Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 August 2010

180 : Erti Sebuah Kemerdekaan


 Ogos menjengah lagi. Mengimbau semangat merdeka. Namun entah mengapa tahun ini dirasakan sambutan kemerdekaan seakan lesu dan hambar. Kempen kibar Jalur Gemilang  begitu gah dilaungkan pak menteri namun rakyat memandang sepi. Mungkin rakyat sudah muak mendengarnya atau mungkin juga semangat merdeka kian lenyap dalam jati diri rakyat Malaysia.

Menjelang 31 Ogos, semangat kemerdekaan kembali membara dalam diri dan jiwa anak Malaysia. Mengenang dan mengimbas semangat para pejuang kemerdekaan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu. Namun semangat itu semakin disalahertikan. Semakin menyongsang dari akarnya. Semakin terhapus, terhakis dan terpupus sedikit demi sedikit. Walau kita sedari namun kita seakan sengaja membiarkan semangat merdeka dalam diri, layu dan akhirnya mati.

Setelah 53 tahun merdeka, adakah kita benar-benar merdeka?. Atau hanya sekadar ungkapan biasa mainan bibir. Ianya seakan tidak meresap dalam jasad dan roh diri kita. Seolah-olah hanya terngiang-ngiang di ruang pendengaran. Sedikit pun tidak menyelinap ke akar diri. 

Merdekakah kita jika masih melata mengemis di bumi sendiri. Merdekakah kita jika masih hanyut dan khayal dalam arus pemikiran bangsa lain. Merdekakah kita jika masih mengenang kemasyhuran masa silam tanpa berusaha mengukir dan memahat sejarah baru.

Adakah merdeka itu diukur pada banyaknya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sehingga membahayakan nyawa sendiri? Jika benar maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan mengibar bendera menaikkan bendera semasa perhimpunan sekolah dulu-dulu pun aku tidak pernah. Atau adakah merdeka itu diukur pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun. Di mana kita semua berkumpul di kawasan lapang sambil melaungkan sumpah keramat "MERDEKA". Kemudian bersorak sakan sampai lupa asal usul. Merempit sampai hilang nyawa. Menonggeng sampai hilang dara. Jika inilah ukuran semangat merdeka. Maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan berembun pada detik 12.00 tengah malam, berpanas terik berbaris berarak beramai-ramai pun aku tidak pernah.

Maka akukah insan yang masih terbelenggu akal dan fikiran. Masih buntu dan dungu menelah dan mentaksir pengertian hidup yang amat sukar untuk dimergertikan. Atau akukah insan sisihan dari arus putaran zaman yang membelit dan menyelit di antara realiti nyata dan maya. Atau akukah insan yang bisa menjulang keris pusaka , merobek dan mencincang jasad-jasad laknat yang cuba menjajahi kembali bumi bertuah ini.

Moga merdeka kali ini, bisa memerdekakan jiwa-jiwa songsang yang menyongsang dari agama, adat dan budaya.

28 August 2010

179 : Pantasnya Masa Berlalu


Ketika aku menulis entri ini, aku sedang menunggu masuknya waktu Isyak pada malam 17 Ramadhan 1431H di perkarangan Masjid Darul Fikri, Bera. Aku mengemaskini blog ini menggunakan email menerusi telefon genggam Nokia E5.

Sewaktu memasak untuk juadah berbuka selepas Asar petang tadi di Masjid Darul Fikri, Bera, aku terdengar perbualan di antara dua orang warga emas. Rancak mereka memperkatakan tentang cepatnya waktu berlalu. Sedar tak sedar dah menghampiri penghujung Ramadhan. Itu antara inti perbualan mereka. Dalam hati, aku mengakui akan kebenaran kata-kata mereka. Cuma hati aku berdetik, adakah mereka menyedari bahawa salah satu tanda kiamat semakin hampir ialah masa dirasakan pantas berlalu.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sepanjang Ramadhan ini, siang lebih pendek berbanding malam. Sebagai contoh, waktu berbuka semakin cepat dari hari pertama berpuasa tetapi waktu imsyak tetap 5.40 pagi(bagi daerah Bera).

Siang yang semakin pendek dan malam yang panjang merupakan kejadian Allah. Setiap kejadian Allah ada hikmahnya bagi mereka yang beriman. Mungkin Allah memberi peluang kepada kita untuk beribadat di malam hari sepanjang bulan Ramadhan maka DIA memanjangkan malam. Dan mungkin Allah ingin memberi kita kesenangan untuk berpuasa maka DIA memendekkan siang.

Oleh yang demikian itu, marilah kita merebut peluang yang ada sepanjang Ramadhan ini untuk meningkatkan keimanan kita kepadaNYA. Semoga Allah menerima segala amal kebajikan yang kita lakukan...Insyallah.

27 August 2010

Mimbar Jumaat : Al-Quran Sebagai Penawar dan Syafaat

Dibaca Pada : 27 Ogos 2010


Sempena memperingati Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadhan, maka khutbah hari ini menarik perhatian mengenai Al-Quran sebagai penawar dan syafaat.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada rasulNYA, Nabi Muhammad SAW. Ia juga merupakan mukjizat terbesar yang menyentuh pelbagai persoalan yang berkaitan dengan alam dunia dan alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud :

"Alif, Lam Ra'. Kitab (Al-Quran) yang Kami telah turunkannya kepada engkau(wahai Muhammad) supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada kegelapan(kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji".
Al-Quran diturunkan adalah untuk memberi hidayah dan petunjuk ke jalan yang benar dan juga merupakan syafaat kepada seluruh alam. Al-Quran juga merupakan penawar bagi semua penyakit samada penyakit fizikal atau pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud :

" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur ayat-ayat suci daripada Al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya".
Sebenarnya Al-Quran mempunyai beberapa keistimewaan kepada orang-orang yang membaca dan beriman dengannya. Ia memberitahu lebih awal akan perkara-perkara yang belum diketahui, antaranya;

1. Al-Quran menyelamatkan manusia daripada godaan syaitan. Ia bertindak sebagai pelindung awal daripada berlakunya kejahatan kepada mana-mana individu yang sentiasa membacanya. Oleh itu kita hendaklah bersiap sedia melindungi diri daripada gangguan syaitan.

2.  Al-Quran mendidik nafsu yang cenderung melakukan kejahatan supaya melakukan perkara-perkara yang baik sahaja. Ia juga mengingatkan mengenai dua keadaan jiwa yang ada dalam diri supaya kita sentiasa berjaga-jaga.

3.  Al-Quran menjadi pedoman hidup umat Islam.

4.  Al-Quran menjadi penolong dan penyelamat pada hari akhirat kepada pembacanya.

Al-Quran juga sebagai penawar dan ubat bagi segala penyakit sama ada fizikal mahu pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu, Al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu serta menjadi hidayah(untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman".

Segala penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada diri dan jiwa yang tidak tenteram, hati nurani sentiasa dinodai kekotoran dan dosa. akibatnya timbullah pelbagai masalah dan penyakit dalam masyarakat. Penyakit utama yang perlu diubati ialah penyakit yang berkait dengan hati.

Untuk mengubati penyakit hati atau rohani, agama Islam menganjurkan supaya kita sentiasa membaca Al-Quran, memahami makna dan mendalami tafsirannya. mengetahui hukum hakam seterusnya mengamalkannya. Dengan pendekatan demikian, hati yang keras akan menjadi lembut dan terubat.

Hal ini pernah berlaku kepada Saidina Umar Al-Khatab RA, beliau seorang yang bengis dan garang. Setelah mendengar ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh adiknya, maka hatinya menjadi lembut dan sayu lantas menemui Rasulullah untuk memeluk Islam.

Sebelum wujudnya perubatan moden yang ada sekarang, para sahabat dan ulama tersohor telah menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit kerana mereka percaya dan yakin bahawa Allah akan memberkati dan mengurniakan kesembuhan.

Amalan membaca Al-Quran di rumah akan mendapat keberkatan dan rahnat daripada Allah SWT. Para malaikat akan mendatangi rumah yang dibacakan ayat Al-Quran manakala syaitan akan lari darinya. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud :

" Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, maka rebutlah hidangan Allah sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Al-Quran ini adalah tali(agama) Allah yang kuat dan cahaya yang terang benderang dan penyembuh yang sangat berguna. Akan terhapuslah dosa orang yang berpegang dengannya dan terselamatlah orang yang mengikutinya".

Marilah kita mendekati dan menyintai Al-Quran dengan cara membacanya di mana jua kita berada pada setiap waktu terutamanya di bulan Ramadhan ini. Ulama salafussoleh menjadikan Al-Quran itu sebagai teman hidup. Oleh itu ada daripada mereka yang khatam Al-Quran dua kali sehari, setiap hari atau setiap tiga hari atau setiap lima hari atau setiap bulan.

Diterbitkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

24 August 2010

Mimbar Jumaat : Amalan Terpilih Pada Bulan Ramadhan

Dibaca Pada : 20 Ogos 2010


Allah SWT telah mengurniakan pelbagai bentuk nikmat dan anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Antara anugerah yang paling berharga ialah bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa".

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang mukmin bertaqwa kepada Allah SWT iaitu mukmin yang patuh kepada Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat samada zahir atau pun batin.

Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai dengan sempurna ibadah puasanya selagi tidak dapat menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahupun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya aau hendak berkelahi dengannya, maka dia hendaklah mengatakan; sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!"

Bulan Ramadhan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa. Antaranya ialah pintu syurga akan dibuka dengan luasnya. Manakala pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya dan syaitan-syaitan akan diikat dan dirantai. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan pada bulan Ramadhan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan kurang dan terbatas.

Sempena Ramadhan yang sedang kita lalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadhan dengan solat Tarawikh, bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada Allah SWT. Marilah kita bersama-sama bangun bermunajat kepada Allah SWT pada tiap-tiap malam sebelum bersahur. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesiapa yang bangun mengerjakan solatsunat dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu".

Perlu kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah saudara seagama dengan kita yang telah diuji oleh Allah SWT dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama, ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.

Persoalannya, sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikkan hati agar kasihkan harta benda, bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah? Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa harta benda ialah amanah Allah SWT untuk menyelamat dan membela golongan lemah tersebut. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 186 yang bermaksud :

"Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab terdahulu daripada kamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat."

Seiring dengan amalan puasa maka mimbar Jumaat pada hari ini menasihatkan kepada golongan yang berkemampuan khususnya agar mengambil kesempatan dengan kemuliaan Ramadhan dengan mengeluarkan zakat sebagai tuntutan syarak dan kewajipan sosial kepada masyarakat dan negara. Mudah-mudahan amalan yang mulia ini akan digandakan ganjarannya di sisi Allah SWT.

Sempena kedatangan Ramadhan yang berkat ini, mimbar Jumaat hari ini menyeru ibu bapa dan masyarakat Islam agar dapat mengambil peluang untuk mengawal nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran serta dosa agar keluarga dan anak-anak kita istiqamah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalakna tegahanNYA. Marilah kita bersama-sama meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah kita kepada Allah SWT.
Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

19 August 2010

178 : Peristiwa Penting Yang Berlaku Di Bulan Ramadhan (Perang Badar)




Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan ialah Perang Badar. Al-Quran menyebut Perang Badar sebagai Yaumul Furqan iaitu hari yang memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Disebut demikian kerana Perang Badar adalah penentu hidup dan matinya agama Islam. Seadainya tentera Islam kalah dalam peperangan tersebut, makan akan lenyaplah agama Islam selama-lamanya. Ternyata tentera Islam telah mencapai kemenangan yang menyebabkan Islam terus berkembang sehingga ke hari ini. Allah SWT telah menjelaskan peristiwa ini dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 123 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah(kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur(akan kemenangan itu). "
Peperangan Badar berlaku pada hari Jumaat tahun kedua hijrah bersamaan 17 Ramadhan. Peperangan yang tidak seimbang dari segi bilangan tentera itu telah dimenangi oleh tentera Islam, meskipun tentera Islam pada ketika itu hanya berjumlah 313 orang yakni hanya dua orang daripada jumah tersebut menunggang kuda dan 60 orang tentera berperisai. Berbanding tentera Quraisy berjumlah 950 orang dengan 200 tentera berkuda dan 600 orang berperisai. Kejayaan ini adalah berkat Rasululluh SAW bersolat dan berdoa. Ada pun hikmah pertolongan Allah SWT  dengan memberi kemenangan kepada tentera Islam buat julung kalinya berperang telah difirmankan oleh oleh dalam surah Ali-Imran ayat 127 yang bermaksud:

" (Kemenangan Perang Badar itu), kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa. "

Semoga apa yang dinyatakan di sini akan menjadi panduaan kepada kita semua untuk hidup yang lebih sejahtera di masa hadapan. Jadikanlah bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai bulan untuk meningkatkan dan memperbaiki akhlak dan budi pekerti. Semoga kita mendapat pertolongan dari Allah SWT.
 

18 August 2010

Mimbar Jumaat : Memerangi Nafsu Dalam Menghadapi Ramadhan

Dibaca Pada : 6 Ogos 2010



Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang difardhukan ibadah puasa ke ata umat Islam. Melalui ibadah puasa kita akan terdidik menjadi lebih bertaqwa kepada Allah SWT dan mampu menjadi benteng dari godaan syaitan dan hawa nafsu.

Melangkah masuk gerbang Ramadhan, bererti kita memasuki gerbang latihan kerohanian. Persiapan yang mencukupi perlu disediakan sebelum kita menjalani ibadah puasa.

Antara persiapan yang perlu dilakukan sebelum menyambut Ramadhan ialah :

1. Mengulangkaji perkara-perkara berkaitan ibadah puasa seperti mengetahui syarat-syarat sah atau perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Tujuannya agar kita dapat menjalani ibadah puasa itu dengan sempurna.

2.  Menjaga kesihatan tubuh badan agar kita dapat melaksanakan puasa genap 29 atau 30 hari tanpa keuzuran.

3.  Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan rohani dan jasmani untuk kita terus mengerjakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: SETIAP ANAK ADAM TIDAK TERLEPAS DARIPADA MELAKUKAN DOSA DAN SEBAIK-BAIK ORANG YANG BERDOSA ITU IALAH ORANG YANG BERTAUBAT KEPADA ALLAH.

Ingatlah bahawa kebahagiaan itu akan dikecapi apabila kita berjaya menundukkan hawa nafsu. Bulan Ramadhan adalah medan terbaik bagi umat Islam menyucikan jiwa supaya lebih bertaqwa dan bertaqarrub kepada Allah SWT.

Melalui ibadah puasa kita berasa lapar dan dahaga, akan memberikan pengajaran kepada kita betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh golongan fakir miskin, mangsa-mangsa perang, pelariaan, bencana alam yang hidup serba kekurangan dan kedaifan.


Penuhilah ruang-ruang masa sepanjang bulan Ramadhan dengan beristighfar, bersolat jemaah dan ber'iktikaf di masjid, tunaikanlah solat sunat terawikh, sebaik-baiknya dilakukan 20 rakaat dengan tiga raaat solat witir, membaca Al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu dan sebagainya untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Kita juga hendaklah berazam meninggalkan perkara-perkara buruk. Contohnya, segera berhenti merokok bermula awal bulan Ramadhan. Perbuatan merokok merosakkan kesihatan dan menyebabkan pembaziran wang ringgit. Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan kecuali dengan keazaman yang bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadhan bulan yang menjana kekuatan iman kerana bulan inilah kita Al-Quran diturunkan. Dengan membaca dan menghayati Al-Quran kita mampu mendidik jiwa menjadi insan yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang di wajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah."

Marilah kita bersama-sama membuat persiapan untuk menyambut bulan Al-Mubarak, di antaranya:

1.  Hendaklah melahirkan perasaan gembira dan senang hati dengan ketibaanya nanti.

2.  Rebutlah peluang dengan menghulurkan sumbangan dan derma kepada fakir miskin serta program berbuka puasa dan sahur di masjid.

3.  Membuat persiapan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi diri sendiri dan ahli keluarga.

4.  Mempersiap dan membersihkan tempat-tempat ibadah untuk menunaikan solat terawikh berjamaah.

5.  Bersedia meluangkan masa menghadiri kuliah-kuliah agama.

Kebiasaan pada bulan Ramadhan di negeri kita, ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa. Mereka tanpa perasaan malu dan segan, makan dan menghisap rokok di depan khalayak ramai. Perbuatan seumpama ini boleh menjatuhkan maruah umat Islam.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga sempat dipertemukan dengan Ramadhan tahun ini. Tanamkan azam untuk memerangi hawa nafsu yang boleh membawa kehancuran dan dosa dalam hidup kita. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik berjuang meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita tidak hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga malah perlu memelihara seluruh anggota tubuh badan daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT, agar ibadah puasa yang kita laksanakan dapat mendidik jiwa dan menguatkan iman.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang


15 August 2010

177 : Keringat Di Terik Ramadhan


Gambar ini dirakam pada pukul 11.06 pagi 5 Ramadhan bersamaan 15 Ogos 2010 di hadapan simpang rumah aku. Cuba bersangka baik dalam diri. Tapi ternyata hati amat liar untuk dididik walau di bulan puasa. Hati berkata 'mesti tak puasa orang nie'. 

Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan beristigfar memohon keampunan dari Allah semoga hati kita menjadi tunduk dan tawaduk kepadaNYA.

14 August 2010

176 : Juadah Berbuka Puasa 4 Ramadhan 1431H


Inilah juadah berbuka puasa yang disediakan oleh pihak Masjid Darul Fikri, Bera pada petang 4 Ramadhan 1431H bersamaan 15 Ogos 2010. Sesiapa yang dalam perjalanan dan kebetulan melalui kawasan Bera, bolehlah singgah berbuka di masjid ini. Juadah berbuka disediakan setiap hari sepanjang bulan Ramadhan sehingga 29 Ramadhan 1431H.

Mimbar Jumaat : Persediaan Menyambut Ramadhan

Dibaca Pada : 21 Ogos 2009


Pada hari esok umat Islam di negara kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, limpahan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh kecintaan dan kerinduaan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan sama ada dari segi rohani dan jasmani supaya dapat menghayati Ramadhan yang disambut nanti benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. Sebagai umat Islam, kita sewajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaan yang terdapat dalam bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
"Barangsiapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka".

Allah SWT menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan untuk hamba-hambaNYA berlumba-lumba melakukan kebajikan. Setiap hari di sepanjang bulan Ramadhan adalah peluang keemasan yang pasti tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja oleh mereka yang mengetahui kelebihan bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mendirikan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah maka diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu".

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, marilah kita bersama-sama istiqomah melakuan amalan-amalan wajib serta berlumba-lumba memperbanyak amalan-amalan sunat dengan bersungguh-sungguh. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 133 yang bermaksud :

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa".

Marilah kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :

Pertama : Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang boleh melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

Kedua : Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, mengumpat, bermusuhan dan membangga diri.

Ketiga : Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram.

Keempat : Hendaklah menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.

Kelima : Jangan makan berlebihan ketika berbuka. Akibatnya badan menjadi penat dan mengantuk serta malas untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Keenam : Hendaklah hati kita merasa bimbang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau sebaliknya.

Ketujuh : Memperbanyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya.

Kelapan : Mendirikan solat fardhu dan bertarawikh secara berjemaah di masjid atau di surau.

Kesembilan : Besedekah dan mengadakan jamuan berbuka puasa khususnya kepada sahabat, jiran tetangga dan fakir miskin.

Kesepuluh : Beriktikaf di dalam masjid serta berzikir dan bertadarus.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah supaya kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan pada hari esok serta mudah-mudahan kita akan dapat menyempurnakan puasa serta dijauhkan daripada api neraka.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

13 August 2010

175 : Percubaan Kedua


Masih dalam percubaan meng'upload' gambar guna email.

174 : Sekadar Cubaan




Ini sekadar percubaan meng'update' blog menggunakan email.

10 August 2010

173 : Kisah Di Malam 1 Ramadhan




Tersebutlah kisah yang terjadi di sebuah masjid yang terletak di sebuah kampung. Adapun dihikayatkan kisah terjadi pada malam 1 Ramadhan. Suasana agak meriah. Sebaik selesai solat Maghrib, diadakan majlis jamuan makan-makan dan minum-minum. Telah dikhabarkan oleh orang kebanyakkan, menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung itu mengadakan jamuan seperti selepas bacaan Yassin malam Jumaat, Nisfu Syaaban dan Maulidur Rasul. Sementelaah lagi esok hari pertama umat  Islam berpuasa selama sebulan maka jamuan kali ini agak mewah belanjanya.

Sewaktu menginjakkan kaki di anak tangga masjid, jelas kedengaran di telinga seorang pemuda bunyi pingan mangkuk dan gelas berlagaan di antara satu sama lain tanda usainya jamuan. Sebaik melangkah masuk ke dalam masjid, kelihatan di mata pemuda itu seorang lelaki tua yang amat dikenalinya duduk bersila rapi di atas sejadah. Dari raut wajah tua dan renungan yang jauh dapat ditelah  segumpal resah sedang merajai dirinya. Mungkin mengenangkan cucunya yang telah beberapa hari terlantar di hospital akibat kemalangan jalanraya yang baru siang tadi sampai ke pengetahuannya. Adapun telah dihikayatkan bahawa orang tua itu merupakan mantan Imam dan terbaru mantan Bilal.

Tidak lama kemudian kedengaraan di copong pembesar suara, alunan azan dilaungkan oleh muazin yang baru dilantik dalam Mesyuarat Agong Jawatankuasa Masjid beberapa minggu yang lalu. Selesai azan dilaungkan, beberapa penduduk kampung itu pun bangun bagi mendirikan solat sunat.

bersambung....

09 August 2010

172 : Puasa Aku Dulu-Dulu


 Ramadhan bakal menjelang...ada yang menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran...ada juga yang menyambutnya dengan keluh resah...

Tiap kali tibanya puasa... pasti aku teringat kisah waktu kecil dulu...begitu banyak kenangan tersimpan rapi di lipatan sejarah...

Seingat aku...di usia 15 tahun barulah cukup 30 hari puasa yang aku tunaikan. Sebelumnya banyak puasa "yang yang yok pagi-pagi buka periuk"...

Masa aku sekolah rendah dulu...baik jer dari sekolah terus merengek dengan mak nak minta berbuka...mulanya mak pujuk dengan baik tapi kalau dah asyik merengek..mak mula "hot fm" dan capai rotan...aku pun buat-buat tidur kat atas lantai dapur...terlepek sambil tengok mak masak...tak dapat makan pun tak apa asal dapat hidu bau...bila mak dah siap masak dan nak gie solat...masa tue "operasi" aku bermula...tengok kiri dan kanan...line clear dan tudung saji pun dibuka...pergh! Sungguh menyelerakan...sotong masak tumis mak aku memang "the best in the world"...aku pun apa lagi terus rembat 2-3 ekor sotong dan lari ke jamban kat luar rumah dan dengan lahap terus suap dalam mulut...wooi sedapnya makan sotong curi di bulan puasa kat dalam jamban...

Masa sekolah menengah pula...aku duduk di asrama selama setahun di tingkatan 1...tiap kali balik dari kampung...sebuah beg khas penuh dengan makanan ringan sebagai bekalan untuk tidak berpuasa...dan “port’ untuk aku makan dan minum bersama rakan seangkatan ialah kat tempat buang sampah belakang asrama…pura2 laa nak buang sampah kononnya…tapi buang sampah apa sampai berjam2...rupanya tengah sedap 'melantak' di tepi lubang sampah bersama 'aroma' yang amat mengasyikkan...

Tingkatan 2 aku ke sekolah naik basikal…sehari pergi balik aku mengayuh sejauh 20km…bayangkan betapa azab seksanya berpuasa sambil mengayuh basikal di tengahari…tapi aku dan rodong2 tak balik terus lepas habis sekolah…kami lepak kat perpustakaan…nak study laa kononnya…padahal kami tunggu waktu rehat budak2 cina tingkatan 1…dan kami lantik seorang budak cina ‘murtad’ bernama Chin Song sebagai jurubeli untuk membeli makanan kat kantin sementara kami tunggu kat belakang bengkel…kami panggil dia cina murtad sebab dia tak berapa reti nak cakap cina sebab ayah dia cina, mak dia orang asli…

Bila selesai "mentedarah" kat belakang bengkel…kami mula gerak nak balik rumah…tapi sebelum itu ada misi yang mesti dilaksanakan terlebih dulu…misi yang akan menambah dosa kami...misi mencuri tembikai kat kebun cina…kami berempat akan mencilok 2-3 biji untuk dimakan kat 'port' kami di tepi sungai dan akan memecahkan sebanyak mungkin tembikai…sebagai balasan sebab tokey cina tue tak puasa dan tak bayar zakat tanaman…padan muka apek tua tue…

Tapi sekarang…bila dikenangkan kembali…terasa malu sangat2 pada diri sendiri…banyak sangat dosa tak puasa yang aku lakukan…dah laa tak puasa...mencuri pula…sampai sekarang mak aku tak tahu yang aku nie selalu curi2 makan tanpa pengetahuan dia di bulan puasa masa aku budak2 dulu…dan tiap kali raya…kami berempat akan berjumpa dan bercerita kisah2 lama…memang nostalgia sungguh…harapan dan doa aku…janganlah hero aku yang 4 orang tue ikut jejak langkah aku masa kecil dulu…

05 August 2010

171 : Andai Ini Ramadhan Terakhir


 Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir... tentu kita sibuk berzikir tanpa jemu melagukan syair rindu mendayu... merayu... kepada-NYA Tuhan yang satu.

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir... tentunya kita akan mengerjakan solat di awal waktu... Dan solat kita pastinya sungguh khusyuk lagi tawadhuk... tubuh dan qalbu kita... bersatu memperhambakan diri menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji... "innasolati wanusuki wamahiyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"... [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku ...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir... tidak akan kita persiakan walau sesaat yang berlalu... setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja... di setiap kesempatan juga masa yang terluang... alunan Al-Quran bakal kita dendang... bakal kita lafazkan... andai kita tahu ini Ramadhan terakhir tentu malamnya kita sibukkan dengan bertarawih... berqiamullail... bertahajjud... merintih... meminta belas kasih... "sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga -MU tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU".

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir... tentu kita tidak akan melupakan mereka yang tersayang... pastinya kita akan menyeru mereka memeriahkan Ramadhan... kita buru... kita cari... suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan... 

Andai kita tahu ini Ramadhan terakhir... tentu kita bakal menyediakan batin dan zahir... mempersiapkan diri... rohani dan jasmani... menanti akan jemputan Izrail... di kiri dan kanan lorong-lorong redha Ar-Rahman.

Duhai Ilahi... andai ini Ramadhan terakhir buat kami..., jadikanlah ia Ramadhan paling bererti... paling berseri... menerangi kegelapan hati kami... menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayang-Mu Ya Ilahi... semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti.

Namun teman... tidak akan ada di antara kita yang bakal mengetahui... apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya... yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha... bersedia... meminta belas-NYA.

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita...Maafkan segala kesalahan yang pernah aku lakukan.




"MARHABAN YAA RAMADHAN "

03 August 2010

170 : Gua...Dulu Dan Kini



Gua dulu kurus. Sungguh. Gua tak temberang macam menteri yang naikkan harga petrol dan gula baru-baru nie. Sekarang, nak kata gemuk tak laa gemuk sangat. Nak kata kurus, tak laa kurus sangat. Sedang elok mata memandang orang kabor.

Gua dulu panas baran. Jika ada orang buat hal dengan gua, memang gua tarbiah cukup-cukup. Tapi tak laa sampai bunuh orang dengan bom C4. Sekarang, gua dah semakin cool. Kalau ada orang buat gua hangin, gua amik wudhuk dan bilang tasbih laju-laju.

Gua dulu mata keranjang. Pantang nampak awek dahi licin, memang gua akan ayat baik punyer. Tapi tak laa sampai bawak anak dara orang lari kahwin kat Siam. Pas tue, tak nak ngaku. Sekarang, kalau nampak awek cun, gua cuma doa dalam hati. Moga-moga nanti boleh jumpa kat dalam syurga.

Gua dulu memang boros. Pantang ada duit, memang gua akan belanjakan. Tapi tak laa sampai belanjakan duit rakyat untuk kepentingan peribadi. Sekarang, gua makin hemah berbelanja. Kalau ada orang nak jual barang kat gua, awal-awal lagi gua cakap yang gua nie pun penjual barang jugak cuma hari nie gua off.

02 August 2010

169 : Sesekali Merepek (sambungan)

Disebabkan adanya permintaan untuk sambungan entri 'sesekali merepek', maka aku dengan senang hatinya menyambung...ikuti kesudahannya.

i
ini mak ayah gua...

Dalam gua sedang khusyuk beraksi depan Tok Bilal, tiba-tiba suara garau lagi parau memberi salam. Gua toleh belakang. Pak Imam sedang membasuh kaki di tangga masjid. Gua 'auto' sengih bila ternampak kelibat seseorang di belakang Pak Imam. Hati gua berlagu girang. Hajat gua yang terpendam sejak dua menjak bakal terkabul.

Usai azan dilaungkan, gua pun bingkas mengambil 'port' beberapa meter di belakang Pak Imam. Pak Imam angkat takbir. Gua pun angkat tabir. Suara gua bagi 'adjust' sesedap telinga gua mendengarnya. Pak Imam rukuk, gua pun rukuk. Pak Imam sujud, gua pun sujud. Pak Imam bagi salam kanan dan kiri, gua pun bagi salam kanan kiri. Pak Imam tadah tangan berdoa, gua pun tadah tangan berdoa.

Tok Bilal pun beriqamat. Pak Imam sudah 'stand by' kat saf depan sekali. Gua pun join sama. Ada 4-5 orang lagi yang sama-sama berdiri menanti 'takbirratulihram' Pak Imam. Gua dah lama 'ready'. Kekuda kaki gua pasang sekejap mungkin. Bimbang nanti gua terlena. Lafaz dan niat solat Subuh gua laras baik-baik. Sebaik Pak Imam selesai mengiamkan diri, gua pun mengangkat takbir. Tangan gua angkat secukup rasa. Suara gua kasi iras-iras Jamal Abdillah.


Suara Pak Imam mengalunkan Surah Al-Fatihah jelas kedengaran. Gua memusatkan pendengaran gua mendengarnya. Masa Pak Imam baca Surah Al-Fatihah, gua masih 'steady' lagi. Tapi bila Pak Imam baca surah selepas itu, gua jadi khayal. Suara Pak Imam makin lama makin sayup. Mata gua makin mengecil. Sesekali imbasan wajah anak dara Pak Imam mengusik gua. Wajah yang menjadi pujaan gua seakan-akan melambai dan mengamit mesra. Gua rasa tubuh gua semakin ringan. Terapung-apung di awangan.


Gedeganggggg...!!! Tiba-tiba gua terasa pedih. Gua buka kelopak mata. Gua tengok Pak Imam sedang rukuk. Tapi apa kes gua tiarap atas sejadah pula. Antara sedar tak sedar, gua sedang melarikan diri. Sayup-sayup gua dengar suara Pak Imam sedang membaca Surah Al-Fatihah rakaat kedua. Gua pecut selaju mungkin. Gua tahan pedih di hati. Air mata gua berjuraian di pipi. Bukan kerana sakit. Tapi kerana harapan menggunung gua kini lebih rendah dari busut. Punahlah kini harapan gua untuk menjadi menantu Pak Imam.


nota cuping telinga :
cerita ini rekaan semata...tiada kena mengena dengan yang hidup mahu pun yang telah mati...terutamanya diri aku sendiri hahahaha.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...