Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

13 April 2010

152 : Zuriat Penyambung Waris

Muhammad Hadif Qayyim... inilah nama yang aku pilih untuk putera ke 5(4) dalam hidup aku. Muhammad bermaksud yang terpuji. Hadif bermaksud yang mempunyai matlamat. Qayyim bermaksud ketua.












Lahir pada 12 April 2010 tepat jam 11.10 minit pagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Seberat 3.2 kg semasa dilahir. Proses kelahirannya amat mudah. Malah belum sempat aku menandatangani borang untuk menemani isteri, jururawat telah pun terkocoh-kocoh memanggil aku supaya segera masuk kerana kepalanya telah pun kelihatan. Sebaik aku tiba di sisi isteri, dengan sekali teran, lahirlah zuriat penyambung waris kami. Penambah bahagia dalam keluarga dan penyeri hidup kami sekeluarga. Syukur kepada ALLAH di atas rezeki yang diamanahkan kepada aku dan isteri. Dengan izinNYA, akan kami tunaikan amanah ini.

nota kaki dan mulut :

putera ke 5(4) : putera sulung aku meninggal selepas beberapa jam dilahirkan. 5 putera secara keseluruhan. 4 putera yang ada di depan mata.


12 April 2010

151 : Pergi Belum Berganti

Ini gambar ayam jantan baka kapan kesayangan aku. Menetas pada 2006. Sebaya dengan anak kedua aku, Muhammad Hakeem Danish. Sangat jinak dan sangat manja. Kokok sangat nyaring dan merdu. Tiap-tiap pagi, bangunku dari lena diiringi derai kokoknya. Anak-anak aku pun mesra dengannya terutama si Hakeem. Maklumlah sebaya.


Banyak jasa ayam jantan ini kepada aku sekeluarga. Sudah acapkali ayam hutan di belukar berhampiran rumah aku menjadi hidangan kami sekeluarga gara-gara tergoda dengan deraian kokoknya. Namun kini segalanya tinggal kenangan. Pada satu tengahari yang teriknya memijarkan kulit, nyawanya melayang di hujung senapang ayahku akibat keberaniannya meluru ke arah seekor ayam hutan ketika ayah telah pun menarik picu. Lalu menggelepar ia menanti ajal. Kini, aku sedang mengasuh sepasang zuriatnya yang sedang membesar menjadi seperti bapa mereka. 

11 April 2010

150 : Mengundur Lajaknya Perahu

Dalam mengatur tiap langkah kehidupan, adakalanya kita tersilap membuat percaturan. Putih yang diharapkan namun hitam yang menjelma. Sinar yang diimpikan akhirnya kelam yang mendatang. Cerah yang disangkakan berpanjangan tapi mendung pula yang bermukim. Hidup ibarat putaran roda. Kadang di atas kadang di bawah. Kadang gembira kadang berduka. Kadang mewah kadang parah.

Walau apa pun yang datang menimpa, hidup perlu diteruskan. Amanah yang dipikul perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Jatuh dan bangun dalam kehidupan adalah lumrah. Selagi bernyawa, aturan langkah mesti diteruskan. Andai tersembam menyembah bumi, bangkitlah dengan penuh keyakinan bahawa sinar bahagia masih menanti di sana. Dan yakinlah akan janji ALLAH.

10 April 2010

149 : Setitis Keringat Sesuap Rezeki

Gambar-gambar di bawah ini aku rakamkan 2 bulan yang lepas di Kampung Dato' Sri Hamzah, Kemayan, Bera Pahang. Projek tanaman cili ini diusahakan oleh bapa saudara isteri aku yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalanraya hampir 15 tahun yang lalu. Namun ketidakupayaan beliau itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terus berdikari tanpa mengharapkan simpati sesiapa pun. Selain menanam cili, beliau juga menternak ayam kampung, puyuh, ikan dan itik. Berkat kegigihan dan kecekalan, dapatlah beliau meneruskan kelangsungan hidup yang kian mencabar. 

Saksikan gambar-gambar yang sempat aku rakamkan semoga dapat memberi inspirasi kepada semua . Walau sesukar mana pun halangan dan rintangan yang mendatangi kita, yakinlah bahawa Allah itu Maha Adil lagi Maha Pemurah. Selagi kita berusaha, DIA tetap akan memberikan kita rezekiNYA. Dan hendaklah kita mensyukuri tiap rezeki yang dikurniakan kepada kita. Moga-moga kita akan menjadi hambaNYA yang bersyukur.



09 April 2010

148 : Aksi Reaksi Emosi

Reaksi wajah seringkali dikaitkan dengan emosi seseorang. Jika sesorang itu merasa gembira pastinya senyuman dan ketawa menghiasi wajahnya. Dan jika seseorang itu merasa sedih pasti raut wajahnya terukir kehibaan. Oleh itu aku paparkan di sini beberapa keping gambar yang menunjukkan reaksi wajah sesorang. Kesemua gambar-gambar ini adalah dirakam sendiri oleh aku dan sebarang aktiviti 'save image as' adalah dilarang sama sekali. Saksikan.
























Gambar-gambar ini aku rakamkan ketika Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Bera di SMK Bukit Mendi pada 6hb April 2010.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...