Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 June 2010

159 : Yang Patut Mansuh Tidak Dimansuhkan



Dewasa ini heboh memperkatakan tentang pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Jika dulu heboh sana - sini memperkatakan tentang PPSMI hingga kerajaan mengambil keputusan untuk memansuhkannya. Kini pemansuhan UPSR dan PMR pula dicanang seolah - olah peperiksaan yang menunjangi sistem pendidikan negara sejak sekian lama tidak ada manafaatnya lagi.


Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, mansuh membawa maksud tidak berlaku lagi, batal, ditiadakan, terhapus; memansuhkan menjadikan tidak berlaku (sah dll) lagi, membatalkan, menghapuskan, meniadakan: perjanjian ini boleh diman-suhkan pd bila-bila masa pun; pemansuhan perbuatan (tindakan dsb) me­mansuhkan, pembatalan, penghapusan: ~ peperiksaan masuk ke sekolah menengah pd tahun 1964.



 Pelbagai pihak telah pun menyuarakan pendapat masing - masing ekoran usul memansuhkan peperiksaan tersebut. Ada yang menyokong malah ada yang membantah. Aku secara peribadi membantah usul untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. 


Bagi aku yang terlibat secara langsung dengan peperiksaan UPSR merasakan tindakan memansuhkan UPSR bagaikan mengundur ke belakang. Sewajarnya kerajaan memikirkan langkah terbaik untuk memantapkan lagi perlaksanaan peperiksaan UPSR dan PMR agar generasi yang dihasilkan oleh peperiksaan tersebut merupakan generasi yang dapat menggalas tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara berlandaskan hukum Islam.


Memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR bukanlah jalan terbaik yang seharusnya diambil kerana masih banyak lagi perkara yang sepatutnya dimansuh sejak dari dulu tapi masih belum dimansuh sehingga kini. Pelesenan rokok, judi dan arak misalnya. Fikir - fikirkanlah.

29 June 2010

158 : Bukti Penghinaan Terhadap Islam

Terdapat banyak bukti-bukti penghinaan terhadap Islam. Di bawah ini disertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan bagaimana Islam dihina.

Namun sedarkah kita bahawa Islam bukan sahaja dihina oleh mereka yang bukan Islam tetapi juga oleh mereka yang beragama Islam.


Sebagai contoh, Al-Quran dihina dengan meletakkannya di dalam almari sebagai perhiasan di ruang tamu tanpa dibaca apatah lagi mengamalkan isi kandungannya.

Apabila menonton televisyen dan azan sedang disiarkan, dengan patas kita akan mencapai alat kawalan jauh dan menukar ke siaran lain.

Dinihari yang dingin, azan subuh berkumandang namun kita masih asyik berselimut sambil di dalam hati mendengus "Ah...kacau betul laa azan nie...nak tidur pun susah".

Ramadhan bulan yang mulia. Namun kita cemari ia dengan tidak berpuasa malah secara terang-terangan melakukan maksiat.


Banyak masjid didirikan dengan binaan yang indah dan mahal namun yang hadir cumalah beberapa orang sahaja. Itu pun yang hadir itu mereka yang telah berumur dan tua.


Penzinaan dan pembuangan bayi makin menjadi - jadi. Semakin berleluasa bagaikan api membakar dalam sekam. Semakin bernanah tanpa ada tanda akan sembuh.


Dan banyak lagi bukti - bukti yang Islam dihina oleh umatnya sendiri. Oleh itu marilah kita bersama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga Allah melindungi hidup kita di dunia dan di akhirat.



28 June 2010

157 : Buat Baik Dibalas Baik Buat Jahat Dibalas Jahat

Fenomena 4 tahun sekali telah separuh jalan berlangsung. Rata-rata memperkatakan tentangnya. Baik di Dewan Rakyat, pejabat mahu pun di warung - warung kopi, topik utamanya pastilah Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Aku tidaklah fanatik  dalam menyokong mana - mana pasukan yang bertanding. Tidaklah setegar mana untuk bersengkang mata. Dan tidaklah pula bertaruh dalam mana - mana pasukan yang bakal memenangi piala keagungan dunia itu.

Perancis tersingkir awal dan menduduki tempat tercorot dalam kumpulan. Itali pun sama. Selaku juara Piala Dunia 2006, Itali mempunyai reputasi gah. Kedua - dua pasukan ini merupakan yang bertanding di perlawanan akhir 2006. Namun tersingkir di peringkat kumpulan.


Perancis layak ke Piala Dunia 2010 dengan cara 'kotor.' Tampanan tangan Thierry Henry sewaktu perlawanan 'play - off ' menafikan hak Ireland Utara untuk mengecapi aksi pusingan akhir. Dan musibah dari tindakan kotor itu kini diratapi seluruh rakyat Perancis.

Itali pula menerima balasan gara - gara tindakan Marco Matterazi yang memprovokasi Zidane sehingga Zidane melakukan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemain profesional lantas Zidane dilayangkan kad merah. Kekurangan seorang pemain jelas memberi kelebihan kepada Itali yang akhirnya memenangi saingan tersebut. Maka bolehlah dirumuskan bahawa penyingkiran Perancis dan Itali adalah hukuman yang setimpal di atas apa yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan tersebut.

Dan dalam kehidupan seharian kita pun konsep 'Buat baik dibalas baik, Buat jahat dibalas jahat' sebenarnya amat sinonim dengan dosa pahala. Jika kita melakukan maksiat maka balasannya adalah dosa dan akan diazab di akhirat kelak. Jika kita melakukan kebaikan maka balasannya adalah pahala dan bakal menghuni syurga. Oleh itu, fikir - fikirkanlah untuk kebaikan bersama.

24 June 2010

Mimbar Jumaat : Keganasan Yahudi Terhadap Umat Islam

                                                  Dibaca Pada : 30hb Januari 2009

Khutbah Minggu ini secara ringkas menghuraikan tajuk "Kezaliman Yahudi Terhadap Umat Islam serta sikap kita dalam menghadapinya".


Antara kekejaman Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW ialah membunuh para Nabi dan Rasul, mengkhianati janji, menipu, memeras ugut, memakan riba', angkuh, taksub kepada bangsa, memutar belit ayat - ayat Allah, menyembunyikan hukum Allah dan sebagainya.

Perancangan jahat orang Yahudi berterusan dari zaman Rasulullah SAW hinggalah zaman kejatuhan Kerajan Uthmaniyah di Turki dalam Perang Dunia Pertama yang membawa kepada paksaan supaya menerima Perjanjian Balfour 1917. Perjanjian inilah yang menyebabkan orang-orang Yahudi di seluruh dunia menduduki Palestine sehingga penduduk Islam Palesyine menderita  hingga ke hari ini.

Sesungguhnya perancangan jahat Yahudi dan musuh - musuh Islam selainnya tidak mampu menjejaskan perpaduan umat Islam selagi umat Islam takutkan Allah. Apabila umat Islam tidak lagi takutkan Allah, bermakna mereka merelakan diri untuk ditindas dan dijajah musuh. Inilah janji Allah di dalam surah Al-Ma'idah ayat 3 yang bermaksud :

"Pada hari ini, orang - orang kafir telah putus asa(daripada memesongkan kamu) dari agama kamu(setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKU".

Paling penting antara yang disebutkan dalam khutbah minggu ini handaklah kita bersama - sama menjaga samada diri kita, keluarga dan masyarakat Islam dari diresapi fahaman dan cara hidup Yahudi. Kegagalan kita menangkis dan menjauhi propaganda Yahudi akan mengakibatkan kita menjadi mangsa mereka di dunia ini, lebih menakutkan lagi ditimpa laknat Allah di dunia dan azab Allah di akhirat.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

23 June 2010

156 : Kelebihan Bulan Rejab

Sempena dengan kedatangan bulan Rejab yang mulia ini, mengingatkan kita kepada suatu peristiwa sejarah yang tidak asing asing lagi bagi kita semua iaitu peristiwa Israk dan Mikraj yang telah berlaku ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad S.A.W.

Peristiwa yang dapat mengambarkan akan kebesaran Allah yang memiliki alam semesta ini, darinya juga dapat kita mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa tersebut. Justeru itu sempena dengan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama meneliti tentang beberapa kelebihan yang terdapat di bulan Rejab supaya kehadiran bulan ini pada setiap tahun dapat kita manafaatkan bagi meningkatkan amalan dan ibadah kita kepada Allah Subhanaallahuwataala.

PENGERTIAN REJAB
Rejab ertinya Takzim(Kebesaran, Keagungan, Kemuliaan) yang dimaksudkan dengan kebesaran, keagungan, kemuliaan bulan ini, allah limpahkan rahmatnya terhadap hambaNYA yang beriman dan beramal soleh dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Rejab bulan menabur benih,
Sya'ban bulan menyiram tanaman,
Ramadhan bulan menuai.
Rejab mensucikan badan,
Sya'ban mensucikan hati,
Ramadhan mensucikan roh.

Rejab bulan maghfirah(keampunan),
Sya'ban bulan syafaat,
Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.
Rejab bulan taubat,
Sya'ban bulam mahabbah,
Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan banyaknya.

Rejab diganda 70 pahala,
Sya'ban diganda 700 pahala
Ramadhan diganda 1000 pahala.

KELEBIHAN BULAN REJAB
Hadis - Hadis Rasulullah S.A.W menerangkan beberapa kelebihan bulan Rejab antaranya, sabda Nabi yang bermaksud :-

i.   Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah              muliakan kamu dengan 1000 kemuliaan di hari Kiamat.

ii.  Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya'ban bulanku dan bulan Ramadhan bulan umatku.

iii.  Malam awal rejab mustajab doanya.

iv. Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat Syurga yang tertinggi.

v.   Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

vi.   Puasa tiga hari di bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalang ke neraka.(panjangnya setahun perjalanan)

vii.   Orang yang lemah daripada berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang - kurangnya sebiji roti.

Semoga dengan hadirnya bulan Rejab yang penuh kerahmatan ini dapat kita sama-sama memanafaatkan sebaik mungkin dalam usaha kita mencari keredhaan Allah S.A.W.

12 June 2010

Mimbar Jumaat : Larangan Berjudi

                                                Dibaca Pada 8 Mei 2009

Mimbar hari ini ingin mengajak sidang Jumaat sekalian merenung dan berfikir sejenak terhadap larangan berjudi. Berjudi merupakan salah satu daripada dosa besar yang amat dilarang dan dikutuk oleh Allah SWT dan rasul-Nya. Perbuatan berjudi bermaksud meletakkan sesuatu pertaruhan bagi tujuan mendapatkan keuntungan yang besar tanpa usaha dan hanya mengharapkan untung nasib semata-mata.

Di negara kita terdapat amalan perjudiaan yang sifatnya bergantung pada nasib seperti membeli loteri, sport toto, empat nombor ekor dan seumpamanya. Selain itu terdapat juga perjudiaan yang sifatnya bertaruh seperti laga ayam, lumba kuda, pakau dan apa-apa permainan biasa juga boleh menjadi judi apabila dipertaruhkan. Hari ini terdapat aktiviti seolah-olah bukannya perjudian tetapi hakikatnya adalah judi seperti peraduan melalui sms yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan. Dengan itu kita hendaklah berhati-hati agar tidak terperangkap dengan tipu muslihat peraduan oleh pihak penganjur yang hendak mengaut keuntungan melalui cara yang mudah.

Judi juga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk permainan seperti bola sepak, golf, bowling, lumba motor, kereta, dam dan sebagainya. Permainan ini boleh tergolong sebagai judi jika ia melibatkan pertaruhan bagi kedua-dua pihak. Namun semua permainan jika tidak melibatkan pertaruhan dan juga tidak bertentangan dengan syarak maka ia diharuskan. Mereka yang memenangi mana-mana permainan adalah diharuskan menerima hadiah yang diberi oleh pihak ketiga iaitu penganjur.

Berjudi hukumnya haram dan setanding dengan perbuatan-perbuatan keji yang lain seperti meminum arak, bertenung nasib dan menyembah berhala. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat ke 90 yang bermaksud " Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya."

Baru-bari ini suatu perintah larangan telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang ; iaitu masyarakat Islam Malaysia dilarang melawat dan/atau memasuki semua tempat atau premis yang digunakan sebagai rumah judi atau rumah perjudiaan terbuka sebagaimana yang ditakrif dalam Akta Rumah Perjudiaan Terbuka 1953(Disemak 1983) di negeri Pahang Darul Makmur. Ketahuilah bahawa sesiapa yang tidak mematuhi perintah ini adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Perintah larangan ini hendaklah diberikan sokongan dan kerjasama oleh segenap lapisan umat Islam di Negeri Pahang agar bersama-sama membendung dan mencegah perjudiaan di Negeri Pahang, semoga kita beroleh keredhaan dan kemenangan di sisi Allah. Bagi mereka yang melanggar perintah ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga dua ribu ringgit atau penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya mengikut Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.


02 June 2010

155 : Bila Rindu Bertalun


22 Mac 2010. Aku memulakan tugas di tempat baru. Meninggalkan segala kenangan pahit manis di SK Bukit Gemuruh tersisip utuh di sudut hati. Walau terasa berat, aku gagahkan jua demi meneruskan amanat suci yang digalas. 

02 Jun 2010. Setelah hampir tiga bulan bertugas di SK Kerayong, entah kenapa kenangan lalu tika di SK Bukit Gemuruh amat kuat mengamit. Memaksa aku mengimbau kembali saat suka duka bersama teman seperjuangan dan wajah-wajah polos. Dan perasaan ini semakin hiba dan riak jernih mulai bergenang.
  
aku rindu saat seperti ini.

Sedapat mungkin aku cuba menjadi kuat. Menahan gelojak rindu yang membakar. Menepis gelodak rasa yang membuak. Namun seringkali aku tewas. Tunduk mengalah pada himpitan kenangan. Dan aku pasrah untuk sekian kalinya.

01 June 2010

154 : Balada Seorang Gadis Kecil


Entah bilakan berakhir kekejaman di muka bumi ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...