Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

28 May 2009

108 : 1 Yang Bukannya Dua Mahupun 3 Apatah Lagi Empat


Lihat gambar di atas dengan teliti. Perasankah kalian raut wajah kanak-kanak di atas seakan-akan seiras? Bagaikan kembar yang sudah tentunya bukan kembar siam tapi kembar seiras. Aku pun mulanya tak perasan tapi bila diamati betul-betul, sah kedua kanak-kanak tersebut mempunyai paras wajah yang sama. Kanak-kanak yang dibulatkan dengan warna biru tue ialah anak aku, Muhammad Haris Farhan manakala kanak-kanak yang aku bulatkan dengan warna hijau adalah anak, tuan punya blog hati seorang isteri, ieyla. Perkara ini mula disedari bila aku meng’link’kan blog beliau di blog aku dan secara kebetulan dia meng’upload’kan gambar anaknya dan aku pun meng’upload’kan gambar anak aku.

Kebetulan yang tidak disangka-sangkakan ini rupanya telah merungkaikan satu misteri yang selama ini mengundang tanda tanya pelbagai pihak yang merasa sangsi dan curiga akan kewujudan blog hati seorang isteri. Ini kerana kewujudan blog tersebut dikatakan mempunyai perkaitan dengan blog aku. Malah ada segelintir individu mengandaikan tuan punya blog hati seorang isteri adalah isteri aku. Aku menafikan dengan sekeras-kerasnya dengan alasan, mungkin persamaan yang wujud tidak disengajakan dan terjadi secara kebetulan.


Tetapi bila mereka selidiki dan mengupah beberapa pegawai penyiasat CSI maka sah tuan punya blog hati seorang isteri mempunyai hubungan yang sangat intim dengan aku. Maka dengan itu terpaksalah aku mengakui yang aku sememangnya mempunyai hubungan malah telah pun mendirikan rumahtangga dengan tuan punya blog hati seorang isteri dan telah pun dikurniakan dengan 3 orang cahayamata.

Segalanya bermula apabila aku sering melihat dan membaca coretan beliau yang ditulisnya di kertas kosong dan disorokkan dari pengetahuan aku. Oleh sebab aku nie memiliki ilmu alam maka dapat jua aku membaca apa yang ditulisnya. Atas dasar kasih sayang yang tak pernah aku belah dan bahagi kepada orang lain selain dia maka aku pun menge ‘syor’kan supaya dia memiliki sebuah blog supaya nanti apa yang dinukilkan dapat dikongsi dengan sesiapa yang sudi membacanya. Bagaikan mendengar guruh di langit habis air tempayan dicurahkan, dia pun menyatakan persetujuannya.

Maka bermulalah proses aku membina dan menghias blog tersebut hinggakan aku berjaga sepanjang malam sedangkan keesokkannya aku perlu memberi kursus LADAP kepada staff-staff SKBG. Alhamdulillah berkat kesabaran aku maka dapatlah aku menyiapkan blog dia bersekali dengan mengubahsuai blog aku sendiri. Jenuh juga aku bersengkang mata dan banyak kali juga 'template' blog aku hilang semata-mata untuk memahirkan diri. Hasil 'try and error' yang aku praktikkan maka inilah hasil yang kalian semua sedang tatapi kini.

Harapan aku semoga ada yang sudi menjenguk blog hati seorang isteri dan meninggalkan komen sebagai tanda sokongan dan penguat semangat untuk dia terus berblog. Kesian gak aku bila dia mengeluh sebab tak de sorang pun yang tinggalkan komen kat blog dia termasuklah aku sendiri he he he.

Untuk isteri yang tercinta, berbloglah andai ianya dapat menghibur dan mengirangkan hatimu...namun ingatlah, berblog hanyalah sekadar aktiviti sampingan yang dilakukan sewaktu senggang...jangan pula nanti abang dan anak-anak makan nasi dengan kicap jer he he he.

26 May 2009

107: Waris Penyambung Zuriat


Tarikh 24 Mei setiap tahun pasti mengimbau kenangan yang amat berharga dalam hidup aku. Tanggal di mana lahirnya zuriat penyambung baka aku di dunia yang fana. Zuriat kedua selepas yang pertama pergi menghadap Ilahi sebelum sempat aku mencurahkan kasih sayang. Aku namakannya Muhammad Haris Farhan. Aku pilih "Muhammad" yang bermaksud "Yang Terpuji" sempena nama Rasullulah dengan harapan semoga dia mengikut akhlak dan pekerti mulia Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW. "Haris" yang membawa maksud "Pengawal/Pemelihara" kerana dia sebagai abang adalah pelindung kepada adik-adiknya sekiranya aku tiada nanti serta pemelihara nama baik keluarga. "Farhan" pula bermaksud "Yang Girang Gembira" kerana aku ingin dia sentiasa gembira dan cekal dalam menempuh setiap dugaan dan rintangan hidup.

memotong kek sambil tersengih...


menanti kek dipotong

24hb Mei yang lalu genaplah usia 6 tahun. Tahun depan dah nak masuk darjah 1. Rasa macam baru semalam dia dilahirkan. Betapa cepatnya putaran masa hinggakan tidak terasa dia bakal menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Tiada sambutan cukup sekadar aku belikan kek coklat kegemarannya di Kedai Kek Kak Yah yang terletak berhampiran Terminal Bas Temerloh. Selepas itu aku bawanya melihat orang berakit di Sungai Pahang(akan aku ceritakan di entri 'menghilir di sungai pahang'). Balik terus demam. Kesian dia. Mungkin terlalu lama di bawah terik matahari hinggakan suhu badannya mendadak naik. Malam, tidurnya meracau hinggakan terpaksa aku masukkan ubat demam melalui buntutnya.

disuap mamanya...

makan dengan seleranya...


Isnin, dia tak bersekolah akibat demam. Alhamdulillah demamnya tidak berpanjangan dan tadi dah ke sekolah. Jadi dapatlah dia bawa hadiah untuk diberikan kepada kawan-kawan pra sekolahnya. Bersungguh-sungguh dia minta aku belikan hadiah untuk kawan-kawannya. Maka aku turutkan kehendaknya walau poket tengah kegersangan. Aku belikan beberapa jenis makanan ringan dan aku letakkan di dalam beg kertas. Hanya itu yang aku mampu lakukan sebagai tanda betapa aku bersyukur di atas kurniaan zuriat yang Allah berikan.

Kalau dah makan, habis comot...

Untuk Arean...,
Tinggi Gunung Everest, tinggi lagi harapan Abah untuk melihat Angah membesar dengan sempurna dan besar kelak menjadi insan yang berguna, yang berbakti kepada ibu bapa, keluarga,masyarakat, bangsa dan agama. Ingatlah tiap sesuatu pasti ada balasannya. Andai baik yang Angah lakukan, pasti kebaikan itu akan kembali kepada Angah. Dan andai kejahatan yang Angah lakukan, pastinya kejahatan yang akan Angah dapat. Berbuat baiklah sebanyak mungkin kerana yang baik itu datangnya dari Allah dan yang jahat itu datangnya dari kelamahan diri kita sendiri yang perlu kita perbaiki sedikit demi sedikit. Selamat Hari Lahir Anakku...

sebahagian hadiah untuk kawan-kawannya...

20 May 2009

106 : Setitis Darah Penyambung Nyawa


Banner' kem kesihatan untuk pemeriksaan kesihatan percuma.

Pada 10hb Mei yang berlalu meninggalkan kita tanpa disedari, telah berlangsung satu program Pemimpin Bersama Rakyat bagi Dun Kemayan bertempat di SK Kemayan. Program yang dijalankan itu melibatkan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pameran dan kem kesihatan, sesi dialog antara penduduk kampung dengan pihak pentadbir tanah daerah Bera dan kempen menderma darah. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato' Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen Bera. Program yang dianjurkan itu telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat dan memberi impak yang mendalam kepada penduduk sekitar.

Proses 'ramah mesra' bersama doktor bertugas

Aku yang kebetulan pulang ke kampung isteri berpeluang meninjau dan mengikuti beberapa program yang dijalankan. Di antara program yang sempat aku ikuti ialah pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih di mana aku telah mendaftarkan isteri aku sebagai pengundi berdaftar bagi Dun Kemayan dan menyemak status aku sebagai pengundi berdaftar bagi Dun Guai.


Proses mencucuk jarum ke lengan aku


Di kesempatan itu juga aku telah menderma darah. Namun sebelum itu aku telah disaring bagi memastikan tahap kesihatan aku. Dengan berat badan seberat 73 kg dan tekanan darah yang normal, aku telah dibenarkan untuk menderma. Sebanyak 450 gram darah berjenis AB disedut bak drakula oleh jururawat yang bertugas. Aku kehairanan juga kerana mengapa darah aku dinilai dalam unit gram. Setahu aku yang tak berapa nak tahu, biasanya darah dinisbahkan dalam unit pain. Tapi tidaklah pula aku bertanya kerana aku tidak mahu dilihat seolah-olah tidak ikhlas menderma.


Proses menyedut darah aku.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama aku menderma. Sebelum ini sewaktu masih menuntut di Maktab Perguruan Kota Bharu aku pernah menderma darah bersama Zahaludin Adam. Ketika itu kami berkunjung ke sebuah karnival yang diadakan di Hospital USM,Kubang Kerian. 

Proses menunggu beg darah penuh
Proses memenuhkan beg darah hampir 10 minit
Proses menimbang berat darah aku...terlebih 50 gram
Proses mencabut jarum
Proses menampal plaster
Proses merehat dan memulihkan tenaga selepas menderma
Lengan aku ditampal plaster bagi mengelakkan darah terpancut
Kesan dicucuk jarum sebesar bateri AA
Antara pengunjung yang turut menderma.
Kalau dulu aku menderma kerana terpesona dengan keayuan jururawat pelatih yang bertugas tapi kini kerana aku menyedari betapa setitis darah itu amat bermakna bagi mereka yang memerlukan. Andai hari ini mereka memerlukan darah aku mungkin suatu hari nanti aku memerlukan darah mereka pula.

14 May 2009

105 : Guru Pembina Negara Bangsa


Gambar sewaktu darjah 3. Yang mana satu aku?

16hb Mei telah diwartakan sebagai Hari Guru bagi memperingati dan menghargai jasa bakti yang telah dicurahkan oleh golongan pendidik kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bertamadun. Saban tahun 16hb Mei diraikan baik di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahu pun sekolah. Pada tahun ini tema yang telah dipilih ialah "Guru Pembina Negara Bangsa" yang membawa sebuah pengertian yang cukup besar dan bermakna bagi setiap insan yang bergelar pendidik.


Anak murid pertama sewaktu praktikum di SK Ismail 1

Pasti setiap dari kita sejak kecil di sekolah rendah hinggalah kita menjejakkan kaki ke menara gading, melalui detik meraikan hari guru. Kalau dulu, mungkin sehari dua sebelum menjelangnya 16hb Mei kita sibuk merenggek mengecek sedikit wang dari ibu bapa untuk membeli hadiah bagi dihadiahkan kepada guru yang kita sayangi dan segani. Andai ibu bapa kita tidak berkemampuan, seboleh mungkin kita akan berusaha mencari sesuatu untuk dijadikan hadiah sebagai tanda penghargaan kita terhadap insan yang kita panggil cikgu. Mungkin dulu ada di antara kita yang menghadiahkan buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis. Mungkin juga ada yang memberikan kad yang dibuat sendiri semata-mata untuk menghargai jasa bakti dan pengorbanan guru terhadap kita.

Kelas 3 PI/KT Maktab Perguruan Kota Bharu

Kini setelah dewasa dan berkerjaya serta berkeluarga, segala detik-detik indah yang kita lewati zaman persekolahan dulu diimbaukan kembali oleh anak-anak kita yang seakan menuruti keterujaan kita untuk menghadiahkan sesuatu kepada guru yang mereka sayangi. Maka adalah sewajarnya kita sebagai ibu bapa menerapkan nilai murni yang suatu waktu dulu telah kita rutini iaitu menghadiahkan sesuatu kepada insan yang telah mendidik dan mengajar anak-anak kita. Setiap sesuatu pemberian bukanlah diukur nilai pada mahal atau cantiknya sesuatu barangan yang dihadiahkan tapi terletak pada keikhlasan kita yang memberi sebagai tanda penghargaan untuk guru yang mendidik dan mengajar anak-anak kita.



Sebahagian hadiah yang pernah aku terima sempena hari guru

Aku telah melalui saat suka duka meraikan hari guru baik sebagai murid, guru dan bapa. Pelbagai kenangan kembali mengusik jiwa tiap kali tibanya 16hb Mei. Pernah dulu aku berlapar bagi menyimpan wang saku yang diberikan ayah semata-mata untuk membelikan hadiah kepada cikgu yang telah mengenalkan aku pada "A,B,C" dan "1,2,3". Walau aku hanya menghadiahkan sebatang pen merah berjenama "Reynolds" tapi aku puas kerana cikgu yang aku hadiahkan itu menerima dengan senyuman, mendakap aku dan mengusap rambut aku sambil berbisik "Belajar rajin-rajin supaya jadi orang yang berguna". Mungkin kerana pesanan itulah meletakkan aku di tahap aku berada kini.

Sebagai guru, sewaktu berpraktikum di sebuah sekolah yang terletak di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga pernah aku menerima sabun mandi, sabun basuh buku, susu dan budu dari murid-murid yang berlatarbelakangkan laut sebagai sumber penyambung hidup mereka. Aku menitiskan air mata keharuan apabila mereka menyatakan hanya itu yang mampu mereka berikan sebagai hadiah bagi mengenang jasa yang aku kira tidaklah sebesar mana. Itu pun menurut kata mereka diambil tanpa pengetahuan ibu bapa yang membeli barangan tersebut untuk kegunaan harian mereka. Tiap kali tibanya hari guru, imbauan kenangan itu bisa menitiskan air mata ego kelakian aku.


Pada tahun ini, anak sulung aku Arean bersekolah pra di SK Kerayong. Sekolah yang telah memberikan aku sejuta pengalaman yang mendewasakan. Pastinya aku ingin anak aku menghadiahkan sesuatu kepada gurunya sebagai lambang terima kasih yang tak terhingga di atas setiap tunjuk ajar yang telah diberikan. Apa hadiahnya? Aku pun belum berbincang dengan isteri hadiah bentuk apakah yang sesuai untuk dibeli. Kalau tahun lepas aku belikan lilin berbentuk hati yang bila dibakar akan mengeluarkan haruman yang menyegarkan kepada Cikgu Sabariah, guru Taska Ummi tempat Arean bersekolah.


Selamat Hari Guru aku ucapkan kepada guru-guru yang pernah mengajar aku di Tadika Kemas Kerayong iaitu Cikgu Ana dan Cikgu Minah. Moga cikgu berdua berbahagia selalu.


Di SK Kerayong dari tahun 1984-1989 iaitu Cikgu Ngatinam Joyo(suka cubit perut aku sampai terburai baju dari seluar), Cikgu Ahmad Kassim(masih aku ingat vespa birunya), Cikgu Daud(iras Eman Manan,suara macam Jamal Abdillah), Cikgu Gan Chen Teng(ajar aku main bola), Cikgu Sidek Ahmad(selalu panggil aku,Man), Ustazah Raubah(selalu panggil aku Fadhlurrah), Cikgu Jamaliah(pernah ketuk kepala aku dengan rekoder sebab aku tak ada rekoder) dan Cikgu Karala Singgam(pernah tanya aku, "kamu tak masuk perangkap(pengakap) ke?). Moga kalian semua beroleh kesejahteraan sentiasa.


Cikgu yang mengajar aku di SMK Mengkarak 1990-1994 iaitu Cikgu Razak Abdullah(pernah halau aku dari kelas Matematik sebab aku pandang orang main bola di padang), Cikgu Sitiwan Yaakob(garang tapi penyayang), Cikgu Noraini Ariffin(sampai sekarang masih anak dara), Cikgu Joycelin Seah(pembangkit "semangat" aku untuk belajar Matematik), Cikgu Zailani Mustajam(tegas tapi suka berseloroh), Cikgu Wan Zaidi(pernah rotan aku sebab bergaduh), Cikgu Hidzir Mohd Isa(lembut tapi penyayang), Cikgu Noriah Dzen(pernah rotan aku sebab tukar rumah sukan), Cikgu Zulkefli Yahya(pernah kata otak aku senget sebab aku terlanggar dia), Cikgu Rodzi Mohd Yusof(mengharamkan aku menyertai pasukan bola sepak sekolah gara-gara bergaduh sewaktu perlawanan peringkat sekolah hingga menerima kad merah jambu),Ustaz Hadi(sentiasa senyum sokmo,kini pengetua di SM Bera), Cikgu Faridah Siwang(selalu aku gelar dia Faridah Isi Duit), Cikgu Norkasmawati Mohd Yusof(pendorong aku untuk mengulang semula SPM 95), Cikgu Sakinah Isa(penat dia ajar aku Kimia tapi aku tetap bonggok), Ustazah Hasnah(aku suka dia sebab dia ada iras-iras mak aku), Ustazah Rokiah(denda aku jalan itik tawaf keliling blok bangunan sebab aku ponteng kelas dia),Cikgu Abdullah Ismail(kini bergelar datuk dan berhenti jadi cikgu), Cikgu Rozita Ismail(isteri Cikgu Abdullah Ismail,juga berhenti jadi cikgu dan tumpu pada bisnes), Cikgu Abdul Rashid(orang Pulau Pinang, ala-ala mamak), Cikgu Sulhana(tabah mengajar aku yang bengap Matematik) dan Cikgu Sharuddin Sulaiman(sekarang penulis skrip drama. Antara drama hasil tulisan skripnya ialah Pae, Tiga Duri Di Hati Bonda, Cinta Tsunami dan Kewek). Semoga cikgu semua beroleh kesejahteraan hidup sentiasa.


Di SM Sultan Abu Bakar, Kuantan (1995) iaitu Cikgu Hamidah Wok Awang(seorang pengetua cemerlang yang kini terlantar lumpuh di Kuantan), Cikgu Hamidah Hussein(kecil molek tapi garang), Cikgu Wahidah Anny(suka buat lawak dan gelak sorang-sorang) dan beberapa lagi cikgu yang aku tak ingat nama-nama mereka. Moga semuanya sihat-sihat senantiasa.


Di Maktab Perguruan Kota Bharu 1996-1999 iaitu Cik Nik Aida dan Cik Hendon(moga dah bertemu jodoh), Madam Anisah(yang penyayang dan sabar melayan kerenah kami, En. Low Peng Chua(pernah mengurut kaki aku yang bengkak gara-gara jatuh motor), Tn Haji Salleh(pengetua yang cukup berwibawa, suka gosok belakang guru pelatih lelaki), Ustaz Ghazali(aku cukup mengaguminya) dan semua pensyarah yang pernah bersyarah untuk aku. Semoga anda semua sejahtera sentiasa.


Kepada semua guru-guru yang pernah mendidik aku, aku bukanlah anak didik kalian yang terbaik tapi aku cukup berterima kasih di atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Sesungguhnya tanpa kalian yang mengajar dan mendidik tidak mungkin aku menjadi seperti aku sekarang ini. Jasa dan bakti kalian tidak dapat aku balas. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Doa aku semoga kalian senantiasa sejahtera dan beroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. AMIN.
SELAMAT HARI GURU
Guru Pembina Negara Bangsa
Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

10 May 2009

104 : Kasih Sepanjang Hayat


Selamat Hari Ibu untuk emak yang amat aku sayangi, Jawiah Binti Sulong. Semoga emak sentiasa sihat dan mendapat kerahmatan dari Allah. Tiada galang ganti yang dapat menandingi kehebatan emak. Emak yang melahirkan aku, mengasuh dan mendidik serta membesarkan aku tanpa sekelumit rasa jemu. Aku sungguh bertuah kerana emak adalah emak aku. Selamat Hari Ibu.

06 May 2009

103 : Tenang Sudah Gelora Di Hati #2

Tenang menanti saat diijabkabulkan
Sebelum nie aku ada cerita tentang perkahwinan anak saudara aku yang ketiga. Kali nie aku nak kongsi cerita tentang perkahwinan anak saudara aku yang keempat pula iaitu Badrul Safri Bin Ismail, adik kepada Badrul Azlan yang aku cerita dalam entri sebelum ini. Perkahwinan ini berlangsung pada 24 dan 25 April yang lalu. Majlis akad nikah pada 24hb dan majlis persandingan pada 25hb.

saat penuh debaran...
Badrul Safri atau Yie(panggilan yang aku selalu gunakan) merupakan anak bongsu dari 4 beradik yang kesemuanya lelaki. Makanya bila berstatus anak bongsu tentulah manja dan rapat dengan mak dan abahnya. Sama macam bapa saudaranya juga.

mengenggam erat menerima amanah

Apa yang agak istimewa tentang mereka berempat beradik nie ialah pangkal nama mereka bermula dengan 'Badrul'. Yang sulung, Badrul Isyam. Yang kedua, Badrul Nizam. Yang ketiga, Badrul Azlan dan yang bongsu Badrul Safri. Jikalau telefon berbunyi dan pemanggil ingin bercakap dengan Badrul maka terpaksalah orang yang menjawab panggilan itu bertanya "Badrul yang mana satu.

menadah tangan memohon doa
Sebenarnya aku tiada semasa majlis akad nikah, jadinya aku tak dapat nak bercerita dengan lebih lanjut tentang perjalanan majlis tersebut. Dan pada majlis persandingan pun aku tak dapat bersama sepenuhnya kerana aku ada misi yang perlu aku laksanakan yang akan aku kongsi dalam entri seterusnya.

melafazkan ikrar perkahwinan
Doa dan harapan aku semoga mereka berdua beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan dalam melayari bahtera rumahtangga. Semoga nanti beroleh zuriat yang soleh dan solehah. Amin.

menandatangani borang perkahwinan

menyarung cincin tanda ikatan suci tersimpul rapi
simbol ketaatan seorang isteri
kucupan kasih yang tak bertepi seorang suami
keintiman menantu dan mertua
bersama ibu bapa dan mertua


p/s: Penghargaan untuk kakak aku, Rosnah dan abang ipar aku, Mohd Abd Nasir di atas sumbangan gambar-gambar di atas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...