Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

06 September 2010

Mimbar Jumaat : Mencari Lailatul Qadar

Dibaca Pada : 3 September 2010/24 Ramadhan 1431H



Sedar atau tidak sedar, kita telah melalui lebih dua pertiga Ramadhan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui setakat manakah kualiti puasa yang kita laksanakan sampai hari ini. Marilah kita memohon kepada Allah SWT moga-moga puasa yang kita tunaikan diterima dan diganjari dengan pahala.

Pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW melipatgandakan amal ibadah Baginda khususnya pada waktu malam. Antara sebabnya adalah Allah SWT telah mengurniakan satu malam istimewa yang dinamakan sebagai malam Lailatul Qadar. Walaupun telah dijanjikan syurga, namun Baginda tetap rajin beribadah pada malam-malam terakhir Ramadhan hingga kaki Baginda bengkak. Para sahabat dan para ulama turut mengikut jejak langkah Baginda menyambut malam Lailatul Qadar dengan tekun menunaikan ibadah.

Malam Lailatul Qadar menurut Dr Hamka mempunyai dua pengertiaan. Pertama, mulia atau kemuliaan kerana antara maksud 'Al-Qadar' ialah kemuliaan. Kedua penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah SAW dalam memberi petunjuk kepada umat manusia.

Al-Qadar juga diertikan sebagai ketetapan hidup manusia. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Dukhan ayat 4 dan 5 yang bermaksud : "(Kami menurunkan Al-Quran kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah. Iaitu urusan yang besar daripa sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus para rasul".

Apakah keistimewaan malam Lailatul Qadar? Keistimewaan malam Lailatul Qadar dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNYA dalam surah Al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud: " Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat )itu hingga terbit fajar ".

Surah ini memberi pengajaran bahawa keistimewaan malam Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Luh Mahfuz ke Baitil 'Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat). dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ketika malam Lailatul Qadar, malaikat Jibril dan para malaikat Alaihimussalam akan turun ke bumi berkunjung dan memberi salam kepada mukmin yang sedang beribadah sama ada di masjid, surau, rumah kediaman atau sebagainya. Sebaliknya para ulama berpendapat rumah yang penghuninya tidak melakukan ibadah lebih-lebih yang melakukan maksiat, tidak akan dikunjungi oleh para malaikat dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berusaham meningkatkan amal ibadah, terutamanya di penghujung Ramadhan ini.

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Allah SWT menganugerahkan malam Lailatul Qadar sebagai malam yang istimewa , namun tidak dinyatakan bilakah saat kedatangannya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran diturunkan. Namun demikian, ramai ulama antaranya Ibn Umar berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan yakni setiap tahun. Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman perlu berusaha mendapatkan Lailatul Qadar dan mengisinya dengan amal ibadah sedaya mungkin.

Riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar  itu ialah pada lingkungan sepuluh malam terakhir Ramadhan, ertinya bermula daripada malam 21 kerana pada malam tersebut Nabi SAW menggandakan ibadahnya berbanding malam-malam yang sebelumnya hingga Baginda membangunkan ahli keluarganya yang tidur untuk beribadah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan".

Berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, antara tanda yang boleh diperhatikan menjelang Lailatul Qadar adakah:

1.  Suasana malam agak sepi, tenang dan bercahaya.
2.  Malamnya tidak panas dan tidak juga sejuk(sederhana).
3.  Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh.
4.  Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya seperti bulan sedang mengambang.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Lailatul Qadar sebagai suatu peluang keemasan yang tidk boleh dile[paskan untuk kita berdoa kepada Allah SWT supaya dipanjangkan umur, diberi kesihatan tubuh badan dakam ketaatan, mendapat rezeki yang halal, mendapat keberkatan hidup serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

2 comments:

Don Balon said...

Assalamualaikum rodonc..
Moga2 beroleh lailatul qadr.. :)

Fadh said...

don balon, insyallah...sama2 laa kita mencarinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...