Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 July 2010

168 : Sesekali Merepek



Subuh itu gua bangun dengan semangat waja di dada. Pagi yang sama seperti pagi-pagi sebelum cuma bezanya pagi itu gua bangun awal. Tok bilal tak sempat mandi junub lagi gua dah terpacak kat tangga masjid. Dalam hati gua berbunga lalang. Rasa nak tarbiah tok bilal dengan tapak tangan pun ada. Gua dah smart siap berbaju melayu, bersongkok dan bersampin cuma tinggal tak de keris jer, dia boleh sedap-sedap meleleh air liur basi lagi. Kalau gua ada keris, harus gua tikam dada tok bilal. Masuk surat khabar, glamer jap gua.

Gua duduk mencangkung kat tepi kolah. Nasib baik tak de awek yang tengok. Kalau tak hilang ke'macho'an gua. Gua auto senyum bila dengar bunyi motor honda lampu bulat tok bilal memecah kebeningan subuh. Gua bangun dan cepat-cepat pulas kepala paip dan ambil wudhuk. Sambil itu gua jeling juga kat Tok Bilal yang tengah menongkat motornya. Sengaja gua buat-buat tawadhuk depan dia. Nak bagi pengajaran sikit yang gua awal dari dia.


Gua perhatikan gelagat Tok Bilal yang dari tadi asyik memerhatikan gua. Nampak sangat yang dia kehairanan tengok gua yang hensem lagi macho sedang bersila kemas sambil jari membilang biji tasbih. Gua nampak Tok Bilal mengukir senyum kambing pada gua. Ada rasa kembang sikit dada gua. Spontan jari gua makin ligat, kepala gua anggukkan laju dan bibir terkumat-kamit.


Bersambung....
(itu pun kalau ada permintaan hehehe)

15 July 2010

167 : Mari Tunaikan Hak Kepada Al-Quran





Al-Quran merupakan mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia adalah KALAMULLAH yakni percakapan Allah yang disampaikan melalui perantaraan Jibrail AS kepada Rasulullah. Al-Quran menjadi panduan serta ikutan umat Islam sejak dari ia mula diturunkan sehinggalah ke hari akhirat nanti. Berpegang pada Al-Quran dan sunnah Rasulullah menjamin kita kehidupan yang diberkati dan diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sebagai umat Islam yang memperakui akan keesaan Allah SWT dan menyaksikan akan kerasulan Nabi Muhammad SAW, kita wajib menunaikan hak terhadap Al-Quran. Terdapat 5 hak yang perlu kita tunaikan iaitu:

Pertama: Hak mempelajari Al-Quran. Sebagai umat Islam, kita wajib mempelajari Al-Quran. Tiada alasan atau pengecualian untuk tidak mempelajari Al-Quran. Terdapat pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak bertanggungjawab bagi memudahkan umat Islam mempelajari Al-Quran.

Kedua: Hak membaca Al-Quran. Setelah mempelajari Al-Quran, umat Islam perlu membacanya kerana ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Umat Islam disarankan supaya khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun adalah amat digalakkan supaya kita sentiasa membaca Al-Quran dan seterusnya mengkhatamkan Al-Quran sebanyak mungkin sehingga ke akhir hayat.

Ketiga: Hak memahami Al-Quran. Setelah belajar dan membaca Al-Quran, kita dituntut pula memahami isi kandungan Al-Quran. Dengan memahami isi kandungan Al-Quran akan dapat meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Keempat: Hak mengamalkan Al-Quran. Setelah belajar, membaca dan memahami Al-Quran, umat Islam hendaklah mengamalkan setiap apa yang terdapat di dalam Al-Quran.

Kelima: Hak menyebarkan Al-Quran. Setelah belajar, membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran, umat Islam perlulah menyebarkannya kepada seluruh isi alam. Agar nanti, setiap kebaikan yang terdapat di dalam Al-Quran akan dapat dikecapi bersama dan seterusnya memakmurkan bumi Allah ini.

14 July 2010

Mimbar Jumaat : Mentaati Kedua Ibu bapa

 
Dibaca pada : 9 Oktober 2009

Dalam Islam, tuntutan agar berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:

" Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata  dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa ".
Ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih keoad kedua ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:

" Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan(dari awal mengandung hingga akhir menyusu) dan tempoh menceraikan susunya ialah 2 tahun(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKU dan kepada kedua ibu bapamu dan(ingatlah) kepada AKUlah jua tempat kembali(untuk menerima balasan) ".
Lihatlah kisah Alqamah; beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang tergores di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Perisitwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.

Sebagai tanda penghormatan terhadap pengorbanan ibu serta mengenang jasa mereka membesarkan kita maka janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati mereka. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial yang boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu bapa yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita menghargai segala jasa ibu bapa. Antaranya kita memperuntukkan masa untuk menziarahi mereka, bercuti bersama mereka, membawa mereka bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaan mereka, sentiasa mendoakan mereka dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa.
Persoalannya adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu bapa kita? Adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya, barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimanakah keadaan ibu bapa kita? Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu bapa hendaklah diberi perhatiaan dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

13 July 2010

Mimbar Jumaat : Bersama Memelihara Akidah Islam

 
Dibaca Pada: 25 Disember 2009 

Dewasa ini, dakyah ajaran sesat nampaknya begitu mudah mendapat tempat di kalangan masyarakat dan ia merupakan satu ancaman besar kepada umat Islam dan negara. Ajaran ini datang dalam pelbagai bentuk dan gaya, ada yang berselindung di atas nama-nama tertentu yang melambangkan keislaman, ada yang berselindung di sebalik nama tariqat yang kononnya terdapat beberapa amalan yang dapat membersihkan dosa, yang boleh memikat segelintir orang Islam yang tercari-cari suatu kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), sehingga akhir tahun 2008 terdapat 55 jenis ajaran sesat telah diwartakan haram di Malaysia. Bagaimanapun, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia(PDRM), Pihat Bekuasa Tempatan(PBT), Majlis Keselamatan Negeri(MKN), orang awam dan beberapa agensi kerajaan yang lain, maka Jabatan Agama Islam berjaya mengawal perkembangan ajaran sesat. Pada masa ini masih terdapat 12 ajaran sesat yang masih aktif.

Persoalannya, mengapa umat Islam masih keliru dengan ajaran sesat?. Tidak lain kerana mereka merasa terkongkong dengan pantang larang Allah SWT dan terlalu mengikut hawa nafsu yang jahat supaya segala hajatnya diperolehi dengan jalan yang lebih mudah.

Fahaman atau ajaran itu dikatakan sesat apabila terdapat salah satu  daripada sepuluh ciri. Namun ciri-ciri ini hanya boleh diputuskan oleh pakar agama atau Jawatankuasa Fatwa bagi menentukan suatu ajaran itu sesat dan menyesatkan atau tidak. Marilah bersama kita teliti ciri-ciri tersebut:


1. Mengingkari rukun iman dan rukun Islam.


2. Meyakini atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dengan syarak.


3. Meyakini turunnya wahyu setelah Al-Quran.


4. Mengingkari kandungan atau kebenaran Al-Quran.


5. Melakukan pentafsiran Al-Quran tanpa kaedah yang tepat.


6. Mengingkari kedudukan hadis Rasulullah sebagai sumber ajaran agama.


7. Memperlekeh atau merendahkan para Nabi dan Rasul.


8. Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul terakhir.


9. Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.


10. Mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syarie.


Berdasarkan sepuluh ciri-ciri tadi, perlu diperingatkan bahawa ajaran sesat ini tetap akan terus berkembang dengan adanya faktor-faktor pendukung seperti berikut:


1. Wujudnya perbalahan terbuka di kalangan ahli agama.


2. Kelemahan penguatkuasa undang-undang.


3. Wujudnya pembela ajaran sesat.


Marilah kita sama-sama memelihara pegangan akidah kita dengan langlah-langkah berikut:

1. Memantapkan kefahaman agama Islam secara istiqamah dari sumber-sumber yang benar dan tepat.


2. Memberi maklumat kepada pihak berkuasa tentang adanya ajaran sesat yang diketahui.


3. Mendidik anak-anak dan beramal dengan ilmu syariat yang sahih.


4. Merujuk kepada Jabatan Agama Islam untuk memastikan guru dan ajaran yang diajar terutama ajaran Tariqat/Tasawwuf tidak bercanggah dengan Islam.


5. Menguatkuasa undang-undang dengan tegas hingga ke akar umbi.

Oleh itu marilah kita bersama-sama membasmi penularan dan perkembangan ajaran-ajaran sesat ini.


Terbitan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang

12 July 2010

166 : 24 Perkara Jangan Dilakukan




Sesungguhnya di dalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Namun perkara-perkara yang menyeronokkan itulah yang akan mendatangkan keburukan kepada kita. Di bawah ini terdapat 24 perkara-perkara yang jangan dilakukan yang sewajarnya kita ambil iktibar supaya kita dapat memuhasabah diri sendiri.

1. Jangan sengaja melewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai oleh Allah S.W.T.

2. Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar). Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita.

3. Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah @ sumbing. Makruh kerana ianya membahayakan.

4. Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.

5. Jangan tidur selepas Solat Subuh, nanti rezeki mahal(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

6. Jangan makan tanpa membaca Basmallah dan doa makan. Nanti makanan yang dimakan adalah dari muntah syaitan.

7. Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan @ kebaikan. Dikhuatiri nanti mati dalam perjalanan.

8. Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.

9. Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati gelap diselaputi dosa.

10. Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.

11. Jangan menangguhkan taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

12. Jangan ego untuk meminta maaf kepada kedua ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.

13. Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak silaturrahim.

14. Jangan lupa bergantung harap hanya kepada Allah S.W.T dalam setiap kerja kita. Nanti sombong bila berjaya dan kecewa pula bila gagal.
15. Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

16. Jangan biasakan berbohong kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih sayang orang kepada kita.

17. Jangan banyak ketawa nanti mati jiwa.

18. Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan kerana doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Allah S.W.T.

19. Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan kekal selamanya. Carilah kehidupan dunia untuk akhirat.

20. Jangan duduk dalam bilik air terlalu lama kerana di situlah tempat tinggal jin kafir dan syaitan.

21. Jangan merokok dan memasang kemenyan kerana asap itu adalah makanan jin.

22. Jangan lupa membaca Basmallah dan memberi salam ketika masuk ke rumah kerana dikhuatiri jin dan syaitan masuk bersama.

23. Jangan memakai tangkal kerana Allah S.W.T tidak akan menyempurnakan agama seseorang itu jika memakai tangkal kerana dikhuatiri kita bergantung kepada tangkal selain daripadaNYA.

24. Jangan mempertikaikan kenapa Islam berkata jangan sebab semuanya untuk kebaikan dan sesungguhnya Allah S.W.T itu Maha Mengetahui.

11 July 2010

165 : Piala Dunia - Satu Dakyah Yang Menyesatkan Umat Islam

syirik andai kita mempercayai ramalan  sotong ini 

Antara kita sedar atau pun tidak, Piala Dunia anjuran FIFA merupakan satu dakyah (penyebaran sesuatu fahaman, ajaran dll utk mendapat sokongan; propaganda) golongan kafir untuk menyesatkan akidah umat Islam. Terdapat banyak contoh-contoh dakyah yang telah dilakukan terhadap pegangan akidah umat Islam melalui penganjuran Piala Dunia namun kita sering alpa dan terleka. Mungkin kita benar-benar tidak menyedari atau kita sedar namun berpura-pura seakan tidak menyedarinya.

Contoh pertama, sebelum berlangsungnya Piala Dunia di Afrika Selatan kita digemparkan oleh tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian bola. Tindakan ini mendapat tentangan yang bukan sedikit namun kerajaan tetap melaksanakannya. Dalam tempoh 2 minggu, kita disuapkan dengan berita kerajaan melalui pihak polis berjaya menumpaskan sindiket perjudiaan tanpa lesen. Berita kejayaan menumpaskan sindiket perjudian tanpa lesen seakan menutup perhatian rakyat terhadap perjudian bola yang diberikan lesen.

Setelah 2 minggu berlangsungnya Piala Dunia, kerajaan mengumumkan menarik balik lesen perjudian dengan alasan mengambil kira pendapat dan sensiviti rakyat terutama yang beragama Islam. Soalnya, mengapa lambat membuat keputusan sedangkan jika diajukan kepada anak kecil yang telah diberikan didikan agama yang sempurna pasti menjawab; judi itu haram. Atau mungkin matlamat kerajaan untuk mengumpul dana hasil dari perjudian berlesen telah tercapai. Atau mungkin kerajaan hanya mengumumkan penarikan balik lesen perjudian namun hakikatnya lesen yang telah diberikan sebenarnya masih beroperasi seperti biasa hingga tamatnya Piala Dunia.

Contoh kedua, tiap 4 tahun sekali Piala Dunia akan dianjurkan. Dan tiap kali penganjurannya, pelbagai pihak berlumba-lumba mempromosikan Piala Dunia. Seakan-akan Piala Dunia inilah kemuncak segalanya. Hinggakan ramai di antara kita yang terleka dengan keseronokan berkumpul di warung-warung atau di tempat-tempat yang menyediakan layar-layar besar semata-mata untuk menonton perlawanan siaran langsung. Ada di antara kita meninggalkan Solat Maghrib kerana siaran langsung disiarkan pada pukul 7.30 petang. Ada yang tidak bersolat Isyak semata-mata tidak mahu berganjak dari tempat duduk kerana takut kehilangan tempat duduk yang paling hadapan. Dan ada yang tidak bersolat Subuh lantaran kepenatan dan mengantuk kerana bersorak menyokong pasukan pilihan masing-masing.

Alangkah indahnya andai kita beramai-ramai berjamaah di masjid-masjid dan di surau-surau tiap kali masuknya waktu Solat Maghrib, Solat Isyak dan Solat Subuh sebagaimana kita sanggup berjamaah di warung-warung atau di tempat-tempat yang menyediakan layar gergasi. Sesungguhnya kita sering leka dan alpa akan nikmat dunia yang indahnya hanya sementara.

Contoh ketiga, kita disogok dengan seekor sotong kurita yang diberi nama Paul. Sotong ini diberi tugas untuk meramalkan pasukan manakah yang bakal memenangi setiap perlawanan. Sebagai contoh, perlawanan di antara Jerman menentang Sepanyol. Sotong bernama Paul telah memilih Sepanyol sebagai pemenang. Dan apabila Sepanyol benar-benar memenangi perlawanan tersebut, ramai di antara kita mula mempercayai akan kehebatan sotong tersebut. 

Bagi perlawanan akhir pula, Si Paul telah memilih Sepanyol sebagai juara. Bersoraklah para penyokong Sepanyol dan gundah gulanalah para penyokong Belanda. Pertaruhan terhadap Sepanyol akan melonjak gara-gara ramalan seekor sotong. Dan andainya benar Sepanyol menjadi juara, maka bertambah yakinlah kita bahawa sotong ini benar-benar hebat dan semakin pudar dan terpesongnya akidah umat Islam.

Tidakkah kita terfikir bahawa semua itu adalah pekerjaan orang-orang kafir yang sentiasa berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam. Tidakkah kita terfikir bahawa sotong itu adalah makhluk ciptaan Allah. Tidakkah kita terfikir bahawa sotong itu tidak mempunyai apa-apa kuasa malah ia sebenarnya lemah dan hanya layak dijadikan hidangan kepada manusia.

Sedarlah setiap sesuatu yang bersifat melalaikan adalah pekerjaan Syaitan melalui tindakan orang-orang kafir. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Islam. Allah secara terang-terangan telah memberi peringatan kepada kita bahawa Syaitan adalah musuh yang nyata. Namun umat Islam sering lalai dan sentiasa menurut hawa nafsu. 

Ingatlah dalam setiap apa jua keadaan yang berlaku, Allah adalah segala-galanya. Tiada yang dapat melebihi kebesaran Allah. Allah tempat kita bergantung dunia dan akhirat. Allah tempat kita akan kembali nanti. Oleh itu, marilah kita bersama meningkatkan amal ibadat dan sentiasa menurut perintah Allah dan RasulNYA. Moga nanti kita ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

10 July 2010

Mimbar Jumaat : Islam Itu Indah


Dibaca Pada: 11 Jun 2010

Mimbar ingin mengajak para jemaah sekalian mensyukuri tiga nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita iaitu:

PERTAMA: Nikmat kita dijadikan oleh Allah SWT sebagai manusia, bukannya haiwan, tumbuh-tumbuhan atau makhlukNYA yang lain.

KEDUA: Nikmat kita dilahirkan sebagai seorang muslim, sama ada kita sebahagian besarnya mewarisi Islam secara keturunan daripada ibu bapa ataupun sebahagiaanya daripada kita yang memeluk Islam setelah mendapat hidayah daripada Allah SWT.

KETIGA: Nikmat kita tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan.

Sesungguhnya Islam telah mengeluarkan umat manusia dari kegelapan dan kesesatan kepada kehidupan beraqidah yang sangat mulia dan indah. Ini bersesuaian dengan kajadiaan manusia yang amat baik sebagaimana yang digambarkan dalam Surah Al-Tin ayat 4 yang bermaksud:

" Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya ".

Menutup aurat adalah salah satu perintah allah yang wajib dipatuhi setiap lelaki dan perempuan. selain bertujuaan menjaga kehormatan dan keselamatan, menutup aurat juga bertujuan untuk memperlihatkan keindahan Islam serta kecantikan akhlak seorang muslim. Orang yang ingkar dengan perintah menutup aurat sedangkan dia mengetahui kewajipannya seolah-olah telah meletakkan dirinya sama taraf dengan haiwan yang tidak mempunyai akal serta sifat malu.

Agama Islam itu sendiri datang untuk menjaga lima perkara:

1.   Menjaga aqidah dan mengharaman syirik.

2. Menjaga tubuh badan dengan mengharamkan pembunuhan, menyakiti orang lain dan memakan benda-benda yang tidak elok.

3.  Menjaga akal dengan menharamkan khamar(arak). dadah atau sebarang benda yang memabukkan.

4.  Menjaga kehormatan dan keturunan dengan mengharamkan zina dan pergaulan bebas.

5.  Menjaga harta dengan mengharankan pembaziran, riba dan gaya hidup melampaui batas.

Sesungguhnya keindahan Islam itu tidak dapat dirasai dan dihayati  melainkan dengan pengkajian dan pemikiran yang waras. Bukti-bukti keindahan Islam sangatlah banyak cuma kita yang mungkin tidak menyedarinya. Antara contoh keindahan Islam adalah keindahan ayat-ayat dalam Al-Quran.

Al-Quran tidak syak lagi merupakan wahyu yang terpelihara, datang daripada Allah yang terkandung di dalamnya pelbagai syariat, penerangan, cerita dan kiasan dalam susun kata yang sangat indah. Firman Allah dalam Surah Al-Hijr ayat 9 yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya ".

Banyak fakta yang boleh membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang indah. Antaranya:

PERTAMA: Apabila seorang kafir memeluk Islam, segala dosanya yang lampau akan dihapuskan yakni tidak dikira, malah dia dianggap suci bersih seperti bayi yang baru lahir.

KEDUA: Islam menganjurkan orang yang melakukan dosa supaya segera bertaubat kerana Allah Maha Penerima Taubat. Penganut Islam tidak perlu menyeksa diri atau membayar sejumlah wang untuk menebus dosa sebagaimana amalan penganut beberapa agama lain.


KETIGA : Islam bukan milik orang Arab sahaja. Islam tidak memandang manusia berdasarkan status kaya atau miskin, warna kulit cerah atau gelap, badan gemuk atau kurus, paras rupa cantik atau hodoh dan sebagainya. Tetapi Islam menilai amal soleh seseorang hamba.


KEEMPAT : Islam merupakan penyelesaian bagi pelbagai masalah,  penawar pelbagai penyakit dan penawar hati yang gundah gulana.


KELIMA : Islam tidak membebankan umatnya dengan ibadah yang menyusahkan, malah amalan dalam keadaan tertentu Islam memberikan rukhsah atau keringanan. Contohnya, orang yang bermusafir melebihi dua marhalah boleh menunaikan solat jamak dan qasar. Orang sakit yang tidak mampu berdiri boleh mendirikan solat secara duduk atau berbaring.

KEENAM : Islam mengambil kira setiap perbuatan baik umatnya bermula daripada perkara-perkara besar sehinggalah sekecil-kecinya. Semuanya dikira amalan yang boleh mendatangkan pahala walaupun sekadar mengukir senyuman atau membuang halangan di jalanan. 


Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

09 July 2010

164 : Jawapan Yang Penuh Hikmah

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazal bertanya, 'Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? '. Murid-muridnya menjawab, 'Orang tua, guru, kawan dan sahabat'.

Imam Al-Ghazal menjelaskan bahawa semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah "MATI". Sebab itu sememangnya janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran:185)

Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua, 'Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?'. Murid-muridnya menjawab, 'Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang '.

Lalu Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar ialah "MASA LALU". Walau dengan apa cara sekalipun kita tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam.

Lalu Imam Al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga, 'Apa yang paling besar di dunia?'. Murid-muridnya menjawab, 'Gunung, bumi dan matahari'. 'Semua jawapan itu benar,' kata Imam Al-Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia adalah "NAFSU"(Al-Araf:179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, 'Apa yang paling berat di dunia ini?'. Ada yang menjawab "besi dan gajah". 'Semua jawapan itu adalah benar', kata Imam Al-Ghazali. Tetapi yang paling berat ialah "MEMEGANG AMANAH"(Al-Ahzab:72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat, semuanya tidak sanggup ketika Allah meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak yang masuk neraka kerana tidak dapat memegang amanah.

Pertanyaan Imam Al-ghazal yang kelima adalah, 'Apa yang paling ringan di dunia ini?'. Ada yang menjawab "kapas, angin, debu dan daun-daunan". Imam Al-Ghazali membenarkan jawapan murid-muridnya tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah "MENINGGALKAN SOLAT". Gara-gara pekerjaan, kita meninggalkan solat, gara-gara bermesyuarat kita meninggalkan solat.

Dan pertanyaan Imam Ghazali yang keenam adalah, 'Apakah yang paling tajam di dunia ini?'. Murid-muridnya menjawab dengan serentak, "pedang". Benar kata Imam Al-Ghazali tetapi yang paling tajam ialah "LIDAH MANUSIA" kerana melalui lidah, manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

08 July 2010

Mimbar Jumaat : Mengharapkan Syafaat Nabi S.A.W



Dibaca Pada : 5 Mac 2010

Syafaat dari segi bahasa bermakna asy-syafa'(gandaan). Manakala dari segi istilahnya ialah meminta sesuatu kebaikan daripada yang lain untuk yang lain. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 254 yang bermaksud: 

' Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya suatu hari(hari kiamat) yang tiada ada jual beli padanya, dan tidak ada persahabatan(yang memberi manafaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat(tanpa izin daripada Allah). Sedangkan orang kafir itulah orang yang zalim '.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

' Setiap nabi memiliki doa yang mustajab, maka setiap nabi telah menggunakan doa tersebut. Dan aku menyimpannya sebagai syafaat bagi ummatku kelak di hari kiamat. Maka, syafaat tersebut, Insyallah akan didapati oleh setiap orang dari ummatku yang mati dalam keadaan tidak menyekutukan Allah Taala dengan suatu apa pun '. 

Allah tidak meredhai orang-orang kafir dan musyrik untuk mendapat apa-apa syafaat pada hari kiamat nanti.

Beriman dengan adanya syafaat adalah wajib, maka antara yang dapat memberikan syafaat kepada kita pada hari kiamat ialah para nabi, ulama, syuhada dan malaikat. Ada pun fahaman yang mengatakan syafaat nabi bukan ajaran Islam adalah menyalahi pegangan ahl al-assunnah waljamaah.

Antara syafaat nabi ialah mengeluarkan orang-orang Islam dari neraka yang melakukan maksiat yang tidak sempat bertaubat sebelum mati.

Ada pun mereka yang mendapat syafaat adalah dari kalangan orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibba yang bermaksud:

' Syafaatku adalah untuk umatku yang melakukan dosa-dosa besar '.

Nabi Muhammad merupakan orang pertama dari kalangan nabi yang memberi syafaat dan diterima syafaatnya di hari akhirat kelak. Baginda juga memiliki al-syafaatul al-uzma iaitu syafaat agung yang dapat memberikan pertolongan kepada umat Islam pada hari kiamat.

Orang-orang kafir pula tidak akan mendapat syafaat bahkan diazab dengan azab yang pedih.

Syafaat tidak akan berlaku kecuali mereka yang beriman kepada Nabi Muhammad; sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah kepada anaknya, Fatimah dalam hadis yang diriwayatkan oleh bukhari yang bermaksud:

' Wahai Fatimah binti Muhammad! aku tidak mampu menyelamatkan kamu daripada api neraka jika kamu tidak beriman kepadaku; adapun di dunia aku mampu memberikan harta kepadamu tetapi di akhirat aku tidak mampu menolongmu jika kamu tidak memeluk Islam '.

Antara langkah untuk mendapatkan syafaat nabi Muhammahd ialah:

PERTAMA: Memperbanyakkan selawat ke atas nabi Muhammad SAW terutama pada hari Jumaat. Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud:

' Sesungguhnya hari yang paling mulia bagi kamu ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah berselawat ke atasku kerana selawat kemu dibentangkan kepadaku '. 

Sesiapa yang mendengar seseorang menyebut nama Nabi Nuhammad SAW hendaklah terus menyahut 'Sallallahu'alaihiwasallam '.

KEDUA: Mencintai Rasulullah lebih dari keluarga, harta dan dunia seisinya. Antaranya ialah dengan kita melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan larangannya.

KETIGA: Sentiasa berdoa kepada Allah dengan berselawat menyebut nama nama Nabi SAW. Inilah hujah bertawassul dengan nama Nabi SAW dan dakwaan yang mengatkan bahawa tawassul itu adalah syirik. Dan seafdhal-afdhal doa yang mustajab kepada Allah dengan berselawat kepada Nabi Muhammad.

KEEMPAT: Menunjukkan rasa kasih kepada Nabi Muhammad SAW dengan sentiasa menyambut sambutan maulidur rasul terutama dalam bulan rabiul awwal sekarang ini dengan membaca kisah kelahiran Rasulullah dan sejarah perjuangannya.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Darul Qutni yang bermaksud: 

' Barangsiapa yang menziarahi kubur maka wajib baginya mendapat syafaatku '.

Sempena dengan bulan maulidur rasul ini, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas baginda, mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan umat Nabi Muhammad yang mendapat syafaat besar pada hari kiamat. 

07 July 2010

163 : Di Sebalik Solat 5 Waktu


Ali bin Abi Talib r.a berkata:

" Sewaktu Rasulullah S.A.W duduk bersama para sahabat Muhajirin dan Ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata: 

'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu tentang kalimah-kalimah yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab'.

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:

'Silakan bertanya'.

Berkata orang Yahudi: 

'Sila jelaskan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu'.

Sabda Rasulullah S.A.W: 

' Solat Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Allah. Solat Asar itu ialah saat Nabi Adam A.S memakan buah Khuldi. Solat Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S, maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu kepada Allah maka pasti Allah akan memakbulkan permintaannya. Solat Isyak itu ialah solat yang dikerjakan oleh para Rasul sebelumku. Solat Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir '.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah S.A.W maka mereka berkata: 

' Memang benar apa yang kamu katakan itu, Wahai Muhammad. Katakanlah kepada kami, apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang bersolat '.

Rasulullah S.A.W bersabda:

' Jagalah waktu-waktu solat terutama solat yang pertengahan iaitu Solat Zuhur. Pada saat itu menyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan solat pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat '.

Sabda Rasulullah S.A.W lagi:

' Maka Solat Asar adalah di saat Nabi Adam A.S memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan Solat Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru dilahir '.

Setelah itu Rasulullah S.A.W membaca ayat yang bermaksud:

' Jagalah waktu-waktu solat terutama solat yang pertengahan. Solat Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan Solat Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan ' .

Sabda Rasulullah S.A.W:

' Solat Isyak(atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat. Maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan Solat Isyak berjamaah, Allah S.W.T haramkan dari terkena nyalaan api nerakan dan diberi cahaya untuk menyeberangi titi sirath '.
Sabda Rasulullah S.A.W seterusnya:

' Solat Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan Solat Subuh 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T dua kebebasan iaitu dibebaskan dari api neraka dibebaskan dari nifaq (kemunafikan) '.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah S.A.W maka mereka pun berkata:

' Memang benarlah apa yang kamu katakan itu, Wahai Muhammad ( S.A.W) ' ". 
       

06 July 2010

Mimbar Jumaat : Menerapkan Nilai-Nilai Murni Dalam Diri Remaja Islam



Dibaca Pada 12 Jun 2009
Pemikiran-pemikiran sesat boleh menyerap masuk sama ada melalui hiburan, kebudayaan, seni, sosial dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan terdapat umat Islam khususnya para remaja dan generasi muda terjebak dengan gejala sosial seperti hubungan seks bebas yang semakin meningkat, dadah dan sebagainya.

Sebenarnya banyak sebab yang mempengaruhi remaja berperilaku buruk antaranya :
PERTAMA: Ibu bapa telah hilang sifat amanah dan jujur dalam menunaikan tanggungjawab. malah ada di kalangan kita yang beranggapan isu moral atau akhlak adalah hak peribadi, tiada kaitan langsung dengan agama. Dengan demikian anak-anak dibiarkan berpakaian mendedahkan aurat, keluar rumah tanpa halangan ke pusat-pusat hiburan, pergaulan bebas dan sebagainya. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

" Tiap-tiap anak dilahirkan dalam keadaan suci dan bahawasanya kedua ibu bapalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani dan Majusi "

KEDUA: Terpengaruh dengan budaya liar Barat yang merosakkan dan jelas bertentangan dengan syariat Islam seperti bertindik pusat, bertatood dan sebagainya. Mereka mudah menerima sesuatu perkara baru tanpa menilai atau bertanya sama ada ia dibenarkan oleh syarak atau tidak. 

KETIGA: Asas pendidikan dan penghayatan agama yang lemah juga menjadi punca golongan remaja mudah terpengaruh dengan anasir-anasir buruk yang didatangkan dari Barat. Keadaan ini juga berkait rapat dengan gaya hidup ibu bapa yang tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram.

KEEMPAT: Lambakan majalah-majalah lucah, hiburan yang melampau, program televisyen yang tidak membina sahsiah ummah serta laman web, blog yang merosakkan minda remaja.

Sesungguhnya perilaku umat Islam yang tidak selari dengan ajaran Islam akan mendatangkan akibat yang amat buruk bukan sahaja ke atas diri mereka tetapi kepada seluruh masyarakat Islam dan juga negara. Malah yang lebih menakutkan kita ialah dengan kelalaian dan kemaksiatan yang mereka lakukan ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT kerana kita telah melanggar tegahan dan laranganNYA. Renungilah peringatan Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 120 yang bermaksud:


" Oleh itu, tinggalkanlah dosa yang nyata dan tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang yang melakukan dosa akan dibalas disebabkan apa yang mereka telah lakukan ".


Sebagai umat Islam, kita hendaklah beristiqamah dan berpegang kuat  kepada ajaran Islam selari dengan ikrar dan lafaz kalimah syahadah yang dibaca setiap kali solat. Janganlah kita menjadi umat Islam yang bersifat talam dua muka dalam menghayati Islam iaitu pada waktu-waktu tertentu kita kelihatan berakhlak mulia kemudia pada waktu yang lain pula kita bergelumang atau bersubahat dalam melakukan maksiat. Dalam pendekatan Islam, disebut dengan jelas bahawa meningkatkan takwa dan keimanan serta mementingkan moral menjadi nadi pembentukan ummah yang bertakwa.


Oleh itu, marilah kita mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dengan berlandaskan ajaran Islam dengan menjadikan Al-Quran dan As- Sunnah sebagai rujukan dan panduaan. Para ibu bapa juga perlulah mendidik dan membimbing anak-anak agar mereka tidak terpengaruh dengan budaya negatif.


Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

05 July 2010

162 : Kisah Malaikat Jibrail vs Nabi Muhammad SAW Dan Umatnya


Diriwayatkan bahawa Rasululullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

" Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat(ada pendapat menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail memandang dirinya sendiri dan berkata : ' Wahai TuhanKU, adakah ENGKAU menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku? ". 

Lalu Allah berfirman yang bermaksud.."Tidak".."
Kemudian Jibrail as berdiri serta solat du rakaat kerana syukur kepada Allah SWT dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah berfirman yang bermaksud..
" Wahai Jibrail, kamu telah menyembah AKU dengan ibadah yang bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaKU seperti ibadat kamu. Akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling AKU cintai, namanya 'Muhammad'.

" Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa; sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaanKU dan ketinggianKU, sesungguhnya solat mereka itu lebih AKU sukai dari solatmu itu kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKU , sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKU".

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang ENGKAU hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"
Lalu Allah berfirman yang bermaksud:

" Ya Jibrail, akan AKU berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal". 

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah SWT untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat keizinan Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap kali Jibrail as mengembangkan dua sayapnya, Jibrail as boleh menempuh jarak perjalanan  sejauh 3000 tahun. Jibrail as pun terbanglah selama 300 tahun sehingga merasa letih dan lemah dan akhirnya Jibrail as turun singgah berteduh di bawah bayangan sepohon kayu dan sujud kepada Allah SWT lalu berkata di dalam sujudnya:

" Ya tuhanku, apakah sudah aku menempuh separuh dari jarak perjalanan atau sepertiga atau seperempatnya?".

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun AKU berikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang AKU berikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan ".

04 July 2010

Mimbar Jumaat : Solat Yang Khusyuk



Dibaca Pada : 12hb Disember 2008

Allah Taala telah memfardhukan ke atas umat Islam supaya mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat adalah tiang agama, sesiapa yang tidak melaksanakannya dengan sengaja serta berkeyakinan bahawa ia tidak diwajibkan, maka ia boleh menyebabkan kekufuran. Solat adalah satu amalan yang sangat agung dan penting dalam agama ini.


Kita disuruh menghayati erti khusyuk dalam solat. Khusyuk dalam solat itu adalah satu kewajibam yang perlu diusahakan untuk mencapainya. Solat yang sempurna rukun dan syaratnya sah di sisi syarak tetapi tidak khusyuk dalam solat boleh menjejaskan kesempurnaan solat dan kemungkinan tidak diterima oleh Allah SWT. Khusyuk dalam solat tidak mustahil untuk dicapai sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: Dan mintalah pertolongan(kepada Allah) dengan jalan bersabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

 

Ulama telah menggariskan beberapa panduan yang boleh diikuti dan dijadikan pedoman dalam usaha mengkhusyukkan hati ketika solat.


Pertama: Seseorang itu hendaklah merasakan solat yang dilaksanakan itu adalah solat yang terakhir bagi dirinya dalam hidup ini, di mana selepas itu dia berkemungkinan tidak berpeluang lagi melaksanakannya kerana kematian bakal menjemput.


Kedua: Cuba memahami makna bacaan-bacaan yang dibaca dalam solat. Menghayati rukun-rukun fe'li seperti berdiri , ruku' dan sujud.


Ketiga: Memperbanyakkan zikrullah semasa di luar solat, supaya hati sentiasa hidup kerana sentiasa mengingati Allah SWT. Amalan ini boleh membantu dalam usaha mencapai kekhusyukkan dalam solat.



Tahap kekhusyukkan orang yang bersolat itu ada tiga peringkat:


Pertama: Orang yang jasadnya melaksanakan solat tetap hatinya tidak bersama jasad dalam melaksanakan solat itu. Inilah solah orang yang lalai.


Kedua: Orang yang jasadnya menunaikan solat dan hatinya turut menghayati makna bacaannya dan dia menghayati rukun fe'li yang dilakukan. Inilah solat orang yang khusyuk.


Ketiga: Orang yang jasadnya mendirikn solat dan hatinya sentiasa sedar dan hadir berserta Allah serta merasakan dirinya seolah-olah sedang berhadap kepada Allah Yang Maha Esa. Bacaan-bacaan yang dilakukannya adalah terjemahan dari apa yang ada di dalam hatinya. Inilah kemuncak kekhusyukkan dalam solat.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang




03 July 2010

161 : 10 Wasiat Imam Syafie



Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada murid-muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut :

" Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara ".

PERTAMA : HAK KEPADA DIRI.
Iaitu  :  Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada pada rezeki yang ada.

KEDUA : HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu : Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapat kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu  :  Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT : HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, menginggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN(NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu  :  Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.


KEENAM :  HAK KEPADA SIRAT(TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI KIAMAT)
Iaitu  :  Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.


KETUJUH  : HAK KEPADA MALIK(MALAIKAT PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan dan sembunyi dan memperelokkan akhlak.


KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN(MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah , bersabar menerima bala, bersyukur di atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.


KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada As-Sunnah(Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.


KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.



02 July 2010

Mimbar Jumaat : Membudayakan Membaca Al-Quran


Dibaca Pada : 2 Oktober 2009

Al-Quran yang diturunkan oleh Allah merupakan petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat. Kita mesti yakin bahawa Al-Quran juga satu peraturan yang lengkap sebagai petunjuk jalan ke arah kebanaran serta penawar kepada segala penyakit sama ada rohani atau jasmani.

Amalan membaca Al-Quran dan bertadarus ini dapat diamalkan secara berterusan dengan bersungguh-sungguh. Di antaranya ialah :

Pertama, ibu bapa mesti menunujukkan contoh teladan kepada ahli keluarganya dengan sentiasa mengamalkan membaca Al-Quran di rumah dan memastikan Al-Quran juga dibaca oleh ahli keluarga yang lain. Mari kita renungkan sejenak. Mengapa kita mempunyai masa untuk membaca akhbar, majalah, menonton televisyen, melayari internet dan lain-lain? Kenapa kita tidak memperuntukkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran walaupun satu muka surat sehari ataupun sepuluh ayat sehari secara berterusan. Insyallah, dengan amalan yang sedemikian akan dapat menyelamatkan dan memberi manafaat yang amat besar kepada kita di akhirat kelak.

Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadis yang bermaksud: " Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ".

Sebagai umat Islam sepatutnya kita menjadikan Al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Mereka yang membaca Al-Quran, mendengar malah melihat Al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah S.W.T sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh At- Tarmizi yang bermaksud: " Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, min) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan min satu huruf ".  

Kedua: Ibu bapa perlu memprogramkan pembacaan Al-Quran di rumah secara bersistematik. Sebagai contoh, dengan memperuntukkan masa selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca dan mempelajari Al-Quran bersama ahli keluarga. Selain itu, galakkan anak-anak dan ahli keluarga dengan memberi hadiah atau seumpamanya sebagai motivasi kepada mereka untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran. Mengapa ada di kalangan kita sebagai ibu bapa merasa sangat sedih, kecewa atau dukacita sekiranya anak-anak kita gagal dalam pelajaran akademik? Kenapa tidak ramai di kalangan kita merasa sedih atau kecewa jika anak-anak tidak tahu atau buta membaca Al-Quran?

Kita di negeri Pahang ini amat bertuah kerana pelbagai usaha dan program telah dilaksanakan untuk menggalakkan umat Islam di negeri ini agar sentiasa membaca, mencintai dan menghayati Al-Quran seperti program kelas pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain(KAFA), penubuhan kelas-kelas pengajian Al-Quran di masjid-masjid, Ma'ahad Tahfiz dan program yang terbaru di bawah Majlis Ugama Islam Pahang dan Jabatan Ugama Islam Pahang telah menyediakan tenaga pengajar dari kalangan Al-Hafiz di setiap masjid daerah untuk memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini mempelajari dan seterusnya menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran. Ini semua adalah komitmen yang telah diberikan oleh pelbagai pihak yang hanya memerlukan sokongan dan dukungan dari kita semua.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil manafaat dari apa yang telah dikurniakna kepada kita dan berdoa semoga amalan membaca Al-Quran ini dapat dilakukan dengan penuh keikhlasan kerana rumah yang tidak dibacakan Al-Quran bagaikan kubur yang sunyi sepi dan akan terhindar dari rahmat Allah S.W.T. Ibu bapa pula adalah contoh terbaik bagi anak-anak dan berilah galakan kepada ahli keluarga untuk membaca Al-Quran kerana membacanya bukan sahaja merupakan suatu ibadah, bahkan dalam masa yang sama ia juga mampu menjadi penawar kepada segala penyakit seperti penyakit jiwa, emosi, kecelaruan fikiran, penyakit sosial dan penyakit hati.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.
 

01 July 2010

160 : Waris Jari Kelingking

selepas balik dari berurut
             
Suasana agak sunyi ketika aku memperlahankan kereta menghampiri rumah semi D berpagar batu. Dalam hati berdoa mengharapkan itulah rumah yang ingin ditujui. Ketika aku memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pintu pagar rumah tersebut, kelihatan seorang nenek tua baru mengunci pintu pagar besi yang boleh digelongsor buka dan tutup. Salam diberi bersambut mesra. Hajat dinyata berbalas ceria. Pelawaan diunjuk bersahut gembira.

 mata yang sembab akibat menangis

Kunjungan aku bersama mak, isteri dan Are-keem bertujuan untuk berubat. Berubat sakit terseliuh. Terseliuh lengannya si Are-keem. Gara-gara ‘smackdown’ si Are-an yang pada awalnya sekadar bermain namun entah bagaimana lengan si Are-Keem terseliuh. Esak tangisnya memaksa aku berikhtiar mencari sesiapa yang berkebolehan merawat sakit terseliuh. Namun berada di tempat orang membuntukan akal. Mujur Andak memberitahu perihal seorang nenek tua yang mahir mengurut. Lalu berbekalkan harapan mengunung, kunjungan dibuat diiringi rengekan si Are-keem yang kesakitan.
 
 namun masih mampu mengukir senyum

Selesai berbahasa basi, proses rawatan bermula. Dengan lafaz bismillah, nenek menyentuh lengan, meraba dan mengusap. Semangkuk minyak urut di sisi segera dicelup dan urutan pun dilakukan penuh teliti dan cermat. Sambil itu mulut nenek tua tak henti terkumat-kamit membaca sesuatu yang kedengaran tenggelam timbul di corong telinga aku berselang-seli di antara ayat Al-Quran dan jampi serapah. Aku lihat isteri aku yang meribakan Are-Keem hampir menitiskan air mata. Mungkin terlalu hiba melihat Are-Keem yang tidak henti – henti merintih kesakitan. 

bersambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...