Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

18 December 2008

080 : Hero Keempat Dalam Hidup Aku

Muhammad Aqeef Faiq Bin Fadhlur Rahman
16.12.2008 Selasa 11.50 malam
Lepas solat Maghrib pada malam Isnin 16.12.2008...aku lihat isteri aku seperti menahan sakit perut...Aku bertanya namun dia mengatakan tiada apa-apa. Selesai solat Isyak keadaan dia makin merisaukan aku...namun dia tetap mengatakan selagi dia boleh tahan rasa sakit dia akan tahan...menjelang 10 malam dia bersuara mengajak aku ke Klinik Kesihatan Ibu Dan Anak Triang kerana dia rasa air ketubannya nak pecah. Segera aku membawa dia untuk pemeriksaan terlebih dahulu kerana khuatir peristiwa sakit perut biasa berulang. Selesai pemeriksaan Nurse memberitahu bukaan baru 3cm dan mengarahkan ke hospital dengan kenderaan sendiri kerana dia menjangkakan isteri aku akan bersalin dalam lingkungan pukul 3 ke 4 pagi. Maka ke hospital aku malam itu berduaan dengan isteri tanpa rasa khuatir.




Sepanjang pemanduan...kami berbual dan sesekali aku berseloroh. Tahap debor aku berada di paras normal memandangkan ini kelahiran keempat dan pengalaman lalu banyak mengajar aku untuk lebih tenang dan matang. Namun perjalanan yang pada awalnya lancar berubah menjadi kelam kelibut apabila isteri aku memberitahu yang air ketubannya dah pecah. Aku jadi panik dan segera melajukan kenderaan serta memasang lampu 'hazard'. Tiba di persimpangan berhampiran Jambatan Temerloh di depan Stesen Minyak Caltex, lampu isyarat bertukar merah dan di hadapan terdapat sebuah Kancil. Nak tak nak aku terpaksa berlaku kurang ajar dengan melintas di sebelah kiri. Nasib baik tiada kenderaan yang datang dari arah hadapan. Sewaktu menyeberangi Jambatan Temerloh, sekali lagi isteri aku meminta aku melajukan kereta kerana dia dah tak dapat nak menahan lagi dan terasa ingin meneran. Aku meminta supaya dia bertahan dan jangan meneran lagi. Tiba di persimpangan hospital, sekali lagi lampu isyarat berwarna merah. Di hadapan terdapat sebuah Wira aeroback. Dari jauh lagi aku memberi isyarat lampu tinggi rendah sebagai meminta pemandu Wira memberi laluan atau bergerak juga walau lampu isyarat masih merah.



Setiba di wad bersalin, segera aku melambai Pengawal Keselamatan Wanita yang asyik berbual. Seketika kemudian Nurse yang bertugas keluar sambil menyorong kerusi roda. Dengan berkerusi roda, isteri aku dibawa masuk ke wad bersalin. Aku menanti penuh debar dan harapan agar semuanya selamat tanpa sebarang masalah. Lebih kurang 10 minit menanti, seorang nurse meminta pakaian baby dan isteri aku. Segera aku bertanya tentang keadaan isteri aku. Menurut nurse tersebut, isteri aku selamat bersalin sejurus tiba di hospital dan kedua-duanya selamat dan sihat. Namun bila ditanya lelaki atau perempuan, beliau menjelaskan akan membawa bayi aku keluar sebentar lagi untuk diazankan tanpa memberitahu jantina. "Aik, nurse nie nak main teka-teki ke dengan aku" getus aku dalam hati.




Tunggu punya tunggu, jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi namun baby masih belum dibawa keluar untuk diazankan. Tiba-tiba dalam kemamaian, aku terdengar nama aku dipanggil untuk membawa beg pakaian isteri dan baby aku ke Wad Kenanga 4 kerana mereka telah di hantar ke sana. Sesampai di pintu utama untuk ke wad, aku terpaksa melayan soalan 'ramah mesra' dari Pengawal Keselamatan yang bertugas yang seolah-olah sangsi dengan penjelasan yang aku berikan. Setelah menghubungi rakan setugas di wad berkenaan untuk mendapatkan kepastian, barulah aku dibenarkan masuk. Setibanya di Wad Kenanga 4, pintu pula dikunci dari dalam hingga memaksa aku menekan loceng untuk memanggil Pengawal Keselamatan untuk membukakan pintu.





Sebaik dibenarkan aku segera mencari katil yang menempatkan isteri dan baby aku kerana aku dah tak sabar untuk mengetahui jantina baby. Dan apabila aku sampai di katil, aku lihat isteri aku sedang menanti dan menyambut ketibaan aku dengan senyuman hambar. Aku lihat baby aku sedang tidur lena di katil kecil bersebelahan. Tak sempat aku bertanya, isteri aku dah menjelaskan "lelaki lagi bang". Aku bersyukur kerana isteri dan baby selamat dan sihat walau sedikit kecewa kerana hajat untuk menimang seorang puteri belum tercapai.





Kelahiran kali amat mudah dan senang. Sampai saja ke hospital, terus bersalin hinggakan nurse tak sempat memanggil aku untuk bersama kerana proses kelahiran berlaku dengan singkat dan pantas. Mungkin berkat air selusuh zam-zam yang dibuat oleh ayah aku yang dibacakan dengan ayat ke 78 surah An-Nahl maka kelahiran kali ini hanya dengan sekali teran sahaja. Dan menambahkan lagi kekecohan apabila nurse yang menyambut kelahiran berseorangan apabila nurse yang lain entah ke mana 'lenyap'nya hinggakan apabila baby dah selamat keluar tapi tali pusat belum dipotong kerana nurse tersebut perlu memastikan uri keluar kesemuanya. Apabila doktor masuk, dia yang terpaksa melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh nurse. Setelah hampir selesai, barulah nurse-nurse yang 'lenyap' tadi muncul dengan wajah keselambaan setelah dipanggil oleh doktor. Jutaan terima kasih yang tak tak terhingga aku ucapkan kepada nurse Fitri binti Baharuddin yang amat cekap dan berpengalaman menyambut kelahiran baby aku bersendirian. Walau apa pun yang berlaku, aku bersyukur kerana isteri dan baby aku selamat dan sihat. Nasib baik sempat sampai ke hospital. Kalau tak jadi 'bidan terjun' lah aku menyambut kelahiran di dalam kereta.



Di blog aku yang tak seberapa nie, aku ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada nurse-nurse di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Triang, nurse-nurse di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh dan nurse-nurse di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kemayan di atas dedikasi dan komitmen kalian dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Semoga apa yang kalian lakukan mendapat ganjaran dari Allah SWT. Terima kasih jua kepada rakan-rakan blog yang sentiasa memberi nasihat dan kata-kata semangat serta doa yang kalian panjatkan. Moga kalian juga beroleh zuriat yang soleh dan solehah.









15 December 2008

079 : Aku Di Saat Kecederaan

Menghitung hari demi hari…menanti saat lahirnya seorang bayi yang ketiga dalam hidup aku merupakan detik yang amat mengujakan…terasa waktu amat malas untuk berdetik…sesaat dirasakan seminit…seminit terasa sejam…sejam bagaikan sehari…sehari ibarat seminggu…hingga aku menjadi penghitung waktu yang setia. Tarikh dijangka bersalin ialah 22hb Disember 2008 namun baru-baru nie aku terpaksa mengejarkan isteri aku ke hospital gara-gara rasa sakit yang memulas perut ditambah pula dengan kebimbangan terhadap tahap kandungan gula yang tinggi dalam darah…namun setelah diperiksa oleh doktor…tiada tanda-tanda yang isteri aku akan bersalin dan setelah ditahan wad sehari…dia dibenarkan pulang…hairan juga aku bila doktor menyatakan ianya hanyalah sakit perut biasa dan bukannya sakit nak bersalin.





Dan yang menambahkan kehairanan pada diri sendiri ialah…ini bukanlah kelahiran pertama yang aku nanti tapi yang keempat…tapi entah mengapa aku jadi gabra semacam menantikan kelahiran kali ini…mungkin disebabkan oleh kebimbangan terhadap tahap kandungan gula dalam darah yang tinggi hingga memaksa isteri aku menjalani ujian tahap kandungan gula seminggu sekali…dan mungkin juga tahap keterujaan yang tinggi kerana aku amat mengharapkan kelahiran kali ini merupakan seorang bayi perempuan…walau telah 4 kali di ‘scan’ namun doktor tetap menyatakan yang jantina bayi di dalam kandungan isteri aku tak dapat dipastikan kerana bayi di dalam kandungan mengepit kelangkangnya…entah ya entah tidak aku tak tahu sebab bila aku sendiri yang tengok di skrin monitor…apa yang aku nampak hanyalah warna hitam putih yang bergerak-gerak…dan mungkin juga ditambah dengan kenangan silam yang amat pahit yang berlaku pada Disember 2001 masih kuat mencengkam hidup aku menjadikan aku amat gementar dan gugup menanti kelahiran kali ini.


Walau apa pun…aku amat berharap yang kelahiran kali ini selamat keduanya iaitu ibu dan anak. Bila difikirkan soal jantina…aku jadi pasrah kerana segalanya Allah yang tentukan. Cuma aku mampu berdoa semoga dikurniakan seorang puteri yang akan menambah seri dalam keluarga aku. Moga doa aku akan termakbul nanti…Insyallah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...