Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

24 January 2009

086 : Kalaulah Arwah Wan Aku Masih Hidup


Girang selepas layak ke perlawanan akhir

Pada 11 – 14 Oktober 2008 lalu aku menyertai pasukan bola sepak PSKPP Bera untuk pertandingan peringkat negeri yang diadakan di Padang MPK, Kuantan. Perlawanan pertama Bera bertemu Lipis pada 11hb jam 8.00 pagi. Tewas 0-2 kerana Bera bermain 10 orang setelah ‘Alex’ dilayangkan 2 kad kuning gara-gara kebuncitan pengadil yang mengadili perlawanan yang gagal berlari bagi memastikan perjalanan permainan adil dan saksama.

Alex 'durjana' tapi berjasa

Pada sebelah petang pula bertemu Jerantut. Kalah bermakna Bera pulang awal. Namun keajaiban berlaku bilamana kemenangan berpihak kepada Bera walau 2x ketinggalan. Aku menjaringkan gol penyamaan 1-1 setelah ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama melalui tendangan lencong sepakan percuma kaki kiri yang mengakibatkan penjaga gol Jerantut kelemasan cuba mengapai bola yang terus menerjah jaring. Separuh masa kedua bermula dengan Jerantut kembali mendahului 2-1 gara-gara kealpaan benteng pertahanan. Namun kedudukan kembali terikat 2-2 apabila sekali lagi penjaga gol Jerantut terkapai-kapai cuba menepis tendangan kaki kanan Bentayan setelah Bera dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti. Dan kemasukan ‘supersub’ pemain buangan yang dipanggil di saat-saat akhir telah menyelamatkan Bera dari pulang awal apabila berjaya menanduk bola masuk hantaran silang dari sudut kiri sekaligus memberi kemenangan 3-2 ke atas Jerantut.



'Terbuang' tapi berjasa

Pagi Ahad, 12hb menjadi penentu nasib Bera yang mengharapkan Lipis mengalahkan Jerantut. Dan nasib sekali lagi nasib menyebelahi Bera apabila Lipis menang 3-0 sekaligus melayakkan Bera ke pusingan XY selaku naib Juara kumpulan A. Bera diundi di dalam kumpulan Y yang membabitkan Pekan dan Rompin. Manakala Kumpulan X terdiri daripada Kuantan, Lipis Dan Raub. Dan petang Ahad itu perlawanan di antara Pekan dan Rompin berkesudahan Pekan menang tipis 1-0 sekaligus mencerahkan harapan untuk ke perlawanan akhir.

Bentayan(sedang tanggal stoking busuk) menerima habuan RM30 dari GPK Ko-ko SK(LKTP) Triang 3 kerana menjaringkan 'hatrick'



Pagi Isnin 13hb, Bera bertemu Pekan. Walau ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama namun semangat juang pemain Bera begitu membara apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 sehingga akhir perlawanan. Namun keputusan seri 1-1 disambut sorakan gembira pemain Pekan seolah-olah mereka telah berjaya ke perlawanan akhir sedangkan Bera masih mempunyai satu perlawanan dan sekiranya Bera menang besar ke atas Rompin bermakna sorakan girang Pekan merupakan titik penamat perjuangan mereka. Petang 13hb, Bera bertemu Rompin. Kali ini Bera mendahului 1-0. Namun berjaya disamakan oleh Rompin. Kemudian Bera pula ketinggalan 1-2 namun berjaya disamakan. Dan ternyata tuah memihak kepada Bera apabila berjaya memenangi perlawanan itu dengan jaringan 3-2. Ketiga-tiga gol dijaringkan oleh Bentayan yang ternyata cemerlang pada petang itu setelah diberikan suntikan ‘tonik’ oleh Sedi. Kemenangan 3-2 Bera bermakna Pekan menang sorak kampung tergadai angkara perbezaan jaringan gol.

Kapitan Silong merenung masa depan bersama skuad.
Pagi Selasa 14hb, perlawanan akhir sekali lagi menemukan Bera dan Lipis. Ternyata Lipis pasukan yang handal apabila Bera ketinggalan 0-1 pada separuh pertama. Namun ‘Alex’ berjaya menebus kesilapan dibuang padang pada pertemuan pertama apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1. Kedudukan terikat sehingga ke wisel penamat memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan. Dan faktor keletihan dan kejemuan menjadi punca kekalahan 3-1 Bera apabila Lipis berjaya menjaringkan 2 gol di setiap separuh masa perlawanan sekaligus meletakkan Bera selaku naib juara pertandingan.


Mail, jasamu dikenang...

“Menda laa dapat main bolo? Tanya wan kepada aku kira-kira 15 tahun yang lalu ketika melangkahkan kaki di muka pintu. Dengan bangga aku pun menghulurkan pingat kemenangan tempat pertama dalam kejohanan bola sepak MSSD Bera bawah 18 tahun. “Dapat besi buruk nie jek? Ingatkan dapat duit ke? Kala’ setakat menda alah nie tak yoh main laa bolo nie…nyakitkan badan jek…berambat ke hulu ke hilir ngejor bolo sebijik...dah dapat tendang pulok ke orang…pastue kejor lagi…tok ke bodo’ namanye te” bebel wan yang aku balas dengan sengihan. “Orang dapat nombor 1 nie wan…nie emas nie” jelas aku yang mengharapkan pujian. “Kalau betul emas, gie jual…duitnye belikan wan beras” ‘smash’an wan kali ini amat padu dan tajam hinggakan tak mampu aku tangkis.

'Juruletih bidan terjun' kepeningan mengatur strategi permainan sambil mengaru peha.
Kalau dulu kata-kata wan masuk telinga kanan keluar telinga kiri…bagaikan mencurah air di daun keladi…hanya bergenang tapi tak meninggalkan kesan…tapi setelah hampir 6 tahun wan pergi buat selamanya...aku jadi rindu pada setiap tutur kata sindirannya walau pedas tapi penuh makna dan maksud tersirat. Walau tak belajar secara formal dan hanya bersandarkan pengalaman serta pengamatan semata-mata namun setiap apa yang diutarakan oleh wan amat bernas dan logik yang akan menerbitkan keterkesimaan yang mendalam dalam diri individu yang mendengarnya. Dan kini kata-kata arwah wan kembali terngiang-ngiang di telinga apabila aku menatap dan mengenggam pingat kemenangan. Dan hati aku pun berbisik... "main separuh nyawa, siap dengan maki hamun dan carut-marut seolah-olah merebut kerbau sekandang sampaikan ada yang lebam, terseliuh dan terkehel malah ada yang patah semata-mata merebutkan pingat besi yang kalau timbang kilo pun tak de harga. Bodoh ke aku...?


Sedi gah bersama 'besi buruk' yang dimenangi.

19 January 2009

085 : Siti Nurhaliza VS Tok Imam

Rasanya inilah 'first time' yang pertama, tidak menggunakan perkataan 'Aku' bagi tajuk entri. Malah bagi keseluruhan cerita pun tiada watak 'Aku' sebagai pendukung watak. Satu kelainan yang cuba diketengahkan.



Malam itu malam Sabtu. Suasana di Masjid Darul Fikri, Bera agak lenggang dengan jemaah yang bilangannya tidak sampai pun 20 orang. Selesai muazin melaungkan azan tanda masuknya waktu Isyak dan berakhirnya waktu Maghrib maka beberapa jemaah bangun untuk mendirikan solat sunat. Usai solat sunat, muazin pun menyeru Iqamat memanggil para jemaah bersama menunaikan solat Isyak. Imam berdiri di hadapan para jemaah dan berpesan supaya saf dilurus dan dirapatkan supaya tiada ruang untuk Iblis dan Syaitan menganggu gugat kekhusyukkan semasa bersolat.

Sebaik Imam selesai mengangkat takbirratulihram dan mula membaca doa iftitah maka para makmum pun bergilir-gilir mengangkat takbirratulihram dan menqiamkan diri sambil turut membaca doa iftitah. Selesai berdoa, Surah Al-Fatihah dibaca oleh Imam dengan bacaan yang lantang, jelas sebutan dan betul dari segi hukum tajwidnya. Sejurus makmum mengamimkan bacaannya, Imam pun mula membaca Surah Ad-Dhuha. Namun ketika Imam sedang khusyuk membaca, sayup-sayup kedengaran suara Siti Nurhaliza mendayu-dayu menyanyikan lagu Cindai. Semakin lama semakin lantang suara Siti sehingga terganggu bacaan Imam dan memaksa beliau menguatkan suara bagi menandingi suara Siti. Suara Imam tingkah-meningkah dengan suara Siti sehinggalah Siti tiba-tiba mengalah dan mendiamkan diri. Suasana kembali hening dengan hanya suara Imam yang kedengaran.

Ketika di rakaat kedua, suara Siti kembali bergema tanda beliau enggan mengaku kalah. Situasi sedemikian ternyata menganggu tumpuan para jemaah. Malah ada di antara makmum yang batuk-batuk kecil seolah-olah memberi isyarat supaya nyanyian itu diberhentikan segera kerana menganggu kekhusyukkan bersolat. Namun Siti tetap berdegil dan terus berlagu tanpa menghiraukan hati dan perasaan Imam dan makmum yang sedang bersolat. Dan sepanjang Solat Isyak pada malam itu, suara Imam berselang-seli dengan nyanyian lagu oleh Siti Nurhaliza.

Seusai Imam memberi salam pertama, sekali lagi suara Siti berkumandang memecah keheningan. Lantas mengundang beberapa pasang mata memandang ke arah datangnya suara itu. Dan kelihatan seorang lelaki pertengahan 30-an terkocoh-kocoh bangkit meninggalkan saf menuju keluar masjid dengan diiringi nyanyian Siti Nurhaliza sambil mengeluarkan 'sesuatu' dari poket seluar yang dipakainya.

Latihan Kerja Rumah

1. Nyatakan 2 pengajaran yang boleh diambil dari kejadian yang berlaku di dalam cerita di atas.

2. Apakah warna jubah yang dipakai oleh Imam pada malam itu?

3. Apakah 'sesuatu' yang dikeluarkan oleh pemuda dari poket seluarnya?

4. Nyatakan jenama seluar yang dipakai oleh pemuda itu?

5. Ceritakan secara ringkas apakah sebenarnya yang terjadi sewaktu Solat Isyak pada malam itu?

15 January 2009

084 : Tolong Doakan Aku



Petang itu petang Sabtu. Cuaca agak ‘keras’ dengan pancaran mentari yang dirasakan sejengkal dari ubun-ubun kepala hinggakan memaksa aku memberhentikan tunggangan di sebuah warung di tepi jalan dengan niat untuk membasahkan tekak. Perjalanan ke Pasir Mas dari Kota Bharu masih berbaki beberapa belas kilometer lagi. Dan jam baru menunjukkan pukul 3.30 petang. Masih awal kerana keretapi yang membawa awek aku dijangka tiba di Stesen Pasir Mas pada pukul 4.30 petang.

Keadaan warung pada ketika aku melabuhkan punggung ke bangku kayu panjang agak lenggang. Beberapa orang pemuda sedang asyik memutarkan otak sambil menghembuskan kepulan asap beracun dari hidung masing-masing. Sesekali tangan mereka memegang tudung oren lalu menyorongkan ke hadapan. Sesekali tudung oren diangkat melepasi tudung oren pihak lawan. Begitu asyik dan khusyuknya mereka seolah-olah ianya memberikan suatu nikmat yang tak terperi puasnya.

“Minum jaa ko? Tok se make' ?” Tanya gadis pembantu warung setelah meletakkan minuman milo ‘beng kaw’ di atas meja. Aku hanya membalas dengan gelengan kepala sambil mengukir senyuman semanis mungkin. “Cun jugak awek nie” getus aku dalam hati sambil mata mengekori ayunan langkah gadis genit ke belakang warung. Sedutan demi sedutan masuk ke kerongkong aku. Sememangnya milo lebih dan susu lebih di samping ais yang menyejukkan memberi impak kenikmatan yang tak terucap dengan perkataan. Hanya batin yang merasai sahaja yang dapat menafsirkan.

Dalam keriuhan gelak ketawa kumpulan pemuda bermain dam aji dan kenikmatan aku menyedut milo ais tiba-tiba kedengaran ekzos motor yang agak bingit bunyinya memasuki perkarangan warung. Setelah motor ditongkatkan dan enjin dimatikan, seorang lelaki separuh abad melangkah segak menuju ke arah warung sambil menghayunkan tongkat hitam berkilat. Derap langkahnya masih tegap. Masih ampuh walau bertongkat. Dari cara berpakaiannya, aku mengagak dia seorang imam. Dengan serban putih kemas dililit di kepala berserta tasbih yang erat di genggaman, dia duduk dengan kedua tangannya bertopangkan tongkat. Wajahnya bersih tanpa misai hanya janggut putih sejemput di dagu menyerlahkan sifat-sifat kewarakkan.

Jarak antara aku dan dia hanya beberapa meter. Aku jadi asyik memerhatikan lelaki tua itu. Jemari kirinya ligat memutar biji tasbih sambil mulut terkumat-kamit tanpa suara dan kepala diayun ke kiri dan kanan dengan perlahan. Dia berhenti berzikir setelah teh o’ yang dimintanya sebaik tiba tadi telah berada di atas meja. Asap nipis kelihatan berterbangan di permukaan cawan. Dengan tenang dia menghirup perlahan setelah meniup seketika. Amat teliti dan tertib caranya minum. Aku bertambah kagum hingga lupa pada minuman sendiri.

Beberapa ketika kemudian suasana agak sepi cuma sesekali kedengaran gelak ketawa beberapa pemuda yang masih tekun bermain dam aji. Tiba-tiba kedengaran laungan yang mampu memekakkan telinga. "We'e (Mail),mu mari menta". Aku yang sedang menyedut buat kali penghabisan hampir tersedak. Segera aku menoleh ke arah datangnya pekikan itu. Rupanya suara garau itu milik lelaki tua yang kini berdiri sambil melambaikan tangannya ke arah seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi jalanraya. Hayunan langkah lelaki itu terhenti dan menoleh ke arah warung. Setelah terpingga-pingga seketika, dia pun mengatur kembali langkah menuju ke arah warung. Dari jauh aku perhatikan bagai ada yang tak kena pada aturan langkah lelaki itu. Langkahnya seakan mengengkang, kepalanya dihayun ke kiri kanan dan kedua jari jemari tangannya seakan melentik seperti penari Makyung. "Pasti ada yang tak kena dengan orang nie" getus aku dalam hati sambil mengiring setiap langkahan lelaki itu.

"Demo nok gie mano nie?" lelaki tua itu memulakan bicara setelah mempersilakan lelaki yang dilaung sebentar tadi duduk di bangku berhadapan dengannya. "Tok gie mano pun...sajo jale'-jale jaa"balas lelaki itu sambil mengesat peluh di dahi dengan hujung lengan baju yang lusuh dan kusam. "Demo nok minum gapo' ?" tanya lelaki tua sambil melambai ke arah awek pembantu warung yang sibuk mengelap pinggan. "Err...ambo tok ser minum...err...ambo tak dok pitih" balas lelaki berkumis tebal tanpa dijaga teragak-agak. "Tak po...Pok Din mu nie ado...hidup lagi...kawe belanjo demo...kalu nok make pun demo mintok jaa...".ujar lelaki berserban putih itu. "Pok Din nie tok penoh-penoh belanjo ambo...tibo nak belanjo ambo nie...ado gapo-gapo ko?"tanya lelaki berambut keriting bak penyanyi kumpuan Alleycat. "Tak dok gapo-gapo...sajo jaa nak belanjo demo..." balas lelaki tua itu sambil mengurut janggut sejemputnya. "Kalu tak dok gapo-gapo...ngapo baik benar hari nie...selalu tok gini" ujar lelaki berbau hamis seakan dapat mengesyaki sesuatu di sebalik niat baik lelaki tua itu. "Demo nie We'e...mace' tok nuju'...tahu jaa yang Pok Din mu nie nak mintok tolong" jelas lelaki tua itu. "Gapo laa hok ambo buleh tolong Pok Din...pitih tak dok...reto pun tak dok" balas lelaki berkemeja lusuh sambil menghirup minumannya. "Gini We'e...Pok Din nok mintok demo doakan Pok Din nie supayo kayo rayo...pitih berlanar...buleh beli kereto besa'...nanti Pok Din banyok pitih...demo gok hok senang...hari-hari Pok Din belanjo make' hok sedap-sedap belako".

Aku yang baru berkira-kira untuk menuju ke motor seusai membayar terkedu seketika mendengar permintaan lelaki tua itu. Dan sepanjang tunggangan ke Pasir Mas, otak aku ligat berputar seligat putaran roda motor memikirkan perbualan di antara lelaki tua itu dengan lelaki yang 3 suku akalnya. Terdetik di hati aku "Mengapa lelaki tua itu tak berdoa sendiri? Mengapa perlu minta lelaki 3 suku akalnya berdoa untuknya?"


14 January 2009

083 : Aku Mencarut Dalam Doa

Ketika aku berenak-enakkan mengetuk papan kekunci, tiba-tiba isyarat sms memasuki telefon genggam berbunyi. Tumpuan jadi terganggu seketika. Telefon genggam segera dicapai dan mesej dibaca...

"Ya Allah, sebagaimana kau pernah menghantar burung-burung Ababil menghancurkan tentera bergajah musyrikin maka kami memohon padamu Ya Allah, Turunkanlah bantuan Mu kali ini kepada orang-orang Islam di Palestine, hancurkanlah Rejim Zionis sedahsyat-dahsyatnya...AMIN". Lipatgandakan doa ini, kirim kepada 7 orang rakan anda yang lain. Maka 7 x 7 x 7 x 7 x 7 x 7 x 7 = 823453. 823453 x 7 = 5.8 juta orang turut sama mendoakan.INSYALLAH."

Aku terpana seketika seusai membacanya dan terdetik di hati...

"ketika aku bersenang-senangan di sini...ada anak yang meratapi kematian ibu...ada ibu yang meratapi kematian suami...ada suami meratapi kematian anak"...

Segera aku mengirim lanjut sms tersebut ke rakan-rakan yang lain dengan nawaitu semoga doa yang dibacakan nanti akan mendapat keredhaan dari Allah dan seterusnya membantu saudara seislam di Palestine yang kini bermandian darah dibedil, dibunuh, ditembak dan sebagainya.

Tidak sampai 5 minit, telefon genggam kembali menjerit...dan tertera mesej ini...

"Yg aok cbuk2 suruh org bca, aok dah bca ke? pas tu suh org anta ke 7 org plak...ngabis ke kdit koi jer...nak ngaye ke org lain buat mende!"

Dan sekali kali lagi aku terpana dalam terkesimaan yang panjang...

"Masih ada rupanya insan yang alpa dan leka akan nikmat kesenangan dan kemakmuran yang Allah kurniakan selama ini...bagaimana nanti jika apa yang menimpa rakyat Palestine kini Allah timpakan pula kepada kita...adakah ketika itu baru kita akan tersedar dan menginsafi kekhilafan diri...NAUZUBILLAH"

13 January 2009

082 : Aku Sibuk Menyibuk

Nak kata sibuk sangat tue...tak lah sibuk sangat pun tapi sibuk lah jugak...maklumlah sejak 2-3 menjak nie...perhatian dan tumpuan perlu dilaraskan supaya baby, mak baby dan 2 abang baby mendapat hak keistimewaan yang sama rata supaya nanti tidak timbul berat sebelah atau pilih kasih dalam aku menguruskan rumah bertangga, bertiang, berdinding, beratap dan berlantai aku.

Sekarang dah masuk minggu kedua persekolahan 2009...jadi aku kembali memikul tugas dan tanggungjawab yang diberatkan ke atas bahu aku yang memang dah senget sebelah nie...Alhamdulillah setakat nie segalanya berjalan lancar cuma minggu pertama terjadi satu kemalangan yang melibatkan murid Tahun Satu...biasalah bebudak baru masuk sekolah, tahap keterujaan mereka masih di paras tertinggi...semasa menuruni anak tangga, ada yang tolak menolak dan adalah seorang murid nie yang jatuh dari tangga...nasib baik tangga simen, kalau tangga kayu...jadilah seperti peribahasa seperti jatuh ditimpa tangga...murid tersebut terseliuh lengannya dan dibawa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Dan kebelakangan ini aku agak jarang meng'update' blog lantaran sibuk menyibuk yang menghimpit diri...ada 2-3 entri yang separuh siap yang dah pun 'backdated' yang belum di'publish'kan...Insyallah dalam tempoh terdekat nie aku akan update blog...nie pun dah kira 'update' blog jugak.

01 January 2009

081 : Aku Bercakap Seorang Diri

"1 Muharam 1430 disambut pada 29 Disember 2008 dan 1 Januari 2009 disambut pada 4 Muharam 1430".


Bukan gila atau sewel...cuma bermuhasabah diri...Selalunya kita lupa akan Maal Hijrah dan begitu taksub untuk menyambut Tahun Baru. Kenapa dan mengapa? Mungkin minda kita masih dijajah walau penjajah telah lama berambus...


Sambutan Maal Hijrah 1430 yang hampir serentak dengan sambutan Tahun Baru 2009 mendedahkan kealpaan kita selama ini...manakan tidak sewaktu doa akhir tahun 1429 dan doa awal tahun 1430 dibaca...di mana kita pada waktu itu...adakah kita sama-sama menadah tangan memanjatkan doa atau kita leka bersembang di kedai-kedai kopi. Aku bersyukur kerana Allah telah membuka pintu hati aku yang selama ini tidak pernah terbuka untuk membaca doa akhir dan awal tahun...selama ini aku leka di padang bola atau di depan kaca tv...Alhamdulillah tahun 1430 hijrah ini...Allah beri kesedaran dan kesempatan pada aku untuk bersama jemaah yang lain untuk beribadat kepada-Nya pada petang hari terakhir 1429 H dan pada awal 1430 H. Dan di saat majoriti daripada kita bergembira menyambut ketibaan 01.01.2009...aku sekeluarga menyambutnya dengan dengkuran dan lelehan air liur basi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...