Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

24 August 2010

Mimbar Jumaat : Amalan Terpilih Pada Bulan Ramadhan

Dibaca Pada : 20 Ogos 2010


Allah SWT telah mengurniakan pelbagai bentuk nikmat dan anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Antara anugerah yang paling berharga ialah bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa".

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang mukmin bertaqwa kepada Allah SWT iaitu mukmin yang patuh kepada Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat samada zahir atau pun batin.

Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai dengan sempurna ibadah puasanya selagi tidak dapat menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahupun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya aau hendak berkelahi dengannya, maka dia hendaklah mengatakan; sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!"

Bulan Ramadhan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa. Antaranya ialah pintu syurga akan dibuka dengan luasnya. Manakala pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya dan syaitan-syaitan akan diikat dan dirantai. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan pada bulan Ramadhan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan kurang dan terbatas.

Sempena Ramadhan yang sedang kita lalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadhan dengan solat Tarawikh, bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada Allah SWT. Marilah kita bersama-sama bangun bermunajat kepada Allah SWT pada tiap-tiap malam sebelum bersahur. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesiapa yang bangun mengerjakan solatsunat dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu".

Perlu kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah saudara seagama dengan kita yang telah diuji oleh Allah SWT dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama, ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.

Persoalannya, sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikkan hati agar kasihkan harta benda, bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah? Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa harta benda ialah amanah Allah SWT untuk menyelamat dan membela golongan lemah tersebut. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 186 yang bermaksud :

"Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab terdahulu daripada kamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat."

Seiring dengan amalan puasa maka mimbar Jumaat pada hari ini menasihatkan kepada golongan yang berkemampuan khususnya agar mengambil kesempatan dengan kemuliaan Ramadhan dengan mengeluarkan zakat sebagai tuntutan syarak dan kewajipan sosial kepada masyarakat dan negara. Mudah-mudahan amalan yang mulia ini akan digandakan ganjarannya di sisi Allah SWT.

Sempena kedatangan Ramadhan yang berkat ini, mimbar Jumaat hari ini menyeru ibu bapa dan masyarakat Islam agar dapat mengambil peluang untuk mengawal nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran serta dosa agar keluarga dan anak-anak kita istiqamah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalakna tegahanNYA. Marilah kita bersama-sama meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah kita kepada Allah SWT.
Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

2 comments:

Don Balon said...

Mekasih rodonc..

Fadh said...

sama2 rodong...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...