Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 August 2010

180 : Erti Sebuah Kemerdekaan


 Ogos menjengah lagi. Mengimbau semangat merdeka. Namun entah mengapa tahun ini dirasakan sambutan kemerdekaan seakan lesu dan hambar. Kempen kibar Jalur Gemilang  begitu gah dilaungkan pak menteri namun rakyat memandang sepi. Mungkin rakyat sudah muak mendengarnya atau mungkin juga semangat merdeka kian lenyap dalam jati diri rakyat Malaysia.

Menjelang 31 Ogos, semangat kemerdekaan kembali membara dalam diri dan jiwa anak Malaysia. Mengenang dan mengimbas semangat para pejuang kemerdekaan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu. Namun semangat itu semakin disalahertikan. Semakin menyongsang dari akarnya. Semakin terhapus, terhakis dan terpupus sedikit demi sedikit. Walau kita sedari namun kita seakan sengaja membiarkan semangat merdeka dalam diri, layu dan akhirnya mati.

Setelah 53 tahun merdeka, adakah kita benar-benar merdeka?. Atau hanya sekadar ungkapan biasa mainan bibir. Ianya seakan tidak meresap dalam jasad dan roh diri kita. Seolah-olah hanya terngiang-ngiang di ruang pendengaran. Sedikit pun tidak menyelinap ke akar diri. 

Merdekakah kita jika masih melata mengemis di bumi sendiri. Merdekakah kita jika masih hanyut dan khayal dalam arus pemikiran bangsa lain. Merdekakah kita jika masih mengenang kemasyhuran masa silam tanpa berusaha mengukir dan memahat sejarah baru.

Adakah merdeka itu diukur pada banyaknya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sehingga membahayakan nyawa sendiri? Jika benar maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan mengibar bendera menaikkan bendera semasa perhimpunan sekolah dulu-dulu pun aku tidak pernah. Atau adakah merdeka itu diukur pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun. Di mana kita semua berkumpul di kawasan lapang sambil melaungkan sumpah keramat "MERDEKA". Kemudian bersorak sakan sampai lupa asal usul. Merempit sampai hilang nyawa. Menonggeng sampai hilang dara. Jika inilah ukuran semangat merdeka. Maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan berembun pada detik 12.00 tengah malam, berpanas terik berbaris berarak beramai-ramai pun aku tidak pernah.

Maka akukah insan yang masih terbelenggu akal dan fikiran. Masih buntu dan dungu menelah dan mentaksir pengertian hidup yang amat sukar untuk dimergertikan. Atau akukah insan sisihan dari arus putaran zaman yang membelit dan menyelit di antara realiti nyata dan maya. Atau akukah insan yang bisa menjulang keris pusaka , merobek dan mencincang jasad-jasad laknat yang cuba menjajahi kembali bumi bertuah ini.

Moga merdeka kali ini, bisa memerdekakan jiwa-jiwa songsang yang menyongsang dari agama, adat dan budaya.

5 comments:

relevan said...

Merdeka..! semoga kita dapat mempertahankan apa yang di perjuangkan oleh perjuang2 terdahulu..

pacifist said...

salam ziarah di bln penuh keberkatan.moga thn ini lbh baik dr thn sebelumnya.
setiap manusia dilahirkan merdeka sejak fitrah kejadian,ttp bukan bebas sebebasnya,ttp bebas yg mempunyai batas/hak.datangnya islam membebaskan manusia drp penghambaan sesama manusia.dgn pelbagai ideologi dicipta utk menyesat dan mengikat manusia.manusia itu bebas bila mereka menjadi 'hamba' Allah.bknkah kita sering berdoa agar 'title' 'hamba' diterima oleh ALLAH.ttp jika sesama manusia,kita cuba membebaskan dr penghambaan.ttp jiwa hamba sesama manusia masih wujud hingga kini,masakan negara yg merdeka masih terikat dgn isme2(fahaman) tinggalan penjajah dan merasakan tinggalan penjajah itu masih terbaik utk negara.sifat inferior complex masih menebal walaupun penjajah telah pergi.ini yg disukai penjajah,meneruskan legasi peninggalan penjajah @ gelaran yg diberi kpd mereka ini adalah "budak-budak british/inggeris/barat"
-salam kemerdekaan yg hakiki
-kita masih dlm proses memerdekakan minda
-keluar dr penghambaan sesama manusia kpd penghambaan kpd Al-Khaliq

Fadh said...

relevan:

insyallah, bersamalah kita mempertahankan kemerdekaan ini untuk diwarisi kepada generasi yang akan datang.

Pacifist:

pertamanya terima kasih kerana sudi menjenguk blog yang tak seberapa ini.

Keduanya, terima kasih kerana sudi meninggalkan komen dan berkongsi ilmu di sini.

Ketiganya, marilah kita berusaha mempertahankan kemerdekaan agar generasi akan datang dapat mengecap nikmat merdeka sebagaimana yang telah kita kecapi kini.

manje said...

salam ziarah ...

salam merdeka juge buat cikgu fadh ~

Fadh said...

Salam merdeka kembali.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...