Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

27 November 2010

192 : Pelamin Anganku Musnah


Musim cuti sekolah telah tiba. Maka ramailah teruna dan dara berebut-rebut mengakhiri zaman bujang. Hinggakan dalam sehari sampai 4-5 undangan perkahwinan. Yang menjadi persoalan ialah mengapa masa cuti sekolah, ramai yang nak kahwin. Apa kalau tak musim cuti sekolah tak boleh kahwin ke?

Bila dah banyak majlis perkahwinan, yang paling sibuk tentunya Tok Naib/Wali Hakim. Kalau sehari ada 5 majlis akad nikah, jenuh juga nak bersalam dengan pengantin. Buatnya 1 akad nikah itu makan masa 2-3 jam gara-gara kegugupan pengantin hingga 3-4 kali akad tapi masih sangkut, tak ke haru namanya. Tapi apa-apa pun, Tok Naib/Wali Hakim pasti tersenyum apabila dihulur sampul surat berisi RM sebagai upah.

Bagi bakal suami pula pastinya berdebar menanti hari bahagia. Bakal suami pasti gementar untuk melafazkan ijabkabul. Entah berapa kali berlatih pun tak tahu. Dah berlatih pun masih ramai yang sangkut.Maklumlah kali pertama bernikah. Kalau dah masuk yang kedua dan seterusnya, pasti senang sebab dah berpengalaman.

Bagi bakal isteri pula tentu berdebar menanti malam pertama. Malam yang membawa seribu pengertian dalam hidup. Ada yang tenang namun ramai juga yang kalut. Malah jika mereka didatangi 'bulan' pada malam pertama, ia merupakan satu kelegaan yang tak terhingga. Lega bagi mereka tapi sengsara bagi lelaki.

Bagi ibu bapa pengantin pula pastinya tersenyum lebar kerana mendapat menantu. Bagi ibu bapa pengantin perempuan segala persiapan dirancang dan diatur dengan teliti agar majlis berlangsung dengan lancar. Sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan yang ditanggung. Itupun jika benar-benar mendapat menantu. Jika dapat menantu yang macam hantu, tak ke haru biru dibuatnya.

Walau apa pun, perlu diingat bagaimana dalam tiap apa jua yang dilakukan, Islam wajib diletakkan di tempat yang paling atas. Dahulukan yang wajib seperti yang dituntut oleh Islam. Mana-mana adat dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam, eloklah ditinggalkan serta dijauhi dalam kehidupan seharian.

05 November 2010

191 : Serumpun Serai Seratus Ringgit



Cuaca tengahari itu memang panas. Teriknya menyelar kulit. Namun panasnya itu tidaklah sama seperti panasnya api neraka. Gua yang baru usai mandi berkira-kira untuk solat Zohor. Gua toleh jam dinding. Tepat menunjukkan pukul 2.45 petang. Sejak beberapa menjak ini, prestasi solat Zohor gua agak kucar-kacir.

Gua bentang sejadah. Gua pastikan sudutnya tepat menghadap ke arah kiblat. Gua 'aim' betul-betul. Yakin dengan ketepatan sudut arah kiblat, gua pun capai pelikat. Baru gua nak sarung, telinga gua menangkap suatu bunyi yang amat tidak enak untuk didengari. Gua tak sedap hati. Denyut jantung gua tiba-tiba meningkat. Cepat-cepat gua terpa pintu. Dan bebola mata gua menyaksikan satu adegan yang sememangnya layak gua bagi sepakan membunuh cipan tahap kesembilan.



Entah masa bila gua berada di atas 'backhoe' pun gua tak sedar. Yang gua tahu gua dah lepaskan satu 'tumbuk rusuk' pada belakang cina yang tengah khusyuk menyodok serai wangi yang mak gua tanam. Sambil itu mulut gua fasih dan lancar menghamburkan kata-kata nista dan keji terhadap cina itu. Sesekali gua selitkan juga perkataan carut dalam bahasa ibunda beliau. Sengaja gua nak bagi dia lebih faham.



Hampir 5 minit juga gua 'tarbiah' apek cina yang hanya terkebil-kebil. Entah faham ke tidak, gua tak pasti. Yang gua pasti, gua puashati dengan prestasi serta kemahiran memaki dan mencarut. "Masih berbisa". Puji gua dalam hati.



Petang itu, gua auto senyum sambil mencium  dua keping RM50. Hasil pampasan itu gua serahkan kepada mak gua yang hanya diam seakan merestui tindakan gua.

190 : Kala Rindu Berlagu Sendu


Rindu
kian berakar umbi
di dasar hatiku yang kontang
memercikkan riak-riak kenangan
yang bertamu tanpa undang.

Rindu
menitik satu persatu
berbingkai di ranting hati
memotretkan kasih nan lara
yang terlerai di kelopak madu.

Rindu
berbaur dalam sendu
menerbitkan kuntuman pilu
dalam diri yang kian bisu
pada hati yang kini beku.

Rindu
terlerai di tangkai hati
bertaburan di aspal hari
lalu lenyap dipuput bayu
dan aku terus diburu resah.


Fadhlur Rahman Jamaluddin
14.11.2009
Darul Fikri, Bera

04 November 2010

189 : Hanya Kerana Kita Melayu


Lorong-lorong yang kita lewati
adalah jalan hidup yang mati
berbaur dalam kancah diri
sebati dalam adunan noda dan pahala
menjadi tabiat tanpa sedar
menjadi ralit tanpa duga.

Telah kita lumuri lumpur di wajah hati
menjadi gering berkudis nista
hingga rebah longlai tersungkur
dalam kembara diri yang payah. 

Sampai bila harus kita berkeluh resah
menatap hari-hari berputar pergi
sedang kita masih termangu
meratap gemilang kelmarin.

Kelmarin adalah sejarah
yang terselit di dada berdarah
menjadi busung yang bernanah
dalam jiwa-jiwa yang masih terjajah.

Bangkitlah jiwa-jiwa kerdil
kita susun derap langkah beriringan
bersama kita mendaki puncak persada
kita pacakkan panji-panji kemenangan
kita laungkan semangat teguh membara
bahawa kita layu bukan kerana kita Melayu.

Fadhlur Rahman Jamaluddin
16.11.2009
Darul Fikri, Bera

03 November 2010

188 : Bukan Kerana Nama



Tanggal 4 Oktober 2006...wujudlah blog ini dengan tema Aku Masih Di sini...pada asalnya hanyalah untuk suka-suka sahaja tapi disebabkan oleh keterbiasaan maka ianya menjadi sesuatu yang menyeronok dan menyenangkan...

Tahun 2007...aku menyepi...lama juga hampir setahun tanpa sebarang entri...namun aku tetap mengekalkan blog ini walaupun bersawang...aku pun tak tahu kenapa aku tiba-tiba hilang mood... mungkin kerana orang yang memperkenalkan aku dengan dunia blog telah pun memadamkan blognya...

4 Oktober 2008...di saat kemeriahan Aidilfitri disambut girang gembira oleh umat Islam...aku turut menyambut ulangtahun ke-2 blog aku nie...walau tiada majlis rasmi bagi meraikannya...namun kewujudan blog ini amat besar erti dan membawa sejuta makna kepada aku...

4 Oktober 2009...aku benar-benar terlupa akan tarikh bermulanya aku berblog. Setelah beberapa hari apabila aku melihat senarai entri yang telah aku tulis, tiba-tiba mata aku tertarik pada entri yang ke 64. Oh rupanya aku semakin menyepi.

Dan pada 4 Oktober yang lalu, aku buat-buat lupa akan tarikh kewujudan blog ini. Memang aku sengaja mendiamkan diri seketika kerana aku agak sibuk dengan urusan harian. Ditambah pula dengan kerosakkan laptop serta kerja-kerja memindahkan entri-entri lama ke blog khusus mengikut tahun. Ini disebabkan aku ingin meringankan blog supaya ianya mudah untuk dilayari.

Bagi aku...blog akan mendatangkan manafat sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan blog juga boleh mendatangkan keburukkan jika ianya disalahgunakan...blog tempat aku meluahkan segala rasa yang aku rasa...blog tempat aku berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berguna untuk dikongsi bersama...blog adalah medium untuk mengeratkan ikatan silaturrahim sesama insan...dan blog juga selalu digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah...memarakkan lagi api persengketaan...dan bermacam2 lagi perkara yang boleh mengundang musibah...

Oleh itu...aku berblog bukan kerana nama, pangkat, harta mahu pun kuasa...aku berblog hanya kerana aku adalah aku dan aku ingin menjadi aku yang seadanya...

p/s: Bagi yang belum mengetahui asal-usul kejadian blog nie...bolehlah baca entri nie...tue pun kalau sudi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...