Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

03 July 2009

112 : Membongkar Sebuah Nama


FADHLUR RAHMAN...inilah nama yang digunapakai oleh aku sejak dari bayi hingga kini dan ianya tercetak kemas dan rapi di surat beranak dan kad pengenalan. Nama yang membawa maksud FADHLUR= kurniaan/pemberian dan RAHMAN= pemurah ini jika mengikut cerita emak diambil dari sebuah makalah "Dian" yang kini tidak diterbitkan lagi. Makalah ini dikatakan seangkatan dengan majalah "Mastika" namun ianya berkubur atas sebab-sebab yang aku tidak ketahui. Nama Fadhlur Rahman dicadangkan oleh kakak kedua aku, Ngah dan diterima sebulat suara oleh emak yang ketika itu masih dalam pantang dan ayah yang masih kebuntuan untuk memilih nama. Maka bernamalah aku seperti nama aku sekarang ini. Nama yang menjadi kesukaran untuk disebut oleh ramai orang termasuklah aku sendiri terutama nama pangkal aku iaitu F.A.D.H.L.U.R hinggakan ianya diolah sesedap mulut masing-masing. Ada yang menyebut Fadelor, Paklur, Fatelur dan Fatherlaw. Malah ada yang terlebih kurang ajar telah memodifikasikan menjadi F**klur.

Di kalangan ahli keluarga, aku lebih disenangi dengan panggilan CHU. Mungkin kerana aku anak yang bongsu. Arwah Tok Ki Chik belah ayah memanggil aku dengan panggilan BUSU. Tapi sejak dia meninggal, panggilan itu lenyap. Ada juga yang memanggil aku MAN singkatan kepada Rahman. Hanya 2 orang yang memanggil aku dengan panggilan itu. Pertama, arwah Wan Jenab belah emak dan Ayah De Jalil, adik emak aku. Namun yang paling kacip digunakan ialah CHU, mungkin lebih mesra dan serasi agaknya.


Di kalangan rakan-rakan pula, aku lebih popular dengan panggilan CUYAT atau YAT. Ada kisah di sebalik nama Cuyat atau Yat ini. Kisah ini terjadi kira-kira 28 tahun yang lalu. Ketika itu aku berumur 6 tahun. Belum bersekolah cuma bertadika dan belum tahu membaca dan menulis lagi. Pada masa itu, surat-surat penduduk Kampung Kerayong akan dipusatkan di sebuah kedai makan yang hingga kini masih beroperasi. Mungkin ketika itu posmen malas nak menghantar surat-surat dari rumah ke rumah atau lebih tepat lagi sistem nombor rumah belum diperkenalkan.


Ketika itu juga kakak-kakak aku iaitu Abang Teh(perempuan tapi guna panggilan abang) dan Andak sedang menanam anggur di rumah dan sedang menunggu surat panggilan temuduga kerja. Jadi, aku selaku adik kesayangan dan posmen tidak bertauliah akan saban hari menapak ke kedai makan tersebut yang terletak lebih kurang 100 meter dari rumah aku untuk menengok jikalau ada surat untuk mereka. Disebabkan ketidakbolehannya aku membaca ketika itu dan ditambah dengan kotak tempat surat-surat diletakkan nun jauh di puncak awan maka terpaksalah aku menagih belas ehsan pemilik kedai makan itu untuk memeriksa kalau-kalau ada surat untuk ahli keluarga aku. Selalunya pemilik kedai itu akan melayan permintaan aku sebaiknya dan selalu jugalah dia membebel kerana menganggu waktu rehatnya. Namun aku langsung tidak mengendahkan bebelannya yang sedikit pun tidak berbekas di hati mulus seorang kanak-kanak riang. Malah aku amat menghargai pertolongan beliau walau aku tidak pasti tahap keikhlasannya menolong aku.

Nak dijadikan cerita...pada suatu hari yang cerah dan panasnya suam-suam kuku, aku menapak beralaskan selipar jepun yang aku yakin bukan orang Jepun yang membuatnya, menuju ke kedai makan tersebut untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada aku. Sebaik tiba di hadapan rumah arwah Pak Teh Aziz, sedang aku berenak-enakan mengorek hidung membersihkan rongga-rongga yang bertahi, aku telah diserang hendap oleh seekor makhluk tuhan berkaki dua, berbulu pelepah berwarna kelabu dan berparuh. Memang aku tahu makhluk itu akan menyerang aku kerana saban hari aku akan bertempur dengannya ketika aku berjalan kaki baik pergi mahu pun pulang dari tadika. Namun pada hari itu serangannya lebih hebat malah turut disertai oleh sepasang makhluk tuhan yang berspesis sama tapi badannya lebih besar dan nampak lebih bengis dengan bulunya yang boleh dikembang dan dikuncupkan. Aku yang diserang hendap secara tiba-tiba tiada pilihan lain melainkan membuka langkah silat yang aku warisi secara semulajadi tanpa perlu berguru dengan mana-mana guru silat iaitu silat langkah seribu. Dengan penuh keiltizaman, aku memecut sepantas mungkin. Ketika itu usahkan Watson Nyambek, Ulsan Bolt pun belum tentu dapat menandingi kepantasan aku berlari sebab mereka belum diperanakkan lagi.

Sebaik berjaya menyelamatkan diri dan tiba dengan jayanya di kedai makan itu, aku bersandar di dinding kedai sambil termengah-mengah menarik nafas bagi mengatasi masalah kekurangan oksigen dalam badan. Sedang aku enak beristirehat itulah secara tiba-tiba aku disergah oleh satu suara yang menanyakan gerangan apakah tujuan aku datang ke situ. Panik disergah secara tiba-tiba ditambah pula penat yang belum reda, aku segera menjawab dengan soalan "ander suyat?" Lantaran kepanikkan dan kepenatan telah mengakibatkan sebutan 'surat' aku "ter"pelat menjadi 'suyat'. Jawaban berbentuk soalan itu telah mengundang rasa lucu di hati pemilik kedai makan. Lantas dia pun memberi reaksi "suyat tak de, surat ade laa". Dan aku hanya mampu tersengih menampakkan barisan gigi yang ronggak sebagai reaksi terhadap pernyataan pemilik kedai itu.

Sejak hari itu, sebaik nampak kelibat aku di hadapan kedainya, dia akan segera menanya 'awok nok nenggok suyat ker?'. Dan aku hanya membalas dengan sengihan. Sangka aku ejekan itu akan berakhir ditelan pusaran waktu. Sangkaan aku itu ternyata meleset namun tidaklah mengakibatkan melesetnya ekonomi negara. Panggilan 'suyat' telah berkembang dengan pesatnya melebihi kadar pertumbuhan dalam negara pada sekitar awal 80-an. Tanpa perlu aku memperkenalkan atau membuat sebarang promosi, panggilan itu menjadi popular impak dari kesanggupan dan kerelaan mereka yang telah mendengar cerita aku pelat menyebut perkataan surat dan disampaikan pula pada mereka yang belum mengetahui. Dan mereka jugalah yang bertangungjawab mengubah panggilan 'suyat' kepada cuyat. Barangkali mereka bimbang lidah mereka turut tergeliat menyebut huruf 'S' yang bergabung dengan huruf 'Y'.

Makin hari panggilan 'cuyat' makin popular hingga menenggelamkan nama asal aku. Baik di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah, aku popular dengan panggilan 'cuyat'. Kemudian panggilan 'cuyat' telah diringkaskan menjadi 'yat'. Siapa, bagaimana atau mengapa tidaklah aku ketahui. Cuma yang pasti pada awal panggilan 'Cuyat' itu digunapakai, secara jujur dan ikhlas aku nyatakan di sini aku merasa malu dan segan. Namun putaran masa mengakibatkan aku betah menelan panggilan 'cuyat' dan menghadamkannya sebaik mungkin. Kini aku berura-ura untuk mematenkan panggilan 'cuyat' atau 'yat' sebagai harta intelek supaya nanti hak ciptanya terpelihara. Terima kasih kepada pemilik kedai makan tersebut dan mereka yang secara sukarela mempopularkan panggilan itu.

Dan pada anda yang ingin mencari aku di Kampung Kerayong, carilah mereka yang jatinya anak Kampung Kerayong dan bertanya "di manakah rumah cuyat?". Perlu juga diingatkan supaya tidak bertanya "di manakah rumah Fadhlur?" kerana mereka tidak mengenali siapa Fadhlur walaupun pemilik nama Fadhlur adalah orang yang sama. Kesimpulannya Fadhlur adalah Cuyat dan Cuyat adalah Fadhlur. Rasanya panggilan ini akan kekal hingga ke akhir hayat aku.


*makhluk tuhan yang dimaksudkan penulis ialah ayam api(nama saintifik tidak diketahui) dan ayam belanda(mungkin dibawa oleh penjajah Belanda ke Tanah Melayu).
nota siku: Gambar tidak dapat disertakan bagi menjaga sensiviti pihak tertentu.

18 comments:

ima shhs said...

oh...gitu ker citernyer...hahaha...

Bijak gak kalo di paten kan tuh...kui..kui..kui..

marwan said...

heheh...tu rupenye punce lekatnyer name tu..org krayong ni memang suke panggil ngan panggilan lain..rmai rasenye..

IS said...

Yat pun sedap jugak. Tp serius nama Fadhlur ni first time la aku dgr. Kira unik jugak.

Eyna's said...

Sy pun...ni 1st time jumpe org nama Fadhlur...

agak unik skit rasenya.

Fadh said...

ima shhs:

ha ha ha aku acah jer...nak wat apa paten kan he he he

marwan :

ha ha ha bkn org lain yg beri nama tue, mok sedare awok jugek he he he

IS:

sedap yg mcmane tue? ade rasa mcm kfc x he he he

aku pernah google nama fadhlur rahman, ada laa manusia lain di malaysia nie yg bernama sama seperti aku.

Eyna's:

unik sikit jer?? aiseh ngape xcakap unik byk...baru laa koi boleh mengembangkan lagi lubang hidung koi nie he he he

Don Balon said...

Insya-Allah bila2 koi lalau koi singgoh cari Sun yat Sen..ehh.. chu yat.. kuikui

dandon said...

salam... semasa proses mencari nama tu koi pun terlibat sama... memang dah buntu masa tu...dan awoklah sorang - sorangnya anok mok ngan ayoh yang lahir kat hospital... yang lainnya semua lahir kat rumah...dibidankan oleh bidan kg

Fadh said...

Don Balon:

ha ha ha cari don jgn xcari...balik pintu ker...bawoh katil ker...dalam gebor ke he he he

dandon:

ye...koi laa satu2nyer anok mereka yg lahir di spito...dan cemas2 koi lahir dlm kete tok ki de naie nyer...hari jumaat perentang org sibuk nok ke masjid...mase te laa koi lahir...koi tahu sbb koi dan nengok kalendar dan jam kat dinding spito he he he(last tue mempedooh jek dah)

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr said...

cuyat...

kih3...

lawak gak ceta ni...

psl suyat pon dh leh dpt nama...

LotsOfLove-Pearls said...

Hahahha..
Adilah..
Lawak ar Fadh...
tergeliat lidah pulak nak sebut surat tue..
lawaknya..
sangat lawak ar..
hahhaa...

"ander suyat.."

hahhaa......

lawak..
lawak..
memang ketawa guling2 nie...
haha.

Fadh said...

GaDiS KaMpUnG sEpArA BaNdAr :

ooo ko gelak kat aku yer...xpe2...gelak laa lagi

LotsOfLove-Pearls :

ko tau ke ander tue apa? ander tue loghat pahang maksud nyer "ada". bagus laa klau ko gelak... hilang tension ko he he he

ieyla said...

patutlah anak pun pelat(Hakeem)....rupa-rupanya abahnya pun pelat juga waktu kecil dulu....

Fadh said...

tue bukan pelat laa tapi tergeliat lidah sbb kena sergah dlm keadaan kepenatan he he he

b.tan said...

salam......
nompang mencelah sikit, sikit jek tak lebih pun.
proses mencari nama tu berlaku pada waktu malam, dalam lingkungan pukul 8 ke 9,(antara maghrib dan isyak) lebih kurang.
majalah dian ni memang terkenal dulu-dulu, kalau kita pergi kota bharu, akan terjumpa bangunan pustaka dian(jika belum kena robohlah), disitulah ia diterbit dan dicetak.
antara isi kandungan majalah itu ialah nama-nama indah.
semasa peristiwa itu berlaku(tak ada hujan ribut pun) kami adik beradik berbincang(berborok) dengan merujuk kepada beberapa buah majalah dian, tapi semua nama-nama yang ada, biasa-biasa saja. cuma ada satu iaitu Fadhlur Rahman yang diberi maksud dalam majalah dian itu ialah Kurniaan Tuhan.maka kami sepakat nak beri nama tu, kalau tak silap masa tu mak kami masih dalam hosital, tapi dah bersali sebab tu kami cari nama lelaki.

tambahan lagi, kedai makan itu dulu asalnya ialah kedai runcit. bayangkan dulu lagi dah ada kedai runcit orang melayu di kerayong, tapi tak tahulah, entah macam mana silapnya ia tutup, pada masa itu sekitar tahun 70an. dan memang pun ia tempat pengumpulan surat, nak pos ke, nak tengok surat sampai ke, memang lah disitu, nama posmennya ialah Rani(orang melayu), tak tahu entah hidup atau dah tiada, hanya Allah yang tahu.
alkisah, begitulah adanya. sekian.

Fadh said...

b.tan :

terima kasih di atas maklumat tue. mase tue mana laa nak tahu sape yg terlibat bagi nama tue. namun terima kasih di atas pemilihan nama Fadhlur Rahman. moga2 nama itu membawa keberkatan dalam hidup, insyallah.

Webmaster@Echam said...

Apa lagi wehhhh.. Ubah ler blog ni jadi CHUYAT.COM

UNIVERSITI MENGKARAK said...

Baguslah yatt..
Barulah kawan tau rupa2nye yek

Fadhlur tu ada dalam Quran..kalau bacalah

Ada nama kawan koi

Fadhlul latif

Entah kona la budok ni..

ayumkay said...

salam :)

padanlah aku carik umah cikgu fadhlur tak jumpa.. rupa2nya kena carik umah cikgu cuyat ekk.. ngeh ngehh :P

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...