Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

06 July 2009

113 : Deja Vu Yang Bukan De Javu

Jangan Menilai Buku Menerusi Kulitnya





Nama Rahimin Idris memang asing bagi anda kerana dia bukanlah popular dan terkenal seperti Mawi atau Nabil. Apa yang pasti, kepalanya tidak botak seperti Mawi dan rambutnya panjang dan lurus berbanding Nabil. Namun bagi yang selalu berkunjung ke blog Mati Pikiran pasti mengenali dan mengetahui siapakah beliau. Aku walau tidak pernah mengenali lubang hidungnya namun cukup kagum dengan kegigihan beliau dalam menghasilkan sajak, cerpen dan kartun.

Terkini, beliau tampil memperdagangkan sebuah buku bertajuk "Bukan Deja Vu". Buku yang memuatkan koleksi cerita-cerita pendek ini mengandungi sebanyak 31 tajuk. Keseluruhan cerita yang dimuatkan dalam buku ini walaupun bersifat lelucon namun tersirat pengajaran yang mengajak pembaca berfikir. Sebagai contoh, cerita Pak Utih dan Mak Utih digarap berdasarkan 2 pepatah Melayu lama iaitu "Dengar guruh di langit, habis air dalam tempayan dicurahkan" dan "Burung yang terbang hendak dipipiskan lada". Kedua-dua cerita ini jika diperhalusi amat kacip dalam kehidupan kita malah telah sebati dalam diri masyarakat seharian.

Terdapat juga cerita komedi seram yang ditenun sebaik mungkin iaitu "Hantu Tanpa Tangan". Membacanya bisa membuai perasaan untuk terus melekatkan mata pada tiap baris susunan ayat hinggalah ke titik noktah yang terakhir. Cerita ini mengandungi unsur seram yang diadun bersama unsur lucu yang mampu menterbalikkan pusat jika membacanya.

Selain dari itu, cerita "Amarah Murad" memaparkan kerakusan manusia menuruti nafsu marah yang akhirnya memakan diri sendiri. Walau penceritaannya agak biasa kerana dilatari kehidupan seharian seorang pelajar namun masih terselit nilai-nilai murni yang boleh dijadikan tauladan seperti berfikir sebelum bertindak dan lakukan sesuatu pekerjaan itu seawal yang mungkin bagi mengelakkan kekalutan.

Laras bahasa yang digunakan bukanlah seperti laras senapang patah atau laras meriam tetapi lebih kepada bahasa percakapan harian yang memang intim dengan kehidupan kita. Membacanya walau dalam keadaan santai sambil mengorek hidung, masih menuntut kita membaca satu persatu bait ayat dan memahaminya kerana jika membacanya sepintas lalu, berkemungkinan kita tidak dapat menangkap maksud penceritaan yang ingin disampaikan oleh penulis.

Harganya RM10 dan ianya lebih mahal berbanding sekotak rokok Dunhill 20 batang namun berbaloi membelinya kerana buku ini tidak mengandungi bahan kimia yang berbahaya dan kebarangkalian untuk mendapat kanser adalah rendah jika membaca buku ini berbanding menghisap 20 batang rokok Dunhill. Tetapi jika membaca buku ini sambil menghisap rokok kebarangkalian untuk mendapat kanser akan melonjak berganda-ganda.

Hanya satu kelemahan buku ini iaitu ia tiada di pasaran terbuka berbanding rokok. Ini kerana Rahimin Idris telah sanggup mengorbankan bajet bagi membeli rokok selama sebulan setengah semata-mata untuk menghasilkan buku ini. Dipendekkan kata, beliau merupakan penulis, merangkap penyunting, merangkak pencetak dan mentatih pengedar. Ini dilakukan bukanlah untuk mengaut untung yang lebih tetapi untuk menjimatkan kos memandangkan koceknya yang tipis dan selalu tiris. Namun berbekalkan semangat serta iltizam yang teguh, beliau tetap melangkah menongkah segala kepayahan demi minat dan cita-cita untuk bergelar Sasterawan Negara suatu hari nanti.

Kepada penulis, diucapkan syabas dan tahniah. Ini langkah pertama anda. Bakal menyusul aturan langkah kedua, ketiga dan seterusnya sehingga dapat menggapai impian yang diimpikan. Kepada yang berminat untuk memiliki buku ini, bolehlah melutut dan merayu agar Rahimin dapat mengulang cetak kerana cetakan pertama yang berjumlah 15 naskah telah pun habis. Larisnya seperti cendawan goreng yang digoreng selepas hujan.




Kulit belakang yang sempoi macam buah tampoi...

03 July 2009

112 : Membongkar Sebuah Nama


FADHLUR RAHMAN...inilah nama yang digunapakai oleh aku sejak dari bayi hingga kini dan ianya tercetak kemas dan rapi di surat beranak dan kad pengenalan. Nama yang membawa maksud FADHLUR= kurniaan/pemberian dan RAHMAN= pemurah ini jika mengikut cerita emak diambil dari sebuah makalah "Dian" yang kini tidak diterbitkan lagi. Makalah ini dikatakan seangkatan dengan majalah "Mastika" namun ianya berkubur atas sebab-sebab yang aku tidak ketahui. Nama Fadhlur Rahman dicadangkan oleh kakak kedua aku, Ngah dan diterima sebulat suara oleh emak yang ketika itu masih dalam pantang dan ayah yang masih kebuntuan untuk memilih nama. Maka bernamalah aku seperti nama aku sekarang ini. Nama yang menjadi kesukaran untuk disebut oleh ramai orang termasuklah aku sendiri terutama nama pangkal aku iaitu F.A.D.H.L.U.R hinggakan ianya diolah sesedap mulut masing-masing. Ada yang menyebut Fadelor, Paklur, Fatelur dan Fatherlaw. Malah ada yang terlebih kurang ajar telah memodifikasikan menjadi F**klur.

Di kalangan ahli keluarga, aku lebih disenangi dengan panggilan CHU. Mungkin kerana aku anak yang bongsu. Arwah Tok Ki Chik belah ayah memanggil aku dengan panggilan BUSU. Tapi sejak dia meninggal, panggilan itu lenyap. Ada juga yang memanggil aku MAN singkatan kepada Rahman. Hanya 2 orang yang memanggil aku dengan panggilan itu. Pertama, arwah Wan Jenab belah emak dan Ayah De Jalil, adik emak aku. Namun yang paling kacip digunakan ialah CHU, mungkin lebih mesra dan serasi agaknya.


Di kalangan rakan-rakan pula, aku lebih popular dengan panggilan CUYAT atau YAT. Ada kisah di sebalik nama Cuyat atau Yat ini. Kisah ini terjadi kira-kira 28 tahun yang lalu. Ketika itu aku berumur 6 tahun. Belum bersekolah cuma bertadika dan belum tahu membaca dan menulis lagi. Pada masa itu, surat-surat penduduk Kampung Kerayong akan dipusatkan di sebuah kedai makan yang hingga kini masih beroperasi. Mungkin ketika itu posmen malas nak menghantar surat-surat dari rumah ke rumah atau lebih tepat lagi sistem nombor rumah belum diperkenalkan.


Ketika itu juga kakak-kakak aku iaitu Abang Teh(perempuan tapi guna panggilan abang) dan Andak sedang menanam anggur di rumah dan sedang menunggu surat panggilan temuduga kerja. Jadi, aku selaku adik kesayangan dan posmen tidak bertauliah akan saban hari menapak ke kedai makan tersebut yang terletak lebih kurang 100 meter dari rumah aku untuk menengok jikalau ada surat untuk mereka. Disebabkan ketidakbolehannya aku membaca ketika itu dan ditambah dengan kotak tempat surat-surat diletakkan nun jauh di puncak awan maka terpaksalah aku menagih belas ehsan pemilik kedai makan itu untuk memeriksa kalau-kalau ada surat untuk ahli keluarga aku. Selalunya pemilik kedai itu akan melayan permintaan aku sebaiknya dan selalu jugalah dia membebel kerana menganggu waktu rehatnya. Namun aku langsung tidak mengendahkan bebelannya yang sedikit pun tidak berbekas di hati mulus seorang kanak-kanak riang. Malah aku amat menghargai pertolongan beliau walau aku tidak pasti tahap keikhlasannya menolong aku.

Nak dijadikan cerita...pada suatu hari yang cerah dan panasnya suam-suam kuku, aku menapak beralaskan selipar jepun yang aku yakin bukan orang Jepun yang membuatnya, menuju ke kedai makan tersebut untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada aku. Sebaik tiba di hadapan rumah arwah Pak Teh Aziz, sedang aku berenak-enakan mengorek hidung membersihkan rongga-rongga yang bertahi, aku telah diserang hendap oleh seekor makhluk tuhan berkaki dua, berbulu pelepah berwarna kelabu dan berparuh. Memang aku tahu makhluk itu akan menyerang aku kerana saban hari aku akan bertempur dengannya ketika aku berjalan kaki baik pergi mahu pun pulang dari tadika. Namun pada hari itu serangannya lebih hebat malah turut disertai oleh sepasang makhluk tuhan yang berspesis sama tapi badannya lebih besar dan nampak lebih bengis dengan bulunya yang boleh dikembang dan dikuncupkan. Aku yang diserang hendap secara tiba-tiba tiada pilihan lain melainkan membuka langkah silat yang aku warisi secara semulajadi tanpa perlu berguru dengan mana-mana guru silat iaitu silat langkah seribu. Dengan penuh keiltizaman, aku memecut sepantas mungkin. Ketika itu usahkan Watson Nyambek, Ulsan Bolt pun belum tentu dapat menandingi kepantasan aku berlari sebab mereka belum diperanakkan lagi.

Sebaik berjaya menyelamatkan diri dan tiba dengan jayanya di kedai makan itu, aku bersandar di dinding kedai sambil termengah-mengah menarik nafas bagi mengatasi masalah kekurangan oksigen dalam badan. Sedang aku enak beristirehat itulah secara tiba-tiba aku disergah oleh satu suara yang menanyakan gerangan apakah tujuan aku datang ke situ. Panik disergah secara tiba-tiba ditambah pula penat yang belum reda, aku segera menjawab dengan soalan "ander suyat?" Lantaran kepanikkan dan kepenatan telah mengakibatkan sebutan 'surat' aku "ter"pelat menjadi 'suyat'. Jawaban berbentuk soalan itu telah mengundang rasa lucu di hati pemilik kedai makan. Lantas dia pun memberi reaksi "suyat tak de, surat ade laa". Dan aku hanya mampu tersengih menampakkan barisan gigi yang ronggak sebagai reaksi terhadap pernyataan pemilik kedai itu.

Sejak hari itu, sebaik nampak kelibat aku di hadapan kedainya, dia akan segera menanya 'awok nok nenggok suyat ker?'. Dan aku hanya membalas dengan sengihan. Sangka aku ejekan itu akan berakhir ditelan pusaran waktu. Sangkaan aku itu ternyata meleset namun tidaklah mengakibatkan melesetnya ekonomi negara. Panggilan 'suyat' telah berkembang dengan pesatnya melebihi kadar pertumbuhan dalam negara pada sekitar awal 80-an. Tanpa perlu aku memperkenalkan atau membuat sebarang promosi, panggilan itu menjadi popular impak dari kesanggupan dan kerelaan mereka yang telah mendengar cerita aku pelat menyebut perkataan surat dan disampaikan pula pada mereka yang belum mengetahui. Dan mereka jugalah yang bertangungjawab mengubah panggilan 'suyat' kepada cuyat. Barangkali mereka bimbang lidah mereka turut tergeliat menyebut huruf 'S' yang bergabung dengan huruf 'Y'.

Makin hari panggilan 'cuyat' makin popular hingga menenggelamkan nama asal aku. Baik di sekolah rendah mahu pun di sekolah menengah, aku popular dengan panggilan 'cuyat'. Kemudian panggilan 'cuyat' telah diringkaskan menjadi 'yat'. Siapa, bagaimana atau mengapa tidaklah aku ketahui. Cuma yang pasti pada awal panggilan 'Cuyat' itu digunapakai, secara jujur dan ikhlas aku nyatakan di sini aku merasa malu dan segan. Namun putaran masa mengakibatkan aku betah menelan panggilan 'cuyat' dan menghadamkannya sebaik mungkin. Kini aku berura-ura untuk mematenkan panggilan 'cuyat' atau 'yat' sebagai harta intelek supaya nanti hak ciptanya terpelihara. Terima kasih kepada pemilik kedai makan tersebut dan mereka yang secara sukarela mempopularkan panggilan itu.

Dan pada anda yang ingin mencari aku di Kampung Kerayong, carilah mereka yang jatinya anak Kampung Kerayong dan bertanya "di manakah rumah cuyat?". Perlu juga diingatkan supaya tidak bertanya "di manakah rumah Fadhlur?" kerana mereka tidak mengenali siapa Fadhlur walaupun pemilik nama Fadhlur adalah orang yang sama. Kesimpulannya Fadhlur adalah Cuyat dan Cuyat adalah Fadhlur. Rasanya panggilan ini akan kekal hingga ke akhir hayat aku.


*makhluk tuhan yang dimaksudkan penulis ialah ayam api(nama saintifik tidak diketahui) dan ayam belanda(mungkin dibawa oleh penjajah Belanda ke Tanah Melayu).
nota siku: Gambar tidak dapat disertakan bagi menjaga sensiviti pihak tertentu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...