Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

29 June 2009

111 : Lenyap Didakap Waktu




Perhatikan papan tanda di atas. Kesemua kampung tersebut terletak di sekitar Kampung Kerayong. Dan di bawah ini, satu-satunya papan tanda yang masih wujud namun menanti saat rebah ke bumi yang terletak di sempadan Kampung Kerayong dan Kampung Mengkarak.

Kampung Kerayong diriwayatkan bermula apabila pengasasnya, Pawang Ismail bin Pawang Derus berhijrah bagi membuka sebuah penempatan baru. Berakit di sepanjang Sungai Triang akhirnya beliau memutuskan untuk membuka sebuah penempatan baru yang diberi nama Kampung Kerayong Tumbang bersempena dengan nama sebatang pokok petai kerayong yang dihikayatkan besarnya batang pokok petai kerayong itu jika disusun talam boleh memuatkan 40 hidangan.

Detik waktu berputar. Saat berganti minit. Minit bertukar jam. Jam bersilih hari. Hari menjadi minggu. Minggu berubah tahun. Kini, Kampung Kerayong kian hari kian tersisih dari arus pembangunan. Bukannya tiada pembangunan di Kampung Kerayong. Terlalu banyak pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.


inilah nama yang telah menggantikan nama Kampung Kerayong
Namun apa yang amat dikesalkan, nama Kampung Kerayong tidak lagi digunapakai malah telah digantikan dengan nama Bandar Bera. Sejak wujudnya Bandar Bera yang dijadikan pusat pentadbiran daerah, nama keramat Kampung Kerayong kian lenyap. Nama yang diberikan oleh pengasasnya gagal dipertahankan oleh anak cucu cicit yang sewajarnya mempertahankan kedaulatan Kampung Kerayong termasuklah aku yang hanya berupaya memerhati dengan pandangan sayu, satu persatu tempat permainan aku waktu hingusan dulu ditarah dan dibongkar demi sebuah pembangunan. Tiada lagi tempat aku melastik burung waktu dulu. Tumbang sudah pohon yang sewaktu waktu dahulu tempat aku bergayut dan berteduh. Lenyap sudah hijaunya padang lalang yang sewaktu dulu saujana mata memandang. Kini pohon-pohon rendang diganti dinding batu yang tersergam megah.

Laman Kerayong

Lantaran itu, aku bersama Mazru , Firdaus dan Marwan akan berkoloborasi untuk mewujudkan sebuah blog khas memperihalkan salahsilah keturunan Pawang Ismail sejak bermulanya sebuah penempatan hingga kini. Moga usaha murni ini akan mendapat keberkatan dari Allah dan memberi manafaat kepada generasi seterusnya.
Antara taman-taman perumahan yang bercambah dan menghilangkan nama Kampung Kerayong.

Papan tanda yang dipacakkan di hadapan simpang rumah aku
Dulu kawasan ini tempat aku bermain tapi kini...





25 June 2009

110 : Sesekali Yang Jarang-Jarang


Jarang benar perkara ini berlaku. Boleh dikatakan setahun 2 kali sahaja. Adakalanya lebih dari 2 kali. Tapi itu pun tidaklah lama. Paling lama pun setakat 2 hari. Itupun dah dikira lebih dari bagus daripada langsung tiada.

Tiap kali berlakunya perkara ini, pastinya suasana rumah mak dan ayah akan hiruk-piruk. Akan kedengaranlah suara jeritan dan tangisan yang sahut bersahut dengan gelak ketawa keriangan. Akan berlakulah kesesakan di bilik air hinggakan kaunter nombor terpaksa dibuka bagi mengelakkan berlakunya rusuhan. Selain itu kadar penggunaan elektrik dan air akan meningkat secara mendadak. Kipas akan berputar ligat menyejukkan setiap ruang dan lampu akan menyala menerangi segenap pelusuk rumah. Dan tv pula tidak henti-henti menyiarkan rancangan kartun di saluran 611 Astro Ceria.

Selain itu, laman rumah juga turut menjadi mangsa. Laman yang biasanya kosong dan lapang menjadi sempit hinggakan tiada ruang untuk meletakkan kenderaan. Selagi ada ruang kosong akan diletakkan dengan kereta. Nasib baiklah rumah mak dan ayah nie rumah kampung jadi luas lamannya. Kalau rumah di kawasan perumahan, hampir setengah kilometer panjangnya jarak jika semua kereta tue diletakkan memanjang.

Namun semua perkara di atas sedikit pun tidak mendatangkan kemarahan kepada mak dan ayah. Malah mereka tersenyum lebar. Biar pun suasana akan jadi hiruk pikuk, mereka tetap tersenyum puas. Walau bil air dan api akan meningkat namun mereka tetap tersenyum bangga. Biar pun terpaksa berebut untuk menggunakan bilik air, mereka tetap tersenyum sabar. Walau rutin harian mereka terganggu, namun mereka tetap mengukirkan senyuman.

Dan bila perkara itu berakhir, suasana rumah mak dan ayah kembali normal. Tiada lagi hiruk piruk yang membingitkan. Tiada lagi kesesakan di bilik air menjelang senja dan subuh. Tiada lagi kereta yang memenuhi laman. Tiada lagi putaran kipas yang menyejukkan setiap ruang. Tiada lagi sinaran lampu yang menerangi segenap pelusuk. Dan tv pula pastinya hanya menyiarkan rancangan kegemaran mereka.

Apa yang tinggal hanyalah kepingan hati tua yang sentiasa berdoa. “ moga nanti masih ada kesempatan buat mereka menikmati saat-saat indah itu”. Dan hati tua milik mereka pastinya menjadi rindu untuk menatap wajah anak-anak yang sejak dari kecil ditimang dimanja dan wajah-wajah mulus cucu-cucu sebelum mereka pergi untuk selamanya.

17 June 2009

109 : Waris Penyambung Zuriat # 2


Dalam hidup aku ada beberapa tarikh yang menjadi titik perubahan dalam diri. Salah satu daripadanya ialah 14.06.2006. Ini adalah tarikh kelahiran anak aku yang ke-3. Sepanjang menanti kelahirannya, banyak peristiwa suka duka yang aku tempuhi terutamanya perisitwa aku hampir disumbat ke dalam penjara gara-gara kejadian amuk yang berpunca dari hati yang panas.

Kelahirannya sebagai penambah seri dalam keluarga aku. Lahir dengan berat 3.2kg tepat jam 5.02 petang. Aku namakannya Muhammad Hakeem Danish. Muhammad membawa maksud Yang Terpuji dan sebagai mengambil berkat dari nama Rasulullah SAW. Hakeem membawa maksud Yang Bijaksana dan Danish pula bermaksud Yang Bijak dan Berpengetahuan.

Pada 14.06.2009 yang lalu, Arekeem atau De(panggilan pangkat dalam keluarga bagi anak nombor 3) telah menyambut ulangtahun ketiga berada di dunia ini. Tiada majlis cukup sekadar rasa syukur dipanjatkan kepada Allah.

Untuk cerita selanjutnya silalah ke blog
hati seorang isteri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...