Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

23 December 2009

135 : Misteri Yang Tidak Terungkai





inilah tangga rumah wan...


"Woi larrriii...Weet giler datang..." jerit Mie, sepupu aku yang tua setahun sambil berlari naik ke atas rumah wan. Aku yang ketika itu asyik mengorek tanah dengan sebatang kayu, terkocoh-kocoh menyarung selipar dan terus meluru ke atas rumah. Dengan sekali injak di atas mata tangga, aku telah berada di dalam rumah wan dan terus menyorok di balik pintu.

Sayup-sayup kedengaran suara memberi salam menerjah corong telingga aku. Perlahan-lahan aku mengintai menerusi lubang yang terdapat pada dinding papan. Belakang pintu itu merupakan tempat persembunyian kegemaran aku kerana aku dapat melihat menerusi lubang yang pada mulanya kecil tapi semakin besar akibat dikorek. Kelihatan seorang perempuan tua sebaya wan aku sedang berdiri di kaki tangga. Dia berbaju kurung hijau dan berselendang putih. Mulutnya seperti sedang mengunyah sesuatu. Beberapa saat kemudian dia meludahkan sesuatu ke tanah dan mengelap tepi mulutnya dengan hujung lengan baju kurung yang dipakainya.

Tiba-tiba terdengar suara menjawab salam dari arah dapur. Serentak itu juga kedengaran bunyi papan lantai dipijak. Kelihatan wan sedang berjalan sambil membetulkan ikat kain batik yang dipakainya. Aku segera menahan nafas kerana khuatir wan akan terdengar bunyi helaan dan hembusan nafas aku yang masih lagi termengah-mengah . Segera aku mengintai menerusi lubang apabila wan tidak menyedari kehadiran aku di balik pintu walau jaraknya hanya beberapa kaki. Dapat aku lihat wan dengan ramahnya menyalami tangan Weet yang telah pun berdiri di pelantar depan. Mereka berbual mesra dan sesekali ketawa kecil. Kelakuan mereka sememangnya menambah kehairanan di dalam diri aku. Namun pada usia itu, kotak pemikiran aku belum mampu menaksir apa yang aku lihat.

Perlahan-lahan aku memijak papan lantai menuju ke dapur. Sebaik tiba di tangga dapur, aku terus memecut selaju mungkin untuk menyertai Mie yang telah pun berada di atas pokok jambu batu. Kedengaran suara ejekan Mie yang bersulam dengan ketawa memperlekehkan aku yang ketakutan tiap kali Weet datang menziarah wan.

Hingga kini aku tidak ketahui siapakah Weet sebenarnya. Menurut kata wan,  Weet seorang perempuan tua yang gila akibat kematian anak dan suami. Anaknya mati akibat demam kerana bermain-main di tengah panas dan suaminya pula mati akibat ditimpa dahan mati ketika sedang menebas semak di kebunnya. Aku hanya menelan setiap kata-kata wan tanpa sebarang soal.

Setelah lebih 20 tahun peristiwa itu kembali mengamit aku. Kini barulah aku dapat menaksir kata-kata wan yang kononnya Weet seorang gila yang kematian anak dan suami. Pertama, wan tidak suka andai perbualannya dengan Weet diganggu. Kedua, wan tidak mahu aku bermain-main di tengah panas terik. Ketiga, wan tidak mahu aku memanjat pokok. Semua itu sebenarnya hanya momokan wan untuk mendisiplinkan aku. Namun siapa Weet yang sebenarnya tidak aku ketahui. Misteri identiti sebenar Weet bersemadi bersama jasadnya.

19 December 2009

134 : Antara Teriknya Mentari Dan Hangatnya Aspal


Aspal ialah bahan hidro karbon yang bersifat melekat (adhesive), berwarna hitam kecoklatan, tahan terhadap air, dan visoelastis. Aspal sering juga disebut bitumen merupakan bahan pengikat pada campuran beraspal yang dimanfaatkan sebagai lapis permukaan lapis perkerasan lentur. Aspal berasal dari aspal alam (aspal buton} atau aspal minyak (aspal yang berasal dari minyak bumi). Berdasarkan konsistensinya, aspal dapat diklasifikasikan menjadi aspal padat, dan aspal cair.
sumber diperolehi dari http://id.wikipedia.org/wiki/Aspal


Suasana di Bandar Temerloh yang terkenal dengan jolokan Bandar Ikan Patin pada petang Selasa itu agak sibuk dengan deruan enjin kenderaan yang bertali arus. Masing-masing punyai tujuan dan urusan yang perlu diusaikan. Mereka seakan berlumba dengan masa yang tidak pernah mengenal erti belas kasihan. Sesaat terleka maka kerugian yang menimpa.

Di celah-celah keriuhan dan keterikan mentari petang  itu kelihatan seorang perempuan tua berjalan di atas aspal berhadapan kompleks pejabat kerajaan daerah Temerloh sambil menjinjit jabir berisi tin minuman alminium kosong yang dikutipnya dari tong-tong sampah sekitar bandar Temerloh. Dari gerak atur langkahnya dapat dilihat ketidakupayaannya untuk terus melangkah. Tubuh yang gempal menambahkan lagi deritanya. Dengan payah  dan lambat, dia terus melangkah. Sesekali dia berhenti melepaskan lelah. Setibanya di hadapan Pejabat Pos Temerloh, dia berhenti sambil matanya memandang ke kanan dan ke kiri menanti surutnya aliran kenderaan yang bertali arus. Niatnya untuk menyeberangi jalan menuju Pejabat Pos Temerloh. Namun kenderaan seakan tiada hentinya. Tetap datang dan pergi tanpa mempedulikan kehadiran perempuan tua itu yang tercegat bagaikan tiang lampu di tepi jalan. Masa terus berputar.

Hampir 5 minit perempuan tua itu masih termanggu menanti surutnya kenderaan. Tiba-tiba matanya berpinar. Alam di sekelilingnya dirasakan berputar.  Ligat dan laju. Tubuhnya yang gempal terhuyung-hayang. Dan akhirnya dia rebah. Mujur sempat jua dia berpaut pada tiang lampu isyarat. Jika tidak pasti kepalanya terhantuk pada aspal yang keras dan hangat.

Dia terduduk di atas kaki lima sendirian tanpa ada yang menyedari keadaannya. Nafasnya tercunggap-cunggap seakan tersekat. Perlahan-lahan dia mengurut dadanya. Dia cuba mengatur pernafasannya semula. Penyakit semput dan lelahnya kian menjadi. Kebelakangan ini kudrat tuanya kerap dikerah demi sesuap nasi. Semenjak suaminya kemalangan dilanggar kereta, dia terpaksa mengalas beban mencari wang demi meneruskan kelangsungan hidup.

Beberapa minit berlalu tanpa ada yang mempedulikannya. Mujurlah seorang pemuda bermotorsikal menyedari lalu berhenti memberi pertolongan. Dipangkunya perempuan itu sambil mengibas-gibas sapu tangannya. Dia melambai-lambai kepada beberapa orang pekerja MPT yang sedang menyapu di seberang jalan dan mereka  segera membantu.


p/s : Kejadian itu berlaku pada bulan Mac 2009. Ketika itu aku bersama emak dan Arean baru usai memasukkan wang ke dalam akaun Tabung Haji emak. Apakah kesudahan yang terjadi pada wanita tua tidak aku ketahui kerana aku seperti pemandu yang lain sekadar memerhati dan terus berlalu.

18 December 2009

133 : Terkenang Semasa Dulu


Dari kiri; Shaiful, Aku, Nik, Armadi, Mohd Nizam, Khairul dan Mohd Nor


"Wei bebudok, bangun laa dah pukul 5 lebih nie"...jerit Shaiful sambil menendang-nendang kaki kami bertiga yang sedang khusyuk "mereloh" di ruang tamu rumah sewa  dalam pelbagai aksi...Mat Nor dengan aksi superman,  Mat dengan aksi kuak lentang dan aku dengan aksi tenggiling.



Lambat dan payah kami bertiga bangun dari lena yang panjang sambil menguap dan mengeliat...Nik yang sejak balik dari kuliah tadi asyik  menelaah komik hanya tersengih dan bersuara "Bangun...bangun dah petang nie he he he"... 




"Ah! Ko diam Nik"...tengking Mat  tiba-tiba yang masih mamai. 




"Ko apahal nie, Mat. Tiba- tiba marah kat  aku. Ko sihat ke tak sihat?". Balas Nik yang bangun dari silanya untuk merasa dahi Mat namun belum sempat Nik berbuat demikian, Mat  terlebih dahulu menepis tangan Nik. Tindakkan Mat menepis tangan Nik sememangnya telah dijangka. Tepisan Mat berjaya dielak dengan penuh bergaya oleh Nik.





Telah menjadi kelaziman kami, guru pelatih PI/KT Maktab Perguruan Kota Bharu semester 3 bergurau sedemikian. Keakraban kami begitu terserlah hinggakan kadang-kala gurauan kami terlalu kasar namun tiada seorang pun di antara kami yang merasa marah mahu pun merajuk. Di antara gurauan yang biasa kami lakukan ialah menyorokkan barang-barang seperti kasut, selipar, baju dan tali leher. 






Selain itu, tindakan melondehkan seluar atau mengangkat kain pelikat ke atas menjadi lumrah hinggakan kami sentiasa berwaspada bimbang menjadi mangsa dan mengintai peluang untuk mencari mangsa.  Dan gurauan yang paling sadis ialah membuang angin atau kentut. Kami akan berbalas-balas kentut. Jika berjaya mengentutkan kawan yang lain akan dikira 1 mata seperti permainan badminton hinggakan ada ketikanya ianya mencapai berbelas-belas bilangan kentut!

17 December 2009

132 : Antara Menghadap Televisyen Dan Menghadap ALLAH





Rata-rata rakyat Malaysia kini memperkatakan kejayaan pasukan bola sepak Malaysia melangkah ke perlawanan akhir menentang  Vietnam dan berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun selepas memenanginya kali terakhir pada tahun 1989. Aku bukanlah ingin memperkatakan tentang perlawanan yang akan disiarkan secara langsung itu tetapi mengenai alpanya kita dalam mensyukuri nikmat Allah.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa hari ini merupakan hari terakhir dalam kalendar Hijrah. Apabila berkumandangnya azan Maghrib pada petang nanti maka berakhirlah tahun 1430 Hijrah dan  bermulalah tahun 1431 Hijrah.

Di sini aku ingin berpesan kepada diri sendiri dan kepada yang membaca entri ini, marilah kita bersama menadah tangan berdoa mensyukuri segala nikmat rezeki yang Allah berikan dan memohon agar Allah mengampunkan segala dosa yang telah kita lakukan  selama setahun yang lalu sebelum masuknya waktu Maghrib. Apabila masuknya waktu Maghrib, marilah kita berdoa agar Allah memberi kita rezeki yang halal, melindungi diri kita dari segala malapetaka dan menambahkan lagi keimanan terhadap-Nya sepanjang setahun yang mendatang.

Mungkin ramai yang terlalu ghairah ingin menyaksikan perlawanan akhir Malaysia menentang Vietnam pada petang ini. Tambahan pula, kerajaan meminta semua ketua membenarkan para pekerjanya untuk pulang awal bagi menyaksikan perlawanan tersebut. Sepatutnya kerajaan meminta agar para pekerja dibenarkan pulang awal untuk berjamaah di masjid dan bersama membaca doa akhir dan awal tahun kerana mungkin inilah tahun terakhir kita di dunia yang fana ini sebelum berpindah pula ke alam barzakh.

Marilah kita renung dan perhalusi sejenak, di antara menonton perlawanaan akhir bola sepak dan menadah tangan berdoa di masjid, yang manakah lebih utama? Antara beramai-ramai berhimpun di kedai-kedai mamak menonton perlawanan bola di layar gergasi atau beramai-ramai berjamaah di masjid untuk berdoa dan solat berjamaah. Fikirkan dan buatlah keputusan samada pada petang ini kita ingin menghadap televisyen atau menghadap Allah, Tuhan sekalian alam. Wallahualam...


Salam Maal Hijrah.

16 December 2009

131 : Setahun Sudah Berlalu







usia 2 minggu...

Hari ini tanggal 16 Disember 2009 genaplah usia anak ketiga aku setahun. Terasa cepatnya masa beredar. Sedar tak sedar sudah setahun berlalu. Setahun bersamanya mematangkan aku dalam menjadi seorang bapa yang baik. Sejak lahir, menjaganya amat mudah. Tidak banyak kerenah dan ragamnya. Sememangnya abang-abangnya juga begitu. Namun apabila mencecah usia setahun lebih, kenakalan seorang kanak-kanak mula muncul. Malah Aqeef kini telah pun menampakkan ciri-ciri kenakalan tersebut.




usia 1 bulan...


Semenjak pandai merangkak, habis satu rumah dijelajahnya. Tiada tempat di dalam rumah ini  yang belum ditawannya. Malah pernah sekali tanpa disedari, dia telah pun berada di dalam bilik air. Mujur kehilangannya cepat disedari. Dan ketika ditemui dia sedang berenak-enakan bermain air yang ditakung mamanya di dalam baldi.





usia 2 bulan...

Aku menamakannya Muhammad Aqeef Faiq. Muhammad bermaksud yang terpuji, Aqeef bermaksud yang memberi tumpuan dan Faiq bermaksud yang tertinggi/utama. Aku mengharapkan agar nanti akhlaknya terpuji seperti Rasulullah. Selain itu juga aku mengharapkan agar nanti dia akan sentiasa memberi tumpuan dalam setiap perkara yang dilakukannya dan moga nanti dia akan menjadi manusia yang berkedudukan tinggi.




usia 3 bulan...

Sesungguhnya aku amat bersyukur di atas kelahirannya. Hadirnya menambah bahagia. Menatap wajah comelnya hilang duka nestapa. Melayan keletah manjanya lenyap segala gundah. Mencium pipi montelnya menyuntik semangat untuk aku terus menongkah badai hidup yang kian mencabar.







usia 4 bulan...



Aqeef, walau sesukar mana rintangan yang mendatang abah berjanji akan tetap berjuang demi membesar, mendidik dan mengasuh Angah, De dan Aqeef.





usia 5 bulan...





usia 6 bulan...




usia 7 bulan...




usia 8 bulan...



usia 9 bulan...



usia 10 bulan...



usia 11 bulan...



usia setahun

SELAMAT HARI LAHIR SAYANG...

13 December 2009

130 : Kopiah Putih Dan Kain Pelikat Cap Gajah Duduk




Petang Sabtu itu cuaca memang sedang-sedang panasnya. Usai solat Asar di Masjid Darul Fikri Bera, aku menghalakan tunggangan motor berjenama Kriss menuju ke sebuah bank yang dikhaskan untuk orang Cina, India, Melayu dan Benggali sahaja. Niat di hati ingin mencucuk mesin ajaib dengan harapan akan keluarlah duit berkeping-keping seperti Aladdin yang mengosok lampu ajaib sehingga keluar jin yang dapat memenuhi setiap permintaan yang dipohon.

Di hadapan bank yang berjiran dengan sebuah klinik swasta yang menggunakan nama rakyat tetapi rakyat tetap kena bayar, kelihatan seorang lelaki lewat 50-an  sedang berdiri di hadapan pintu masuk. Sememangnya aku mengenali rupa lelaki tua itu kerana kerapkali dia kelihatan di hadapan sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengurus dan membekalkan air bersih untuk kegunaan rakyat. Dia bertugas sebagai pengawal keselamatan di agensi tersebut yang aku rasakan jika disergah akan melayanglah nyawa dari badan.

Aku melangkah gagah bak pendekar Melayu menuju medan tempur sambil mengeluarkan sekeping kad yang aku sisipkan dalam gulungan kain pelikat cap gajah duduk. Suasana lenggang tanpa seorang makhluk pun yang kelihatan kecuali aku yang sedang menekan-nekan butang yang terdapat pada mesin ajaib. Beberapa ketika, tertera di skrin "RM53.00" iaitu jumlah wang yang terdapat dalam akaun simpanan aku. Sambil menekan butang untuk mengeluarkan baki RM50 terakhir dari gaji, aku membayangkan seolah-olah aku hanya mengeluarkan RM50 dari jumlah sebenar RM53 juta.

Usai memasukkan duit ke dalam saku baju t-shirt putih yang dipakai, aku didatangi lelaki tua yang sejak dari mula aku sampai hanya memerhatikan sahaja. Rupanya lelaki tua itu memerlukan pertolongan aku untuk mengeluarkan duitnya kerana dia tidak tahu cara menggunakan mesin ajaib. Aku hanya tersenyum dan mengangguk tanda menyanggupi untuk membantunya. Dari ulas butir percakapannya, aku mengagak orang tua itu berasal dari Kedah kerana loghat utaranya amat pekat hingga memaksa aku bertanya beberapa kali untuk memahami apakah yang cuba disampaikannya.

Semasa aku berurusan sekali lagi dengan mesin ajaib bagi pihak orang tua itu, tiba pula beberapa orang wanita yang ayu bertudung bersama haruman yang berlumba-lumba menerjah lubang hidung kemik aku. Dengan tibanya  mereka memaksa aku menundukkan pandangan mata dan seboleh mungkin menahan nafas dari menghidu bau haruman yang dipakai mereka kerana wanita adalah penggoda nafsu yang paling sukar dikekang oleh lelaki. Daripada memandang mereka adalah lebih baik aku memandang seekor babi dan daripada bersentuhan kulit dengan mereka adalah lebih baik aku menyentuh seekor anjing.

Usai memberikan wang yang keluar dari mesin ajaib berjumlah RM60 kepada orang tua itu, aku memohon diri untuk pulang dengan persoalan yang bergayut di kotak akal aku. Sekiranya aku tidak berkopiah serta berkain pelikat dan berpakaian pula seperti seekor penyanggak, tentu lelaki tua itu tidak akan meminta pertolongan aku untuk mengeluarkan wangnya yang masih berbaki RM25,786.00!!!

12 December 2009

129 : Seorang Tua Di Kaki Lima Kedai Gunting Bahagian 2

sambungan....


Tiba-tiba kedengaran satu suara garau memberi salam dari arah belakang aku yang sedang menyarungkan topi kaledar ke kepala.

'Waalaikumsalam' balas aku sambil berpaling. Kelihatan di bebola mata aku, seorang lelaki tua sedang berdiri sambil menggalas sebuah beg pakaian. Dari raut wajahnya yang kedut seribu dapat aku lihat kegusaran sedang merajai hatinya. Lelaki tua itu menghulurkan tangan dan segera aku menjabatnya.

'Maafkan pak cik kerana menggangu'. Sapa lelaki tua itu memulakan bicara.

'Tak apalah pak cik, saya pun bukan nak ke mana pun'. Balas aku berdalih walhal perut telah pun berdondang sayang sejak tadi.

'Pak cik baru sampai dari Johor, rumah anak. Anak pak cik kerja askar. Tapi dia dah pindah ke Kedah. Dah sebulan pindah tapi tak bagitahu pak cik. Bila pak cik sampai sana, orang bagitau yang dia dah pindah. Jadi pak cik pun balik juga pagi tadi naik keretapi. Tapi...'. Kata-kata orang tua itu tiba-tiba terhenti dan menundukkan muka. Aku yang khusyuk mendengar cerita orang tua itu menjadi hairan lalu bertanya 'Kenapa, pak cik?

'Pak cik nak minta tolong anak hantar pak cik balik rumah...duit pak cik dah habis buat tambang keretapi tadi...nak makan pun tak de duit nie' kata lelaki tua itu setelah beberapa ketika terdiam.

'Rumah pak cik kat mana? Tanya aku inginkan kepastian.

'Kat Simpang Pelangai'. Jelas lelaki tua itu seakan memohon simpati aku.

'Errr...macam nie laa pak cik...saya sebenarnya ada hal lain...tak dapat nak hantar pak cik...saya bagi duit kat pak cik dan pak cik naik bas, boleh?'. Dalih aku kerana di fikiran telah terbayang kasut bola idaman sedang melambai-lambai bak seorang gadis ayu mengamit mesra.

Lelaki tua itu seakan terpaku mendengar penjelasan yang keluar dari mulut aku seolah-olah suara aku bagaikan halilintar membelah alam. Perlahan-lahan matanya digenangi mutiara jernih yang seakan berkaca. Lama direnungi wajah bujur sirih aku yang tanpa kumis kerana baru dicukur oleh tukang gunting cina sebentar tadi. Mulutnya bergerak-gerak seakan ingin mengungkapkan sesuatu.

'Tapi pak cik bukan minta sedekah'. Ujarnya setelah melihat aku mengeluarkan dompet dan menghulurkan not RM50 sekeping.

'Tak pe, pak cik ambillah duit nie buat belanja makan dan tambang bas nanti'. Tutur aku setelah huluran yang aku unjukkan tidak disambut oleh lelaki tua itu.

Lambat dan teragak-agak, lelaki tua itu membuka beg yang digalasnya dan mengeluarkan sehelai kain pelikat yang masih berplastik dan menghulurkan kepada aku seraya berkata 'Pak cik tak boleh terima duit nie macam tue saja, pak cik bukan minta sedekah jadi anggaplah kain ini sebagai barang yang pak cik jual kepada anak...kain nie anak pak cik yang bagi masa dia balik kampung dulu, pak cik tak guna pun. Anak ambillah kain nie'.

Tersenyum aku mendengar penjelasan tulus lelaki tua itu dan berkata ' Pak cik, saya ikhlas bagi duit nie kepada pak cik dan tak minta pun pak cik membalasnya'. Lalu memasukkan duit RM50 ke dalam poket atas baju melayu cekak musang yang dipakai oleh lelaki tua itu.

Antara rela dan terpaksa, dia menerima pemberian aku itu dengan ucapan terima kasih sambil matanya digenangi air mata keharuan dan berlalu pergi menuju ke stesen bas yang terletak lebih kurang 500 meter dari kaki lima kedai gunting itu. Aku lantas memecut pulang kerana perut yang makin merengek minta diisi dan lambaian Adidas Predator yang makin kuat mengamit.

P/s: Kejadian di atas berlaku pada bulan Oktober 1999. Ketika itu aku masih bujang. aku sebenarnya merasa kesal kerana tidak menghantar lelaki tua itu pulang kerana sehingga sekarang aku tak tahu di mana rumah lelaki tua itu dan tidak dapat sebarang perkhabaran samada masih hidup atau telah kembali ke Rahmatullah.

08 December 2009

128 : Seorang Tua Di Kaki Lima Kedai Gunting


bank tempat aku mengeluarkan duit gaji...
Catatan 3

Hari itu hari Khamis. Sebaik loceng tamat persekolahan berdering, aku pun menamatkan sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu dengan mengarahkan murid-murid Tahun 5 Mawar mengemaskan buku dan mengangkat kerusi ke atas meja sambil di dalam hati menguntum senyuman secerah matahari pada tengahari itu kerana mengikut pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara, gaji telah pun boleh dikeluarkan. Setelah kesemua 28 orang murid selesai mengucapkan salam, aku pun mengorak langkah menuju ke bilik guru sambil memasang angan ingin membeli sepasang kasut bola Adidas Predator yang gah diperagakan oleh David Beckham seperti yang diiklan di televisyen.

kedai gunting rambut

Selesai menandatangani buku rekod kehadiran, aku bergegas menuju ke arah garaj yang menempatkan motorsikal Yamaha SS kesayangan yang amat setia menemani aku sejak zaman maktab lagi. Dengan sekali tendang, motorsikal bernombor pendaftaran CAM7#*#9 terus mengaum dan menderu laju meninggalkan perkarangan SK Kemayan menuju pekan Triang yang dimonopoli oleh kaum Cina sepenuhnya.

bersedia untuk menyembelih mangsa

Sepanjang tunggangan tengahari itu aku diterik matahari yang menyelar kulit. Namun itu semua tidak aku endahkan kerana di hati berbunga harapan untuk memiliki sepasang kasut bola yang telah lama menjadi idaman. Sejurus tiba di hadapan sebuah bank yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, aku segera mengeluarkan buku akaun dari beg yang digalas dan terus melangkah masuk ke dalam bank yang lenggang tanpa pelanggan kerana bank ini bukanlah pilihan utama warga kakitangan awam untuk dijadikan sebagai bank tempat mereka menerima gaji. Usai mengisi borang, aku segera ke kaunter yang dijagai oleh seorang petugas wanita yang ayu bertudung tapi menampakkan 'lurah semantan' kerana hujung tudungnya dililit ke leher.

sedang melapah kulit mangsa

Selesai urusan mengeluarkan wang gaji, aku menuju pula ke kedai gunting rambut yang dimiliki oleh dua adik beradik cina yang berusia dalam lingkungan umur 40-an. Sejak zaman sekolah menengah lagi kedai gunting itu menjadi tempat rasmi aku bergunting. Bukanlah tiada kedai gunting milik orang Melayu di pekan Triang cuma mutu perkhidmatan di kedai Cina itu lebih memuaskan hati aku berbanding di kedai Melayu yang mengunting rambut secara semberono tanpa memikirkan kehendak dan kepuasan hati pelanggan.

sedang memamah daging mangsa mentah-mentah

Sebaik aku memberhentikan motorsikal di hadapan kedai gunting tersebut, tokey Cina itu segera menegur sambil tersenyum. Aku membalas dengan hanya tersengih lalu melangkah ke arah kedai itu setelah mematikan enjin motorsikal. Sebaik melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan, aku disoal oleh tokey Cina, 'macam biasa?. Aku hanya mengangguk lemah. Entah kenapa selera bual aku pada tengahari itu seakan tawar.

Operasi mengunting rambut pun bermula. Rambut di bahagian tepi kiri dan kanan telah pun dikepit menggunakan penyepit khas. Bunyi mesin memamah rambut aku kedengaran sambil berselang-seli dengan deruan kipas pada tahap maksima. Memang menjadi kegemaran aku mengunting nipis rambut di bahagian tepi dan membiarkan rambut di bahagian atas panjang dan menutup rambut yang nipis di bahagian tepi.

Hampir 10 minit, sesi bergunting pun selesai. Sebaik selesai membayar, segera aku menuju ke motor. Tiba-tiba...

27 November 2009

127 : Seorang Tua Di Kaki Mesin Deposit Tunai

CATATAN 2


Suasana di perkarangan sebuah cawangan bank terkemuka tempatan agak lenggang. Telah menjadi kelaziman di pertengahan bulan sememangnya waktu santai bagi kakitangan bank kerana tidak ramai yang berurusan. Mungkin ramai yang hampir keputusan wang terutama mereka yang bergaji bulanan. Kelihatan hanya beberapa orang sedang berurusan dengan mesin ciptaan teknologi terkini yang mampu mengeluar dan menerima wang.

Di hadapan pintu bank yang berlogo kepala harimau itu, kelihatan seorang wanita tua sedang berdiri sambil memegang beg tangan berwarna hitam. Sesekali dia membetulkan tudung, menyisipkan semula rambutnya yang terjuntai keluar. Diamatinya sekeliling. Mengecam wajah-wajah yang silih berganti di hadapannya. Semuanya terlalu asing di pandangan mata. Sesekali dia melepaskan keluhan. Berat dan dalam. Mulutnya seakan ingin bersuara memohon sesuatu. Tangannya seakan ingin menahan mereka yang keluar masuk namun tiada siapa yang peduli. Mungkin sangkaan mereka, orang tua itu ingin mengemis.


Dari dalam sebuah kenderaan berjenama Toyota Avanza warna hijau pucuk pisang, seorang lelaki yang baru usai urusan di sebuah lagi bank yang berasaskan pertanian asyik memerhatikan gelagat wanita tua yang sejak tadi tercegat di hadapan pintu masuk. Lelaki itu yang berkemeja lengan panjang namun dilipatnya sehingga paras siku seakan dapat membaca sesuatu dari riak wajahnya yang gusar dan gundah. Setelah memerhati beberapa ketika, lelaki itu yang berjanggut sejemput tanpa misai membatalkan hajatnya untuk pulang. Sebaliknya dia membuka pintu kereta lalu melangkah menuju ke arah wanita tua itu sambil mengukir senyum semanis mungkin.

'Assalammualaikum' Sapa lelaki awal 30-an sambil menatap wajah lembut keibuaan yang dimiliki wanita tua itu.
'Waalaikumsalam’. Sambut wanita tua itu yang berbaju kurung seakan teragak-agak.

'Mak cik tunggu siapa? Tunggu anak ke?’. Duga lelaki itu tanpa menunggu jawapan dari wanita tua yang sebaya umur ibunya di rumah.

'Tak...tak, mak cik tak tunggu siapa-siapa pun'. Jawab wanita tua itu gugup.

'Habis tu mak cik buat apa kat sini? Dari tadi saya nampak mak cik macam resah gelisah je'. Soal lelaki itu persis Mazidul Akmal Sidik.

'Mak cik nak masuk duit tapi mak cik tak reti. Tadi mak cik pergi kat kaunter tapi lelaki cina tu suruh mak cik guna mesin'. Jelas wanita awal 60-an seakan hampa.

'Kalau macam tu biar saya tolong masukkan. Mak cik nak masuk berapa?’. Tawar lelaki itu sambil membuka pintu mempersilakan wanita tua yang masih kelihatan ragu-ragu untuk masuk.

'RM500'. Balas wanita tua itu pendek lalu membuntuti langkahan lelaki yang sedang menuju ke mesin deposit tunai.

'Minta nombor akaun mak cik'. Pinta lelaki itu sebaik menekan butang 'enter' pada papan kekunci. Terkocoh-kocoh wanita tua itu membuka beg tangan hitamnya mencari sesuatu. Seketika kemudian, dia menghulurkan sekeping kertas putih yang bergumpal dan diikat dengan getah gelang. Segera lelaki itu menyambut dan membukanya. Sebaik lilitan getah gelang dibuka, kelihatan wang kertas pelbagai nilai dan warna tersusun rapi satu persatu.

'Mak cik, mesin ni tak terima duit seringit dan lima ringgit'. Jelas lelaki itu sambil memandang wajah berkedut wanita tua itu yang seakan kebingungan mendengar penjelasan tersebut.

'Manalah mak cik tau,nak. Duit tu duit mak cik simpan hasil jualan getah buku tanah arwah suami mak cik'. Ujar wanita tua itu tanpa diminta.

‘Tak mengapalah mak cik, saya tukar dengan duit saya aje lah'. Balas lelaki itu sambil mengeluarkan dompetnya dari kocek belakang lalu mengeluarkan beberapa keping wang kertas bernilai RM50 setiap satu setelah usai mengira berapa jumlah wang yang perlu ditukar.

Seketika kemudian lelaki itu pun menekan butang-butang nombor yang tertera pada mesin untuk memasukkan nombor akaun milik wanita yang hanya mermerhati dalam diam. Sebaik selesai memasukkan nombor akaun tersebut tertera di skrin mesin nama seorang lelaki. Lantaran diusik rasa hairan memaksa lelaki itu bertanya 'Mak cik, nombor akaun nie siapa punya?’.

'Anak mak cik yang punya. Dia yang minta mak cik masukkan duit RM500 tu, katanya dia tak cukup duit nak bayar road-tax kereta'. Jelas wanita tua itu tanpa selindung.

Lelaki itu hanya mengangguk perlahan tanda faham dan segera menyelesaikan hajat wanita tua itu. Sebaik usai, wanita tua itu mengucapkan terima kasih dengan perasaan gembira. Mungkin gembira kerana dia dapat memenuhi permintaan anaknya itu. Lelaki itu hanya tersenyum sebagai balasan dan mengiringi langkah wanita itu dengan pandangan yang kosong. Sepanjang pemanduan pulang, kepala lelaki itu sarat dengan seribu satu persoalan yang berasak-asak di fikirannya dan poket yang dipenuhi not RM1, RM5 dan RM10 berjumlah RM300.

p/s : Peristiwa di atas berlaku beberapa bulan yang lepas.

25 November 2009

126 : Seorang Tua Di Kaki Mesin ATM

CATATAN 1:



Kelihatan seorang tua berketurunan Melayu memakai baju kemeja lusuh berpetak besar tercangak-cangak di hadapan sebuah bank di suatu tengahari yang teriknya menyelar kulit. Matanya melilau ke kiri dan kanan sambil mengaru kepalanya yang dipenuhi uban. Di tangannya tergenggam sekeping kad bank bersama sehelai kertas yang kusam. Suasana ketika itu agak sibuk dan hingar-bingar dengan orang ramai bertali arus keluar masuk untuk menyelesaikan urusan masing-masing tanpa menghiraukan kekalutan yang sedang dialami oleh orang tua itu.



5 minit berlalu tanpa ada yang sudi membantu orang tua yang makin kegelisahan. Di raut wajah yang kedut seribu terpapar keinginan untuk bersuara bagi memohon pertolongan namun halkumnya seakan menghalang. Di suatu sudut yang bertentangan dari tempat lelaki tua itu berdiri kelihatan seorang pemuda berseluar jeans berjenama 'Levi's' 501 dan ber'T-shirt' pagoda sedang memerhatikan kelakuan orang tua itu sejak mula. Dengan perlahan, dia bangun dari duduk yang santai di atas simen kaki lima sambil mengibas-ngibas punggungnya membersihkan habuk dan kotoran yang melekat. Dia melangkah melintasi jalan dengan langkah yang terincut-incut menghampiri lelaki tua itu.



"Kenapa pak cik?" sapa pemuda itu. "Pak cik nak keluarkan duit ke?" tanya pemuda itu kembali tanpa menunggu jawapan daripada orang tua yang masih terpingga-pingga dengan teguran pemuda yang secara tiba-tiba mengetuk pendengarannya. "Ya...ya pak cik nak keluarkan duit tapi tak reti." balas orang tua itu tergagap-gagap. "Selalunya anak perempuan pak cik yang tolong keluarkan tapi dia demam, dah 2 hari tak kebah-kebah lagi. Telefon abang dia kat Kuala Lumpur, minta kirimkan wang. Katanya nak masukkan hari nie. Nie yang pak cik nak keluarkan duit, nak bawa adiknya ke hospital." Jelas orang tua itu tanpa diminta. Mungkin merasakan pemuda itu benar-benar jujur dan ikhlas untuk membantunya.



"Kalau macam tue, biar saya tolong. Minta kad dan no pin." tutur pemuda berambut ikal sambil memimpin orang tua itu menghampiri mesin ATM yang terlekat di dinding bercat putih. Setelah seketika berbaris, pemuda itu pun memasukkan kad dan menekan nombor pin seperti yang tertulis di kertas putih bergaris biru yang dikoyakkan dari buku latihan sekolah. Namun seusai menekan jumlah yang diingini oleh orang tua itu, tertera tulisan di skrin mesin menyatakan baki yang diminta tidak mencukupi. Segera pemuda itu menekan butang "Pertanyaan Baki" bagi mendapatkan kepastian. Ternyata jumlah baki yang terdapat dalam akaun itu tidak mencukupi untuk pengeluaran kerana berbaki kurang RM10.00.



Terpancar kekesalan di wajah lelaki tua itu apabila mendapat tahu yang baki tidak mencukupi diikuti keluh-kesah yang panjang dan menghibakan hati yang mendengarnya. Beberapa ketika kemudian, pemuda itu menyeluk saku seluarnya mengeluarkan beberapa keping wang kertas bernilai RM10.00 hasil jualan getah sekerapnya pagi tadi dan menghulurkan kepada orang tua yang hatinya masih digayuti kesedihan serta kekesalan kerana anak lelakinya memungkiri janji. Terkejut dengan tindakan pemuda tersebut, segera ditolaknya dengan baik. Namun pemuda itu tetap berkeras dengan menarik tangan orang tua dan meletakkannya di dalam genggaman bersama kad bank dan kertas putih kusam. Tiba-tiba tubuh pemuda itu didakapnya sambil mengucapkan terima kasih yang teramat sangat. Kejadian itu menarik perhatian beberapa mata hinggakan pemuda itu merasa segan.

p/s: Kejadian di atas dialami sendiri oleh aku kira-kira sekitar tahun 1995 semasa menunggu keputusan SPM diumumkan. Hingga kini tiada perkhabaran berita yang diketahui tentang orang tua itu. Mungkin telah kembali ke Rahmatullah.

24 November 2009

125 : Kalaulah Arwah Wan Aku Masih Hidup II

Versi 2 :
Kalau bergambar memang no 1

Selama 5 hari 4 malam aku berkelana di daerah Jerantut yang terkenal dengan kisah lagenda kepahlawanan Mat Kilau dan juga keindahan serta kehijauan Taman Negara. Berkelana semata-mata mengejar sebiji bola di tengah padang. Tahun 2009 merupakan tahun kedua aku kembali mewakili pasukan bola sepak senior PSKPP Bera setelah berehat panjang dari tahun 2004-2007. Kali ini Jerantut dipilih untuk menjadi tuan rumah. Namun Jerantut bukanlah tuan rumah yang baik kerana gagal menyediakan tempat penginapan yang selesa dan menyediakan pengadil yang berkualiti. Maaf andai cerita ini nanti menguris hati rakan-rakan blogger Jerantut. Kebenaran perlu dinyatakan walau ianya pahit.

Pasukan yang memang terbaik dari ladang

Bermula 12hb Ogos, kami bermusafir di Jerantut. Kami ditempatkan di asrama sebuah sekolah menengah yang padangnya saujana mata memandang. Namun tempat penginapan yang disediakan amatlah mengecewakan. Malah kami merasakan tempat penginapan Bangla pun lebih elok dan selesa. Sebuah bilik seluas bilik darjah disediakan bersama tilam tanpa cadar dan bantal. Apa yang paling menyedih dan memanaskan hati kami ialah bilik yang disediakan tidak mempunyai kipas siling dan bangunan itu merupakan bangunan yang pernah terbakar suatu ketika dulu. Menurut warden yang diamanahkan untuk menyediakan tempat penginapan, itulah yang terbaik yang mampu mereka sediakan. Nak tak nak, terpaksalah kami mengeluarkan duit sendiri untuk menyewa bilik hotel. Setelah puas mencari, akhirnya kami menginap di sebuah hotel yang tiada berbintang atau pun bulan, Hotel Chet Fat yang bersebelahan dengan KFC Jerantut.(orang Jerantut memang gemar makan KFC, aku tengok penuh sokmo).

Acara memanaskan hati...

Pagi khamis 13hb Ogos, kami turun ke padang dengan matlamat untuk menang bertemu Raub. Namun malangnya, pihak penganjur sekali lagi membuka pekung di dada apabila gagal menyediakan walau seorang pengadil pun. Maka kesemua perlawanan pada sebelah pagi ditunda keesokkan harinya. Sebelah petang kami turun menentang Maran dalam hujan yang turun sebaik saja perlawanan dimulakan. Walau ketinggalan 0-1, namun kami berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan 2-1. Nasib baik tendangan percuma yang aku lakukan terkena palang gol, kalau tidak Maran kalah 3-1.

Pemain no 13 Bera yang banyak berjalan dari berlari...
Pagi Jumaat 14 Ogos, kami turun menentang Jerantut. Sekali lagi tuan rumah mendedahkan keaiban mereka apabila penjaga garisan 2 yang bertugas merupakan pengadil yang berasal dari daerah Jerantut. Mujurlah pengadil dan penjaga garisan 1 dari daerah Temerloh dan Pekan. Bera mendahului 1-0 namun berjaya disamakan oleh Jerantut hasil gol ehsan penjaga garisan 2 yang tidak mengangkat bendera sebagai isyarat pemain Jerantut berada dalam kedudukan 'off-side'. Kejadian yang serupa berlaku selang beberapa minit telah menyebabkan Bera ketinggalan 1-2. Ternyata tuan rumah menggunakan taktik kotor semata-mata untuk memenangi perlawanan tersebut. Namun di separuh masa kedua, Bera bangkit dengan semangat waja di dada. Kami berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Bentayan. Gol tersebut telah berjaya menyenyapkan mulut-mulut pemain simpanan dan penyokong Jerantut yang sebelum itu lancang mengeluarkan kata-kata kesat. Akhir perlawanan, Bera berjaya meraih satu mata berharga setelah seri 2-2 dengan Jerantut. Keputusan seri itu memaksa Jerantut bermati-matian bermain untuk menang menentang Maran pada sebelah petang sedangkan Bera hanya memerlukan keputusan seri dengan Raub yang telah pun kalah kedua-dua perlawanan sebelumnya untuk menjadi juara kumpulan B.

Besi buruk yang dimenangi tahun lepas
Petang Jumaat 14hb Ogos, Bera turun menentang Raub yang telah pun hilang semangat untuk bermain gara-gara dua kekalahan berturut-turut kepada Jerantut dan Maran. Menentang Raub yang pada mulanya disangkakan mudah telah mengakibatkan Bera ketinggalan 0-1. Namun berkat kesungguhan dan kegigihan serta semangat berpasukan yang utuh Bera berjaya memenangi perlawanan tersebut dan berjaya memasuki pusingan XY selaku juara kumpulan. Pada malamnya undian dilakukan di antara 6 pasukan yang layak iaitu Lipis, Kuantan, Rompin, Pekan, Jerantut dan Bera. Bera diundi dalam kumpualan Y bersama Pekan dan Rompin.


Berat juga besi buruk nie...libas ke kepala, benjol laa
Pagi Sabtu 15hb Ogos, perlawanan pertama kumpulan Y di antara Bera dan Pekan. Pekan turun dengan dendam kesumat yang membuak-buak di dada gara-gara kegagalan mara ke perlawanan akhir dalam kejohanan yang sama tahun lepas. Pekan begitu bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan sekaligus melunaskan dendam di dada. Lantaran itu mereka bermain secara kasar dan merbahaya hingga mengakibat penjaga gol Bera berdarah di kepala dan penyerang Bera berdarah hidung. Namun taktik Pekan ternyata memakan diri sendiri apabila Bera berjaya mengikat perlawanan dengan keputusan seri 1-1 dan memaksa Pekan bermati-matian apabila menentang Rompin petang nanti sedangkan Bera hanya perlu menunggu keputusan perlawanan tersebut dan menentukan pasukan mana yang layak ke perlawanan akhir. Dan ternyata pada petang itu Pekan seakan hilang punca apabila dibelasah Rompin 1-4.


Besi buruk yang dimenangi tahun nie...

Pagi Ahad 16hb Ogos, Bera bertemu Rompin bagi menentukan pasukan yang layak ke perlawanan akhir. Secara kasar dilihat Rompin memiliki kelebihan namun Bera yang tidak beraksi pada petang sebelumnya turut mempunyai kelebihan. Separuh masa pertama Rompin menyerang habis-habisan dan berjaya mendahului 1-0 sedangkan Bera lebih banyak bertahan dan sekali-sekala melakukan serangan. Hasilnya Bera berjaya menyamakan kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki separuh masa kedua, Rompin mula kepenatan. Peluang itu diguna sebaik mungkin oleh Bera dengan melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Rompin. Akhirnya kesilapan penjaga gol Rompin yang telah melakukan kekasaran terhadap aku di dalam kotak penalti memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang tidak disia-siakan oleh Bentayan. Keputusan 2-1 kekal hingga ke wisel penamat dan Bera layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.


Dah tua nanti, bolehlah tunjuk ke cucu...itu pun, kalau dan bercucu.

Petang Ahad 16hb Ogos berlangsungnya perlawanan akhir di antara Bera menentang Lipis. Ini merupakan perlawanan akhir kedua menemukan kedua-dua pasukan selepas tahun lepas bera kalah 1-2 di tangan Lipis. Namun situasi kali ini jauh berbeza kerana rata-rata pemain Bera sudah kehilangan semangat lantaran perasaan jemu dan meluat telah merajai diri masing-masing. Ini kerana telah terlalu lama berada di Jerantut dan berjauhan dengan anak dan isteri. Maka pada perlawanan akhir itu semangat juang para pemain Bera langsung tidak kelihatan. Kami lebih banyak bertahan dan sesekali melakukan serangan. Namun Lipis gagal menjaringkan gol hinggalah minit-minit terakhir separuh masa pertama apabila tendangan percubaan ke arah gol oleh pemain Lipis terkena kaki pertahanan Bera dan terbias menerjah jaring gol yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol yang termati langkah. Sepanjang separuh masa kedua, perlawanan ternyata berat sebelah apabila Lipis silih berganti melakukan serangan sedangkan Bera lebih banyak bertahan. Dan ternyata pertahanan Bera amat mantap apabila Lipis gagal menambah sebarang gol hingga tamat perlawanan. Akhir perlawanan Bera tewas tipis 0-1 kepada Lipis dan sekadar naib johan 2 tahun berturut-turut.



Secara keseluruhannya dapatlah aku simpulkan bahawa Kejohanan Bola Sepak PSKPP 2009 di Jerantut adalah yang paling teruk pernah aku sertai dari segi pengurusan. Pihak penganjur seolah-olah sekadar melepaskan "kentut di tangga" namun baunya dapat dihidu seisi rumah. Diharapkan selepas ini, mana-mana daerah yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi tuan rumah dapat mengambil iktibar dan meningkatkan lagi mutu pengurusan supaya semua pihak merasa berpuas hati.

p/s : tapi aku minat betul pekena 'bahtera karam' kat kedai Abang Din Tom Yam(kalau tak silap aku)...memang best...terangkat!



11 November 2009

124 : Selamat Ulang Tahun Sayang


Maaf sayang,
Tiada hadiah yang dapat ku berikan,
Pada tanggal kau melihat dunia,
Hanya doa yang mampu ku panjatkan,
Moga dirimu berbahagia selalu di sampingku.

Maaf dinda
Tiada lafaz yang terindah,
Yang dapat ku talunkan,
Betapa aku menyayangimu,
Setulus hati tanpa ragu.




Maaf kasih,
Tiada emas yang termahal,
Yang bisa ku kalungkan,
Hanya seutas janji,
Membahagiakanmu sepanjang hidupku.



Maafkan aku,
Andai ulangtahun kali ini,
Penuh cerita duka yang lara,
Yang membelit setiap nafas hidupmu.



Aku sedar selama ini,
Aku gagal membahagiakanmu,
Aku tewas mengasihimu,
Aku lemas menyintaimu
Aku karam menyayangimu



Namun ketahuilah oleh mu,
Di setiap denyut nadiku,
Tersimpan utuh sayang untukmu,
Yang mengalir tanpa jemu,
Yang berumbi walau layu,



Sabarlah sayang,
Menempuh badai gelora bersamaku,
Tabahlah dinda,
Menelan pahitnya hidup di sampingku,
Cekallah kasih,
Mendamba bahagia selamanya.



Terima kasih sayang,
Kerana menyambut salam cintaku,
Pada lewat pertemuan kita bermusim yang lalu,
Terima kasih dinda,
Di atas sayang yang kau curahkan,
Untuk aku merasa manisnya rindu,
Terima kasih…,
Hanya itu yang termampu aku lafazkan,
Di atas segala pengorbanan dan kesetiaan mu.

11.11.2009...hari lahir isteri kesayangan...tapi aku...???

28 October 2009

123 : Berblues Untuk Berodong

Dulu masa menuntut di Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa Kelantan, aku pernah ditanya oleh salah seorang awek aku "apa makna rodong?". Menurutnya, dia selalu terdengar guru pelatih dari Pahang menggunakan perkataan "rodong" dalam perbualan seharian. Aku selaku anak jati Pahang yang disenyawakan oleh mak dan ayah aku, dimengandung dan diberanakkan oleh mak aku serta dibesarkan di negeri Pahang maka dengan bangga diri dan penuh keiltizaman pun menjawab "Adapun menurut riwayat yang telah diperturunkan turun temurun dari nenek moyang hinggalah ke hari ini, Rodong adalah sejenis kuih yang seakan-akan donat bentuknya dan dicicah dengan air sirap untuk menambahkan lagi tahap kesedapannya".

Penerangan yang panjang lebar disulami dengan ekspresi muka serta gerak tubuh telah berjaya menyakin dia. Maklumlah tengah bercinta, kentut pun bau wangi. Namun disebabkan kepolosannya mempercayai penjelasan tersebut telah menerbitkan rasa lucu di hati lantas pecah ketawa aku. Dalam kepinggaan dia bertanya apakah gerangan yang telah mengeletek hati aku. Aku pun menjelaskan bahawasanya ‘rodong’ bukanlah sejenis kuih tapi panggilan untuk kawan atau sahabat dalam loghat Pahang.


Peristiwa di atas terimbau kembali apabila Don Balon meminta aku menulis review tentang sebuah buku yang bertajuk “Blues Untuk Rodong”.(Sila rujuk iklan di bahagian atas blog ini) Permintaannya dibuat sebelum raya lagi namun kekangan masa dan kebuntuan fikiran menghalang aku untuk menyusun ayat terbaik bagi mengambarkan keseluruhan buku itu.

Idea untuk menghasilkan “Blues Untuk Rodong” tercetus hasil desakan gelodak dalam diri beberapa blogger yang amat mengidam untuk menghasilkan sebuah buku hasil tulisan mereka sendiri. Setelah bermuafakat, berhempas kerusi meja dan berpulas tangan maka terhasillah sebuah buku yang diberi judul “Blues Untuk Rodong”.

Uniknya buku ini kerana ianya tidak terdapat di toko-toko buku yang berhampiran apatah lagi yang berjauhan. Buku ini dihasilkan menerusi satu teknik yang dikenali sebagai “DIY”. Konsep penghasilan buku secara “DIY” ini telah pun mulai menular dan secara keseluruhannya mendapat sambutan yang menggalakkan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah itu “DIY”? DIY ialah singkatan “Do It Yourself”. Ini bermakna buku ini 100% dihasilkan menggunakan tangan yang melibatkan menaip, mencetak, menjilid(menjilat setem untuk ditepek kat sampul surat tak diambilkira), membungkus dan mengepos.

Menyentuh mengenai para penulis pula, ianya terdiri(terduduk tak dikira, ok) daripada Don Balon, John Doe(adik don balon), Aliff Mikail dan Rahimin Idris. Bagi pengunjung setia blog-blog mereka, tentulah tidak merasa keasingan namun bagi mereka yang tidak pernah menjenguk blog-blog mereka, silalah berbuat demikian.

Buku ini amat menarik dan menghiburkan untuk dibaca secara santai. Ini kerana hampir keseluruhan cerita yang dimuatkan di dalam buku ini berunsur humor. Penceritaannya pula berkisar tentang seputar pengalaman hidup yang dikutip sejak zaman persekolahan hinggalah sekarang. Kesemuanya diadun dengan begitu baik dan bersahaja. Sebagai contoh, Don Balon misalnya menggarap setiap pengalaman hidup yang pernah dilalui di dalam setiap ceritanya. Malah pengalaman sahabat-sahabat baiknya turut dimuatkan di dalam ceritanya bagi memenuhi aspirasi “Blues Untuk Rodong”.


John Doe dan Aliff Mikail pula tidak kurang hebatnya. Pelarasan bahasa yang ringkas dan mudah amat meyenangkan untuk dibaca. Jalan ceritanya tidaklah berbelit-belit dan tidak pula memeningkan. Setiap ayat disusun kemas agar pembaca tidak merasa bosan. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh penulis-penulis muda ini. Walau yang demikian ianya tidaklah mencacatkan keseluruhan buku ini memandangkan ini merupakan percubaan pertama mereka untuk berkarya secara serius.

Rahimin Idris pula di dalam “Blues Untuk Rodong” agak berat penceritaan yang cuba diutarakan. Tersirat mesej yang cuba disampaikan kepada khalayak. Ianya tersulam di antara bait-bait perkataan yang seandainya kita membacanya secara rambang maka kita akan merasakan ceritanya hanyalah sekadar cerita yang direka semata-mata. Namun andainya kita membaca dan berfikir, kita akan dapati ianya merupakan cerita satira yang menyanggah golongan tertentu.

Secara keseluruhan buku ini menghiburkan. Di samping itu terdapat pengajaran dan mesej berguna yang dapat dikongsikan bersama. Jangan dinilai buku ini dari segi kualiti pembuatannya kerana ianya tidaklah setanding dengan buatan mesin. Apa yang lebih penting ialah usaha dan kesungguhan untuk menghasilkan buku ini yang harus dipuji dan disokong. Ini kerana jika ingin menerbitkan sesebuah buku, terlalu banyak prosedur dan tapisan yang perlu dilalui sebelum ianya boleh diterbit. Oleh itu sebagai alternatifnya, buku ini diterbitkan secara persendirian sahaja.

Kepada mereka yang berminat, silalah meng ‘e-mail’ kan mereka menerusi alamat e-mail yang tertera di ruang atas blog ini. Jika bukan kita, siapa lagi yang selayaknya memberi sokongan kepada anak bangsa kita. Belilah kerana ilmu itu tidak ternilai dengan wang ringgit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...