Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

10 September 2010

Mimbar Jumaat : Kemenangan Bagi Orang Yang Berpuasa

Dibaca Pada : 10 Sept 2010/1Syawal 1432H



Puasa telah membawa kita mencapai darjah kesempurnaan iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagaimana firmanNYA dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : " Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa ".

Hakikat puasa sebenarnya adalah memberikan kemenangan dan kejayaan kepada orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah. Kemenangan dan kejayaan ini adalah merupakan kejayaan secara zahir dan batin.
Secara zahirnya puasa menjadikan tubuh badan lebih sihat kerana melalui puasa, jadual pemakanan kita lebih teratur dan membuang tabiat pemakanan yang tidak menentu selama sebelas bulan, makan mengikut selera dan keinginan tanpa mengira siang dan malam. Akibatnya ramai di kalangan kita yang menghidap pelbagai penyakit akibat pemakanan seperti kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Pakar-pakar perubatan mengakui akan kelebihan dan hikmah berpuasa. semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan membantu badan membuang sisa kotoran dan toksin di samping menyegarkan sel-sel badan.

Sebagai umat Islam sepatutnya kita adalah umat yang sihat dan cergas berbanding dengan umat-umat yang lain kerana telah dilatih sebulan dengan pengurusan kesihatan yang betul melalui pemakanan. Sebaliknya apa yang berlaku ramai di kalangan kita yang terlantar di hospital kerana menghidap pelbagai penyakit. Ini adalah akibat kita tidak menghiraukan amaran allah agar tidak membazir dan mengikut hawa nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan semasa makan dan minum.

Marilah kita elakkan berpesta dengan menjamu selera di sepanjang syawal ini dengan program rumah terbuka tanpa menghiraukan pengajaran melalui ibadah puasa.
Kemenangan yang diperolehi orang yang berpuasa seterusnya adalah kejayaan menundukkan hawa nafsu kerana ibadah puasa telah menyekat segala ruang dan peluang untuk melakukan perkara kemungkaran kerana syahwat berjaya ditundukkan melalui berlapar dan dahaga serta bersabar. Biasanya syaitan mudah mempengaruhi ketika orang itu kekenyangan serta mudah terdorong untuk melakukan maksiat dan malas beribadah.

Di samping berjaya menundukkan nafsu, puasa juga merupakan sumber kekuatan rohani dan motivasi umat Islam. Puasa yang dilaksanakan dengan oenuh keimanan dan ketaqwaan mampu menundukkan musuh-musuh Islam dengan pertolongan aAlah SWT.Ini dapat dilihat bagaimana kemenangan yang diperolehi oleh tentera Islam dalam peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Ibadah puasa yang dilaksanakan hendaklah dijadilan sumber kekuatan dan pembakar semangat kita umat Islam dalam menghadapi ancaman daripada Yahudi dan Nasrani yang sentiasa memusui dan menghancurkan Islam.
Kejayaan seterusnya adalah mengikis sifat sombong dan kedekut yang membelenggu kita. Dalam bulan Ramadjan, kita digalakkan bersedekah dan saling menolong seperti memberi makanan kepada orang-orang uang berpuasa dan membantu golongan yang tidak berada. Ramadhan juga mengajar kita agar berkasih sayang melalui pengalaman merasai sendiri perasaan lapar dan dahaga yang dialami oleh golongan fakir miskin. 

Dengan berakhirnya Ramadhan ini maka persaudaraan dan perpaduan umat Islam sepatutnya  semakin kukuh dan mantap bukannya bercakaran dan berpecah belah yang mengakibatkan kita umat Islam menjadi lemah dan dipandang rendaholeh golongan bukan Islam. Marilah kita eratkan hubungan silaturrahim yang dibina sepanjang Ramadhan terutamanya hubungan dengan ahli keluarga, seringlah  menziarahi ibu bapa dan memaafkan apa kesalahan dan kesilapan yang lalu.
Selain itu, orang yang berpuasa akan mendapat keredhaan Allah SWT kerana Ramadhan telah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka serta mendapat pengampunan di sisi Allah SWT. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Nasa'i yang bermaksud : Puasa itu untukKU(Allah SWT) dan AKUlah yang membalasnya dan tiap-tiap kebaikkan akan diberi sepuluh kali ganda.

Sesiapa yang berpuasa dengan ketaqwaan akan beroleh kelayaan dan kegembiraan di dunia dan akhirat. Kegembiraan di dunia dengan menyambut Hari Raya manakala di akhirat mendapat kemuliaan dan keredhaan Allah SWT dengan balasan syurga.
Marilah kita jadikan segala pengajaran dan didikan di bulan Ramadhan sebagai sumber kekuatan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan RasuNYA. Teruskanlah kesinambungan puasa Ramadhan dengan puasa-puasa sunat. Begitu juga amalan solat terawih dengan berjemaah ke masjid dan surau menunaikan solat fardhu setiap waktu, membaca Al-Quran setiap hari, bersedekah dan sebagainya. Semoga kita mencapai kemenangan yang hakiki setiap masa melalui ibadah puasa dengan menadi insan yang beriman dan bertaqwa.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...