Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

18 August 2010

Mimbar Jumaat : Memerangi Nafsu Dalam Menghadapi Ramadhan

Dibaca Pada : 6 Ogos 2010



Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang difardhukan ibadah puasa ke ata umat Islam. Melalui ibadah puasa kita akan terdidik menjadi lebih bertaqwa kepada Allah SWT dan mampu menjadi benteng dari godaan syaitan dan hawa nafsu.

Melangkah masuk gerbang Ramadhan, bererti kita memasuki gerbang latihan kerohanian. Persiapan yang mencukupi perlu disediakan sebelum kita menjalani ibadah puasa.

Antara persiapan yang perlu dilakukan sebelum menyambut Ramadhan ialah :

1. Mengulangkaji perkara-perkara berkaitan ibadah puasa seperti mengetahui syarat-syarat sah atau perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Tujuannya agar kita dapat menjalani ibadah puasa itu dengan sempurna.

2.  Menjaga kesihatan tubuh badan agar kita dapat melaksanakan puasa genap 29 atau 30 hari tanpa keuzuran.

3.  Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan rohani dan jasmani untuk kita terus mengerjakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: SETIAP ANAK ADAM TIDAK TERLEPAS DARIPADA MELAKUKAN DOSA DAN SEBAIK-BAIK ORANG YANG BERDOSA ITU IALAH ORANG YANG BERTAUBAT KEPADA ALLAH.

Ingatlah bahawa kebahagiaan itu akan dikecapi apabila kita berjaya menundukkan hawa nafsu. Bulan Ramadhan adalah medan terbaik bagi umat Islam menyucikan jiwa supaya lebih bertaqwa dan bertaqarrub kepada Allah SWT.

Melalui ibadah puasa kita berasa lapar dan dahaga, akan memberikan pengajaran kepada kita betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh golongan fakir miskin, mangsa-mangsa perang, pelariaan, bencana alam yang hidup serba kekurangan dan kedaifan.


Penuhilah ruang-ruang masa sepanjang bulan Ramadhan dengan beristighfar, bersolat jemaah dan ber'iktikaf di masjid, tunaikanlah solat sunat terawikh, sebaik-baiknya dilakukan 20 rakaat dengan tiga raaat solat witir, membaca Al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu dan sebagainya untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Kita juga hendaklah berazam meninggalkan perkara-perkara buruk. Contohnya, segera berhenti merokok bermula awal bulan Ramadhan. Perbuatan merokok merosakkan kesihatan dan menyebabkan pembaziran wang ringgit. Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan kecuali dengan keazaman yang bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadhan bulan yang menjana kekuatan iman kerana bulan inilah kita Al-Quran diturunkan. Dengan membaca dan menghayati Al-Quran kita mampu mendidik jiwa menjadi insan yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang di wajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah."

Marilah kita bersama-sama membuat persiapan untuk menyambut bulan Al-Mubarak, di antaranya:

1.  Hendaklah melahirkan perasaan gembira dan senang hati dengan ketibaanya nanti.

2.  Rebutlah peluang dengan menghulurkan sumbangan dan derma kepada fakir miskin serta program berbuka puasa dan sahur di masjid.

3.  Membuat persiapan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi diri sendiri dan ahli keluarga.

4.  Mempersiap dan membersihkan tempat-tempat ibadah untuk menunaikan solat terawikh berjamaah.

5.  Bersedia meluangkan masa menghadiri kuliah-kuliah agama.

Kebiasaan pada bulan Ramadhan di negeri kita, ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa. Mereka tanpa perasaan malu dan segan, makan dan menghisap rokok di depan khalayak ramai. Perbuatan seumpama ini boleh menjatuhkan maruah umat Islam.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga sempat dipertemukan dengan Ramadhan tahun ini. Tanamkan azam untuk memerangi hawa nafsu yang boleh membawa kehancuran dan dosa dalam hidup kita. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik berjuang meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita tidak hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga malah perlu memelihara seluruh anggota tubuh badan daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT, agar ibadah puasa yang kita laksanakan dapat mendidik jiwa dan menguatkan iman.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...