Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

27 August 2010

Mimbar Jumaat : Al-Quran Sebagai Penawar dan Syafaat

Dibaca Pada : 27 Ogos 2010


Sempena memperingati Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadhan, maka khutbah hari ini menarik perhatian mengenai Al-Quran sebagai penawar dan syafaat.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada rasulNYA, Nabi Muhammad SAW. Ia juga merupakan mukjizat terbesar yang menyentuh pelbagai persoalan yang berkaitan dengan alam dunia dan alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud :

"Alif, Lam Ra'. Kitab (Al-Quran) yang Kami telah turunkannya kepada engkau(wahai Muhammad) supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada kegelapan(kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji".
Al-Quran diturunkan adalah untuk memberi hidayah dan petunjuk ke jalan yang benar dan juga merupakan syafaat kepada seluruh alam. Al-Quran juga merupakan penawar bagi semua penyakit samada penyakit fizikal atau pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud :

" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur ayat-ayat suci daripada Al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya".
Sebenarnya Al-Quran mempunyai beberapa keistimewaan kepada orang-orang yang membaca dan beriman dengannya. Ia memberitahu lebih awal akan perkara-perkara yang belum diketahui, antaranya;

1. Al-Quran menyelamatkan manusia daripada godaan syaitan. Ia bertindak sebagai pelindung awal daripada berlakunya kejahatan kepada mana-mana individu yang sentiasa membacanya. Oleh itu kita hendaklah bersiap sedia melindungi diri daripada gangguan syaitan.

2.  Al-Quran mendidik nafsu yang cenderung melakukan kejahatan supaya melakukan perkara-perkara yang baik sahaja. Ia juga mengingatkan mengenai dua keadaan jiwa yang ada dalam diri supaya kita sentiasa berjaga-jaga.

3.  Al-Quran menjadi pedoman hidup umat Islam.

4.  Al-Quran menjadi penolong dan penyelamat pada hari akhirat kepada pembacanya.

Al-Quran juga sebagai penawar dan ubat bagi segala penyakit sama ada fizikal mahu pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu, Al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu serta menjadi hidayah(untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman".

Segala penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada diri dan jiwa yang tidak tenteram, hati nurani sentiasa dinodai kekotoran dan dosa. akibatnya timbullah pelbagai masalah dan penyakit dalam masyarakat. Penyakit utama yang perlu diubati ialah penyakit yang berkait dengan hati.

Untuk mengubati penyakit hati atau rohani, agama Islam menganjurkan supaya kita sentiasa membaca Al-Quran, memahami makna dan mendalami tafsirannya. mengetahui hukum hakam seterusnya mengamalkannya. Dengan pendekatan demikian, hati yang keras akan menjadi lembut dan terubat.

Hal ini pernah berlaku kepada Saidina Umar Al-Khatab RA, beliau seorang yang bengis dan garang. Setelah mendengar ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh adiknya, maka hatinya menjadi lembut dan sayu lantas menemui Rasulullah untuk memeluk Islam.

Sebelum wujudnya perubatan moden yang ada sekarang, para sahabat dan ulama tersohor telah menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit kerana mereka percaya dan yakin bahawa Allah akan memberkati dan mengurniakan kesembuhan.

Amalan membaca Al-Quran di rumah akan mendapat keberkatan dan rahnat daripada Allah SWT. Para malaikat akan mendatangi rumah yang dibacakan ayat Al-Quran manakala syaitan akan lari darinya. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud :

" Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, maka rebutlah hidangan Allah sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Al-Quran ini adalah tali(agama) Allah yang kuat dan cahaya yang terang benderang dan penyembuh yang sangat berguna. Akan terhapuslah dosa orang yang berpegang dengannya dan terselamatlah orang yang mengikutinya".

Marilah kita mendekati dan menyintai Al-Quran dengan cara membacanya di mana jua kita berada pada setiap waktu terutamanya di bulan Ramadhan ini. Ulama salafussoleh menjadikan Al-Quran itu sebagai teman hidup. Oleh itu ada daripada mereka yang khatam Al-Quran dua kali sehari, setiap hari atau setiap tiga hari atau setiap lima hari atau setiap bulan.

Diterbitkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...