cikgu semua beroleh kesejahteraan hidup sentiasa.

Di SM Sultan Abu Bakar, Kuantan (1995) iaitu Cikgu Hamidah Wok Awang(seorang pengetua cemerlang yang kini terlantar lumpuh di Kuantan), Cikgu Hamidah Hussein(kecil molek tapi garang), Cikgu Wahidah Anny(suka buat lawak dan gelak sorang-sorang) dan beberapa lagi cikgu yang aku tak ingat nama-nama mereka. Moga semuanya sihat-sihat senantiasa.

Di Maktab Perguruan Kota Bharu 1996-1999 iaitu Cik Nik Aida dan Cik Hendon(moga dah bertemu jodoh), Madam Anisah(yang penyayang dan sabar melayan kerenah kami, En. Low Peng Chua(pernah mengurut kaki aku yang bengkak gara-gara jatuh motor), Tn Haji Salleh(pengetua yang cukup berwibawa, suka gosok belakang guru pelatih lelaki), Ustaz Ghazali(aku cukup mengaguminya) dan semua pensyarah yang pernah bersyarah untuk aku. Semoga anda semua sejahtera sentiasa.

Kepada semua guru-guru yang pernah mendidik aku, aku bukanlah anak didik kalian yang terbaik tapi aku cukup berterima kasih di atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Sesungguhnya tanpa kalian yang mengajar dan mendidik tidak mungkin aku menjadi seperti aku sekarang ini. Jasa dan bakti kalian tidak dapat aku balas. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Doa aku semoga kalian senantiasa sejahtera dan beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. AMIN.
SELAMAT HARI GURU

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
(LAGU TEMA HARI GURU 2011)

BERSATU KITA MENUJU
PARADIGMA YANG BAHARU
SATU TEKAD DAN HARAPAN
MENYAHUT CABARAN DUNIA

PENDIDIK BERKUALITI
DEMI MENCAPAI VISI
DENGAN AZAM YANG MURNI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI

GURU…..
MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN
GURU…..
PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI
SATU MALAYSIA

PENDIDIK BERINOVASI
MENGHASILKAN KREATIVITI
BERSEDIA HADAPI CABARAN
ARUS TANPA SEMPADAN

PENDIDIK YANG BERKUALITI
MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI
MENGIMBANGKAN ROHANI
JATI DIRI DAN JASMANI

GURU…..
MENDIDIK INSAN DENGAN SETULUS HATI
MEMBIMBING GENERASI MASA DEPAN

GURU…..
PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA
MENJAYAKAN HASRAT YANG MURNI
SATU MALAYSIA (3 X)

LAGU & LIRIK : ROSMAN ADAM

09 May 2011

202 : Semanis Gula Sehempedu Rasa



"Atok...Atok " panggil Aiman sambil mengoncang bahu Pak Wahab yang tertidur di pangkin kayu bawah pokok nangka yang daunnya lebat merimbun.

Pak Wahab yang masih terpisat-pisat segera membuka mata lantas menghadiahkan sekuntum senyuman kepada cucu tunggal kesayangannya itu.

"Aiman dah balik?" soal Pak Wahab sambil didakap mesra cucunya itu. Aiman sekadar menganggukkan kepala yang diusap mesra oleh Atoknya. 

"Atokkkk..." Aiman bersuara manja.

"Iye...cu...ada apa? Balas Pak Wahab mesra. 

"Boleh tak kalau esok Aiman nak bawak bekal air manis pula? Asyik air masak kosong jer...kawan-kawan Aiman semuanya bawak bekal air manis...ada yang bawak sirap...ada yang bawak oren...ada yang bawak sarsi...Aiman sorang jer yang bawak air masak kosong...boleh tak, tok?" Bibir mulus Aiman petah menuturkan kata-kata yang bersulam pengharapan.

Pak Wahab terdiam seketika. Jauh dia merenung ke dalam bebola mata cucunya. Cucunya menanti penuh harapan. Dan perlahan-lahan, Pak Wahab mengangguk sambil mengukir senyum semanis mungkin walau di hatinya terasa kelat. 

"Petang nie Atok ke kedai, beli gula. Esok, Aiman boleh bawak bekal air manis ke sekolah. Sekarang, Aiman pergi tukar pakaian dan mandi. Lepas tue boleh kita solat Zohor sama-sama". Janji Pak Wahab kepada Aiman. 

Jauh di sudut hatinya, Pak Wahab tahu yang dia sekadar berjanji. Untuk dikotakan, apalah upayanya. Entah apa malangnya, getah yang ditoreh semalam telah dicuri. Malaun mana yang mencurinya tidak diketahui. Namun begitu, Pak Wahab redha menerima ujian Allah. 

..................................................................................................

Usai solat Asar petang itu, Pak Wahab bersiap untuk ke kedai Ah Chong. Itulah satu-satunya kedai yang menjual barangan keperluan penduduk Kampung Sentang. Bertahun lamanya Pak Wahab membeli barangan di situ. Tidak pernah sekalipun Pak Wahab membeli secara hutang. Tapi petang itu, Pak Wahab terpaksa mengeraskan hati untuk meminta Ah Chong membenarkannya membeli sekilo gula secara hutang demi memenuhi harapan Aiman.

Lewat petang itu, Pak Wahab mengayuh agak laju. Hatinya berlagu riang. Tidak disangka Ah Chong akan membenarkannya berhutang sekilo gula. Walau Ah Chong memberitahu harga gula telah naik namun dirasakannya memenuhi permintaan Aiman adalah lebih utama. Pak Wahab senyum sendirian sambil terus mengayuh. Terbayang di matanya, Aiman sedang menanti kepulangannya. Pastinya nanti Aiman akan melonjak kegirangan menyambutnya nanti. 

Apabila tiba di simpang rumahnya, Pak Wahab segera membelok ke kanan tanpa menoleh ke belakang. Tiba-tiba Pak Wahab terdengar bunyi hon yang kuat dan panjang diikuti bunyi dentuman yang memecah kesunyian senja. Pak Wahab merasakan dirinya melayang ke udara dan terhempas kuat di dada jalan. Pandangannya menjadi kabur. Sayup-sayup kedengaran suara Aiman memanggilnya dalam esak tangis yang semakin jauh.

"Atok...bangun tok...Aiman sayang Atok...Aiman tak nak bawak bekal air manis...Aiman nak Atok" Ratap Aiman kedengaran memecah keheningan senja. Jujuran air mata Aiman melusur deras di pipinya. Dan taburan gula di sisi Atoknya ditatap penuh kehibaan.

06 May 2011

201 : Kuala Lipis "0"

Dari 2hb Mei yang lalu, aku berada di Kuala Lipis, Pahang. Walau Kuala Lipis terletak di dalam negeri Pahang namun inilah kunjungan pertama aku dalam tempoh 19 tahun. Kali terakhir ialah pada tahun 1992 iaitu ketika berusia 15 tahun. Ketika itu aku menyertai Kejohanan Olahraga MSS Pahang yang diadakan di padang SMK Clifford. Dan masih aku ingat kenangan menaiki keretapi bersama kontijen Bera dari Stesen Keretapi Triang ke Stesen Keretapi Kuala Lipis.

Setelah 19 tahun tidak menjejakkan kaki di bumi penuh sejarah ini, aku kembali ke sini. Bersama rakan-rakan pengadil dari seluruh Pahang, aku bermukim dari 2hb hingga 7hb Mei di daerah ini untuk mengadili perlawanan bola sepak MSSM Pahang 2011. Dan kesempatan yang ada, aku gunakan untuk merakamkan kenangan bergambar di batu tanda jalan yang unik ini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...