Suka Blog Ini?

Ikut Dengan Email

Hati Seorang Isteri

30 November 2008

078 : Baru Seminggu Tapi Aku Dah Lupa Kalendar

“Ngape awok tok gosok baju kemeja abang? Soal aku pagi Isnin itu setelah selesai solat subuh. “Abang nie mimpi apa nak suruh saya gosok baju kemeja, kan ke sekolah dah cuti” balas isteri aku yang membuatkan aku terkesima seketika. “Laa…cuti dah ke? Soal aku kembali inginkan kepastian. “Iye…dah seminggu dah cuti…nie masuk minggu kedua dah”jelas isteri aku yang masih kehairanan dengan sikap aku pagi itu.

Nak kata aku nie nyanyuk…muda lagi. Nak kata aku nie guru yang berkaliber…tak pun. Kalau berkaki lebar tue, ye betul. Nak kata aku nie guru yang berdedikasi…tak juga. Kalau Daddy kasi, mungkin juga. Tapi kenapa pagi Isnin baru nie aku boleh terlupa yang sekolah dah cuti. Selalunya kalau kena pergi sekolah, aku minta sangat yang tiba-tiba jer cuti. Atau pagi tue bertukar menjadi pagi Sabtu atau Ahad. Dan sekarang bila sekolah bercuti tiba-tiba aku jadi rajin nak ke sekolah.

Aku membayangkan keadaan aku 25 tahun yang akan datang. Pada tarikh 19hb Mac 2033. Ketika itu usia aku 56 tahun dan aku dah pun bersara. Tentu hari pertama bergelar pesara nanti aku akan jadi tak tentu arah. Mesti tak tahu nak buat apa. Bangun pagi lepas solat Subuh mesti nak berpakaian kemas dan nak ke sekolah padahal aku dah pun pencen. Mahu demam sebulan aku untuk membiasakan diri yang aku nie bukan seorang guru lagi tapi bekas guru.

Aku tengok ramai guru-guru yang bila dah pencen jadi macam orang sasau. Buat itu tak kena buat ini tak betul. Segala apa yang dilakukan serba tak kena dan tak menjadi. Ada bekas cikgu aku masa sekolah rendah dulu, seminggu dia dah pencen asyik ke sekolah terakhir dia berkhidmat. Lepak-lepak kat kantin, borak-borak dengan cikgu-cikgu dan dalam pukul 9-10 pagi balik rumah. Perkara yang dah jadi rutin selama berbelas tahun dan ada yang berpuluh tahun memang sukar nak dihakis dalam diri. Bila dah pencen rasa jadi macam orang lain. Rasa baru terlepas dari satu bebanan tanggungjawab yang maha berat yang dipikul selama bergelar guru.

Aku fikir ada baiknya kerajaan rangka satu pelan tindakan bagi membantu para guru yang bakal bersara untuk menyesuaikan diri selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan seperti tentera yang diberi kursus khas selama setahun sebelum tamat tempoh perkhidmatan. Kasihan para guru yang telah pencen terpaksa berhadapan dengan satu situasi konflik dalam diri sendirian tanpa sebarang bantuan atau nasihat. Dan KGSK (Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan) merupakan satu tindakan wajar yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membantu guru-guru pencen menyesuaikan diri dengan suasana baru selain mengatasi masalah kekurangan guru terlatih.

Bagi aku pula yang masih ada 25 tahun lagi tempoh perkhidmatan merasakan ianya satu tempoh yang amat panjang. Macam-macam perkara yang boleh berlaku. Entah-entah tak dan ke pencen dah meninggal. Apa pun aku berazam melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.

27 November 2008

077 : Kali Ketiga Dan Aku Pun Menyumpah



Hujan petang Ahad yang lalu agak luar biasa lebatnya. Sejak pukul 4.00 petang awan mendung menguasai langit namun tidak mengugurkan titis hujan. Namun menjelang 6.00 petang segalanya berubah. Awan mendung memuntahkan hujan maha lebat hinggakan perlawanan suku akhir Liga Parlimen di antara Durian Tawar menentang Purun terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.



Hujan masih mencurah dengan lebatnya walau waktu telah pun berganjak ke pukul 7.00 malam. Aku hanya termanggu di tepi tingkap memerhatikan titisan kasar hujan laju menujah bumi. Kelam menyelubungi suasana. Sesekali langit dipancari cahaya kilat disertai guruh yang berdentum. Hati menjadi gusar. Longkang di belakang rumah semakin disenaki air. Lubang 'kalbot’ semakin ditengelami air.



Ketika jam menghampiri 8 malam, hujan masih gagah menerjah bumi. Aku semakin resah gelisah. Sekejap ke depan sekejap ke belakang. Ketika aku keluar dari bilik air, tiba-tiba ruang dapur dimasuki air. Semakin lama semakin banyak air yang berlumba memasuki ruang dapur. Aku hanya mampu memerhati dan kemudian berusaha mengalih barang-barang ke tempat yang lebih tinggi. Sedang kelam kabut memunggah barang, aku dikejutkan dengan teriakan Si Are-an memberitahu yang ruang tamu juga dimasuki air. Segera aku membantu isteri yang termengah-mengah bersama perut yang semakin memboyot mengangkat sofa ke ruang tengah.



Lewat 9 malam, hujan semakin reda amukannya. Namun air yang memenuhi ruang tamu dan ruang dapur belum menunjukkan tanda-tanda untuk mengundur diri. Lambat dan perlahan air semakin surut meninggalkan daki kotoran di dinding. Hampir sekaki lebih kedalamannya. Tinggal beberapa inci lagi akan memasuki ruang tengah. Alhamdulillah air semakin surut dan hampir jam 10 yang tinggal hanyalah lumpur dan sampah-sarap yang perlu dibersihkan. Dan malam itu tidur aku tidak lena. Acapkali terjaga dan segera bangkit meninjau melalui cermin tingkap, bimbang kiranya hujan turun lagi dan rumah dinaiki air sekali lagi.


Selama 31 tahun aku hidup dan tinggal di rumah ini, inilah kali pertama rumah aku dinaiki air. 2 kali sebelum ini dalam tempoh sebulan lebih, air hanyalah sekadar menjengah di kaki tangga. Malu-malu untuk bertandang. Dan kali ketiga, ia menjadi kurang ajar. Mengajar aku yang sekarang cuti mengajar. Memasuki rumah aku tanpa segan silu.

Sumpah seranah aku bukanlah pada air yang kurang ajar memasuki rumah walau tidak dipelawa. Tetapi kepada pihak kontraktor tapak pembinaan IPD dan Kuarters IPD Bera yang hanya gah pada nama ‘BINA HORMAT” tapi langsung tidak menghormati kesejahteraan penduduk sekitar. Mereka yang biadap itu sewenang-wenang menimbus sistem perparitan yang telah berkhidmat puluhan tahun tanpa gagal mengalirkan air ke Sungai Triang. Tindakan mereka yang bodoh sombong ini telah menyekat aliran air sehingga berlakunya banjir kilat gara-gara limpahan air hujan yang terhalang dek timbunan tanah semata-mata untuk dijadikan laluan lori dan jentera untuk melintasi bagi memudahkan kerja mereka.



Sumpah seranah aku berpanjangan bila aduan yang aku kemukakan dipandang sepi oleh pihak berwajib. Aduan yang aku ajukan seolah-olah omongan kosong di warung kopi. Jawapan yang aku terima sekadar janji yang bagaikan menanam tebu di tepi bibir. Namun tindakan langsung tidak diambil. Dan pesan aku hanya satu, ‘Jangan sampai darah derhaka Jebat mengalir di tubuh aku’.



Nota lutut dan kaki: Siapa ada C4?, jual kat aku…aku nak bom tanah yang menghalang laluan air longkang tue...

18 November 2008

076 : Bila 'Minyak' Aku Naik.

"Lima" arah aku ringkas kepada jurupam Stesen Minyak BHP Kerayong sambil tangan tergesa-gesa menyeluk poket untuk mengeluarkan duit hingga terlupa membuka tudung tangki minyak petrol motor Yamaha 80cc. Sememangnya petang itu aku dah lambat untuk ke latihan bola sepak di padang SMK Seri Bera.

Sedang aku terkial-kial mengeluarkan duit dari poket, tiba-tiba aku terpandang reaksi muka jurupam yang ingin menyatakan sesuatu kepada aku tetapi tidak terucap...aku pun menganggukkan kepala serta mengerakkan kening ke atas sebagai isyarat bertanya "Kenapa?". Dengan teragak- agak jurupam itu menunjuk ke arah tangki motor. "Aik takkan dah penuh?", getus aku dalam hati kehairanaan apabila mendapati terdapat titisan minyak petrol menitik ke lantai simen lalu menjengok kerana pandangan aku terhalang oleh 'seat' yang ditegakkan.

"Bodoh! Ini tangki 2T laa bangang" jerkah aku yang mengakibatkan orang ramai yang sedang mengisi minyak petrol memandang kehairanan. Terlepas kata-kata carutan dari mulut aku setelah mendapati tangki minyak 2T dipenuhi minyak petrol."Ngape ke bengap sangat awok nie sampaikan tangki 2T dengan tangki petrol pun tok kenal, nie tangki 2T, bahlol. Nie haa tangki petrol, gampang!" Carut aku lagi sambil menunjuk ke arah tangki 2T dan tangki petrol. Jurupam itu hanya terkebil-kebil tanpa sepatah kata. "Dah jangan nok buat muke tok bersaloh pulok. Sekarang awok isi petrol dalam tangki nie", arah aku sambil membuka tudung tangki petrol setelah hati aku bertambah sakit melihat ke‘sardin’an muka jurupam itu.

"Apa pasal incik malah-malah ini macam?" tiba-tiba kedengaran suara amoi berkaca mata yang bekerja sebagai penyelia menegur aku dari belakang. "Lu tengok sendiri laa apa lu punya budak sudah bikin. Mana punya orang lu angkat kerja?, wa ingat aaa kalau babi boleh cakap mesti lu angkat kasi kerja" marah aku yang semakin meruap-ruap setelah berpaling dan menunjuk ke arah tangki 2T yang penuh dengan minyak petrol."Tak pa tak pa nanti wa panggil olang kasi tolong sama lu" kata amoi itu lalu beredar menuju ke arah pejabat. "Wei amoi tak yoh laa...awok potong jek gaji samdol nie" jerit aku lalu menekan gear, pulas "throttle" dan beredar dari situ tanpa membayar harga petrol...

Entah mengapa dan kenapa petang itu marah aku menjadi-jadi sedangkan bukanlah sifat aku untuk mudah marah...2 hari selepas kejadian itu aku mengisi minyak petrol di stesen yang sama dan sempat aku bertanya pada salah seorang jurupam perihal jurupam yang aku marahi tempohari... "Orang Vietnam, marah jek bang...nyusohkan orang betul, dah ramai dah yang komplen pasal dia...sampaikan saya nok jage pam sendiri pun tak dapat, kejap-kejap kena tengok dia buat kerja, tak tolong kang tokey bising" panjang lebar penjelasan jurupam tersebut sedangkan aku hanya bertanya "Orang mana tue?".

Selepas mendengar penjelasan dari jurupam 'peramah' itu. Aku hanya mengukir senyuman kelat. Timbul rasa kesal di hati kerana memarahi jurupam Vietnam itu namun ego aku terlalu angkuh untuk memohon maaf. Aku sekadar memerhati dan jauh di sudut hati aku sebenarnya teramat kagum dengan kegigihan dan kesungguhan jurupam Vietnam itu yang sanggup dari jauh merantau ke sini demi sesuap rezeki yang halal. Aku membayangkan bagaimana sekiranya aku terpaksa berkelana mencari rezeki di tempat asing. Mampukah aku sedangkan selama ini aku hanya betah di sini.

14 November 2008

075 : Andai Aku Miliki Hikmat Naruto

Aku dihadapkan dengan dua pilihan yang memaksa aku memilih 1 di antara 2. Pertama, menyertai pasukan bola sepak PSKPP Bera ke Kuantan dan terlepas perlawanan suku akhir bersama pasukan Kerayong FC menentang pasukan Bukit Serdang. Kedua, menyertai pasukan Kerayong FC menentang pasukan Bukit Serdang dan terlepas peluang membantu pasukan PSKPP Bera dalam usaha merangkul gelaran juara buat kali pertama. Ini kerana perlawanan itu akan berlangsung serentak pada hari Sabtu 15.11.2008.

Kerayong FC merupakan pasukan kampung tumpah darah aku yang majoritinya dianggotai anak-anak muda jati Kampung Kerayong. Peluang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir amat cerah. Andai berjaya memenangi perlawanan itu nanti, RM 5,000.00 di dalam genggaman. Dan semakin cerah untuk ke perlawanan akhir untuk merebut gelaran juara Liga Parlimen Bera yang menjanjikan habuan RM 10,000.00.

PSKPP Bera merupakan pasukan yang mewakili PPD Bera ke kejohanan peringkat negeri Pahang. Pasukan ini terdiri daripada guru-guru dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah atau ppd. Pasukan ini turut menyertai Liga Parlimen Bera namun kandas di pusingan kedua. Kali terakhir aku turut serta dalam pasukan ini ialah pada tahun 2003 semasa kejohanan dilangsungkan di Pekan.

Perasaan aku berbelah bagi. Kiranya aku tidak menyertai pasukan PSKPP Bera, pasti rakan-rakan yang lain akan merasa kecil hati dan beranggapan aku mementingkan diri sendiri. Dan kiranya aku menyertai pasukan PSKPP Bera, pasti rakan-rakan pasukan Kerayong FC pula yang berkecil hati dengan aku. Sedangkan kedua-duanya aku ingin sertai.

Di saat dan ketika ini…aku membayangkan watak kartun Naruto yang mempunyai hikmat untuk meng‘klon’kan dirinya bagi mengelirukan perhatian musuh yang ditentang. Andai Naruto benar-benar wujud pasti aku akan menuntut ilmu tersebut. Ini kerana aku akan menggunakan hikmat itu untuk men‘dua’kan diri supaya nanti aku boleh berada di dua tempat yang berasingan pada waktu yang sama. Atau poket ajaib Doraeman yang dapat mengeluarkan satu alat yang dapat menjelmakan diri aku menjadi dua. Atau setidak-tidaknya menemui saudara Dzulkarnain Mohamad untuk bertanyakan perihal mana-mana bomoh atau dukun yang dapat meminjamkan hantu raya peliharaan mereka untuk menyerupai aku supaya aku dapat berada di dua tempat serentak.

11 November 2008

074 : Aku Hanya Seorang Suami

Aku hanya seorang suami...
yang menerima setulus hati seorang isteri...,
Janji yang termeterai di akad nikah kita musim yang lalu...,

Salam kuhulur buat menyapa hatimu nan luhur...,
Bersamalah kita harungi derita yang datang...,
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang...,
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata...,
Biar kita rasa : Rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya...,

Isteri...,
Tidak kutagih setia...,
Sesetia Hawa...
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam...,
Terimalah kehadiranku di sudut tersuci di dalam hatimu...seorang suami.

p/s: Sajak ini aku tujukan khas untuk isteri tercinta di hari lahirnya pada hari ini...11.11.2008...moga dirimu tegar mengharungi suka duka, payah getir dan onak duri hidup bersamaku...

03 November 2008

073 : Baru Aku Tahu

Banyak perkara yang masa kecil dulu aku tak tahu…tapi kini aku dah tahu…itu pun selepas 31 tahun hidup…

Baru Aku Tahu 1 :

Dulu tok sedara aku kerja dengan JKR…dia cakap JKR maknanya Jangan Kerja Rajin…sebab tue dia banyak ngular masa nyabit rumput tepi jalan…ada juga yang cakap JKR maknanya J**** K***** Rabik…jadi bila nampak jer orang k*****…mula laa perhatikan j**** diorang…tapi entang mana rabiknya tak pula aku nampak…bila dah besar baru tau…upernyer JKR singkatan bagi Jabatan Kerja Raya…

Baru Aku Tahu 2

Masa kecil dulu…tiap kali tengok warta berita di TV 1…pasti aku tertunggu-tunggu berita tentang “Agong” sebabnya mak aku selalu cakap kat aku… “haa…tengok tue “Agong” masuk tv”… “Agong” pada masa tue ialah Sultan Pahang…bila dah sekolah…aku jadi pelik…ngape Agong dah tukar orang lain pulok…Lepas tue baru aku tau…Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dilantik 5 tahun sekali di kalangan sultan-sultan bagi negeri2 yang ada sultan kat Malaysia nie…

Baru Aku Tahu 3

Dulu suka sangat tengok Khalid Ali main bola kat dalam tv…kalau main bola dengan rodong2…mesti nak jadi Khalid Ali…sampai berebut2 dan bermasam2 muka sebab tak dapat jadi Khalid Ali…bila dah besar baru aku tahu yang Mokhtar Dahari lagi hebat…

Baru Aku Tahu 4

Masa kecil dulu…suka dengar lagu Sudirman…lagu yang ada lirik ‘tulis nama atas batu’…aku pun pakat dengan rodong2 cari batu yang besar2 dan tulis nama kitaorang kat atas batu… ‘pakai baju bunga2’…menjerit melolong laa aku minta mak belikan baju yang ada bunga2…tapi bila dah besar baru aku tahu yang Sudirman memang hebat orangnya…menyanyi sedap…berlakon pandai…jadi peguam lagi tue…bangga aku jadi orang Pahang sebab ada orang Pahang yang sehebat dia…

Baru Aku Tahu 5

Dulu bila dengar Ito nyanyi lagu “Apo Nak Dikato”…aku pun ikut nyanyi sama…‘kalau boleh nak bising2 kat pokan Soromban’…ada 1 hari tue…kat dalam kereta…pasang radio Sinar FM… kebetulan keluar lagu nie…aku pun apa lagi terus nyanyi sama…tengah syok nyanyi…tiba2 isteri aku tegur… “bukan bising2 laa bang tapi pusing2”…terus aku kena gelak sakan…sekarang nie tiap kali dengar jer lagu tue…mesti isteri aku gelak kat aku…ooo baru aku tahu…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...