Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 March 2009

097 : Maafkan Aku Bumi



Malam Sabtu yang lalu seluruh dunia bergelap selama 1 jam demi mengurangkan kesengsaraan yang dialami oleh bumi selama ini...ramai yang aku lihat dan perhatikan begitu teruja dan bersemangat untuk sama-sama bergelap...dan tokey kedai runcit pasti melebar senyumnya kerana permintaan untuk lilin begitu laris...

Aku pun turut terkena tempias semangat bumi yang dilaungkan oleh media massa...semangat aku menjadi berkobar-kobar...namun maafkan aku bumi kerana aku tidak dapat bergelap walau seminit...bukan aku tak cakna...bukan aku tak prihatin tapi ketika seluruh dunia bergelap untuk mu bumi...aku sedang memandu kereta pulang dari Kuantan...kalau aku padamkan lampu...macamana aku nak pandu kereta? Dah tentu aku masuk longkang atau berlaga dengan buntut kenderaan lain...tapi rumah aku dah tentu bergelap sebab tak de orang kat rumah...

Bumi...,maafkan aku sekali lagi.

26 March 2009

096 : Sebabak Drama Di Pagi Yang Bening

Pagi minggu itu ketika ramai di antara kita terutama kakitangan kerajaan membalas dendam dengan tidur lebih lama samada tidur semula selepas solat Subuh atau langsung tidak bersolat, kelihatan seorang suri rumah lewat 20-an sedang menjemur kain di ampaian di hadapan rumahnya yang terletak berhampiran jalanraya yang menghubungkan Temerloh dan Triang. Anak-anaknya masih berkaparan melayan mimpi indah bersama lelehan air liur basi. Suaminya pula seusai solat menghadap komputer mengetuk huruf-huruf untuk membentuk perkataan lantas terjalin susunan ayat.

Suasana pagi itu agak aman. Sesekali kedengaran deruman enjin kenderaan memecah keheningan pagi. Namun keheningan itu terganggu oleh jeritan suara ayam betina yang datang dari arah jalan raya. Segera suri rumah itu berpaling untuk memastikan apakah gerangan yang menimpa ayam betina belasan tahun yang tiba-tiba berketok-ketok seakan ingin bertelur. Si suaminya turut menjengok melalui tingkap yang separuh terbuka.

'Naik laa cepat...' pinta ayam jantan yang boleh dikategorikan sebagai mat rempit atau penyanggak kerana rambut yang azalinya berwarna hitam di'color'kan menjadi seperti burung belatuk. ' Tak nak'...bentak ayam betina yang boleh diragui taraf ke'dara'annya dari cara berpakaian yang menampakkan lurah antara dua bukit serta alur lembah berapit. Pujukan demi pujukan dilakukan oleh si jantan jonggos namun si betina tetap menolak. Si jantan akhirnya berang lalu merentap tangan si betina namun sempat ditepis. Lalu si jantan yang kegeraman menghidupkan enjin motor dan berlalu pergi. Setelah ditinggalkan, si betina menyeluk poket seluar yang sendat mendat dan mengeluarkan telefon genggam dan menghubungi seseorang.

Tidak sampai 5 minit kedengaran bunyi motor berhenti berhampiran ayam betina tadi. Dengan lagak seperti jagoan Kampung Dusun, si jantan yang berekor panjang mencecah bahu segera menanya itu ini kepada si betina. Ulas butir percakapan mereka tidak berapa didengari namun beberapa ketika kemudian si betina bertenggek pula di atas motor ayam jantan yang terus memecut entah ke mana.

Si suami dan si isteri saling berpandangan dan hanya mampu berdoa semoga kemungkaran akan terhapus demi kesejahteraan semua.

p/s: Kejadian di atas aku saksikan sendiri pada pagi 15 Februari 2009. Mungkin inilah angkara 'Valentine's Day' yang disanjung puja oleh muda-mudi kini.

18 March 2009

095 : Ianya Naik Dan Tak Pernah Turun




Ada orang berkata ianya hanyalah sekadar angka atau nombor. Bagi aku pula ianya bukanlah sekadar angka atau nombor tapi merangkumi pelbagai aspek seperti kematangan fikiran, pengalaman yang mendewasakan dan pencapaian dalam hidup. Setiap dari kita pasti pernah melalui dan sekiranya dipanjangkan umur akan mengalaminya saban tahun. Majoriti dari kita merasainya setiap tahun. Tapi ada juga di antara kita yang menempuhnya 4 tahun sekali. Ada di antara kita yang saban tahun meraikan dengan majlis serta jamuan bagi mengingati tarikh melihat dunia. Ada juga yang tidak menyedari akan tibanya tarikh keramat lantaran kesibukan bekerja dan ada juga yang menganggap sama seperti hari-hari biasa.


Hari ini genap umur aku 32 tahun. Bermakna telah 32 tahun aku menumpang di dunia ini. Telah 32 tahun aku menyedut udara dunia. Telah 32 tahun aku menikmati rezeki yang Allah berikan. Telah 32 tahun melakukan dosa dan telah 32 tahun melakukan kebaikan.


Dan pada tarikh genapnya 32 tahun umur aku...aku bermuhasabah diri. Selama 32 tahun hidup...dah berapa banyak duit yang telah aku belanjakan sejak lahir hingga sekarang. Barangkali dah cecah angka juta. Namun yang paling penting bukanlah banyak mana duit atau harta tapi dah banyak mana dosa dan pahala yang aku himpunkan. Kalau boleh ditimbang dalam kiraan matrik, mana yang lebih berat...dosa atau pahala? Kalau pahala lebih berat...alhamdulillah. Dapatlah aku bersenang-lenang dikelilingi bidadari yang ayu jelita di dalam syurga. Andai dosa yang lebih berat maknanya aku kenalah memperbanyakkan amal ibadat aku supaya nanti aku tidak hangus rentung di dalam neraka.
Moga pada usia 32 tahun ini...membawa sebanyak mungkin perubahan dalam hidup aku. Perubahan yang membawa kebaikan bukan hanya untuk diri aku tapi untuk keluarga, Melayu, Islam dan Malaysia...Amin.

10 March 2009

094 : Selamat Ulangtahun Perkahwinan Ke 8

Terima Kasih sayang
Kerana lewat 9 tahun lalu
Membalas senyuman cinta
Yang aku hulurkan

Terima kasih sayang
Kerana pada akad 8 tahun yang lalu
Tunduk menerima ijabkabul
Yang aku genggam seerat mungkin

Terima kasih sayang
Kerana pada duka 7 tahun yang lalu
Tetap mengukir senyum
Menelan pahitnya takdir

Terima Kasih sayang
Kerana pada jerih 6 tahun yang lalu
Tabah menduga ajal
Demi penyambung zuriat

Terima kasih sayang
Kerana pada lelah 3 tahun yang lalu
Cekal menyabung nyawa
Demi pengerat kasih

Terima kasih sayang
Kerana pada getir 3 bulan yang lalu
Sabar menongkah maut
Demi penyubur bahagia

Terima kasih sayang
Kerana tetap setia di sisi
Menempuh gelora hidup
Moga ikatan yang kita anyam bersama
Menjadi sebidang bahagia
Untuk selamanya.


10hb Mac 2001...tarikh keramat dalam hidup aku apabila aku melafazkan akad ijabkabul. 8 tahun berlalu diiringi gelak tawa dan tangisan. Moga ikatan yang aku simpulkan bersama isteri akan terus rapi selamanya.

03 March 2009

093 : Bangkit Dari Kejatuhan Yang Perit

Perit dan pedih...berbaur dalam cangkir rasa. Hingga aku jadi penyepi yang tertunduk mengalah. Memang pahit untuk aku menelannya. Namun apakan daya, aku hanya mampu berusaha. Segalanya Allah yang tentukan. Dan aku pasrah dan redha andai itu ketentuan-Nya.

Maaf...andai beberapa ketika ini aku menyepi. Namun aku masih berlegar di antara blog-blog...cuba menumpang gembira orang lain dalam usaha memulihkan diri sendiri...Alhamdulillah aku kini kembali seperti seadanya dan akan terus berblog selagi berupaya.

02 March 2009

092 : Gelodak Dalam Diri

Kecewakah aku?
Tak... aku tak kecewa cuma terkilan.

Sedihkah aku?
Tak...aku tak sedih cuma hiba.

Putus asakah aku?
Tak...aku tak putus asa cuma penat.

Gagalkah aku?
Tak...aku tak gagal cuma silap.

Hinakah aku?
Tak...aku tak hina cuma salah mentafsir.

Bangsatkah aku?
Tak...aku tak bangsat cuma belum rezeki.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...