Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

26 September 2010

184 : Lat Tali Lat Tali Tam Plom

Entri ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak. Sekadar untuk menegur ke arah kebaikan.


Aku bukanlah penyokong mana-mana parti politik...baik Umno mahu pun PAS apatah lagi MIC, MCA atau DAP. Cuma aku sekadar memerhati dari kejauhan akan kemelut dan kepincangan yang membadai politik negara dewasa ini. Selama ini tiada satu pun entri aku di blog ini yang berbaur politik dan aku sememangnya tidak suka untuk membicarakan soal politik. Namun aku seakan terpanggil untuk  berkongsi rasa dan pendapat.

Bera merupakan sebuah daerah yang terletak di negeri Pahang. Terkenal dengan keindahan dan keaslian alam semulajadi di Tasik Bera sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. 
 
Dalam pilihanraya umum yang ke 12, Barisan Nasional(BN) menerusi UMNO telah memenangi kerusi Parlimen Bera dan 2 daripada 3 kerusi DUN  iaitu Guai dan Kemayan. Manakala DAP masih utuh mengekalkan kerusi DUN Triang. 

Di bawah pemerintahan BN, Bera semakin hari semakin mengorak langkah dalam pelbagai bidang. Kemajuan dan kepesatan ekonomi semakin dirasai oleh penduduk Bera. Tambahan pula apabila Ahli Parlimen Bera telah dilantik menjawat jawatan menteri dalam kabinet Malaysia, dapat dilihat pembangunan di Bera dipacu hebat.

Namun begitu masih terdapat lompang-lompang yang perlu ditampung oleh pihak yang memegang amanah yang diberikan oleh penduduk Bera terutama dalam soal pembangunan kerohanian. 

Telah heboh dicanang tentang...bersambung laa plok keh keh keh

20 September 2010

183 : Bekalan Untuk Akhirat


Hidup di dunia ini hanya sementara. Akhirat nanti adalah hentian terakhir sebelum menuju Syurga atau Neraka. Allah jadikan dunia untuk kita beramal kepadaNYA. Oleh itu marilah kita merebut peluang yang Allah berikan ini untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan di akhirat nanti.


Diriwayatkan bahawa apabila seseorang itu meninggal segalanya akan terputus kecuali 3 perkara iaitu pertama, doa anak yang soleh. Kedua, ilmu yang dimanafaatkan dan yang ketiga, harta yang diwakafkan untuk kebaikan.


Di kesempatan ini, aku ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada pengunjung blog ini, andai mempunyai rezeki yang lebih, sedekahkanlah sedikit untuk kebaikan Islam yang kita sama-sama anuti. Setiap harta yang dibelanjakan ke arah jalan Allah adalah bekalan untuk kita bawa bertemu denganNYA nanti. 


Fikirkan sejenak. Andai kita bersedekah untuk membina masjid ini dan kerana sedekah yang kita hulurkan itu nanti akan terbinanya sebuah masjid yang akan menjadi tempat beribadah dan menuntut ilmu. Akan lahir nanti generasi yang berilmu, yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Dan masjid ini akan menjadi tempat beribadah kepada Allah. Selagi tidak roboh masjid ini selagi itulah orang akan datang bersolat di sini dan selama itu jugalah pahala bagi orang yang bersedekah akan berterusan.


Anggaran perbelanjaan untuk membina masjid ini ialah RM350,000.00. Dan semasa gambar ini dirakam, kerja-kerja pembinaan tertangguh akibat kekurangan wang. Oleh itu bagi yang ingin menyumbang bolehlah berhubung terus dengan:

Tg Hj Muhammad Ilias Tel: 019 9382947, Ust. Mahyuddin Husain Tel: 013 9228891, Sdr Abu Zaid Abdullah Tel: 019 9343869  

10 September 2010

Mimbar Jumaat : Kemenangan Bagi Orang Yang Berpuasa

Dibaca Pada : 10 Sept 2010/1Syawal 1432H



Puasa telah membawa kita mencapai darjah kesempurnaan iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagaimana firmanNYA dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : " Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa ".

Hakikat puasa sebenarnya adalah memberikan kemenangan dan kejayaan kepada orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah. Kemenangan dan kejayaan ini adalah merupakan kejayaan secara zahir dan batin.
Secara zahirnya puasa menjadikan tubuh badan lebih sihat kerana melalui puasa, jadual pemakanan kita lebih teratur dan membuang tabiat pemakanan yang tidak menentu selama sebelas bulan, makan mengikut selera dan keinginan tanpa mengira siang dan malam. Akibatnya ramai di kalangan kita yang menghidap pelbagai penyakit akibat pemakanan seperti kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Pakar-pakar perubatan mengakui akan kelebihan dan hikmah berpuasa. semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan membantu badan membuang sisa kotoran dan toksin di samping menyegarkan sel-sel badan.

Sebagai umat Islam sepatutnya kita adalah umat yang sihat dan cergas berbanding dengan umat-umat yang lain kerana telah dilatih sebulan dengan pengurusan kesihatan yang betul melalui pemakanan. Sebaliknya apa yang berlaku ramai di kalangan kita yang terlantar di hospital kerana menghidap pelbagai penyakit. Ini adalah akibat kita tidak menghiraukan amaran allah agar tidak membazir dan mengikut hawa nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan semasa makan dan minum.

Marilah kita elakkan berpesta dengan menjamu selera di sepanjang syawal ini dengan program rumah terbuka tanpa menghiraukan pengajaran melalui ibadah puasa.
Kemenangan yang diperolehi orang yang berpuasa seterusnya adalah kejayaan menundukkan hawa nafsu kerana ibadah puasa telah menyekat segala ruang dan peluang untuk melakukan perkara kemungkaran kerana syahwat berjaya ditundukkan melalui berlapar dan dahaga serta bersabar. Biasanya syaitan mudah mempengaruhi ketika orang itu kekenyangan serta mudah terdorong untuk melakukan maksiat dan malas beribadah.

Di samping berjaya menundukkan nafsu, puasa juga merupakan sumber kekuatan rohani dan motivasi umat Islam. Puasa yang dilaksanakan dengan oenuh keimanan dan ketaqwaan mampu menundukkan musuh-musuh Islam dengan pertolongan aAlah SWT.Ini dapat dilihat bagaimana kemenangan yang diperolehi oleh tentera Islam dalam peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Ibadah puasa yang dilaksanakan hendaklah dijadilan sumber kekuatan dan pembakar semangat kita umat Islam dalam menghadapi ancaman daripada Yahudi dan Nasrani yang sentiasa memusui dan menghancurkan Islam.
Kejayaan seterusnya adalah mengikis sifat sombong dan kedekut yang membelenggu kita. Dalam bulan Ramadjan, kita digalakkan bersedekah dan saling menolong seperti memberi makanan kepada orang-orang uang berpuasa dan membantu golongan yang tidak berada. Ramadhan juga mengajar kita agar berkasih sayang melalui pengalaman merasai sendiri perasaan lapar dan dahaga yang dialami oleh golongan fakir miskin. 

Dengan berakhirnya Ramadhan ini maka persaudaraan dan perpaduan umat Islam sepatutnya  semakin kukuh dan mantap bukannya bercakaran dan berpecah belah yang mengakibatkan kita umat Islam menjadi lemah dan dipandang rendaholeh golongan bukan Islam. Marilah kita eratkan hubungan silaturrahim yang dibina sepanjang Ramadhan terutamanya hubungan dengan ahli keluarga, seringlah  menziarahi ibu bapa dan memaafkan apa kesalahan dan kesilapan yang lalu.
Selain itu, orang yang berpuasa akan mendapat keredhaan Allah SWT kerana Ramadhan telah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka serta mendapat pengampunan di sisi Allah SWT. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Nasa'i yang bermaksud : Puasa itu untukKU(Allah SWT) dan AKUlah yang membalasnya dan tiap-tiap kebaikkan akan diberi sepuluh kali ganda.

Sesiapa yang berpuasa dengan ketaqwaan akan beroleh kelayaan dan kegembiraan di dunia dan akhirat. Kegembiraan di dunia dengan menyambut Hari Raya manakala di akhirat mendapat kemuliaan dan keredhaan Allah SWT dengan balasan syurga.
Marilah kita jadikan segala pengajaran dan didikan di bulan Ramadhan sebagai sumber kekuatan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan RasuNYA. Teruskanlah kesinambungan puasa Ramadhan dengan puasa-puasa sunat. Begitu juga amalan solat terawih dengan berjemaah ke masjid dan surau menunaikan solat fardhu setiap waktu, membaca Al-Quran setiap hari, bersedekah dan sebagainya. Semoga kita mencapai kemenangan yang hakiki setiap masa melalui ibadah puasa dengan menadi insan yang beriman dan bertaqwa.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

08 September 2010

182 : Di Hujung Ramadhan Ini



Ramadhan kian melabuhkan tirainya. Syawal bakal menjelma. Di hujung Ramadhan ini, marilah berdoa semoga Allah akan mempertemukan kita dengan Ramadhan yang akan datang. Dan berdoalah moga segala amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini diterima dan diganjari oleh Allah SWT.

Di hujung Ramadhan ini jangan pula kita asyik dengan persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Usah diturutkan kata nafsu. Beringat sebelum terlewat. Jangan nanti selepas raya terpaksa meminjam kerana semua wang sudah habis dibelanjakan.

Di hujung Ramadhan ini, janganlah dilupakan pada kewajipan menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungan kita. Bagi yang bekerja makan gaji, seeloknya zakat dibayar di tempat/kawasan/daerah atau negeri kita bekerja. Bagi negeri Pahang, zakat fitrah telah ditetapkan sebanyak RM7 seorang. Seeloknya kita menyegerakan untuk membayar zakat fitrah kerana dikhuatiri kita akan terlupa lantaran sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri.

Dan di akhir Ramadhan ini juga janganlah kita lupa pada mereka yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan pertolongan. Andai ada rezeki lebih, hulurkan sekadar yang mampu bagi meringgankan beban yang mereka tanggung supaya mereka dapat meraikan lebaran yang mulia ini dengan perasaan yang gembira. Semoga Allah akan memberkati hidup kita di dunia dan akhirat.

salam aidilfitri untuk semua...maaf zahir batin.

06 September 2010

Mimbar Jumaat : Mencari Lailatul Qadar

Dibaca Pada : 3 September 2010/24 Ramadhan 1431H



Sedar atau tidak sedar, kita telah melalui lebih dua pertiga Ramadhan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui setakat manakah kualiti puasa yang kita laksanakan sampai hari ini. Marilah kita memohon kepada Allah SWT moga-moga puasa yang kita tunaikan diterima dan diganjari dengan pahala.

Pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW melipatgandakan amal ibadah Baginda khususnya pada waktu malam. Antara sebabnya adalah Allah SWT telah mengurniakan satu malam istimewa yang dinamakan sebagai malam Lailatul Qadar. Walaupun telah dijanjikan syurga, namun Baginda tetap rajin beribadah pada malam-malam terakhir Ramadhan hingga kaki Baginda bengkak. Para sahabat dan para ulama turut mengikut jejak langkah Baginda menyambut malam Lailatul Qadar dengan tekun menunaikan ibadah.

Malam Lailatul Qadar menurut Dr Hamka mempunyai dua pengertiaan. Pertama, mulia atau kemuliaan kerana antara maksud 'Al-Qadar' ialah kemuliaan. Kedua penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah SAW dalam memberi petunjuk kepada umat manusia.

Al-Qadar juga diertikan sebagai ketetapan hidup manusia. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Dukhan ayat 4 dan 5 yang bermaksud : "(Kami menurunkan Al-Quran kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah. Iaitu urusan yang besar daripa sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus para rasul".

Apakah keistimewaan malam Lailatul Qadar? Keistimewaan malam Lailatul Qadar dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNYA dalam surah Al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud: " Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat )itu hingga terbit fajar ".

Surah ini memberi pengajaran bahawa keistimewaan malam Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Luh Mahfuz ke Baitil 'Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat). dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ketika malam Lailatul Qadar, malaikat Jibril dan para malaikat Alaihimussalam akan turun ke bumi berkunjung dan memberi salam kepada mukmin yang sedang beribadah sama ada di masjid, surau, rumah kediaman atau sebagainya. Sebaliknya para ulama berpendapat rumah yang penghuninya tidak melakukan ibadah lebih-lebih yang melakukan maksiat, tidak akan dikunjungi oleh para malaikat dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berusaham meningkatkan amal ibadah, terutamanya di penghujung Ramadhan ini.

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Allah SWT menganugerahkan malam Lailatul Qadar sebagai malam yang istimewa , namun tidak dinyatakan bilakah saat kedatangannya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran diturunkan. Namun demikian, ramai ulama antaranya Ibn Umar berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan yakni setiap tahun. Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman perlu berusaha mendapatkan Lailatul Qadar dan mengisinya dengan amal ibadah sedaya mungkin.

Riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar  itu ialah pada lingkungan sepuluh malam terakhir Ramadhan, ertinya bermula daripada malam 21 kerana pada malam tersebut Nabi SAW menggandakan ibadahnya berbanding malam-malam yang sebelumnya hingga Baginda membangunkan ahli keluarganya yang tidur untuk beribadah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan".

Berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, antara tanda yang boleh diperhatikan menjelang Lailatul Qadar adakah:

1.  Suasana malam agak sepi, tenang dan bercahaya.
2.  Malamnya tidak panas dan tidak juga sejuk(sederhana).
3.  Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh.
4.  Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya seperti bulan sedang mengambang.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Lailatul Qadar sebagai suatu peluang keemasan yang tidk boleh dile[paskan untuk kita berdoa kepada Allah SWT supaya dipanjangkan umur, diberi kesihatan tubuh badan dakam ketaatan, mendapat rezeki yang halal, mendapat keberkatan hidup serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

03 September 2010

181 : Antara Berpuasa Dan Bersolat



Saat aku menulis entri ini, Ramadhan telah pun memasuki hari yang ke 18. Insyallah lagi 12 hari lagi, kita akan meraikan Aidilfitri. 

Sepanjang Ramadhan tahun ini, aku bertugas menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Darul Fikri, Bera bersama beberapa orang sahabat. Aku ditugaskan khas memasak nasi di samping kerja-kerja yang berkaitan seperti menyiang daging, bawang, ayam dan lain-lain. Alhamdulillah, berkat dari tunjuk ajar dari Ustaz Fakrulrazi yang mengetuai kami, aku kini dah pandai masak nasi minyak.

Namun apa yang agak mendukacitakan, ada di antara hadirin yang hadir berbuka puasa apabila selesai makan terus meninggalkan masjid sedangkan iqamah telah pun dilaungkan. Aku cuba bersangka baik dengan menyangka mereka mungkin ada urusan lain tapi tiada urusan yang paling penting melainkan menunaikan suruhan Allah.

Dan aku masih cuba bersangka baik dengan berkata kepada diri sendiri, mungkin mereka bersolat di rumah. Tapi bukankah mereka telah berada di tempat yang paling baik untuk bersolat yakni di rumah Allah dan berjamaah pula yang ganjarannya lebih baik dari bersolat sendiri.

Sesungguhnya ramai yang mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari namun tidak ramai yang mampu menunaikan solat yang hanya mengambil masa beberapa minit. Marilah kita berusaha menjadikan puasa kita pada tahun ini lebih baik berbanding puasa kita sebelumnya. Moga Allah memberikan ehsan kepada kita untuk terus beribadat kepadaNYA.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...