Peraduan Saya Mahu Hadiah PTS: Baca & Menang!

timang kasih timang sayang...

November 11, 2009

124 : Selamat Ulang Tahun Sayang


Maaf sayang,
Tiada hadiah yang dapat ku berikan,
Pada tanggal kau melihat dunia,
Hanya doa yang mampu ku panjatkan,
Moga dirimu berbahagia selalu di sampingku.

Maaf dinda
Tiada lafaz yang terindah,
Yang dapat ku talunkan,
Betapa aku menyayangimu,
Setulus hati tanpa ragu.




Maaf kasih,
Tiada emas yang termahal,
Yang bisa ku kalungkan,
Hanya seutas janji,
Membahagiakanmu sepanjang hidupku.



Maafkan aku,
Andai ulangtahun kali ini,
Penuh cerita duka yang lara,
Yang membelit setiap nafas hidupmu.



Aku sedar selama ini,
Aku gagal membahagiakanmu,
Aku tewas mengasihimu,
Aku lemas menyintaimu
Aku karam menyayangimu



Namun ketahuilah oleh mu,
Di setiap denyut nadiku,
Tersimpan utuh sayang untukmu,
Yang mengalir tanpa jemu,
Yang berumbi walau layu,



Sabarlah sayang,
Menempuh badai gelora bersamaku,
Tabahlah dinda,
Menelan pahitnya hidup di sampingku,
Cekallah kasih,
Mendamba bahagia selamanya.



Terima kasih sayang,
Kerana menyambut salam cintaku,
Pada lewat pertemuan kita bermusim yang lalu,
Terima kasih dinda,
Di atas sayang yang kau curahkan,
Untuk aku merasa manisnya rindu,
Terima kasih…,
Hanya itu yang termampu aku lafazkan,
Di atas segala pengorbanan dan kesetiaan mu.

11.11.2009...hari lahir isteri kesayangan...tapi aku...???

October 28, 2009

123 : Berblues Untuk Berodong

Dulu masa menuntut di Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa Kelantan, aku pernah ditanya oleh salah seorang awek aku "apa makna rodong?". Menurutnya, dia selalu terdengar guru pelatih dari Pahang menggunakan perkataan "rodong" dalam perbualan seharian. Aku selaku anak jati Pahang yang disenyawakan oleh mak dan ayah aku, dimengandung dan diberanakkan oleh mak aku serta dibesarkan di negeri Pahang maka dengan bangga diri dan penuh keiltizaman pun menjawab "Adapun menurut riwayat yang telah diperturunkan turun temurun dari nenek moyang hinggalah ke hari ini, Rodong adalah sejenis kuih yang seakan-akan donat bentuknya dan dicicah dengan air sirap untuk menambahkan lagi tahap kesedapannya".

Penerangan yang panjang lebar disulami dengan ekspresi muka serta gerak tubuh telah berjaya menyakin dia. Maklumlah tengah bercinta, kentut pun bau wangi. Namun disebabkan kepolosannya mempercayai penjelasan tersebut telah menerbitkan rasa lucu di hati lantas pecah ketawa aku. Dalam kepinggaan dia bertanya apakah gerangan yang telah mengeletek hati aku. Aku pun menjelaskan bahawasanya ‘rodong’ bukanlah sejenis kuih tapi panggilan untuk kawan atau sahabat dalam loghat Pahang.


Peristiwa di atas terimbau kembali apabila Don Balon meminta aku menulis review tentang sebuah buku yang bertajuk “Blues Untuk Rodong”.(Sila rujuk iklan di bahagian atas blog ini) Permintaannya dibuat sebelum raya lagi namun kekangan masa dan kebuntuan fikiran menghalang aku untuk menyusun ayat terbaik bagi mengambarkan keseluruhan buku itu.

Idea untuk menghasilkan “Blues Untuk Rodong” tercetus hasil desakan gelodak dalam diri beberapa blogger yang amat mengidam untuk menghasilkan sebuah buku hasil tulisan mereka sendiri. Setelah bermuafakat, berhempas kerusi meja dan berpulas tangan maka terhasillah sebuah buku yang diberi judul “Blues Untuk Rodong”.

Uniknya buku ini kerana ianya tidak terdapat di toko-toko buku yang berhampiran apatah lagi yang berjauhan. Buku ini dihasilkan menerusi satu teknik yang dikenali sebagai “DIY”. Konsep penghasilan buku secara “DIY” ini telah pun mulai menular dan secara keseluruhannya mendapat sambutan yang menggalakkan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah itu “DIY”? DIY ialah singkatan “Do It Yourself”. Ini bermakna buku ini 100% dihasilkan menggunakan tangan yang melibatkan menaip, mencetak, menjilid(menjilat setem untuk ditepek kat sampul surat tak diambilkira), membungkus dan mengepos.

Menyentuh mengenai para penulis pula, ianya terdiri(terduduk tak dikira, ok) daripada Don Balon, John Doe(adik don balon), Aliff Mikail dan Rahimin Idris. Bagi pengunjung setia blog-blog mereka, tentulah tidak merasa keasingan namun bagi mereka yang tidak pernah menjenguk blog-blog mereka, silalah berbuat demikian.

Buku ini amat menarik dan menghiburkan untuk dibaca secara santai. Ini kerana hampir keseluruhan cerita yang dimuatkan di dalam buku ini berunsur humor. Penceritaannya pula berkisar tentang seputar pengalaman hidup yang dikutip sejak zaman persekolahan hinggalah sekarang. Kesemuanya diadun dengan begitu baik dan bersahaja. Sebagai contoh, Don Balon misalnya menggarap setiap pengalaman hidup yang pernah dilalui di dalam setiap ceritanya. Malah pengalaman sahabat-sahabat baiknya turut dimuatkan di dalam ceritanya bagi memenuhi aspirasi “Blues Untuk Rodong”.


John Doe dan Aliff Mikail pula tidak kurang hebatnya. Pelarasan bahasa yang ringkas dan mudah amat meyenangkan untuk dibaca. Jalan ceritanya tidaklah berbelit-belit dan tidak pula memeningkan. Setiap ayat disusun kemas agar pembaca tidak merasa bosan. Namun tidak dinafikan terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh penulis-penulis muda ini. Walau yang demikian ianya tidaklah mencacatkan keseluruhan buku ini memandangkan ini merupakan percubaan pertama mereka untuk berkarya secara serius.

Rahimin Idris pula di dalam “Blues Untuk Rodong” agak berat penceritaan yang cuba diutarakan. Tersirat mesej yang cuba disampaikan kepada khalayak. Ianya tersulam di antara bait-bait perkataan yang seandainya kita membacanya secara rambang maka kita akan merasakan ceritanya hanyalah sekadar cerita yang direka semata-mata. Namun andainya kita membaca dan berfikir, kita akan dapati ianya merupakan cerita satira yang menyanggah golongan tertentu.

Secara keseluruhan buku ini menghiburkan. Di samping itu terdapat pengajaran dan mesej berguna yang dapat dikongsikan bersama. Jangan dinilai buku ini dari segi kualiti pembuatannya kerana ianya tidaklah setanding dengan buatan mesin. Apa yang lebih penting ialah usaha dan kesungguhan untuk menghasilkan buku ini yang harus dipuji dan disokong. Ini kerana jika ingin menerbitkan sesebuah buku, terlalu banyak prosedur dan tapisan yang perlu dilalui sebelum ianya boleh diterbit. Oleh itu sebagai alternatifnya, buku ini diterbitkan secara persendirian sahaja.

Kepada mereka yang berminat, silalah meng ‘e-mail’ kan mereka menerusi alamat e-mail yang tertera di ruang atas blog ini. Jika bukan kita, siapa lagi yang selayaknya memberi sokongan kepada anak bangsa kita. Belilah kerana ilmu itu tidak ternilai dengan wang ringgit.

October 26, 2009

122 : 4 Tahun Yang Mematangkan



Tanggal 4 Oktober 2006...wujudlah blog ini dengan tema Aku Masih Di sini...pada asalnya hanyalah untuk suka-suka sahaja tapi disebabkan oleh keterbiasaan maka ianya menjadi sesuatu yang menyeronok dan menyenangkan...


Tahun 2007...aku menyepi...lama juga hampir setahun tanpa sebarang entri...namun aku tetap mengekalkan blog ini walaupun bersawang...aku pun tak tahu kenapa aku tiba-tiba hilang mood... mungkin kerana orang yang memperkenalkan aku dengan dunia blog telah pun memadamkan blognya...

4 Oktober 2008...di saat kemeriahan Aidilfitri disambut girang gembira oleh umat Islam...aku turut menyambut ulangtahun ke-3 blog aku nie...walau tiada majlis rasmi bagi meraikannya...namun kewujudan blog ini amat besar erti dan membawa sejuta makna kepada aku...

Dan 4 Oktober yang lalu...aku benar-benar terlupa akan tarikh bermulanya aku berblog. Baru hari ini apabila aku melihat senarai entri yang telah aku tulis, tiba-tiba mata aku tertarik pada entri yang ke 64. Oh rupanya aku semakin tua...

Bagi aku...blog akan mendatangkan manafat sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan blog juga boleh mendatangkan keburukkan jika ianya disalahgunakan...blog tempat aku meluahkan segala rasa yang aku rasa...blog tempat aku berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berguna untuk dikongsi bersama...blog adalah medium untuk mengeratkan ikatan silaturrahim sesama insan...dan blog juga selalu digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan fitnah...memarakkan lagi api persengketaan...dan bermacam2 lagi perkara yang boleh mengundang musibah...

Oleh itu...aku berblog bukan kerana nama, pangkat, harta mahu pun kuasa...aku berblog hanya kerana aku adalah aku dan aku ingin menjadi aku yang seadanya...

p/s: Bagi yang belum mengetahui asal-usul kejadian blog nie...bolehlah baca entri nie...tue pun kalau sudi...

http://aku-masihdisini.blogspot.com/2006/11/tentang-blog-aku.html

October 23, 2009

121 : Menawan Puncak Rebung




25hb April yang lalu tercatat satu lagi peristiwa dalam hidup aku. Peristiwa yang membuktikan tahap kekampungan aku masih terpelihara dengan utuh. Segalanya bermula apabila aku mendapat panggilan telefon mempelawa aku untuk mendengar satu taklimat tentang peluang perniagaan dalam bidang telekomunikasi dan pos. Aku menyatakan persetujuan namun bukanlah kerana aku benar-benar berminat tetapi kerana ianya percuma dan secara kebetulan pula pada tarikh yang sama aku perlu membawa mak dan ayah menghadiri majlis persandingan anak saudara di Dewan Risda, Ampang.



Maka memandulah aku seawal 7.00 pagi membelah kedinginan menuju Kuala Lumpur. Bertemankan mak, ayah dan Arean, aku menyusur Lebuhraya Pantai Timur yang aku ragui tahap kualiti kerana tiap kali aku menggunakannya pasti ada baik pulih sedang dilakukan.

Tepat jam 9.00 pagi kami selamat tiba di rumah Alang yang terletak di dalam Kem Kementah(MINDEF). Usai bersarapan, aku meminta Alang menghantar aku ke Stesen LRT Setia Wangsa kerana aku bimbang jika aku membawa kereta kebarangkalian untuk aku sesat hingga ke Papua New Guinea adalah tinggi.


Setelah turun dari motorsikal Alang dan setelah tercanggak-canggak hampir beberapa minit di hadapan kaunter memerhati gelagat orang ramai yang bertali arus, aku memberanikan diri menghampiri kaunter dengan hajat untuk membeli tiket kerana amatlah mustahil aku dapat menaiki LRT tanpa tiket walau aku menanggis merahang sambil berguling-guling sekalipun.

"Assalammualaikum, saya tak pernah naik LRT. Saya nak ke Menara Telekom tapi tak tahu nak turun kat mana?" Setulus hati aku menuturkan satu persatu perkataan sejelas dan seterang mungkin sambil mengharapkan simpati dan belas dari pekerja kaunter yang aku ragui taraf jantinanya kerana di mata aku yang belum rabun ini, dari raut wajahnya seakan lelaki tapi matanya dipalit celak dan "eye shadow", bibirnya diukir gincu merah kusam dan pipinya ditepek alat make-up yang aku nak sebut pun aku tak tahu namanya.

Tanpa menjawab salam dan setelah berjaya menahan gelak yang seolah-olah memperlekehkan pertanyaan kudus aku, dia bersuara halus yang seakan dibuat-buat. "Encik boleh turun kat universiti atau keramat. RM 2.30." Aku pun meraba-raba poket untuk mengeluarkan dompet. Selesai membayar aku dihulurkan sekeping kad. Usai urusan di kaunter, segera aku beredar. Risau jika berlama-lamaan di situ, pekerja kaunter separa lelaki itu akan mengorat aku.

Bersama sekeping kad yang dipegang erat, aku melangkah bak pendekar menuju medan perang. Sebaik tiba di pintu masuk, aku pun melanggar palang besi itu dengan perut seperti penumpang lain namun tidak terbuka."Ah celaka! Apasal tak boleh terbuka pulak" bentak aku dalam hati sambil mencuba beberapa kali hingga menarik perhatian pengawal keselamatan yang bertugas. "'Encik, masukkan tiket" laung pengawal keselamatan itu dari jauh sambil membuat aksi memasukkan tiket mengakibatkan beberapa pasang mata memandang ke arah aku dan ketawa kecil. Rupanya aku perlu memasukkan tiket bagi membolehkan palang besi itu terbuka bila dilanggar. Manalah aku tahu kena masukkan tiket, aku kan orang kampung.

LRT tiba sejurus aku tiba di platform. Terkocoh-kocoh aku melangkah menuju pintu LRT yang sedang mengangga luas. Sebaik aku berada di dalam perutnya, LRT mulai bergerak perlahan setelah pintunya ditutup secara otomatis. Suasana agak lenggang namun tiada bangku yang kosong memaksa aku mengaktifkan kuda-kuda kaki untuk mengelakkan dari jatuh tersembam. LRT mulai bergerak semakin laju namun tidak sempat 5 minit bergerak, aku merasakan tahap kelajuannya telah diperlahankan. Kedengaran satu suara memberitahu destinasi yang seterusnya hampir. Aku memandang sekeliling. Dalam hati tertanya-tanya dari manakah datangnya suara itu. Dalam aku tertanya-tanya itu, mata aku tertancap pada satu papan pemberitahuan yang ditampal pada dinding badan LRT yang aku naiki. Tertera di situ nama-nama stesen yang bakal aku lalui sebelum sampai ke destinasi yang ditujui. 'Argh...lambat lagi nak sampai' bentak aku dalam hati.

bersambung...


October 19, 2009

120 : Cintamu Tiada Bandingan

Ini merupakan siri terakhir memenuhi permintaan seorang Anonymous yang hanya aku kenali dengan nama 'Mymy xyxy'. Seingat aku hanya lagu-lagu kumpulan Search dan lagu kumpulan Camar yang aku siarkan di blog ini. Lagu ini bertajuk 'Cintamu Tiada Bandingan'. Aku dapat lagu nie melalui Cik Lislas yang meminta aku meng'upload'kan lagu ini ke blognya. Sebagai percubaan, aku 'upload'kan ke blog aku terlebih dahulu untuk melihat hasilnya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kumpulan Camar, sila layari CAMAR.

Menyentuh mengenai gambar-gambar yang melatari lagu ini pula aku ambil semasa Majlis Jamuan Hari Raya anjuran JAKIM di Kampung Bukit Gemuruh. Selain dari gambar-gambar kemeriahan majlis, turut aku paparkan ialah gambar-gambar bangunan lama SK Bukit Gemuruh. Banyak kenangan dan nostalgia yang bersemadi di sini. Dengarkan...



October 14, 2009

119 : Bersalah Atau tidak

Untuk siri kedua terakhir memenuhi permintaan peminat misteri (ewah...ada peminat gak aku nie), maka dengan ini aku siarkan satu video klip nyanyian kumpulan Search tapi videonya tiada kena mengena langsung dengan lirik. Tajuk lagu ini ialah 'Bersalah Atau Tidak' yang juga dipetik dari album "Gema Di Timur Jauh". Lagu ini juga mempunyai kenangan tersendiri dalam hidup aku terutama sekitar tahun 1995. Nantilah...andai ada kesempatan akan aku kongsikan di blog ini.

Apa yang agak istimewa mengenai video klip ini ialah... aku yang buat sendiri dengan menggunakan window movie maker. Gambar-gambarnya pun aku yang rakam menggunakan handset Nokia 6233 isteri aku yang ber 'mega pixel' 3.2. Kemudian aku masukkan lagu Search. Selepas itu aku uploadkan ke Youtube dengan menggunakan id aku sendiri. Dengarkan...