Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

27 February 2009

091 : Andai Aku Tahu

 


Andai aku tahu peritnya hidup
Pasti dulu aku berenang perlahan
Dan membiarkan yang lain bersenyawa
Di dalam rahim ibu.

Andai aku tahu lelahnya hidup
Pasti dulu aku akan serajin mungkin
Menelaah dan mengulangkaji
Setiap apa yang diajari.

Andai aku tahu getirnya hidup
Pasti dulu aku tidak ber'malas'an
Mencuba dan terus berusaha
Demi sesuap kehidupan.


Fadhlur Rahman Jamaluddin
26/02/2009
SK Bukit Gemuruh, Bera.

24 February 2009

090 : Biarkan Aku Menangis


Saat ini,

Sepi mengulit hati,
Menenggelamkan aku dalam lautan rasa yang tidak bertepi dan berdasar.


Tika ini,
Emosi merajai diri,
Melemaskan aku dalam lubuk akal yang berpusar dan berpinar.


Kala ini,
Sunyi menghimpit diri,
Menjerut aku dalam lembah budi yang berpintal dan beronar.

17 February 2009

089 : Ahhh...Susah Susah Aje

Nak kata best...puas dah aku belek dan telek kat mana bestnya. Nak kata gila...rasanya aku waras lagi. Tapi kenapa yer si ayu_mkay tiba-tiba dengan tidak semena-mena menganugerahkan pingat darjah kebesaran kepada aku. Banyak sangat ke jasa bakti aku lakukan pada nusa dan bangsa? Jadi aku serba salah. Nak ambil rasanya tak layak pun terima anugerah nie. Tak terima ada pula yang terasa hati. Bak kata pepatah orang lama yang suka mematahkan kata "Ditelan mati mak, diluah mati bapa". Hendak dikemam tapi lama mana aku mampu mengemamnya.


Oleh itu dengan rasa rendah diri dan sedar diri, aku terima anugerah yang diberi seadanya. Setulus dan seikhlas hati, terima kasih di atas penghargaan ini. Jika hendak dinilai, tidak selayaknya aku diberi penghargaan sebegini. Andai ada yang merasakan aku tidak layak, suarakanlah pendapat dan keluhan anda. Aku sudi menerima apa jua kutukan dan kecaman.


Dan seperti yang disyaratkan sebagai tanda aku menerima anugerah ini maka dengan besar hati dan jantung aku isytiharkan bahawa aku ingin menganugerahkan award ini kepada:
Semoga dengan penganugerahan ini maka akan menyemarakkan lagi semangat dan tenaga zahir serta batin kalian berempat untuk terus berblog. TAHNIAH.

12 February 2009

088 : Tolong Rawati Aku Yang Sedang Kegilaan Ini



Penyakit gila nie aku hidapi kira-kira setahun yang lalu. Ianya berpunca dari perasan bosan yang aku alami. Bukan gila kuasa, bukan gila nama, bukan gila talak, bukan gila isin, bukan gila-gila remaja tetapi penyakit gila yang sedang aku deritai ini nak kata bahaya tak juga, nak kata tak bahaya, bahaya juga. Nak kata membazir tak juga, nak kata berfaedah tak juga. Penyakit gila ini bisa membuatkan penghidapnya seakan sasau, sawan dan meracau. Jika terkena jangkitan agak sukar untuk diubati kerana setakat ini memang tiada vaksin atau ubat yang mampu merawatnya.




Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja tak kira jantina, tua, muda, kecil, besar, kaya, miskin semuanya boleh dijangkiti. Ianya tidak merebak melalui air, udara mahupun gigitan nyamuk. Ia berjangkit melalui perbualan di kedai-kedai kopi. Dan akan terkena jangkitan tanpa disedari oleh orang yang dijangkiti. Penyakit gila ini antara simptom yang agak ketara ialah gastrik dan batu karang. Ini kerana penghidap penyakit gila ini akan menahan lapar dan dahaga serta menahan keinginan untuk membuang air kecil sehingga berjam lamanya. Selain itu penghidap penyakit gila ini akan selalu termenung. Ada yang termenung seorang diri dan ada juga yang termenung secara berpasukan. Penghidap juga akan menjadi pendiam. Ini kerana mereka inginkan ketenangan. Mereka tidak suka suasana yang hiruk-pikuk kerana emosi mereka amat mudah terganggu.



Kali pertama terkena jangkitan ini, aku sanggup berpanas dan berlapar. Sehinggakan aku sanggup minum air sungai yang tidak dimasak malah aku juga sanggup makan roti cicah dengan air sungai. Kali kedua pula, aku sanggup menahan kesejukan di dalam hujan yang lebat. Ditambah dengan tiupan angin yang menambahkan lagi tahap kesejukkan. Namun semua itu tidak aku rasai kerana penyakit gila ini akan melalikan penghidapnya.


Bukan setakat berpanas dan berhujan tetapi aku sanggup bangun seawal 3.00 pagi dan memandu kereta membelah kegelapan dalam keadaan mengantuk yang amat sangat. Malah pernah beberapa kali aku memandu berseorangan melalui jalan yang sunyi dan lenggang. Ketika itu perasaan takut dan mengantuk aku ketepikan kerana terkena jangkitan penyakit gila ini. Semuanya gara-gara penyakit gila ini. Bukan aku tak nak berubat tapi setakat ini memang tiada penawar bagi penyakit gila ini.



Sebelum terkena penyakit gila ini, aku seorang yang cepat merasa bosan dan berputus asa. Namun sejak terkena penyakit ini aku menjadi semakin bersabar dan tidak mudah berputus asa. Walau acapkali gagal namun aku akan tetap bersabar dan tabah untuk terus mencuba. Kalau dulu aku sering marah-marah tapi sejak terkena penyakit gila ini, aku menjadi seorang yang dapat mengawal perasaan marah. Dan tambah menghairankan aku ialah sejak terkena penyakit gila ini, aku menjadi seorang yang pantang melihat air. Tak kiralah air apa sekalipun waima air longkang pun aku menjadi minat dan ingin mencubanya.



Sukar untuk aku menjelaskan apakah sebenarnya penyakit gila yang aku deritai ini. Ingin aku jelaskan di sini tapi aku tak mampu menyusun kata-kata yang terbaik untuk memahamkan kalian walau puas aku mencuba. Harapan aku hanya satu. Setelah kalian melihat gambar-gambar ini, aku harap kalian dapat memahami penyakit gila aku ini.


Antara yang telah dihidapi penyakit gila...









10 February 2009

087: Kuda Ku Lari Gagah Berani

Tempat berlangsungnya pertempuran...

Renungan mata mereka saling bertembung tanpa kerdip. Tajam dan tancap meratah serta memamah wajah musuh yang bakal ditentang. Lama dan lambat pandangan mereka terarah pula pada barisan bala tentera yang dipimpin. Semuanya telah siap siaga bersama pedang, tombak dan perisai hanya menanti saat dan ketika untuk diarah perintah. Bala tentera yang dipimpin mereka terdiri daripada 2 orang raja yang hanya bergerak setapak ke depan, belakang, ke kiri dan ke kanan, 2 orang permaisuri yang bebas bergerak ke semua arah, 4 orang menteri yang jalannya mengiring, 4 ekor kuda yang boleh melompat tapi mesti berbentuk 'L', 4 buah menara yang geraknya dalam garis lurus dan 16 orang tentera yang sanggup mengadai nyawa yang memakai pakaian hitam dan putih.


pintu masuk utama

Dan saat yang dinanti pun tiba. Tentera putih mula mengorak langkah pertama. Diikuti tentera hitam yang turut mara 3 langkah. Dibalas oleh kuda putih yang melangkau tentera sendiri untuk memerangkap tentera lawan...


sedang memerah otak

Begitulah serba sedikit perihal aksi pertempuran sengit yang berlangsung selama 3 hari dalam suasana dingin dan berkabus di puncak Tanah Rata yang bergunung dan berganang. Dari 4 - 7 Febuari yang lalu para pencatur dari 11 buah daerah jajahan takluk Pahang Darul Makmur berkampung dan bertempur bagi membuktikan kejaguhan hasil pertapaan dan berkat tunjuk ajar tok guru masing-masing yang telah diperturunkan sepenuhnya. Pertempuran minda yang menuntut kebijaksanaan akal fikiran dalam merencanakan setiap aturan langkah, kesabaran dalam menghalang serangan pihak lawan dan penumpuan yang fokus terhadap setiap gerak dan tipu muslihat yang diatur oleh pihak lawan.


di hadapan tempat penginapan

Aku, entah apa lebihnya dipilih menjadi Ketua Kontijen Catur Daerah Bera walau kepandaian aku bermain catur tidaklah sehebat mana malah acapkali tewas di tangan anak didik sendiri. Kontijen yang terdiri daripada 6 orang guru dan 24 orang murid telah menginap di Asrama SK Tanah Rata setelah mengharungi perjalanan selama hampir 7 jam. Dan selama 3 hari pertandingan kontijen Catur Bera hanya berjaya meraih 2 kemenangan menerusi kategori bawah 12 lelaki dan perempuan. Bagi kategori lelaki bawah 12 Bera meraih tempat ke-7 dan kategori perempuan bawah 12 tempat ke-4.


Athirah...jaguh cilik dalam pembikinan

Ternyata Kejohanan Catur MSSM Pahang 2009 yang dilangsungkan di Dewan Sekolah Menengah Ahmad Shah, Cameron Highlands berjaya mengumpil dan mengilap bakat baru serta menjadi satu batu loncatan dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi jaguh berwibawa di samping menjadi satu aktiviti dalam usaha membenteras gejala sosial yang kian menggila dewasa ini. Diharapkan usaha sebegini akan diteruskan malah diperbanyakkan lagi demi kepentingan dan kebaikan generasi akan datang.


Sesi jalan-jalan cari 'pasal'.

Equotorial Park

Strawberry Farm

Lavender

Kea Farm

Puncak Arabella

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...