Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

03 February 2011

197 : Pelita Yang Sebuah


Cerita ini adalah rekaan semata. Tiada kena mengena dengan mana-mana individu samada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Sebarang persamaan adalah kebetulan.

 
Aku sebuah pelita. Dilahirkan di sebuah kilang. Adik beradikku ramai. Ada yang panjang. Ada yang pendek. Ada yang bulat. Ada yang lonjong. Kami hidup bahagia. Hinggalah pada suatu hari, kami dimasukkan ke dalam kotak dan dibawa menaiki sebuah lori menuju destinasi yang aku tidak ketahui. Sebaik sampai ke destinasi yang ditujui, aku diletakkan bersama adik beradikku yang lain di sebuah stor.

Pada suatu hari, kami dikeluarkan dari stor. Apabila kotak dibuka, aku dapat lihat dua orang lelaki sedang berdiri memerhatikan kami. Salah seorang lelaki itu berbangsa Cina, bersinglet dan berseluar pendek kemudiannya mengeluarkan kami dari kotak dan meletakkan kami di atas sebuah meja. Manakala seorang lelaki lagi berbangsa melayu, bersongkok kusam, berbaju melayu lusuh dan bepelikat yang bertampal sana sini sekadar memerhati penuh minat. Dicapainya kami satu persatu. Dibeleknya kami dengan teliti. Setelah membelek beberapa ketika, akhirnya aku yang dipilih. Hatiku berbaur di antara gembira dan sedih. Gembira kerana dapat memberikan khidmat dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan adik beradik yang lain. Setelah sejumlah wang bertukar tangan, aku dibawa oleh lelaki tua itu pulang. Bermula detik itu, bermulalah episod baru dalam kehidupanku.

Hidupku setiap malam menerangi keluarga Pak Dolah, lelaki tua yang membeliku. Ketika makan malam mereka meletakkan aku di ruang dapur dan mengelilingiku. Hidangan mereka tidaklah semewah mana. Sekadar nasi berlaukkan ikan kering dan bersayurkan ulam-ulaman yang dipunggut sekitar rumah. Ada ketikanya, mereka sekadar menjamah nasi kosong. Cukuplah untuk mereka bertiga mengalas perut dari kelaparan. Selesai makan, Ali pula yang memerlukan khidmatku untuk meneranginya ketika dia menelaah pelajaran dan menyiapkan kerja rumah.

Saban malam aku setia menemani Pak Dolah sekeluarga. Setiap senja, cucunya Ali akan mencabut kepalaku. Dengan hati-hati, Ali menuangkan cecair ke dalam badanku. Kemudian kepalaku dinyalakan. Sebaik kepalaku menyala, kegelapan malam menjadi terang. Sesekala hembusan angin melintuk-liukkan nyalaan kepalaku. Dan asap pekat berterbangan ditiup bayu malam dan akhirnya melata di mana-mana.

Begitulah aku merutini hidupku bersama keluarga Pak Dolah. Pak Dolah pada pengamatanku hampir mencecah 70 tahun usianya. Manakala usia isteri Pak Dolah, Mak Temah mencecah 60 tahun. Cucu mereka, Ali adalah satu-satunya waris yang tinggal setelah anak lelaki tunggal mereka terkorban dalam kemalangan jalanraya bersama isterinya. Tinggallah Ali bersama datuk dan nenek meneruskan kelangsungan hidup. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Pada usia yang telah lanjut, Pak Dolah terpaksa membanting tulang 4 keratnya untuk sesuap nasi.

Hampir 6 bulan aku berkhidmat tanpa culas dengan keluarga Pak Dolah hinggalah pada suatu senja, aku kehairanan. Mengapa aku masih belum dinyalakan seperti senja-senja yang lalu. Aku diamkan diri. Cuba mengamati perbualan di antara Pak Dolah dan Mak Temah. Sayup-sayup kedengaran suara Pak Dolah tersekat-sekat. Mungkin masih kelelahan setelah menapak pulang dari kedai sebentar tadi. Aku cuma memahami ulas butir percakapan mereka. Terdengar di telingaku perkataan 'naik seposen'. Aku terpana.

Dan sepanjang malam itu, mereka kelaparan dalam kegelapan. Mak Temah tidak memasak. Dapur minyak tanah tidak berasap seperti malam-malam sebelumnya. Harum bau ikan pekasam yang digoreng tidak dihidu olehku. Ali tidak dapat mengulangkaji pelajaran seperti kebiasaan. Awal mereka tidur malam itu. Tidur dengan perut yang hanya dialas biskut yang dicelup air sejuk. Aku membatu di penjuru rumah. Tiada apa yang dapat aku lakukan sekadar berdiam diri. Jauh di sudut hatiku mengharapkan masih ada sinar untuk Pak Dolah, Mak Temah dan cucu mereka terus menongkah arus hidup yang terlalu kejam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...