Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

11 July 2010

165 : Piala Dunia - Satu Dakyah Yang Menyesatkan Umat Islam

syirik andai kita mempercayai ramalan  sotong ini 

Antara kita sedar atau pun tidak, Piala Dunia anjuran FIFA merupakan satu dakyah (penyebaran sesuatu fahaman, ajaran dll utk mendapat sokongan; propaganda) golongan kafir untuk menyesatkan akidah umat Islam. Terdapat banyak contoh-contoh dakyah yang telah dilakukan terhadap pegangan akidah umat Islam melalui penganjuran Piala Dunia namun kita sering alpa dan terleka. Mungkin kita benar-benar tidak menyedari atau kita sedar namun berpura-pura seakan tidak menyedarinya.

Contoh pertama, sebelum berlangsungnya Piala Dunia di Afrika Selatan kita digemparkan oleh tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian bola. Tindakan ini mendapat tentangan yang bukan sedikit namun kerajaan tetap melaksanakannya. Dalam tempoh 2 minggu, kita disuapkan dengan berita kerajaan melalui pihak polis berjaya menumpaskan sindiket perjudiaan tanpa lesen. Berita kejayaan menumpaskan sindiket perjudian tanpa lesen seakan menutup perhatian rakyat terhadap perjudian bola yang diberikan lesen.

Setelah 2 minggu berlangsungnya Piala Dunia, kerajaan mengumumkan menarik balik lesen perjudian dengan alasan mengambil kira pendapat dan sensiviti rakyat terutama yang beragama Islam. Soalnya, mengapa lambat membuat keputusan sedangkan jika diajukan kepada anak kecil yang telah diberikan didikan agama yang sempurna pasti menjawab; judi itu haram. Atau mungkin matlamat kerajaan untuk mengumpul dana hasil dari perjudian berlesen telah tercapai. Atau mungkin kerajaan hanya mengumumkan penarikan balik lesen perjudian namun hakikatnya lesen yang telah diberikan sebenarnya masih beroperasi seperti biasa hingga tamatnya Piala Dunia.

Contoh kedua, tiap 4 tahun sekali Piala Dunia akan dianjurkan. Dan tiap kali penganjurannya, pelbagai pihak berlumba-lumba mempromosikan Piala Dunia. Seakan-akan Piala Dunia inilah kemuncak segalanya. Hinggakan ramai di antara kita yang terleka dengan keseronokan berkumpul di warung-warung atau di tempat-tempat yang menyediakan layar-layar besar semata-mata untuk menonton perlawanan siaran langsung. Ada di antara kita meninggalkan Solat Maghrib kerana siaran langsung disiarkan pada pukul 7.30 petang. Ada yang tidak bersolat Isyak semata-mata tidak mahu berganjak dari tempat duduk kerana takut kehilangan tempat duduk yang paling hadapan. Dan ada yang tidak bersolat Subuh lantaran kepenatan dan mengantuk kerana bersorak menyokong pasukan pilihan masing-masing.

Alangkah indahnya andai kita beramai-ramai berjamaah di masjid-masjid dan di surau-surau tiap kali masuknya waktu Solat Maghrib, Solat Isyak dan Solat Subuh sebagaimana kita sanggup berjamaah di warung-warung atau di tempat-tempat yang menyediakan layar gergasi. Sesungguhnya kita sering leka dan alpa akan nikmat dunia yang indahnya hanya sementara.

Contoh ketiga, kita disogok dengan seekor sotong kurita yang diberi nama Paul. Sotong ini diberi tugas untuk meramalkan pasukan manakah yang bakal memenangi setiap perlawanan. Sebagai contoh, perlawanan di antara Jerman menentang Sepanyol. Sotong bernama Paul telah memilih Sepanyol sebagai pemenang. Dan apabila Sepanyol benar-benar memenangi perlawanan tersebut, ramai di antara kita mula mempercayai akan kehebatan sotong tersebut. 

Bagi perlawanan akhir pula, Si Paul telah memilih Sepanyol sebagai juara. Bersoraklah para penyokong Sepanyol dan gundah gulanalah para penyokong Belanda. Pertaruhan terhadap Sepanyol akan melonjak gara-gara ramalan seekor sotong. Dan andainya benar Sepanyol menjadi juara, maka bertambah yakinlah kita bahawa sotong ini benar-benar hebat dan semakin pudar dan terpesongnya akidah umat Islam.

Tidakkah kita terfikir bahawa semua itu adalah pekerjaan orang-orang kafir yang sentiasa berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam. Tidakkah kita terfikir bahawa sotong itu adalah makhluk ciptaan Allah. Tidakkah kita terfikir bahawa sotong itu tidak mempunyai apa-apa kuasa malah ia sebenarnya lemah dan hanya layak dijadikan hidangan kepada manusia.

Sedarlah setiap sesuatu yang bersifat melalaikan adalah pekerjaan Syaitan melalui tindakan orang-orang kafir. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Islam. Allah secara terang-terangan telah memberi peringatan kepada kita bahawa Syaitan adalah musuh yang nyata. Namun umat Islam sering lalai dan sentiasa menurut hawa nafsu. 

Ingatlah dalam setiap apa jua keadaan yang berlaku, Allah adalah segala-galanya. Tiada yang dapat melebihi kebesaran Allah. Allah tempat kita bergantung dunia dan akhirat. Allah tempat kita akan kembali nanti. Oleh itu, marilah kita bersama meningkatkan amal ibadat dan sentiasa menurut perintah Allah dan RasulNYA. Moga nanti kita ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

2 comments:

endiem said...

banyak kebenarannya..

Fadh said...

selalunya kita lupa dan leka...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...