Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

15 January 2009

084 : Tolong Doakan Aku



Petang itu petang Sabtu. Cuaca agak ‘keras’ dengan pancaran mentari yang dirasakan sejengkal dari ubun-ubun kepala hinggakan memaksa aku memberhentikan tunggangan di sebuah warung di tepi jalan dengan niat untuk membasahkan tekak. Perjalanan ke Pasir Mas dari Kota Bharu masih berbaki beberapa belas kilometer lagi. Dan jam baru menunjukkan pukul 3.30 petang. Masih awal kerana keretapi yang membawa awek aku dijangka tiba di Stesen Pasir Mas pada pukul 4.30 petang.

Keadaan warung pada ketika aku melabuhkan punggung ke bangku kayu panjang agak lenggang. Beberapa orang pemuda sedang asyik memutarkan otak sambil menghembuskan kepulan asap beracun dari hidung masing-masing. Sesekali tangan mereka memegang tudung oren lalu menyorongkan ke hadapan. Sesekali tudung oren diangkat melepasi tudung oren pihak lawan. Begitu asyik dan khusyuknya mereka seolah-olah ianya memberikan suatu nikmat yang tak terperi puasnya.

“Minum jaa ko? Tok se make' ?” Tanya gadis pembantu warung setelah meletakkan minuman milo ‘beng kaw’ di atas meja. Aku hanya membalas dengan gelengan kepala sambil mengukir senyuman semanis mungkin. “Cun jugak awek nie” getus aku dalam hati sambil mata mengekori ayunan langkah gadis genit ke belakang warung. Sedutan demi sedutan masuk ke kerongkong aku. Sememangnya milo lebih dan susu lebih di samping ais yang menyejukkan memberi impak kenikmatan yang tak terucap dengan perkataan. Hanya batin yang merasai sahaja yang dapat menafsirkan.

Dalam keriuhan gelak ketawa kumpulan pemuda bermain dam aji dan kenikmatan aku menyedut milo ais tiba-tiba kedengaran ekzos motor yang agak bingit bunyinya memasuki perkarangan warung. Setelah motor ditongkatkan dan enjin dimatikan, seorang lelaki separuh abad melangkah segak menuju ke arah warung sambil menghayunkan tongkat hitam berkilat. Derap langkahnya masih tegap. Masih ampuh walau bertongkat. Dari cara berpakaiannya, aku mengagak dia seorang imam. Dengan serban putih kemas dililit di kepala berserta tasbih yang erat di genggaman, dia duduk dengan kedua tangannya bertopangkan tongkat. Wajahnya bersih tanpa misai hanya janggut putih sejemput di dagu menyerlahkan sifat-sifat kewarakkan.

Jarak antara aku dan dia hanya beberapa meter. Aku jadi asyik memerhatikan lelaki tua itu. Jemari kirinya ligat memutar biji tasbih sambil mulut terkumat-kamit tanpa suara dan kepala diayun ke kiri dan kanan dengan perlahan. Dia berhenti berzikir setelah teh o’ yang dimintanya sebaik tiba tadi telah berada di atas meja. Asap nipis kelihatan berterbangan di permukaan cawan. Dengan tenang dia menghirup perlahan setelah meniup seketika. Amat teliti dan tertib caranya minum. Aku bertambah kagum hingga lupa pada minuman sendiri.

Beberapa ketika kemudian suasana agak sepi cuma sesekali kedengaran gelak ketawa beberapa pemuda yang masih tekun bermain dam aji. Tiba-tiba kedengaran laungan yang mampu memekakkan telinga. "We'e (Mail),mu mari menta". Aku yang sedang menyedut buat kali penghabisan hampir tersedak. Segera aku menoleh ke arah datangnya pekikan itu. Rupanya suara garau itu milik lelaki tua yang kini berdiri sambil melambaikan tangannya ke arah seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi jalanraya. Hayunan langkah lelaki itu terhenti dan menoleh ke arah warung. Setelah terpingga-pingga seketika, dia pun mengatur kembali langkah menuju ke arah warung. Dari jauh aku perhatikan bagai ada yang tak kena pada aturan langkah lelaki itu. Langkahnya seakan mengengkang, kepalanya dihayun ke kiri kanan dan kedua jari jemari tangannya seakan melentik seperti penari Makyung. "Pasti ada yang tak kena dengan orang nie" getus aku dalam hati sambil mengiring setiap langkahan lelaki itu.

"Demo nok gie mano nie?" lelaki tua itu memulakan bicara setelah mempersilakan lelaki yang dilaung sebentar tadi duduk di bangku berhadapan dengannya. "Tok gie mano pun...sajo jale'-jale jaa"balas lelaki itu sambil mengesat peluh di dahi dengan hujung lengan baju yang lusuh dan kusam. "Demo nok minum gapo' ?" tanya lelaki tua sambil melambai ke arah awek pembantu warung yang sibuk mengelap pinggan. "Err...ambo tok ser minum...err...ambo tak dok pitih" balas lelaki berkumis tebal tanpa dijaga teragak-agak. "Tak po...Pok Din mu nie ado...hidup lagi...kawe belanjo demo...kalu nok make pun demo mintok jaa...".ujar lelaki berserban putih itu. "Pok Din nie tok penoh-penoh belanjo ambo...tibo nak belanjo ambo nie...ado gapo-gapo ko?"tanya lelaki berambut keriting bak penyanyi kumpuan Alleycat. "Tak dok gapo-gapo...sajo jaa nak belanjo demo..." balas lelaki tua itu sambil mengurut janggut sejemputnya. "Kalu tak dok gapo-gapo...ngapo baik benar hari nie...selalu tok gini" ujar lelaki berbau hamis seakan dapat mengesyaki sesuatu di sebalik niat baik lelaki tua itu. "Demo nie We'e...mace' tok nuju'...tahu jaa yang Pok Din mu nie nak mintok tolong" jelas lelaki tua itu. "Gapo laa hok ambo buleh tolong Pok Din...pitih tak dok...reto pun tak dok" balas lelaki berkemeja lusuh sambil menghirup minumannya. "Gini We'e...Pok Din nok mintok demo doakan Pok Din nie supayo kayo rayo...pitih berlanar...buleh beli kereto besa'...nanti Pok Din banyok pitih...demo gok hok senang...hari-hari Pok Din belanjo make' hok sedap-sedap belako".

Aku yang baru berkira-kira untuk menuju ke motor seusai membayar terkedu seketika mendengar permintaan lelaki tua itu. Dan sepanjang tunggangan ke Pasir Mas, otak aku ligat berputar seligat putaran roda motor memikirkan perbualan di antara lelaki tua itu dengan lelaki yang 3 suku akalnya. Terdetik di hati aku "Mengapa lelaki tua itu tak berdoa sendiri? Mengapa perlu minta lelaki 3 suku akalnya berdoa untuknya?"


10 comments:

Azhar Ahmad said...

Hummm..... Misteri sungguh.... Hummmm.... Banyak kenusykilannya.... Hummm.... Susah betul nak pikor pagi-pagi bute nihhh weh....

Fadh said...

pagi2 laa otak fresh dan mampu menjana idea bernas...

LotsOfLove-Pearls said...

Salam kunjung..
Manis jer susunan ayatnyer..
Doa.. mungkin dia da hpenat berdoa..
mintak plak org doakan dia..

pB said...

tahniah kerana dpt baby boy ..

cuba lagi 2 tahun akan dtg


pB sendiri ada 4 anak perempuan ...



sorry..
luar tajuk , komennya

Azhar Ahmad said...

Hummm.... Ada benarnya juga cikgu. Orang yang tak masuk hukum ni, selalunya doanya diterima Allah...

dzul said...

siyes benor gayanya pak imam tu mintak brader tu doa utk dia..siap blanja lagi..x cukup kaya lg kot gamaknya dia...tu yg suh doa bagi kaya..

BudAk hijAu said...

tolong doa untuk aku jgak lahhhh...

doa bagi kaya!!ngeeeh3..

Fadh said...

LotsOfLove-Pearls: mungkin juga...atau doa dia tak mustajab.

pB: Terima kasih atas ucapan. Apa kata kita tukar anak. saya ambil anak perempuan dan awak ambil anak lelaki,setuju?

Azhar Ahmad: saya pun ada terfikir akan orang yang tidak cukup akalnya, mereka tidak tergolong dalam golongan yang wajid solat, puasa dan sebagainya.

Dzulkarnain mohamad: mungkin dia saje nak berseloroh atau mungkin dia benar-benar bermaksud demikian.

budakhijau:

Insyallah...marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah.

mr.Sen$ei said...

mmmm...mybe 1 jenaka...atau btol2..
hehehe...BTW u punye story mmg best..teruskan, saya suka baca...

Fadh said...

shahrizan: betul bukan rekaan. kejadian nie benar2 berlaku di sebuah kampung yang terletak di tepi jalan antara kota bharu ke pasir pada tahun 1998. terima kasih atas pujian. insyallah akan terus hasilkan yang terbaik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...