Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

14 December 2010

195 : Puasa Sunat 10 Muharam

 
" Seafdhal-afdhalnya selepas Ramadhan ialah pada bulan Muharam dan seafdhal-afdhalnya solat selepas solat fardhu ialah solat malam" -(Riwayat Muslim)

"Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam), maka Allah Taala akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat dan 10,000 orang yang menunaikan Haji dan Umrah dan 10,000 orang yang mati syahid. Dan barangsiapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah Taala akan menaikkan darjat beliau dengan setiap sehelai rambut satu darjat. 

"Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang mukmin yang berbuka puasa  pada hari Asyura maka Allah Taala memberikannya pahala seolah-olah memberi makan kepada seluruh umat Islam yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka".

Oleh itu, marilah kita merebut peluang yang Allah berikan dengan sebaik-baik. Sesungguhnya ganjaran yang Allah janjikan amat besar. Semoga Allah menjadikan kita sebahagian dari hambaNYA yang bertaqwa. Insyallah.

07 December 2010

194 : Salam Maal Hijrah 1432H



Pejam celik pejam celik...dah masuk tahun baru. Pejam dan masih celik...Alhamdulillah. Kalau pejam, tak celik celik....Innalillah. Sedar tak sedar dah setahun berlaku. Kalau masih belum sedar lagi...memang haru.

Ramai yang hafal tarikh ikut Tahun Masihi. Tak ramai yang tahu tarikh dalam tahun Hijrah. Ramai yang terpesona dengan tarikh seperti 10.10.10 dan 20.10.2010 untuk melangsungkan perkahwinan misalnya namun tak ramai yang memilih tarikh-tarikh istimewa di dalam kalendar Islam seperti tarikh pada hari ini iaitu 1 Muharram 1432H.

Sebenarnya masih terlalu banyak perkara yang kita lalui seharian di dalam kehidupan yang bercanggah dengan ajaran dan hukum Islam. Ramai yang tidak menyedari malah ramai juga yang buat-buat tak sedar. Walau apa pun, kita mesti sedar bahawa di akhir hayat di dunia ini nanti, kita akan kembaliNYA. Mari muhasabah diri sendiri. Cukupkah amalan di dunia ini untuk kita bawa ke akhirat nanti.

06 December 2010

193 : Perginya 1431H Hadirnya 1432H

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa hari ini merupakan hari terakhir dalam kalendar Hijrah. Apabila berkumandangnya azan Maghrib pada petang nanti maka berakhirlah tahun 1431 Hijrah dan  bermulalah tahun 1432 Hijrah.


Di sini aku ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada yang membaca entri ini, marilah kita bersama menadah tangan berdoa mensyukuri segala nikmat rezeki yang Allah berikan dan memohon agar Allah mengampunkan segala dosa yang telah kita lakukan  selama setahun yang lalu sebelum masuknya waktu Maghrib. Apabila masuknya waktu Maghrib iaitu sesudah menunaikan solat Maghrib, marilah kita berdoa agar Allah memberi kita rezeki yang halal, melindungi diri kita dari segala malapetaka dan menambahkan lagi keimanan terhadap-Nya sepanjang setahun yang mendatang.

SALAM MAAJ HIJRAH 1432H

27 November 2010

192 : Pelamin Anganku Musnah


Musim cuti sekolah telah tiba. Maka ramailah teruna dan dara berebut-rebut mengakhiri zaman bujang. Hinggakan dalam sehari sampai 4-5 undangan perkahwinan. Yang menjadi persoalan ialah mengapa masa cuti sekolah, ramai yang nak kahwin. Apa kalau tak musim cuti sekolah tak boleh kahwin ke?

Bila dah banyak majlis perkahwinan, yang paling sibuk tentunya Tok Naib/Wali Hakim. Kalau sehari ada 5 majlis akad nikah, jenuh juga nak bersalam dengan pengantin. Buatnya 1 akad nikah itu makan masa 2-3 jam gara-gara kegugupan pengantin hingga 3-4 kali akad tapi masih sangkut, tak ke haru namanya. Tapi apa-apa pun, Tok Naib/Wali Hakim pasti tersenyum apabila dihulur sampul surat berisi RM sebagai upah.

Bagi bakal suami pula pastinya berdebar menanti hari bahagia. Bakal suami pasti gementar untuk melafazkan ijabkabul. Entah berapa kali berlatih pun tak tahu. Dah berlatih pun masih ramai yang sangkut.Maklumlah kali pertama bernikah. Kalau dah masuk yang kedua dan seterusnya, pasti senang sebab dah berpengalaman.

Bagi bakal isteri pula tentu berdebar menanti malam pertama. Malam yang membawa seribu pengertian dalam hidup. Ada yang tenang namun ramai juga yang kalut. Malah jika mereka didatangi 'bulan' pada malam pertama, ia merupakan satu kelegaan yang tak terhingga. Lega bagi mereka tapi sengsara bagi lelaki.

Bagi ibu bapa pengantin pula pastinya tersenyum lebar kerana mendapat menantu. Bagi ibu bapa pengantin perempuan segala persiapan dirancang dan diatur dengan teliti agar majlis berlangsung dengan lancar. Sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan yang ditanggung. Itupun jika benar-benar mendapat menantu. Jika dapat menantu yang macam hantu, tak ke haru biru dibuatnya.

Walau apa pun, perlu diingat bagaimana dalam tiap apa jua yang dilakukan, Islam wajib diletakkan di tempat yang paling atas. Dahulukan yang wajib seperti yang dituntut oleh Islam. Mana-mana adat dan budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam, eloklah ditinggalkan serta dijauhi dalam kehidupan seharian.

05 November 2010

191 : Serumpun Serai Seratus Ringgit



Cuaca tengahari itu memang panas. Teriknya menyelar kulit. Namun panasnya itu tidaklah sama seperti panasnya api neraka. Gua yang baru usai mandi berkira-kira untuk solat Zohor. Gua toleh jam dinding. Tepat menunjukkan pukul 2.45 petang. Sejak beberapa menjak ini, prestasi solat Zohor gua agak kucar-kacir.

Gua bentang sejadah. Gua pastikan sudutnya tepat menghadap ke arah kiblat. Gua 'aim' betul-betul. Yakin dengan ketepatan sudut arah kiblat, gua pun capai pelikat. Baru gua nak sarung, telinga gua menangkap suatu bunyi yang amat tidak enak untuk didengari. Gua tak sedap hati. Denyut jantung gua tiba-tiba meningkat. Cepat-cepat gua terpa pintu. Dan bebola mata gua menyaksikan satu adegan yang sememangnya layak gua bagi sepakan membunuh cipan tahap kesembilan.



Entah masa bila gua berada di atas 'backhoe' pun gua tak sedar. Yang gua tahu gua dah lepaskan satu 'tumbuk rusuk' pada belakang cina yang tengah khusyuk menyodok serai wangi yang mak gua tanam. Sambil itu mulut gua fasih dan lancar menghamburkan kata-kata nista dan keji terhadap cina itu. Sesekali gua selitkan juga perkataan carut dalam bahasa ibunda beliau. Sengaja gua nak bagi dia lebih faham.



Hampir 5 minit juga gua 'tarbiah' apek cina yang hanya terkebil-kebil. Entah faham ke tidak, gua tak pasti. Yang gua pasti, gua puashati dengan prestasi serta kemahiran memaki dan mencarut. "Masih berbisa". Puji gua dalam hati.



Petang itu, gua auto senyum sambil mencium  dua keping RM50. Hasil pampasan itu gua serahkan kepada mak gua yang hanya diam seakan merestui tindakan gua.

190 : Kala Rindu Berlagu Sendu


Rindu
kian berakar umbi
di dasar hatiku yang kontang
memercikkan riak-riak kenangan
yang bertamu tanpa undang.

Rindu
menitik satu persatu
berbingkai di ranting hati
memotretkan kasih nan lara
yang terlerai di kelopak madu.

Rindu
berbaur dalam sendu
menerbitkan kuntuman pilu
dalam diri yang kian bisu
pada hati yang kini beku.

Rindu
terlerai di tangkai hati
bertaburan di aspal hari
lalu lenyap dipuput bayu
dan aku terus diburu resah.


Fadhlur Rahman Jamaluddin
14.11.2009
Darul Fikri, Bera

04 November 2010

189 : Hanya Kerana Kita Melayu


Lorong-lorong yang kita lewati
adalah jalan hidup yang mati
berbaur dalam kancah diri
sebati dalam adunan noda dan pahala
menjadi tabiat tanpa sedar
menjadi ralit tanpa duga.

Telah kita lumuri lumpur di wajah hati
menjadi gering berkudis nista
hingga rebah longlai tersungkur
dalam kembara diri yang payah. 

Sampai bila harus kita berkeluh resah
menatap hari-hari berputar pergi
sedang kita masih termangu
meratap gemilang kelmarin.

Kelmarin adalah sejarah
yang terselit di dada berdarah
menjadi busung yang bernanah
dalam jiwa-jiwa yang masih terjajah.

Bangkitlah jiwa-jiwa kerdil
kita susun derap langkah beriringan
bersama kita mendaki puncak persada
kita pacakkan panji-panji kemenangan
kita laungkan semangat teguh membara
bahawa kita layu bukan kerana kita Melayu.

Fadhlur Rahman Jamaluddin
16.11.2009
Darul Fikri, Bera

03 November 2010

188 : Bukan Kerana Nama



Tanggal 4 Oktober 2006...wujudlah blog ini dengan tema Aku Masih Di sini...pada asalnya hanyalah untuk suka-suka sahaja tapi disebabkan oleh keterbiasaan maka ianya menjadi sesuatu yang menyeronok dan menyenangkan...

Tahun 2007...aku menyepi...lama juga hampir setahun tanpa sebarang entri...namun aku tetap mengekalkan blog ini walaupun bersawang...aku pun tak tahu kenapa aku tiba-tiba hilang mood... mungkin kerana orang yang memperkenalkan aku dengan dunia blog telah pun memadamkan blognya...

4 Oktober 2008...di saat kemeriahan Aidilfitri disambut girang gembira oleh umat Islam...aku turut menyambut ulangtahun ke-2 blog aku nie...walau tiada majlis rasmi bagi meraikannya...namun kewujudan blog ini amat besar erti dan membawa sejuta makna kepada aku...

4 Oktober 2009...aku benar-benar terlupa akan tarikh bermulanya aku berblog. Setelah beberapa hari apabila aku melihat senarai entri yang telah aku tulis, tiba-tiba mata aku tertarik pada entri yang ke 64. Oh rupanya aku semakin menyepi.

Dan pada 4 Oktober yang lalu, aku buat-buat lupa akan tarikh kewujudan blog ini. Memang aku sengaja mendiamkan diri seketika kerana aku agak sibuk dengan urusan harian. Ditambah pula dengan kerosakkan laptop serta kerja-kerja memindahkan entri-entri lama ke blog khusus mengikut tahun. Ini disebabkan aku ingin meringankan blog supaya ianya mudah untuk dilayari.

Bagi aku...blog akan mendatangkan manafat sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan blog juga boleh mendatangkan keburukkan jika ianya disalahgunakan...blog tempat aku meluahkan segala rasa yang aku rasa...blog tempat aku berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berguna untuk dikongsi bersama...blog adalah medium untuk mengeratkan ikatan silaturrahim sesama insan...dan blog juga selalu digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah...memarakkan lagi api persengketaan...dan bermacam2 lagi perkara yang boleh mengundang musibah...

Oleh itu...aku berblog bukan kerana nama, pangkat, harta mahu pun kuasa...aku berblog hanya kerana aku adalah aku dan aku ingin menjadi aku yang seadanya...

p/s: Bagi yang belum mengetahui asal-usul kejadian blog nie...bolehlah baca entri nie...tue pun kalau sudi...

18 October 2010

187 : Pesanan Untuk YB



Terima kasih kami ucapkan,
kerana sudi mewakili kami,
untuk bersuara di Dewan Parlimen,
moga nanti senang hidup kami.

Tahniah kerana terpilih,
hasil dari pangkahan kami,
moga berkhidmat dengan berhemah,
supaya nanti berbahagia kami.

Kami tidak minta bangunan melangit,
cukup sekadar tempat berlindung,
Kami tidak minta kemewahan wang ringgit,
cukup sekadar kami hidup senang.

Kami tidak perlu hiburan dunia,
yang khayal dan melalaikan,
tapi kami perlu bekalan akhirat,
moga nanti kami aman di sana.

17 October 2010

186 : Balada Seorang Guru



Bening subuh itu mengigit tubuhku. Memaksa aku mengeratkan lagi pelukan tubuh sendiri sambil tangan menarik selimut menutupi tubuh. Sayup-sayup kedengaran kokokan ayam jantan yang aku pelihara dalam telefon genggam. Senang. Tidak perlu diberi makan dan direbankan.

Lantas, aku menggagau telefon genggam jenama NOKIA bersiri 1110i. Telefon dicapai. Butang 'snooze' ditekan. "Ah, awal lagi. Sempat lagi kalau nak tidur. Ada 10 minit lagi". Bisik Syaitan di corong telinga.

Dalam keadaan mamai, antara sedar dan lena, otak ligat menaksir. Cuba mengingati hari. Dan apabila otak sudah dapat mengingati, hati pula berdoa. Alangkah indahnya jika hari itu adalah hari Sabtu atau Ahad.

08 October 2010

185 : Mari Meringankan Blog

 
Sejak kebelakangan ini, aku seringkali mengalami masalah untuk meng'log in' blog ini. Masalah ini telah mengakibatkan aku jarang meng'update'kan blog. Menambahkan lagi masalah apabila laptop mengalami kerosakan dan telah pun dihantar ke HQ untuk dibaiki kerana masih dalam jaminan.

Disebabkan masalah yang datang bertimpa-timpa maka aku telah pun melakukan penyiasatan taraf CSI. Hasil siasatan mendapati blog ini mengalami obesiti yang melampau. Apabila ditimbang, beratnya mencecah 200kbps sedangkan berat ideal bagi sebuah blog ialah di bawah 100kbps. Maka satu tindakan drastik perlu dilakukan demi memastikan kesejahteraan para pengunjung yang tersesat ke blog ini.

Langkah awal segera dilakukan. Pertama, kesemua iklan-iklan yang ada di blog ini telah di'remove'. Walau dikatakan boleh mendatangkan duit tapi sejak aku meletakkan iklan di blog ini, satu sen pun aku tak dapat. Oleh itu adalah lebih baik di'remove'kan saja.

Langkah kedua ialah memindahkan kesemua pautan yang ada di blog ini ke blog Menyusur Denai Kehidupan. Kesemua pautan ke blog para bloggers yang lain boleh dilihat di blog tersebut.

Seterusnya, template asal terpaksa ditukar. Ini kerana hanya sebahagian saja template blog ini yang boleh dibuka. Template asal adalah template lama yang telah diubahsuai sesedap rasa oleh aku kira-kira setahun yang lalu. Namun sejak Blogger menaiktarafkan perkhidmatannya, template tersebut tidak lagi bersesuaian berikutan beberapa 'coding' nya tidak boleh diproses.

Dan akhir sekali, template baru blog ini telah diminimunkan seperti membuang imej latar dan menggunakan warna latar putih. Diharapkan selepas ini, blog ini akan lebih mudah untuk diakses terutama oleh aku sendiri.

26 September 2010

184 : Lat Tali Lat Tali Tam Plom

Entri ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak. Sekadar untuk menegur ke arah kebaikan.


Aku bukanlah penyokong mana-mana parti politik...baik Umno mahu pun PAS apatah lagi MIC, MCA atau DAP. Cuma aku sekadar memerhati dari kejauhan akan kemelut dan kepincangan yang membadai politik negara dewasa ini. Selama ini tiada satu pun entri aku di blog ini yang berbaur politik dan aku sememangnya tidak suka untuk membicarakan soal politik. Namun aku seakan terpanggil untuk  berkongsi rasa dan pendapat.

Bera merupakan sebuah daerah yang terletak di negeri Pahang. Terkenal dengan keindahan dan keaslian alam semulajadi di Tasik Bera sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. 
 
Dalam pilihanraya umum yang ke 12, Barisan Nasional(BN) menerusi UMNO telah memenangi kerusi Parlimen Bera dan 2 daripada 3 kerusi DUN  iaitu Guai dan Kemayan. Manakala DAP masih utuh mengekalkan kerusi DUN Triang. 

Di bawah pemerintahan BN, Bera semakin hari semakin mengorak langkah dalam pelbagai bidang. Kemajuan dan kepesatan ekonomi semakin dirasai oleh penduduk Bera. Tambahan pula apabila Ahli Parlimen Bera telah dilantik menjawat jawatan menteri dalam kabinet Malaysia, dapat dilihat pembangunan di Bera dipacu hebat.

Namun begitu masih terdapat lompang-lompang yang perlu ditampung oleh pihak yang memegang amanah yang diberikan oleh penduduk Bera terutama dalam soal pembangunan kerohanian. 

Telah heboh dicanang tentang...bersambung laa plok keh keh keh

20 September 2010

183 : Bekalan Untuk Akhirat


Hidup di dunia ini hanya sementara. Akhirat nanti adalah hentian terakhir sebelum menuju Syurga atau Neraka. Allah jadikan dunia untuk kita beramal kepadaNYA. Oleh itu marilah kita merebut peluang yang Allah berikan ini untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan di akhirat nanti.


Diriwayatkan bahawa apabila seseorang itu meninggal segalanya akan terputus kecuali 3 perkara iaitu pertama, doa anak yang soleh. Kedua, ilmu yang dimanafaatkan dan yang ketiga, harta yang diwakafkan untuk kebaikan.


Di kesempatan ini, aku ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada pengunjung blog ini, andai mempunyai rezeki yang lebih, sedekahkanlah sedikit untuk kebaikan Islam yang kita sama-sama anuti. Setiap harta yang dibelanjakan ke arah jalan Allah adalah bekalan untuk kita bawa bertemu denganNYA nanti. 


Fikirkan sejenak. Andai kita bersedekah untuk membina masjid ini dan kerana sedekah yang kita hulurkan itu nanti akan terbinanya sebuah masjid yang akan menjadi tempat beribadah dan menuntut ilmu. Akan lahir nanti generasi yang berilmu, yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Dan masjid ini akan menjadi tempat beribadah kepada Allah. Selagi tidak roboh masjid ini selagi itulah orang akan datang bersolat di sini dan selama itu jugalah pahala bagi orang yang bersedekah akan berterusan.


Anggaran perbelanjaan untuk membina masjid ini ialah RM350,000.00. Dan semasa gambar ini dirakam, kerja-kerja pembinaan tertangguh akibat kekurangan wang. Oleh itu bagi yang ingin menyumbang bolehlah berhubung terus dengan:

Tg Hj Muhammad Ilias Tel: 019 9382947, Ust. Mahyuddin Husain Tel: 013 9228891, Sdr Abu Zaid Abdullah Tel: 019 9343869  

10 September 2010

Mimbar Jumaat : Kemenangan Bagi Orang Yang Berpuasa

Dibaca Pada : 10 Sept 2010/1Syawal 1432H



Puasa telah membawa kita mencapai darjah kesempurnaan iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagaimana firmanNYA dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud : " Wahai orang yang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa ".

Hakikat puasa sebenarnya adalah memberikan kemenangan dan kejayaan kepada orang yang menunaikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah. Kemenangan dan kejayaan ini adalah merupakan kejayaan secara zahir dan batin.
Secara zahirnya puasa menjadikan tubuh badan lebih sihat kerana melalui puasa, jadual pemakanan kita lebih teratur dan membuang tabiat pemakanan yang tidak menentu selama sebelas bulan, makan mengikut selera dan keinginan tanpa mengira siang dan malam. Akibatnya ramai di kalangan kita yang menghidap pelbagai penyakit akibat pemakanan seperti kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Pakar-pakar perubatan mengakui akan kelebihan dan hikmah berpuasa. semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan membantu badan membuang sisa kotoran dan toksin di samping menyegarkan sel-sel badan.

Sebagai umat Islam sepatutnya kita adalah umat yang sihat dan cergas berbanding dengan umat-umat yang lain kerana telah dilatih sebulan dengan pengurusan kesihatan yang betul melalui pemakanan. Sebaliknya apa yang berlaku ramai di kalangan kita yang terlantar di hospital kerana menghidap pelbagai penyakit. Ini adalah akibat kita tidak menghiraukan amaran allah agar tidak membazir dan mengikut hawa nafsu yang dipengaruhi oleh syaitan semasa makan dan minum.

Marilah kita elakkan berpesta dengan menjamu selera di sepanjang syawal ini dengan program rumah terbuka tanpa menghiraukan pengajaran melalui ibadah puasa.
Kemenangan yang diperolehi orang yang berpuasa seterusnya adalah kejayaan menundukkan hawa nafsu kerana ibadah puasa telah menyekat segala ruang dan peluang untuk melakukan perkara kemungkaran kerana syahwat berjaya ditundukkan melalui berlapar dan dahaga serta bersabar. Biasanya syaitan mudah mempengaruhi ketika orang itu kekenyangan serta mudah terdorong untuk melakukan maksiat dan malas beribadah.

Di samping berjaya menundukkan nafsu, puasa juga merupakan sumber kekuatan rohani dan motivasi umat Islam. Puasa yang dilaksanakan dengan oenuh keimanan dan ketaqwaan mampu menundukkan musuh-musuh Islam dengan pertolongan aAlah SWT.Ini dapat dilihat bagaimana kemenangan yang diperolehi oleh tentera Islam dalam peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Ibadah puasa yang dilaksanakan hendaklah dijadilan sumber kekuatan dan pembakar semangat kita umat Islam dalam menghadapi ancaman daripada Yahudi dan Nasrani yang sentiasa memusui dan menghancurkan Islam.
Kejayaan seterusnya adalah mengikis sifat sombong dan kedekut yang membelenggu kita. Dalam bulan Ramadjan, kita digalakkan bersedekah dan saling menolong seperti memberi makanan kepada orang-orang uang berpuasa dan membantu golongan yang tidak berada. Ramadhan juga mengajar kita agar berkasih sayang melalui pengalaman merasai sendiri perasaan lapar dan dahaga yang dialami oleh golongan fakir miskin. 

Dengan berakhirnya Ramadhan ini maka persaudaraan dan perpaduan umat Islam sepatutnya  semakin kukuh dan mantap bukannya bercakaran dan berpecah belah yang mengakibatkan kita umat Islam menjadi lemah dan dipandang rendaholeh golongan bukan Islam. Marilah kita eratkan hubungan silaturrahim yang dibina sepanjang Ramadhan terutamanya hubungan dengan ahli keluarga, seringlah  menziarahi ibu bapa dan memaafkan apa kesalahan dan kesilapan yang lalu.
Selain itu, orang yang berpuasa akan mendapat keredhaan Allah SWT kerana Ramadhan telah membuka pintu syurga, menutup pintu neraka serta mendapat pengampunan di sisi Allah SWT. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Nasa'i yang bermaksud : Puasa itu untukKU(Allah SWT) dan AKUlah yang membalasnya dan tiap-tiap kebaikkan akan diberi sepuluh kali ganda.

Sesiapa yang berpuasa dengan ketaqwaan akan beroleh kelayaan dan kegembiraan di dunia dan akhirat. Kegembiraan di dunia dengan menyambut Hari Raya manakala di akhirat mendapat kemuliaan dan keredhaan Allah SWT dengan balasan syurga.
Marilah kita jadikan segala pengajaran dan didikan di bulan Ramadhan sebagai sumber kekuatan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan RasuNYA. Teruskanlah kesinambungan puasa Ramadhan dengan puasa-puasa sunat. Begitu juga amalan solat terawih dengan berjemaah ke masjid dan surau menunaikan solat fardhu setiap waktu, membaca Al-Quran setiap hari, bersedekah dan sebagainya. Semoga kita mencapai kemenangan yang hakiki setiap masa melalui ibadah puasa dengan menadi insan yang beriman dan bertaqwa.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

08 September 2010

182 : Di Hujung Ramadhan Ini



Ramadhan kian melabuhkan tirainya. Syawal bakal menjelma. Di hujung Ramadhan ini, marilah berdoa semoga Allah akan mempertemukan kita dengan Ramadhan yang akan datang. Dan berdoalah moga segala amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini diterima dan diganjari oleh Allah SWT.

Di hujung Ramadhan ini jangan pula kita asyik dengan persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Usah diturutkan kata nafsu. Beringat sebelum terlewat. Jangan nanti selepas raya terpaksa meminjam kerana semua wang sudah habis dibelanjakan.

Di hujung Ramadhan ini, janganlah dilupakan pada kewajipan menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri dan mereka yang berada di bawah tanggungan kita. Bagi yang bekerja makan gaji, seeloknya zakat dibayar di tempat/kawasan/daerah atau negeri kita bekerja. Bagi negeri Pahang, zakat fitrah telah ditetapkan sebanyak RM7 seorang. Seeloknya kita menyegerakan untuk membayar zakat fitrah kerana dikhuatiri kita akan terlupa lantaran sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri.

Dan di akhir Ramadhan ini juga janganlah kita lupa pada mereka yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan pertolongan. Andai ada rezeki lebih, hulurkan sekadar yang mampu bagi meringgankan beban yang mereka tanggung supaya mereka dapat meraikan lebaran yang mulia ini dengan perasaan yang gembira. Semoga Allah akan memberkati hidup kita di dunia dan akhirat.

salam aidilfitri untuk semua...maaf zahir batin.

06 September 2010

Mimbar Jumaat : Mencari Lailatul Qadar

Dibaca Pada : 3 September 2010/24 Ramadhan 1431H



Sedar atau tidak sedar, kita telah melalui lebih dua pertiga Ramadhan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui setakat manakah kualiti puasa yang kita laksanakan sampai hari ini. Marilah kita memohon kepada Allah SWT moga-moga puasa yang kita tunaikan diterima dan diganjari dengan pahala.

Pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW melipatgandakan amal ibadah Baginda khususnya pada waktu malam. Antara sebabnya adalah Allah SWT telah mengurniakan satu malam istimewa yang dinamakan sebagai malam Lailatul Qadar. Walaupun telah dijanjikan syurga, namun Baginda tetap rajin beribadah pada malam-malam terakhir Ramadhan hingga kaki Baginda bengkak. Para sahabat dan para ulama turut mengikut jejak langkah Baginda menyambut malam Lailatul Qadar dengan tekun menunaikan ibadah.

Malam Lailatul Qadar menurut Dr Hamka mempunyai dua pengertiaan. Pertama, mulia atau kemuliaan kerana antara maksud 'Al-Qadar' ialah kemuliaan. Kedua penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi oleh Rasulullah SAW dalam memberi petunjuk kepada umat manusia.

Al-Qadar juga diertikan sebagai ketetapan hidup manusia. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Dukhan ayat 4 dan 5 yang bermaksud : "(Kami menurunkan Al-Quran kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah. Iaitu urusan yang besar daripa sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus para rasul".

Apakah keistimewaan malam Lailatul Qadar? Keistimewaan malam Lailatul Qadar dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNYA dalam surah Al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud: " Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadr. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadr itu? Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan jibril turun dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat )itu hingga terbit fajar ".

Surah ini memberi pengajaran bahawa keistimewaan malam Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Luh Mahfuz ke Baitil 'Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat). dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ketika malam Lailatul Qadar, malaikat Jibril dan para malaikat Alaihimussalam akan turun ke bumi berkunjung dan memberi salam kepada mukmin yang sedang beribadah sama ada di masjid, surau, rumah kediaman atau sebagainya. Sebaliknya para ulama berpendapat rumah yang penghuninya tidak melakukan ibadah lebih-lebih yang melakukan maksiat, tidak akan dikunjungi oleh para malaikat dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berusaham meningkatkan amal ibadah, terutamanya di penghujung Ramadhan ini.

Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Allah SWT menganugerahkan malam Lailatul Qadar sebagai malam yang istimewa , namun tidak dinyatakan bilakah saat kedatangannya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja iaitu ketika Al-Quran diturunkan. Namun demikian, ramai ulama antaranya Ibn Umar berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan yakni setiap tahun. Oleh yang demikian, setiap orang yang beriman perlu berusaha mendapatkan Lailatul Qadar dan mengisinya dengan amal ibadah sedaya mungkin.

Riwayat yang kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar  itu ialah pada lingkungan sepuluh malam terakhir Ramadhan, ertinya bermula daripada malam 21 kerana pada malam tersebut Nabi SAW menggandakan ibadahnya berbanding malam-malam yang sebelumnya hingga Baginda membangunkan ahli keluarganya yang tidur untuk beribadah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan".

Berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, antara tanda yang boleh diperhatikan menjelang Lailatul Qadar adakah:

1.  Suasana malam agak sepi, tenang dan bercahaya.
2.  Malamnya tidak panas dan tidak juga sejuk(sederhana).
3.  Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh.
4.  Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya seperti bulan sedang mengambang.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Lailatul Qadar sebagai suatu peluang keemasan yang tidk boleh dile[paskan untuk kita berdoa kepada Allah SWT supaya dipanjangkan umur, diberi kesihatan tubuh badan dakam ketaatan, mendapat rezeki yang halal, mendapat keberkatan hidup serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

03 September 2010

181 : Antara Berpuasa Dan Bersolat



Saat aku menulis entri ini, Ramadhan telah pun memasuki hari yang ke 18. Insyallah lagi 12 hari lagi, kita akan meraikan Aidilfitri. 

Sepanjang Ramadhan tahun ini, aku bertugas menyediakan juadah berbuka puasa di Masjid Darul Fikri, Bera bersama beberapa orang sahabat. Aku ditugaskan khas memasak nasi di samping kerja-kerja yang berkaitan seperti menyiang daging, bawang, ayam dan lain-lain. Alhamdulillah, berkat dari tunjuk ajar dari Ustaz Fakrulrazi yang mengetuai kami, aku kini dah pandai masak nasi minyak.

Namun apa yang agak mendukacitakan, ada di antara hadirin yang hadir berbuka puasa apabila selesai makan terus meninggalkan masjid sedangkan iqamah telah pun dilaungkan. Aku cuba bersangka baik dengan menyangka mereka mungkin ada urusan lain tapi tiada urusan yang paling penting melainkan menunaikan suruhan Allah.

Dan aku masih cuba bersangka baik dengan berkata kepada diri sendiri, mungkin mereka bersolat di rumah. Tapi bukankah mereka telah berada di tempat yang paling baik untuk bersolat yakni di rumah Allah dan berjamaah pula yang ganjarannya lebih baik dari bersolat sendiri.

Sesungguhnya ramai yang mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari namun tidak ramai yang mampu menunaikan solat yang hanya mengambil masa beberapa minit. Marilah kita berusaha menjadikan puasa kita pada tahun ini lebih baik berbanding puasa kita sebelumnya. Moga Allah memberikan ehsan kepada kita untuk terus beribadat kepadaNYA.

30 August 2010

180 : Erti Sebuah Kemerdekaan


 Ogos menjengah lagi. Mengimbau semangat merdeka. Namun entah mengapa tahun ini dirasakan sambutan kemerdekaan seakan lesu dan hambar. Kempen kibar Jalur Gemilang  begitu gah dilaungkan pak menteri namun rakyat memandang sepi. Mungkin rakyat sudah muak mendengarnya atau mungkin juga semangat merdeka kian lenyap dalam jati diri rakyat Malaysia.

Menjelang 31 Ogos, semangat kemerdekaan kembali membara dalam diri dan jiwa anak Malaysia. Mengenang dan mengimbas semangat para pejuang kemerdekaan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu. Namun semangat itu semakin disalahertikan. Semakin menyongsang dari akarnya. Semakin terhapus, terhakis dan terpupus sedikit demi sedikit. Walau kita sedari namun kita seakan sengaja membiarkan semangat merdeka dalam diri, layu dan akhirnya mati.

Setelah 53 tahun merdeka, adakah kita benar-benar merdeka?. Atau hanya sekadar ungkapan biasa mainan bibir. Ianya seakan tidak meresap dalam jasad dan roh diri kita. Seolah-olah hanya terngiang-ngiang di ruang pendengaran. Sedikit pun tidak menyelinap ke akar diri. 

Merdekakah kita jika masih melata mengemis di bumi sendiri. Merdekakah kita jika masih hanyut dan khayal dalam arus pemikiran bangsa lain. Merdekakah kita jika masih mengenang kemasyhuran masa silam tanpa berusaha mengukir dan memahat sejarah baru.

Adakah merdeka itu diukur pada banyaknya Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sehingga membahayakan nyawa sendiri? Jika benar maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan mengibar bendera menaikkan bendera semasa perhimpunan sekolah dulu-dulu pun aku tidak pernah. Atau adakah merdeka itu diukur pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun. Di mana kita semua berkumpul di kawasan lapang sambil melaungkan sumpah keramat "MERDEKA". Kemudian bersorak sakan sampai lupa asal usul. Merempit sampai hilang nyawa. Menonggeng sampai hilang dara. Jika inilah ukuran semangat merdeka. Maka tidak patriotiklah aku selama ini kerana usahkan berembun pada detik 12.00 tengah malam, berpanas terik berbaris berarak beramai-ramai pun aku tidak pernah.

Maka akukah insan yang masih terbelenggu akal dan fikiran. Masih buntu dan dungu menelah dan mentaksir pengertian hidup yang amat sukar untuk dimergertikan. Atau akukah insan sisihan dari arus putaran zaman yang membelit dan menyelit di antara realiti nyata dan maya. Atau akukah insan yang bisa menjulang keris pusaka , merobek dan mencincang jasad-jasad laknat yang cuba menjajahi kembali bumi bertuah ini.

Moga merdeka kali ini, bisa memerdekakan jiwa-jiwa songsang yang menyongsang dari agama, adat dan budaya.

28 August 2010

179 : Pantasnya Masa Berlalu


Ketika aku menulis entri ini, aku sedang menunggu masuknya waktu Isyak pada malam 17 Ramadhan 1431H di perkarangan Masjid Darul Fikri, Bera. Aku mengemaskini blog ini menggunakan email menerusi telefon genggam Nokia E5.

Sewaktu memasak untuk juadah berbuka selepas Asar petang tadi di Masjid Darul Fikri, Bera, aku terdengar perbualan di antara dua orang warga emas. Rancak mereka memperkatakan tentang cepatnya waktu berlalu. Sedar tak sedar dah menghampiri penghujung Ramadhan. Itu antara inti perbualan mereka. Dalam hati, aku mengakui akan kebenaran kata-kata mereka. Cuma hati aku berdetik, adakah mereka menyedari bahawa salah satu tanda kiamat semakin hampir ialah masa dirasakan pantas berlalu.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa sepanjang Ramadhan ini, siang lebih pendek berbanding malam. Sebagai contoh, waktu berbuka semakin cepat dari hari pertama berpuasa tetapi waktu imsyak tetap 5.40 pagi(bagi daerah Bera).

Siang yang semakin pendek dan malam yang panjang merupakan kejadian Allah. Setiap kejadian Allah ada hikmahnya bagi mereka yang beriman. Mungkin Allah memberi peluang kepada kita untuk beribadat di malam hari sepanjang bulan Ramadhan maka DIA memanjangkan malam. Dan mungkin Allah ingin memberi kita kesenangan untuk berpuasa maka DIA memendekkan siang.

Oleh yang demikian itu, marilah kita merebut peluang yang ada sepanjang Ramadhan ini untuk meningkatkan keimanan kita kepadaNYA. Semoga Allah menerima segala amal kebajikan yang kita lakukan...Insyallah.

27 August 2010

Mimbar Jumaat : Al-Quran Sebagai Penawar dan Syafaat

Dibaca Pada : 27 Ogos 2010


Sempena memperingati Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadhan, maka khutbah hari ini menarik perhatian mengenai Al-Quran sebagai penawar dan syafaat.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan Allah SWT kepada rasulNYA, Nabi Muhammad SAW. Ia juga merupakan mukjizat terbesar yang menyentuh pelbagai persoalan yang berkaitan dengan alam dunia dan alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud :

"Alif, Lam Ra'. Kitab (Al-Quran) yang Kami telah turunkannya kepada engkau(wahai Muhammad) supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada kegelapan(kekufuran) kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji".
Al-Quran diturunkan adalah untuk memberi hidayah dan petunjuk ke jalan yang benar dan juga merupakan syafaat kepada seluruh alam. Al-Quran juga merupakan penawar bagi semua penyakit samada penyakit fizikal atau pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 82 yang bermaksud :

" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur ayat-ayat suci daripada Al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya".
Sebenarnya Al-Quran mempunyai beberapa keistimewaan kepada orang-orang yang membaca dan beriman dengannya. Ia memberitahu lebih awal akan perkara-perkara yang belum diketahui, antaranya;

1. Al-Quran menyelamatkan manusia daripada godaan syaitan. Ia bertindak sebagai pelindung awal daripada berlakunya kejahatan kepada mana-mana individu yang sentiasa membacanya. Oleh itu kita hendaklah bersiap sedia melindungi diri daripada gangguan syaitan.

2.  Al-Quran mendidik nafsu yang cenderung melakukan kejahatan supaya melakukan perkara-perkara yang baik sahaja. Ia juga mengingatkan mengenai dua keadaan jiwa yang ada dalam diri supaya kita sentiasa berjaga-jaga.

3.  Al-Quran menjadi pedoman hidup umat Islam.

4.  Al-Quran menjadi penolong dan penyelamat pada hari akhirat kepada pembacanya.

Al-Quran juga sebagai penawar dan ubat bagi segala penyakit sama ada fizikal mahu pun spiritual. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu, Al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu serta menjadi hidayah(untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman".

Segala penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada diri dan jiwa yang tidak tenteram, hati nurani sentiasa dinodai kekotoran dan dosa. akibatnya timbullah pelbagai masalah dan penyakit dalam masyarakat. Penyakit utama yang perlu diubati ialah penyakit yang berkait dengan hati.

Untuk mengubati penyakit hati atau rohani, agama Islam menganjurkan supaya kita sentiasa membaca Al-Quran, memahami makna dan mendalami tafsirannya. mengetahui hukum hakam seterusnya mengamalkannya. Dengan pendekatan demikian, hati yang keras akan menjadi lembut dan terubat.

Hal ini pernah berlaku kepada Saidina Umar Al-Khatab RA, beliau seorang yang bengis dan garang. Setelah mendengar ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh adiknya, maka hatinya menjadi lembut dan sayu lantas menemui Rasulullah untuk memeluk Islam.

Sebelum wujudnya perubatan moden yang ada sekarang, para sahabat dan ulama tersohor telah menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit kerana mereka percaya dan yakin bahawa Allah akan memberkati dan mengurniakan kesembuhan.

Amalan membaca Al-Quran di rumah akan mendapat keberkatan dan rahnat daripada Allah SWT. Para malaikat akan mendatangi rumah yang dibacakan ayat Al-Quran manakala syaitan akan lari darinya. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud :

" Sesungguhnya Al-Quran ini adalah hidangan Allah, maka rebutlah hidangan Allah sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Al-Quran ini adalah tali(agama) Allah yang kuat dan cahaya yang terang benderang dan penyembuh yang sangat berguna. Akan terhapuslah dosa orang yang berpegang dengannya dan terselamatlah orang yang mengikutinya".

Marilah kita mendekati dan menyintai Al-Quran dengan cara membacanya di mana jua kita berada pada setiap waktu terutamanya di bulan Ramadhan ini. Ulama salafussoleh menjadikan Al-Quran itu sebagai teman hidup. Oleh itu ada daripada mereka yang khatam Al-Quran dua kali sehari, setiap hari atau setiap tiga hari atau setiap lima hari atau setiap bulan.

Diterbitkan Oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang
 

24 August 2010

Mimbar Jumaat : Amalan Terpilih Pada Bulan Ramadhan

Dibaca Pada : 20 Ogos 2010


Allah SWT telah mengurniakan pelbagai bentuk nikmat dan anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Antara anugerah yang paling berharga ialah bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang ini.

Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa".

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang mukmin bertaqwa kepada Allah SWT iaitu mukmin yang patuh kepada Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk maksiat samada zahir atau pun batin.

Berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai dengan sempurna ibadah puasanya selagi tidak dapat menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahupun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya aau hendak berkelahi dengannya, maka dia hendaklah mengatakan; sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!"

Bulan Ramadhan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa. Antaranya ialah pintu syurga akan dibuka dengan luasnya. Manakala pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya dan syaitan-syaitan akan diikat dan dirantai. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan pada bulan Ramadhan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan kurang dan terbatas.

Sempena Ramadhan yang sedang kita lalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadhan dengan solat Tarawikh, bertadarus Al-Quran, memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada Allah SWT. Marilah kita bersama-sama bangun bermunajat kepada Allah SWT pada tiap-tiap malam sebelum bersahur. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud :

"Sesiapa yang bangun mengerjakan solatsunat dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang lalu".

Perlu kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah saudara seagama dengan kita yang telah diuji oleh Allah SWT dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama, ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.

Persoalannya, sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikkan hati agar kasihkan harta benda, bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah? Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa harta benda ialah amanah Allah SWT untuk menyelamat dan membela golongan lemah tersebut. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 186 yang bermaksud :

"Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab terdahulu daripada kamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat."

Seiring dengan amalan puasa maka mimbar Jumaat pada hari ini menasihatkan kepada golongan yang berkemampuan khususnya agar mengambil kesempatan dengan kemuliaan Ramadhan dengan mengeluarkan zakat sebagai tuntutan syarak dan kewajipan sosial kepada masyarakat dan negara. Mudah-mudahan amalan yang mulia ini akan digandakan ganjarannya di sisi Allah SWT.

Sempena kedatangan Ramadhan yang berkat ini, mimbar Jumaat hari ini menyeru ibu bapa dan masyarakat Islam agar dapat mengambil peluang untuk mengawal nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran serta dosa agar keluarga dan anak-anak kita istiqamah melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalakna tegahanNYA. Marilah kita bersama-sama meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah kita kepada Allah SWT.
Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang

19 August 2010

178 : Peristiwa Penting Yang Berlaku Di Bulan Ramadhan (Perang Badar)




Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan ialah Perang Badar. Al-Quran menyebut Perang Badar sebagai Yaumul Furqan iaitu hari yang memisahkan antara kebenaran dan kebatilan. Disebut demikian kerana Perang Badar adalah penentu hidup dan matinya agama Islam. Seadainya tentera Islam kalah dalam peperangan tersebut, makan akan lenyaplah agama Islam selama-lamanya. Ternyata tentera Islam telah mencapai kemenangan yang menyebabkan Islam terus berkembang sehingga ke hari ini. Allah SWT telah menjelaskan peristiwa ini dalam Al-Quran surah Ali-Imran ayat 123 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah(kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur(akan kemenangan itu). "
Peperangan Badar berlaku pada hari Jumaat tahun kedua hijrah bersamaan 17 Ramadhan. Peperangan yang tidak seimbang dari segi bilangan tentera itu telah dimenangi oleh tentera Islam, meskipun tentera Islam pada ketika itu hanya berjumlah 313 orang yakni hanya dua orang daripada jumah tersebut menunggang kuda dan 60 orang tentera berperisai. Berbanding tentera Quraisy berjumlah 950 orang dengan 200 tentera berkuda dan 600 orang berperisai. Kejayaan ini adalah berkat Rasululluh SAW bersolat dan berdoa. Ada pun hikmah pertolongan Allah SWT  dengan memberi kemenangan kepada tentera Islam buat julung kalinya berperang telah difirmankan oleh oleh dalam surah Ali-Imran ayat 127 yang bermaksud:

" (Kemenangan Perang Badar itu), kerana Allah hendak membinasakan satu golongan daripada orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa. "

Semoga apa yang dinyatakan di sini akan menjadi panduaan kepada kita semua untuk hidup yang lebih sejahtera di masa hadapan. Jadikanlah bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai bulan untuk meningkatkan dan memperbaiki akhlak dan budi pekerti. Semoga kita mendapat pertolongan dari Allah SWT.
 

18 August 2010

Mimbar Jumaat : Memerangi Nafsu Dalam Menghadapi Ramadhan

Dibaca Pada : 6 Ogos 2010



Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang difardhukan ibadah puasa ke ata umat Islam. Melalui ibadah puasa kita akan terdidik menjadi lebih bertaqwa kepada Allah SWT dan mampu menjadi benteng dari godaan syaitan dan hawa nafsu.

Melangkah masuk gerbang Ramadhan, bererti kita memasuki gerbang latihan kerohanian. Persiapan yang mencukupi perlu disediakan sebelum kita menjalani ibadah puasa.

Antara persiapan yang perlu dilakukan sebelum menyambut Ramadhan ialah :

1. Mengulangkaji perkara-perkara berkaitan ibadah puasa seperti mengetahui syarat-syarat sah atau perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Tujuannya agar kita dapat menjalani ibadah puasa itu dengan sempurna.

2.  Menjaga kesihatan tubuh badan agar kita dapat melaksanakan puasa genap 29 atau 30 hari tanpa keuzuran.

3.  Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan rohani dan jasmani untuk kita terus mengerjakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: SETIAP ANAK ADAM TIDAK TERLEPAS DARIPADA MELAKUKAN DOSA DAN SEBAIK-BAIK ORANG YANG BERDOSA ITU IALAH ORANG YANG BERTAUBAT KEPADA ALLAH.

Ingatlah bahawa kebahagiaan itu akan dikecapi apabila kita berjaya menundukkan hawa nafsu. Bulan Ramadhan adalah medan terbaik bagi umat Islam menyucikan jiwa supaya lebih bertaqwa dan bertaqarrub kepada Allah SWT.

Melalui ibadah puasa kita berasa lapar dan dahaga, akan memberikan pengajaran kepada kita betapa beratnya penderitaan yang ditanggung oleh golongan fakir miskin, mangsa-mangsa perang, pelariaan, bencana alam yang hidup serba kekurangan dan kedaifan.


Penuhilah ruang-ruang masa sepanjang bulan Ramadhan dengan beristighfar, bersolat jemaah dan ber'iktikaf di masjid, tunaikanlah solat sunat terawikh, sebaik-baiknya dilakukan 20 rakaat dengan tiga raaat solat witir, membaca Al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu dan sebagainya untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Kita juga hendaklah berazam meninggalkan perkara-perkara buruk. Contohnya, segera berhenti merokok bermula awal bulan Ramadhan. Perbuatan merokok merosakkan kesihatan dan menyebabkan pembaziran wang ringgit. Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan kecuali dengan keazaman yang bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadhan bulan yang menjana kekuatan iman kerana bulan inilah kita Al-Quran diturunkan. Dengan membaca dan menghayati Al-Quran kita mampu mendidik jiwa menjadi insan yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"(Masa yang di wajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah."

Marilah kita bersama-sama membuat persiapan untuk menyambut bulan Al-Mubarak, di antaranya:

1.  Hendaklah melahirkan perasaan gembira dan senang hati dengan ketibaanya nanti.

2.  Rebutlah peluang dengan menghulurkan sumbangan dan derma kepada fakir miskin serta program berbuka puasa dan sahur di masjid.

3.  Membuat persiapan untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi diri sendiri dan ahli keluarga.

4.  Mempersiap dan membersihkan tempat-tempat ibadah untuk menunaikan solat terawikh berjamaah.

5.  Bersedia meluangkan masa menghadiri kuliah-kuliah agama.

Kebiasaan pada bulan Ramadhan di negeri kita, ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa. Mereka tanpa perasaan malu dan segan, makan dan menghisap rokok di depan khalayak ramai. Perbuatan seumpama ini boleh menjatuhkan maruah umat Islam.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga sempat dipertemukan dengan Ramadhan tahun ini. Tanamkan azam untuk memerangi hawa nafsu yang boleh membawa kehancuran dan dosa dalam hidup kita. Sesungguhnya Ramadhan adalah medan terbaik berjuang meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kita tidak hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga malah perlu memelihara seluruh anggota tubuh badan daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT, agar ibadah puasa yang kita laksanakan dapat mendidik jiwa dan menguatkan iman.

Terbitan Jabatan Mufti Negeri Pahang


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...